BAB 10
Dalam perjalanan ke kawasan letak kereta, langkah Hanif semakin perlahan bila dia ternampak kereta Hanina terparkir di sebelah keretanya. Dia mula tidak sedap hati, pasti ada sesuatu yang berlaku. Jika bukan kerana dalam keadaan terpaksa, wanita itu tidak akan rela hati datang mencarinya. Teringat kembali dua hari lepas, di mana Hanina mengaku bahawa dia adalah suami wanita itu.
“Anything, awak kena bagitahu saya, Hani. Saya tak nak berlaku apa-apa pada awak dan Eqi. Telefon saya atau apa-apa kalau Rafael datang jumpa awak. Saya tak akan minta penjelasan pada awak kenapa awak gunakan saya sebagai suami palsu awak sebab saya rasa, alasan yang awak berikan pada Rafael itu cukup bernas dan saya berharap alasan itu akan jadi kenyataan suatu hari nanti.”
“Merepek pula dia,” balas Hanina geram.
“Apa pula merepeknya? Kan saya serius sekarang ni. Call me if anything happened. Kalau tak dapat call saya, if masa kerja ke, datang ke U tempat saya mengajar. Can I borrow your phone?”
Tanpa banyak soal, Hanina hanya menyerahkan telefon bimbitnya pada Hanif. Dia hanya membiarkan Hanif menekan-nekan pada punat telefon itu.
“Nah... Saya dah catit alamat U dan alamat rumah sekali. Cari saya as soon as possible. Please?”
“Iya.. I will.”
Hati Hanif sedikit lega dengan persetujuan Hanina kali ini. Wanita itu tidak banyak menolak atau mempertikaikan apa yang dia sarankan.
“Hanif... Hei!” Badan Hanif terasa seperti digoncang lembut. Bila dia tersedar dari teringatkan kejadian dua hari lepas itu, dia melihat Nuqman melemparkan pandangan pelik padanya.
“Kau ni kenapa, dah la jalan macam siput. Entah-entah, siput lagi laju dari engkau ni la. Aku cakap pun kau tak dengar.”
“Tak adalah, Man. Anyway sorry. Apa kau cakap tadi?” Lirikan matanya kejap-kejap memandang ke arah kereta Hanina, apatah lagi Hanina sudah keluar dari kereta. Sudah pasti wanita itu nampak kelibatnya yang sudah semakin menghampiri.
“Nantilah.. Terbantut hati aku nak cerita pada kau la. Hmm... Apasal perempuan tu selalu tengok kat kita eh? Kau perasan tak? Takkan dia dah berkenan kat aku kut..”
Hanif tergelak kecil bila mendengar kata-kata Nuqman itu. “Dia kawan aku. And for sure, dia tengah tengok aku sekarang ni, bukan kau pun. Kau balik dulu la.. Aku ada hal sikit.”
“Amboi... Ada makwe tak bagitahu aku nampak. Pandai kau pilih eh, BMW X5 tu,” bisik Nuqman pada Hanif.
“Dah, blah la.” Geram dengan Nuqman. Sudah berada depan Hanina pun sempat teman karibnya itu membisikkan kata-kata sebegitu. Nasib baik bisikan Nuqman itu kecil dan dia percaya, Hanina langsung tidak mendengar butir bicara Nuqman itu.
Bila pasti kelibat Nuqman sudah jauh daripada mereka, barulah mata menghala pada Hanina yang kelihatan resah. “Hani... What’s wrong dear? Ada masalah? Kenapa tak call?”
Hanina sempat mengetap bibirnya, dalam keadaan darurat begini pun, Hanif sempat memanggilnya ‘dear’. “Awak kena check phone awak terlebih dahulu before awak tanya kenapa saya tak call.”
Cepat saja Hanif mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar. “Aduh... Batri kong rupanya. Patutlah...” Lelaki itu tersengih, sedar akan kesilapanya.
“Rafael, datang lagi ke tadika. Dan dia dah tahu, awak bukan suami saya. Mungkin saya tak akan kisah kalau dia dapat tahu tentang awak bukan suami saya yang sebenar tapi saya dapat rasakan... Dia ada niat sesuatu dari kami. Mungkin dia nak ambil Eqi dari saya. Itu yang buat saya rasa tak sedap hati,” jelas Hanina.
“Bila dia datang?”
“Tadi. Nasib baik, Eqi dekat rumah walid saya.”
“Okey, kita bincang hal ni tempat lain ya.. Sini kawasan U, nanti pelajar saya nampak, rasa macam tak elok pula. Kita minum petang kat restoran depan ni, boleh? Keluar simpang U ni, belok kanan, kat situ ada dua tiga restoran la. Hani boleh pilih kat mana yang Hani nak cuba.” Cadang Hanif. Di situ lebih selesa lagi berbincang dengan Hanina tentang perkara serius ini.
“Okey,” putus Hanina.
“Inak jumpa you Nina.” Bulat mata Hanina sebaik mendengar suara Rafael dari corong telefon itu.
“Hei.. Kan I dah kata, jangan jumpa I lagi!” Lelaki ini memang tidak tahu malu dan degil.
“I nak jumpa you. I dah ada depan tadika, Nina.”
“I tak akan jumpa you. Jangan harap, I akan dengar cakap you la, Rafael. You siapa nak atur I?”
“I tak akan pergi dari sini selagi you tak keluar jumpa I.”
Hanina tersenyum sinis. Rafael cuba mengugutnya. Dia ingat aku bodoh ke dengan ugutan lapuk begitu. “Kalau you tak nak, fine. I akan suruh security halau you. Reason yang I berikan, you datang cuma nak ganggu I. Or else, I call police. So pilihlah yang mana sesuai untuk you.”
“You sekarang dah lebih matang, Nina. I’m proud of you. But this is not the end. Kali ni I boleh pergi dari sini, but for the next time, I akan pastikan you akan jumpa dan duduk berbincang dengan I.”
Tanpa berlengah, ganggang telefon itu dihempaskan ditempat asalnya. Dada Hanina berombak deras. Mungkin Rafael sudah gila. Sudahlah datang secara tiba-tiba setelah enam tahun mereka bercerai. Adakalanya Rafael seperti lelaki gila talak. Tapi hatinya kuat mengatakan bahawa lelaki itu mempunyai niat sesuatu iaitu mahu mengambil Rafieqi darinya.
Perlahan tangan naik ke dahi lalu memicit lembut, tiba-tiba pula kepala terasa sakit dengan keadaan yang menimpa dirinya sekarang ini. Hanina sebenarnya tidak mahu perkara ini diperbesarkan jika walid dia tahu tentang kemunculan Rafael ini, pasti orang tua itu akan menggunakan kuasanya untuk menghancurkan Rafael. Bukan saja Rafael, mungkin dengan ibu bapa Rafael sekali. Itu yang dia tidak mahu. Dia kenal dengan walidnya, jika tanpa sabar, Tan Sri Syed Hanafi pasti akan baran dan kemungkinan besar akan menggunakan pangkat darjat untuk menghapuskan sesuatu itu.
Hanina mencapai telefon bimbinya. Niat hati ingin menghubungi Hanif. Satu-satunya manusia yang dia inginkan pertolongan. Dia tidak tahu kenapa dia memerlukan lelaki itu saat ini, jadi jangan tanya dia kenapa.
“Ala... Batri habis pula..” keluh Hanina. Nasib baik dia ada membawa cas batri.
Bila telefon bimbitnya sudah mula bernyawa, ada pesanan masuk. Dahi berkerut seribu. Sudahlah pesanan dari peti suara, nombor telefon juga tidak dikenali milik siapa. Lantas telefon bimbit itu didekatkan ke telinganya.
“I lupa nak bagitahu... You’re lying about Hanif. He’s not your husband, dear. Mesti you tertanya-tanya macam mana I tahu tentang tu kan? Ini semua penangan duit. Duit boleh buat semua tu. Jangan ingat I bodoh, hanya terima apa yang you katakan tempoh hari tanpa siasat sepenuhnya. Sama la macam nombor telefon you ni.”
Kuat tangan Hanina menggenggam telefon bimbitnya. Jika Rafael berada di depan matanya, hendak ditampar wajah lelaki itu.
“I tak akan biarkan Rafieqi dapat kasih sayang dari orang lain. Terutama orang luar seperti Hanif. Jangan dia ingat, bila dia rapat dengan Eqi, dia senang-senang nak ambil kesempatan. Selagi I masih hidup, I tak akan biarkan perkara ni. Rafieqi anak I, bukan anak Hanif si keparat tu!”
“Lelaki tak sedar diri! Gila!” bentak Hanina. Mengata Hanif, tetapi dia yang sebenarnya lelaki kejam.
Kerana pesanan peti suara itulah Hanina membuatkan keputusan untuk datang berjumpa dengan Hanif. Hanya lelaki itu saja yang tahu masalah yang dia hadapi sekarang ini. Dan kini, lelaki itu sudah berada di depannya, mendengar segala keluh-resahnya.
“Kenapa awak senyum? Sepatutnya awak marah bila Rafael kata awak keparat. Lelaki tak sedar diri, mengata orang lebih, padahal dialah lelaki keparat tu.” Sungguh, Hanina berasa geram dengan Rafael. Bila melihat Hanif hanya tersenyum, lagilah dia geram. Macam tak ada perasaan pula. Sepatutnya Hanif baran dikata begitu.
“Pertama kali dengar Rafael kata saya macam tu. Saya rasa kelakar pula. Dia marah saya, macam la saya ni ganggu isteri orang. Tapi tak apa. Saya tak kisah, Hani. Saya kenal siapa Rafael. Memang dia selalu begitu. Lepas ni, pasti dia akan jumpa saya pula.”
Memang Hanif kenal sangat dengan sifat Rafael itu. Selalu membuat keputusan melulu. Apatah lagi dalam memberikan tuduhan melulu. Rafael lelaki yang tidak suka menerima kesalahan diri sendiri. Mahu sentiasa menang. Tengok saja kisah mereka dulu, membuat keputusan melulu dalam menceraikan Hanina.
“Perlu ke saya bawa perkara ni ke mahkamah kalau dia minta hak penjagaan anak? Saya tak nak Hanif, saya betul-betul bencikan dia. Kalau boleh, saya tak nak jumpa dia lagi.”
“Perkara ni, kalau Rafael tak lakukan sesuatu yang buruk terhadap kamu berdua, tak boleh jalan juga. Sebab dia ayah kepada Rafieqi. Walau macam mana pun awak mengelak Hani, Rafael tetap ayah Eqi. Dia ada kuasa untuk jumpa Rafieqi. Dalam segi hukum pun, berdosa kalau kita cuba nak pisahkan anak dengan ayahnya. Kalau benar niat Rafael baik, tak salah kalau awak jumpakan saja Eqi pada Rafael. Walau sekejap cuma. Selainnya, Rafieqi yang menentukan untuk dia suka atau tidak untuk jumpa ayah kandungnya sendiri. Kesian Eqi, dia belum kenal dengan ayahnya sendiri.”
Nasihat yang Hanif berikan itu kerana dia mahu Hanina berfikir secara rasional. Hanina tidak boleh memutuskan hubungan darah yang mengalir di badan Rafieqi. Walau benci sekalipun, Rafieqi tetap anak kepada Rafael. Selainnya, biarlah Rafieqi yang menilai sendiri.
“Saya tahu tentang tu, tapi macam mana kalau dia nak ambil Eqi dari saya?”
“Awak lebih berhak, kerana awak ibu Eqi. Awaklah yang menjaga Eqi selama ni.”
Hanina memandang kosong makanan yang terhidang di hadapannya yang hanya luak kurang dari separuh itu.
“How’s Eqi? Sihat? Rasa rindu pula kat dia. Selalu dia ada bersama awak.”
Rindu pada budak kecil yang selalu berceloteh dengannya. Hanif tersenyum. Sepatutnya dia gembira kerana meluangkan masa hanya dengan Hanina seorang tanpa Rafieqi tapi terasa sunyi pula bila budak kecil itu tidak ada.
“Eqi sihat, ada juga dia tanya pasal awak. Hari ni saya hantar dia kat rumah walid. Harap-harap eloklah budak tu dengan nenek dan datuk dia.”
Memang benar Rafieqi bertanyakan tentang Hanif. Rasanya, dalam masa sehari tu, tidak cukup sekali Rafieqi bertanyakan tentang Hanif. Suruh dia call Haniflah, tanya ‘papa’ sihat ke tidaklah.. Macam-macam! Tapi Hanina tidak pula mahu memberitahu semua itu pada Hanif, nanti Hanif kembang semacam pula kerana Rafieqi sudah lebih menyayangi lelaki itu.
“Jangan risau, dia budak baik, Hani. Saya sendiri selesa dengan dia. Nanti sampaikan salam saya pada dia ya..”
Hanina tersenyum. Hati yang resah sedikit lega dengan kehadiran Hanif. Ah, bukan sedikit tapi banyak. Kenapa pula tiba-tiba begitu? Jangan Hanina, ini hanyalah permainan hati. Jangan kerana kau kesunyian, kau terima orang yang hanya baru sebulan kau kenali.
“Lusa, saya balik kampung,” beritahu Hanif.
“Kenapa awak bagitahu saya?”
“Saya nak awak tahu ke mana saya pergi. Saya tak kisah kalau awak tak nak ambil tahu tapi sekurang-kurangnya saya bagitahu awak dan awak dengar apa yang saya katakan.”
Pandangan mata Hanif yang redup itu membuatkan Hanina kelu untuk berkata. Segan bila sepasang mata itu merenungnya.
“Dah la.. Saya nak balik. Saya akan cuba fikirkan tentang nasihat awak tentang Rafael tu. Terima kasih juga kerana meluangkan masa untuk mendengar keluh kesah saya.” Hanina tewas, tewas dengan panahan mata Hanif. Hati pula yang berdebar-debar.
“Hani...”
Pergerakan Hanina terhenti bila Hanif menyeru namanya.
“Tak nak ucap ‘take care’ pada saya ke? Walaupun tak jauh mana kampung saya. Nun Kedah tu aje. Tapi saya bawa kereta. Macam-macam boleh berlaku, kan?”
“Hish! Cakap macam tu pula. Kata pensyarah, tapi cakap yang bukan-bukan. Itu satu doa tau. Kalau nak sangat dengar saya kata take care, tak perlu la kata macam tu.”
Dari senyuman, kini sudah menjadi tawa kecil dari Hanif. “Iyalah... Sorry. Kalau tak nak ucap pun tak apa. Saya akan jaga diri dan sentiasa ingat pada awak dan Eqi.”
Kini Hanina sudah tegak berdiri, mahu beredar dari situ. Debaran yang dialaminya bergerak dengan sangat pantas yang membuatkan dia tidak betah untuk berada di situ.
“Saya jalan dulu. Thanks, sebab belanja makan dan... dan... Jaga diri.” Kaki terus melangkah dengan lebih laju meninggalkan restoran itu. Dia berharap agar Hanif tidak akan memikirkan yang bukan-bukan dengan ucapan yang dia lontarkan itu.
Memang rasa gembira bila Hanina berkata sebegitu padanya. Walau hanya mengucapkan dua perkataan iaitu ‘jaga diri’ tapi perkataan itu sungguh bermakna buat dirinya. Hai... Boleh tidur lenalah malam ini..
BAB 11
Baru saja kaki menjejak masuk ke ruang tamu, Nuqman sudah tersenyum-senyum memandang Hanif. Dengan wajah yang membuatkan dia meluat memandangnya.
“Tak nak cerita dekat aku ke bro?”
Langkah Hanif terhenti, dia menoleh ke arah Nuqman yang santai bersandar di sofa.
“Aku nak mandi dan lepas tu, solat. Nanti-nanti aku boleh cerita. Kau dah solat ke belum ni?”
Nuqman tersengih. Gara-gara menonton movie Inggeris, dia hampir terlupa tentang suruhan Ilahi itu.
“Nampak sangat belum la tu. Lepas aku mandi, kita solat sama-sama.”
“Baik bos!”
Hanif menggelengkan kepala, geli hati bila Nuqman hanya mengikut kata arahan darinya. Memang begitulah cara Nuqman, hanya patuh dengan suruhan Hanif bila dia menyedari sesilapanya sendiri, apatah lagi dalam bab-bab agama ini.
Nuqman sedar, Hanif seorang yang sangat mementingkan soal tiang agama. Walau seletih manapun lelaki itu, Hanif tetap mengerjakan suruhan Ilahi. Berbanding dengan dirinya, jika dalam keadaan letih, dia pasti akan terlelap terlebih dahulu dan menyebabkan dia terlajak tanpa sedar.
Selesai mengaminkan doa, masing-masing menghulurkan tangan untuk bersalam. “Okey, dah boleh cerita la ni?”
“Eh, kau ni betul-betul khusyuk ke tidak dengan solat tadi. Siap solat, terus tanya soalan tu pula. Ada ke patut.” Bebel Hanif.
“Hish.. kau ni... Itu antara aku dengan DIA tau.. Aku khusyuk la tadi. Sumpah! Aku tak main-main.”
“Okey Prof, sudah la.. Macam budak-budak pula dia. Patutlah student kau tak takut dengan kau ni, suka main-main.”
Nuqman gelak kecil. Memang itulah dia. Suka bergurau senda. Loyar buruk kata orang. “Kau jangan nak lari dari soalan aku pula. Cubalah cerita. Siapa minah tu? Kawan atau...?”
Songkok dibuka lalu diletakkan di atas meja. Sejadah juga diletakkan di ampaian. Dengan perlahan, badan mula menghadap Nuqman yang sudah duduk di atas sofa. “Aku suka dia.”
“Wow! Interesting! BMW X5 kut. Mesti anak orang kaya, kan? Then, dia suka kau tak? Mesti suka la tu, kalau tak, takdelah dia nak datang tadi.”
“Kau mungkin kenal ayah dia. Tan Sri Syed Hanafi, salah seorang businessman yang berjaya kat Malaysia ni.”
“Ohh...Tan Sri Syed Hanafi tu bapak dia rupanya. Memang patutlah mampu beli BMW... So dia macam mana? Suka kau ke tidak?”
“Mungkin anak dia sukakan aku tapi dia... macam susah nak terima aku la..”
“Wait bro..” Cepat saja Nuqman memotong kata-kata Hanif. Dia keliru seketika, dalam masa yang sama, dia seperti kurang percaya dengan apa yang didengarnya itu.
“Maksud kau... Dia ada anak.. Dan itu bermakna, dia janda?”
Hanya anggukkan yang menjadi jawapan Hanif. Dia tidak heran dengan reaksi yang diberikan oleh Nuqman. Pasti lelaki itu terkejut bahawa dia menyukai wanita yang bergelar janda. Janda anak satu.
“Kau biar betul, Hanif? Aku tengok dia tu muda lagilah. Dah ada anak pula tu.” Memang tidak disangka. Dari mata kasarnya, dia melihat Hanina seperti wanita muda yang bergelar anak dara. Tapi rupanya adalah sebaliknya.
“Aku tak pernah main-main dalam hal serius macam ni, Man. Aku cintakan dia. Dari dulu dan sehingga kini, aku rasakan perasaan yang sama. Bukan sikit tapi macam dah sebati dalam diri aku ni.”
“Macam mana dengan mak kau? Kau kena fikir tentang tu juga Hanif. Aku bukan nak pandang rendah pada wanita janda ni, sebab aku tak tahu jodoh aku dengan siapa nanti tapi sekurang-kurangnya, kau kena fikirkan tentang penerimaan mak kau. Kau bujang, alih-alih nak kahwin dengan wanita janda yang ada anak.”
Memang benar dengan apa yang Nuqman katakan. Emaknya pasti akan mempertikaikan pilihannya. Walaupun selama ini, emaknya tidak kisah dengan siapa dia berkawan dan adakalanya emaknya juga menyarankan dia untuk menamatkan zaman bujang.
“Dia bercerai mati atau hidup dengan bekas suami dia tu?” Bila melihat Hanif seperti berfikir, Nuqman bertanyakan soalan itu.
“Hidup.”
“Kau tahu apa sebab dia bercerai dengan ex-husband dia?”
“Kau kenal dengan Rafael? Rafael Huzaimi.”
“Kenal tapi tak adalah rapat macam mana kau rapat dengan dia dulu. Aku cuma kenal macam tu aje la.” Dia tidak mengenali Rafael dengan rapat. Baginya, lelaki itu mempunyai sikap yang angkuh. Itu sebab dia tidak berapa suka untuk berkawan rapat dengan Rafael.
“Kau tahu kan, yang dia kahwin muda, masa kita belajar kat U sini?”
“Jadi... Si Raf ni la ex-husband...” Tidak perlu dia meneruskan bicaranya, Hanif sudah mengangguk tanda mengiyakan.
“Ya Rabbi... Eh, bukan Raf kahwin dengan Melina ke? Perempuan paling mengada-ada dekat U dulu.”
“Selepas dia ceraikan Hanina, dia kahwin dengan Melina. Dia kahwin dengan Hanina pun disebabkan disebabkan kehendak keluarga. Begitu juga Hanina.”
“Kau suka dia ni, sejak bila?” Perasaan ingin tahu itu membuak-buak dalam diri Nuqman. Baginya khabar yang disampaikan oleh Hanif kali ini membuatkan matanya terbuka luas.
“Masa persandingan Rafael. Hati aku dah terpaut pada Hanina. Memang sungguh gila apa yang aku rasakan ketika tu. Dan sedia upaya, aku cuba hapuskan apa yang aku rasa tentang Hanina. Bila hampir setiap hari Rafael bercerita tentang kehidupan dia dengan Hanina, aku memang rasa nak marah. Sebab dia layan Hanina macam orang luar tapi untuk meruntuhkan rumah tangga dia, itu memang aku tak sanggup. Apa yang aku harapkan, Rafael sedar dengan kewujudan Hanina sebagai seorang isteri.”
Bicara Hanif terhenti seketika. Lapan tahun dulu itu, dia hanya memendam perasaan. Tidak dapat berkata lebih bila Rafael memberitahu bahawa lelaki itu hanya melayan Hanina seperti orang luar. Apa yang mampu dia lakukan hanyalah menasihati Rafael agar membuka hati untuk menerima Hanina dengan seadaanya.
“Tapi bila dia ceraikan Hanina, aku pula masa tu nak sambung study. Memang tak ada masa nak buat apa-apa lagipun, aku taknak dikatakan ambil kesempatan dalam kesulitan yang Hanina hadapi ketika tu. Setelah enam tahun, Man... Aku baru terserempak dia. Mula-mula memang dia tak suka aku la.. Maksud aku, dia marah sebab aku secara mengejut nak kenalan dengan dia. Susah juga la. Terpaksa tebalkan muka aku ni menghadap dia.”
Nuqman ketawa kecil. “First time ni, kau nak usha perempuan. Dulu bukan main, kawan tapi mesra aje dengan kawan perempuan yang lain. Dah tu, kenapa dia boleh ada anak pula sedangkan si Rafael tu tak sukakan Hanina?”
“Lelaki... Kalau dah ada depan mata... Lagi-lagi dah halal, cinta tolak ke tepi.”
“Memang tak boleh blah sungguh la si Rafael tu. Mereka bercerai disebabkan apa? Si Melina gedik tu ke?”
“Itu salah satu daripadanya. Dan yang menyebabkan lagi dia nak sangat ceraikan Hanina, disebabkan Hanina mengandung. Sedangkan anak yang dikandungkan Hanina tu, anak dia.”
“Bodoh sungguh la tu!” Nuqman yang hanya mendengar ini pun turut berasa geram dan sakit hati dengan keputusan yang Rafael lakukan dulu itu.
“Malas aku nak kata lagi, Man. Sebab tu aku tak suka kalau orang kata Hanina janda yang tak baik. Sebab bagi aku, mereka jadi janda ni adakala bukan kerana kehendak mereka. Banyak yang kata, mereka yang salah kerana tak jaga suami dengan baik. Tapi apa pula yang terjadi jika sebaliknya yang berlaku? Tengok saja Rafael, dah terang-terang ada hubungan dengan Melina. Tapi yang kena pandang serong kebanyakkannya adalah disebelah pihak perempuan.”
“Betul, Nif. Itu memang aku setuju sangat-sangat. Kesian juga eh, Hanina tu. Aku tak tahu pula kau dah ada calon selama ni. Apa-apa pun, aku akan sokong kau, Nif.”
“Thanks, Man. Aku harap dia akan terima aku. Lagipun, aku suka dengan anak dia, Rafieqi. Eqi pun dah suka dengan aku.”
“Amboi... Pandai buat strategik nampak? Ambil hati anak dulu then baru mak dia ya.”
Hanif tergelak. Itu salah satu strategik yang sangat berkesan. Kerana dia mendekati si anak la yang membuatkan Hanina juga semakin dekat dengannya.