ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA...
Dah lama rasanya tak up n3 kan? Saya bercuti beberapa minggu... sebelum menjelangnya tahun baru.. Alhamdullilah... Hajat tahun 2012 telah terlaksana.. Manuskrip PDH sudah siap sepenuhnya dan sekarang masa untuk dinilai dan hajat kedua adalah bercuti ke tempat yang saya impikan.. Syukur ke hadrat ILAHI, semua ini adalah dari anugerahNYA.
Dalam kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat TAHUN BARU 2013. Semoga tahun baru ini akan memberikan kebaikan pada kita semua. InsyaAllah.
So now... Time for JAPH... Enjoy ya..
BAB 12
Kaki melangkah perlahan ke ruang rehat itu. Hati berbelah bahagi sama-ada mahu berbincang tentang Rafael dengan Tan Sri Syed Hanafi ataupun tidak. Hanina tidak mahu walidnya marah dan mengambil tindakkan melulu.
“Haa... Nina, duduklah sini. Walid nak cakap sesuatu ni.” Pada mulanya hati Hanina memilih untuk tidak berbincang tentang Rafael saat ini dan ingin berpatah balik ke bilik tidur tapi bila walidnya menyuruh dia agar duduk dengan orang tua itu, dia hanya akur.
“Eqi mana? Dah tidur?”
“A’ah, dah tidur walid. Ibu pula mana?” Di ruang rehat itu hanya ada dia dan walidnya. Tidak pula Hanina tahu ke mana ibunya, Puan Sri Kamariah berada.
“Ada dekat dapur tu. Sediakan minuman untuk walid.”
Hanina mengangguk perlahan. Mata menghala pada kaca tv yang menyiarkan rancangan yang menarik.
“Walid dengar, kamu sekarang dah ada teman.”
Bicara Tan Sri Syed Hanafi itu mengundang perhatian Hanina yang mula khusyuk menonton rancangan tv.
“Teman yang macam mana maksud walid?”
“Teman lelaki.”
Wajah Hanina sedikit berubah. Baru dia teringat, pasti Rafieqi yang memberitahu semua ini. Lihat saja tadi sebelum si anak itu terlena, sempat bertanyakan tentang Hanif padanya.
“Bila Eqi boleh jumpa papa?”
“Lain kali Eqi boleh jumpa dia, sayang. Tak boleh selalu jumpa sebab uncle Hanif kerja.” Hanina cuba memberikan alasan.
“Boleh tak umi call papa? Eqi nak cakap dengan papa.”
“Sayang, kan dah malam ni. Tak elok ganggu dia. Esok atau lusa, Eqi boleh call dia. Sekarang, Eqi tidur dulu. Esok nak sekolah lagi.”
“Betul ke apa yang Eqi katakan tu? Walid dengar dia panggil teman kamu tu, papa.”
Hilang terus ingatan terhadap Rafieqi. Hanina jadi kelu. Ah, budak-budak, semua benda hendak diceritakannya.
“Walid tak nak mempertikaikan tentang hal ni. Cuma, walid nak tahu, betul ke tidak yang kamu sekarang sudah ada teman?”
Tan Sri Syed Hanafi sedar kerana ketegasan dan desakannya dulu itu sudah memusnahkan kehidupan Hanina. Kali ini, dia mahu bersikap terbuka. Tidak kisah jika Hanina mahu mencari pengganti, janji lelaki itu seorang yang bertanggungjawab dalam semua aspek, baik dan sayang pada Hanina dan Rafieqi. Hanya itu yang dia pinta.
“Memang Nina ada kenal seseorang tapi belum ke tahap serius lagi.”
“Ish, takkan tak serius? Eqi siap panggil lelaki tu, papa. Kira Eqi dah suka dengan lelaki tu. Siapa nama dia?” ujar Puan Sri Kamariah yang sedang mendekati mereka bersama Anum, pembantu rumah Hanina yang sedang membawa seteko Nescafe panas dan sedikit pencuci mulut.
“Nama dia, Hanif. Hanif Harris. Sebenarnya Nina belum sedia lagi nak adakan hubungan serius. Rasa senang begini, ibu,” luah Hanina setelah memastikan Anum beredar dari situ. Memang setakat ini, dia rasa selesa dengan kehidupannya sekarang.
“Umur kamu dah meningkat, Nina. Eqi pun dah besar, berilah peluang untuk diri kamu sendiri. Cari kebahagian yang selama ini, ibu dan walid musnahkan. Maaf jika tindakkan kami dulu, menghancurkan hati kamu.” Jari-jemari Hanina digenggam erat. Puan Sri Kamariah rasa bersalah dengan apa yang terjadi. Mungkin kerana bahtera perkahwinan yang pernah gagal itu yang membuatkan Hanina menutup hati untuk berkahwin lagi. Takut kejadian dulu berulang kembali.
“Benda dah lepas, ibu. Jangan dikenang lagi. Bagi Nina, semua tu adalah pengajaran buat Nina.”
“Tapi kalau kamu ada suami, senang hati kami, Nina. Macam mana kehidupan kamu berdua bila kami ni tak ada nanti? Kalau kamu dah ada suami, lega hati kami sebab dah ada yang boleh jaga kamu berdua. Boleh walid tahu, lelaki tu kerja apa?”
Seraut wajah Hanif tiba-tiba menjelma. Lelaki yang dia rasakan sangat bertoleransi. Berwajah kacak... Kacak? Betul ke lelaki itu kacak? Mungkin hanya pada pandangan matanya saja. Selalu mempamerkan senyuman walaupun di kala dia di ambang amarah. Lelaki yang datang secara tiba-tiba, meluahkan rasa hati padanya. Jika dikenang, bagaikan tidak percaya lelaki matang seperti Hanif akan buat sebegitu padanya.
“Dia pensyarah, walid. Orangnya biasa-biasa saja.”
“Walid tengok, Eqi tu suka sangat dengan teman kamu tu. Siap suruh walid jumpa dia. Kalau kamu tak keberatan, bawalah dia ke sini. Bukan apa, sekurang-kurangnya kami tahu dengan siapa kamu berkawan. Kalau orang nak bawa cerita pun, yang penting kami tahu perkara sebenar.”
Hidup dalam bermasyarakat ini perlu pandai membawa diri. Jika tidak pandai mengolahkannya dengan baik, pasti akan ada berita yang tidak enak diutarakan. Apatah lagi dengan status Hanina ini. Yang sebahagiannya memandang rendah.
“InsyaAllah, nantilah Nina suruh dia datang sini.” Hanina faham dengan permintaan walidnya itu. Sedar dengan status yang disandangnya sekarang. Apapun dia kena menjaga batas-batas pergaulan.
“Ibu dengar juga, ada lagi seorang lelaki jumpa kamu. Siapa?”
Ya Rabbi, apa sajalah yang Eqi dah ceritakan pada walid dan ibu ni, desis hati Hanina.
“Mungkin ayah budak-budak tadika kut, bu. Biasalah, kalau yang nak mendaftar tu, kadang-kadang, jumpa Nina juga.”
“Eqi kata, dia nampak kamu macam bertengkar. Ibu tanya juga siapa, dia jawab dia tak kenal.”
Dahi Hanina berkerut seribu. Dia pernah bertengkar dengan Hanif di hadapan Rafieqi. Tapi kata Rafieqi, dia tidak kenal dengan lelaki itu. Takkan... Rafael?
“Rafael ke?” Semakin berdebar hati Hanina bila Tan Sri Syed Hanafi menyebut nama Rafael.
“Walid tahu dia dah balik Malaysia. Apa yang walid harapkan, dia tak akan ganggu kamu. Sebab dia dah ceraikan bini dia yang kedua tu.” Belum lama ini, Tan Sri Syed Hanafi ternampak kelibat Rafael yang ketika itu sedang berbincang dengan seseorang. Mungkin klien. Kerana itulah juga dia mencari maklumat tentang bekas menantunya itu.
Patutlah... Rafael seperti lelaki mereng. Datang mengganggunya dan tiba-tiba mahukan hak penjagaan keatas Rafieqi. Rupanya sudah tidak ada hubungan dengan Melina.
“Mem... Memang dia ada jumpa Nina.”
Badan Tan Sri Syed Hanafi sudah menegak. Dia memang pantang mendengar nama Rafael. Lelaki keparat yang sudah menghancurkan hidup anaknya.
“Memang nak kena agaknya si Rafiq tu!”
“Walid... Ini bukan salah parents Rafael. Tolonglah jangan libatkan mereka.”
“Tapi sekurang-kurangnya, mereka halang Rafael dari jumpa kamu, Nina. Ini tidak. Kalah dengan anak sendiri.” Kali ini Puan Sri Kamariah pula yang bersuara.
“Rafael cuma nak jumpa dengan Eqi.”
“Untuk apa dia nak jumpa Eqi?! Dulu bukan main lagi dia berlagak. Siap suruh kamu gugurkan kandungan. Hish! Kurang ajar betul Rafael ni!”
“Abang dah la... Awak tu ada darah tinggi. Nanti tak pasal-pasal pula pitam kat sini.” Puan Sri Kamariah cuba menenangkan Tan Sri Syed Hanafi. Sesungguhnya, dia juga geram dengan tindakkan Rafael. Buat apa lagi hendak berjumpa dengan Hanina dan Rafieqi, jika dulu semua itu menjadi satu kebencian buat Rafael.
“Kalau dia datang jumpa kamu lagi, bagitahu walid. Walid akan pastikan hidup dia musnah!”
Seperti yang dijangka, Tan Sri Syed Hanafi pasti akan menggunakan kuasa dalam menghancurkan Rafael.
“Nina dah fikirkan tentang hal ni.. Niat dia cuma nak jumpa dengan Eqi. Jadi...”
“Jadi kamu nak biarkan dia jumpa dengan Eqi? Macam tu?” belum sempat Hanina menghabiskan bicaranya, Tan Sri Syed Hanafi bersuara.
“Walid... Dengarlah dulu apa yang Nina nak katakan ni. Memang kalau nak diikutkan kata hati, Nina memang tak nak jumpa dia lagi. Tapi dalam hal ni, hubungan dia dengan Eqi tak akan putus, Eqi anak dia. Dan selama ni, Eqi tak kenal siapa ayah dia. Kesian Eqi, walid. Biarlah dia tahu siapa ayah dia yang sebenar. Sekurang-kurangnya juga, Nina dah berusaha untuk menemukan mereka berdua.”
Hanina mengambil keputusan agar menemukan Rafieqi dengan Rafael. Nasihat yang diberikan oleh Hanif itu diambil sebagai panduannya. Jika dia berkeras tidak mahu menemukan Rafieqi dengan Rafael, masalah ini akan semakin besar dan berpanjangan.
“Walid tak setuju! Senang-senang saja dia nak jumpa Eqi. Dia ingat dia siapa?! Buang bila tak suka, dan ambil balik bila dia memerlukan. Kurang ajar!” Sakit hati Tan Sri Syed Hanafi dengan tindakan yang Rafael buat itu.
“Sudahlah tak minta maaf, lepas tu suka-hati dia saja nak datang jumpa kamu.”
Hanina mengeluh. Memang susah mahu berkompromi dengan walidnya. Dia memandang ke arah Puan Sri Kamariah cuba meminta bantuan tetapi ibunya hanya berdiam diri. Sudah pasti ibunya juga bersetuju dengan apa yang Tan Sri Syed Hanafi katakan itu.
“Takkan walid nak perbesarkan perkara ni sedangkan kita boleh selesaikan secara baik. Nina taknak tanggung dosa dengan memutuskan hubungan Eqi dengan ayahnya. Biarlah Eqi yang membuat keputusan untuk terus berjumpa dengan ayahnya ataupun tidak.”
Tan Sri Syed Hanafi diam seketika. Dia memandang Puan Sri Kamariah. “Pertimbangkanlah..,” ujar si isteri.
“Walid boleh mempertimbangkannya tapi dengan satu syarat. Bila Eqi jumpa dengan lelaki tu, seorang pengawal mesti ikut sama.”
“Tapi...”
“Tak ada tapi-tapi, Nina. Ini keputusan walid. Kalau dia nak jumpa, dia perlu ikut apa yang walid dah tetapkan ni. Kalau tak, jangan harap dia nak jumpa Eqi.”
Hanina terpaksa akur dengan keputusan yang Tan Sri Syed Hanafi lakukan. Dan hatinya juga berasa sedikit lega bila semuanya sudah dipersetujui oleh kedua-dua orang tuanya. Dia mengharapkan selepas ini, Rafael akan mengambil peluang ini dengan baik. Serta mengharapkan juga agar lelaki itu tidak datang mengganggu dirinya lagi. Antara mereka, hanya Rafieqi yang menjadi perantaraan. Hubungan mereka sudah terputus, tidak ada apa yang perlu dijalinkan lagi.
..................
“Hang ni kenapa? Dari tadi dok senyum-senyum.. Dah lama tak balik ni, dah kerek semacam ka?” Semakin lebar senyuman Hanif bila emaknya berkata sebegitu. Telefon bimbit disimpan di dalam kocek seluar. Baru sehari semalam dia berada di kampungnya ini, dia sudah merindui dua insan yang sangat istimewa di hatinya.
“Ini pasai pa ni? Hang dah ada teman ka, Hanif? Mak tengok hang ni macam angau semacam. Kalau dah ada yang berkenan, mak pi pinangkan.” Geram Hajah Latifah memandang Hanif yang hanya senyum saja dari tadi. Ditanya, tidak pula ada jawapannya.
“Boleh mak... Tapi kena tunggu sikit lagi la. Bila dah kukuh nanti, Hanif sendiri akan suruh mak pi pinangkan.” Untuk masa yang terdekat ini memang dia tidak pasti, siapakah dia di dalam hati Hanina. Tapi yang penting, dia benar-benar menyayangi Rafieqi. Apatah lagi dengan orang empunya badan, itu sudah lama tersemat di dalam hati.
Apa yang membuatkan dia tidak lekang dari senyuman adalah kerana belum lama ini Rafieqi ada menghubunginya. Petah budak enam tahun itu berbicara mengatakan rindu padanya.
“Papa tak nak jumpa Eqi ke?” tanya Rafieqi.
“Nak sayang... Tapi papa kena balik kampung, jenguk nenek.”
“Kenapa tak bawa Eqi? Eqi boleh temankan papa jumpa nenek.”
Senyuman menghiasi bibirnya bila mendengar bicara Rafieqi. Suatu hari nanti, dia pasti akan membawa Rafieqi dan Hanina datang berjumpa dengan Hajah Latifah untuk meminta restu. InsyaAllah, itupun jika jodohnya kuat dengan Hanina.
“Eqi buat apa tu? Umi mana?”
“Tak buat apa-apa.. Umi duduk sebelah Eqi. Papa mahu cakap dengan umi?”
Pada mulanya hati melonjat mahu mendengar suara Hanina tapi.. “Umi taknak cakap dengan papa.”
“Kenapa umi taknak cakap dengan papa?”
“Entah.. Umi geleng kepala.” Ah, polos sungguh jawapan dari Rafieqi.
“Bukan saya tak nak cakap, jangan tuduh sebarangan ya... Saya sibuk sekarang ni.” Kali ini, Hanif mendengar suara Hanina. Pasti Hanina mahu mempertahankan diri.
“Saya tak tuduh, Eqi sendiri yang kata. Tapi tak apa, janji saya dengar suara awak, sudah memadai.”
“Eqi cakaplah... Tadi nak sangat telefon...” terdengar lagi suara Hanina berkata pada Rafieqi. Pasti Hanina hendak mengelak dari terus berbicara denganya.
“Hello papa..”
“Iya, sayang... Umi pergi mana?”
“Kitchen... Umi nak masak spaggeti.”
“Wow! Pasti sedapkan.. Boleh bagi papa sikit tak?”
“Umi! Papa nak spaggeti juga. Nanti kita bagi papa sikit ya..”
Mata Hanif mengikut rentak pergerakkan Hajah Latifah di ruang tamu itu. Risau jika emaknya mendengar perbualannya dengan Rafieqi.
“Eqi.. Papa ada hal. Nanti papa call lagi ya.. Kisskan umi untuk papa..,” ujar Hanif dengan nada berbisik.
“Tengok... Hang termenung lagi. Mak cakap pun hang tak dengaq. Depa dah mai tu.” Kerana teringatkan detik-detik ketika berbicara dengan Rafieqi, dia terleka seketika.
“Depa?”
“Kakak hang la... Ish.. Hang ni..” Berkali-kali Hajah Latifah menggelengkan kepala. Pertama kali melihat anaknya sebegini. Hai... Tak lama lagi hendak menerima menantu la aku..
Sebelum Hanif melangkah turun ke perkarangan rumah untuk menolong abang iparnya mengangkat barang-barang yang dibawa, telefon bimbitnya berbunyi. Pesanan ringkas masuk.
Saya ambil cadangan awak untuk temukan Eqi dengan Rafael and my parents juga dah bersetuju. Saya harap selepas ni, semuanya akan baik2 saja – Hanina
Alhamdulillah, sekurang-kurangannya cadangan yang dia berikan pada Hanina, diguna pakai. Dan dia juga bersyukur kerana Hanina berkongsi perkara ini dengannya. Terasa dirinya kini sudah naik ke satu level.
Iya, InsyaAllah, semoga segalanya akan baik2 saja. Kalau awak nak, saya temankan Eqi jumpa Rafael? Itupun kalau awak nak. Saya akan sentiasa berada di belakang awak, Hani. Jaga diri awak dan Eqi. Love u. – Hanif
Sekali lagi dia tersenyum membaca kata-kata terakhirnya itu. Sekarang ini memang dia sudah berani meluahkan kata-kata rindu dan cinta. Tidaklah seromantik mana. Dia bukannya pandai sangat bermain kata. Apa yang diluahkan, itulah yang dia rasa.
Telefon bimbitnya berbunyi lagi. Cepat saja dia membuka pesanan ringkas itu.
Tak apa... Walid nak bila Eqi jumpa Rafael, pengawal peribadi ikut sama. Mungkin itu yg terbaik. Terima kasih awak. – Hanina
Sama2 kasih. Saya rindukan awak dan Eqi. Rindu sangat. – Hanif
Punat ‘send’ ditekan. Mengharapkan akan ada balasan dari Hanina. Tapi ternyata tidak ada balasan lagi dari Hanina. Tidak mengapa... Biarlah Hanina saja yang tahu perasaan di kala ini. Bergegas Hanif turun ke perkarangan rumah bila melihat pandangan emaknya yang sudah terjeling-jeling. Sudah pasti Hajah Latifah geram dengan perilakunya di saat ini.