Jumat, 18 Januari 2013

BIARKAN YM TERUS BICARA 21


  Nescafe panas aku pandang sekali lagi. Selera Encik Firdaus nampaknya sudah berubah. Daripada milo panas, kini Encik Firdaus menggemari Nescafe panas. Perlahan aku ketuk pintu bilik kerjanya. Encik Firdaus bersuara dari dalam. Pasti menyangka Tini yang datang menghantar minumannya kerana dia meminta Tini siapkan Nescafe panas untuknya. Daun pintu aku tolak perlahan-lahan. Menjengah seketika. Encik Firdaus mengangkat muka. Aku mengukir senyum dan Encik Firdaus kembali menunduk. Senyumku mati. Hati tersentuh lagi. Namun, memikirkan pesanan ibu mertuaku siang tadi, hati yang sudah mula mahu ikut merajuk ini, aku pujuk sendiri. Langkah aku atur mendekati meja.
            “Nescafe abang minta,”aku membuka mulut. Sebetulnya, bukan mudah untuk aku buang rajuk ini. Lebih-lebih lagi sewaktu dia pulang dari kerja petang tadi, langsung dia tidak bersuara tentang ajakanku di YM. Seperti tiada apa yang berlaku.
            “Abang ingat Tiya dah tidur,”acuh tidak acuh sahaja kata-kata itu. Atau, aku yang terlebih sensitif lagi? Dalam payah, aku ukir senyum.
            “Belum,”                                                                       
            “Terima kasih,”ucapnya pendek. Cawan Nescafe dicapai lalu diteguk sedikit. Kemudian diletakkan di sudut meja.
            “Sejak bila abang suka minum Nescafe ni? Dulu abang tak suka,”aku cuba beramah. Encik Firdaus mengangkat muka. Masih lagi tiada riak mesra di wajah itu.
            “Entah. Tiba-tiba suka pula,”
            Aku menahan nafas. Jawapan itu seperti melepaskan batuk di tangga. Melampau betul rajuk Encik Firdaus. Aku rasa, aku sendiri tidak pernah merajuk melebih-lebih macam ni!
            “Abang masih marahkan Tiya ke?,”aku terus pergi ke pokok persoalan. Tidak mahu berbasa-basi lagi. Aku tercegat memandang Encik Firdaus yang leka meneliti kertas-kertas di tangan. Perlahan lelaki itu menggeleng.
            “Dah tu, kenapa tak nak bercakap dengan Tiya?,”
            “Sekarang ni, bukan bercakap ke?,”
            Aku tunduk. Bermain dengan jemari sendiri. Bibir mata yang mula memberat, aku biarkan saja. Seketika setelah menenangkan perasaan sendiri, perlahan aku mengangkat muka.
            “Okaylah. Tiya tak nak ganggu abang buat kerja. Tiya keluar dulu,”aku bersuara lirih. Perlahan membelakanginya. Mahu bergerak keluar. Sungguh aku mati akal untuk memujuk Encik Firdaus yang kelihatan begitu berbeza. Biarlah. Biarlah Encik Firdaus begini sehingga rajuknya hilang sendiri. Aku tidak pandai memujuk. Reaksinya cuma mengundang sedihku. Membuat aku semakin berfikir yang bukan-bukan.
            “Tak nak cakap apa-apa dengan abang?,”
            Langkah aku mati seketika. Tanpa berpaling, aku cuma menggeleng perlahan. Lebih banyak aku bercakap, aku yakin, pasti ada air mata yang akan mengalir. Nanti, Encik Firdaus tidak terpujuk, aku pula yang terus memendam rasa.
            “Dah tu, kenapa tiba-tiba ajak abang shopping tadi?,”Encik Firdaus bertanya lagi.
            Aku berpaling perlahan-lahan. Memandang wajah Encik Firdaus yang sudah mula mengangkat muka. Akhirnya dia bertanya juga. Aku tersenyum tawar.
            “Nak pujuk abang,”ujarku berterus-terang.
            “Pujuk abang? Kenapa?,”
            “Mummy cakap abang merajuk,”
            Encik Firdaus mengerutkan kening.
            “Mummy cakap? Kenapa mummy cakap macam tu?,”
            Aku menggeleng. Encik Firdaus masih merenung wajahku. Mencari penjelasan yang lebih terperinci barangkali.
            “Kalau mummy tak cakap?,”
            Bibirku terus kelu. Tidak tahu bagaimana harus aku jawab soalan semudah itu. Sudahnya aku mengeluh lemah. Melangkah menghampiri meja semula.
            “Tiya tak suka kita macam ni. Kalau Tiya ada buat salah, Tiya minta maaf. Tiya… Tiya tak pandai nak pujuk abang, kalau abang merajuk macam ni. Abang janganlah marah Tiya lagi. Janganlah diam macam ni lagi,”perlahan-lahan aku mengatur kata. Bibir mata yang terasa panas, kutahan, jangan sampai ada air mata yang menitis.
            “Abang tak marah Tiya. Abang terkilan bila Tiya terus menolak cakap abang. Nasihat abang. Terus tinggalkan abang padahal, abang belum habis cakap,”
            “Tapi, memang betul Tiya bukan sengaja jumpa abang Kamal. Lagipun, macam-mana Tiya nak ikut cakap abang? Abang Kamal kan sepupu Tiya. Mana boleh Tiya tak boleh jumpa dengan dia langsung?,”
            Encik Firdaus mengeluh kecil. Perlahan mengangkat punggung.
            “Itu yang buat Tiya marah sangat? Tiya cuma risau kalau Tiya tak boleh jumpa Abang Kamal lagi? Sebab tu Tiya terus angkat kaki tinggalkan abang?,”
            Laju aku menggeleng. Sumpah itu semua langsung tidak terlintas di fikiranku saat aku melangkah meninggalkan Encik Firdaus. Aku pergi sebab aku kecewa apabila dia beranggapan aku berprasangka buruk pada Puan Sri Ainul. Aku pergi sebab aku sakit hati apabila Encik Firdaus seakan tidak mahu mendengar kebenaran.
            “Abang tak minta supaya Tiya jangan jumpa Kamal langsung. Cuma, kalau boleh elakkan, kan lebih bagus. Yes…abang percayakan isteri abang. Abang pun tak percaya pada SMS tu. Cuma, SMS macam tu, kalau sampai pada orang lain, ceritanya pasti berbeza kan? Dan lagi, abang tak berapa suka bila Tiya tuduh orang lain sesuka hati. Lebih-lebih lagi orang tu… Puan Sri Ainul…,”
            Aku diam. Hati terasa sakit tiba-tiba. Aku tidak pernah menuduh. Aku yakin dengan apa yang aku rasa. Dan, terang-terangan juga Puan Sri Ainul menyatakan rasa bencinya padaku. Cuma Encik Firdaus yang sering menganggap aku berfikir yang bukan-bukan apabila aku mahu bercerita.
            “Tiya lebih suka menuduh orang lain, daripada duduk dan fikir, mungkin Tiya secara tak sengaja dah buka ruang untuk orang fitnah Tiya. Itu yang buat abang berasa terkilan,”tokok Encik Firdaus apabila melihat aku membisu.
            Aku menarik nafas dalam-dalam. Tidak puas hati? Memang ya. Sangat-sangat tidak berpuas-hati dengan hujah Encik Firdaus. Namun, untuk menentang aku rasa tindakan itu tidak begitu bijak. Pasti nanti akan mengundang satu lagi salah faham. Akhirnya, dalam terpaksa, aku telan kata-kata itu dengan berat hati.
            “Tiya minta maaf. Tapi, kenapa abang tak terus-terang saja? Kenapa perlu berdiam diri macam ni?,”
            Encik Firdaus tersenyum sedikit. Senyum yang membuat hatiku mula berlagu gembira. Geramku pada Encik Firdaus telah hilang. Kecewaku pada Encik Firdaus juga telah hilang. Encik Firdaus sudah sudi mengukir senyum untukku. Sedikit teragak-agak aku turut membalas senyum itu.
            “Tunggu Tiya datang pujuk abang,”dia bersuara. Sudah sedikit lunak.
            “Tiya ingat abang dah tak sukakan Tiya. Sebab tu abang diam. Tak pedulikan Tiya lagi,”aku bersuara dengan nada sedikit berjauh hati.
            “Salah ke sesekali abang nak isteri abang pula yang pujuk abang?,”
            “Lain kali cakaplah nak suruh Tiya pujuk. Susah hati Tiya abang buat Tiya macam ni,tau,”
            Encik Firdaus sudah tergelak halus. Membuat hatiku berbunga kembali.
            “Ada ke orang merajuk yang buat macam tu?,”
            Aku turut tergelak.
            “I miss you…,”ucap Encik Firdaus lembut.
            “I miss you too…,”
            Perlahan Encik Firdaus mengangkat kedua tangannya. Seolah-olah menjemput aku ke dalam pelukannya. Sambil tersenyum lebar, aku melangkah mendekatinya. Terus jatuh ke dadanya dan erat di dalam pelukannya. Lama kepalaku dikucup.
            “Tiya tak tahu macam-mana rindunya abang pada Tiya dalam dua tiga hari ni. Ingat senang ke abang nak buat-buat tak tahu pada Tiya?,”perlahan Encik Firdaus bersuara. Aku tersenyum sambil erat memeluk pinggangnya.
            “Siapa suruh abang merajuk serius sangat? Tiya tak tahu pun, abang kuat merajuk. Nasib baik mummy beritahu,”
            “Tak sensitive…,”usik Encik Firdaus sambil melonggarkan pelukannya. Hujung hidungku ditarik perlahan. Aku tersenyum.
            “Selalu abang suka memujuk. Mana tahu abang pun pandai merajuk,”rungutku bersama senyum lega. Selesai sudah masalah di antara kami, walaupun ada sedikit rasa tidak puas hati yang melekat di hatiku. Biarlah. Mungkin kali ini, sebaiknya aku mengalah.
            “Abang…,”aku bersuara sambil mengangkat muka. Memandang wajah Encik Firdaus.
            “Hmmm….,”
            “So, Tiya dah tak boleh jumpa dengan Abang Kamal ke?,”soalku sambil merenung tepat ke matanya. Aku perlukan jawapan.
            “Biar abang temankan?,”jawab Encik Firdaus dengan sebaris soalan. Aku diam. Tidak kisah dengan syarat itu.
            “Kalau terserempak macam hari tu? Takkan nak buat macam tak kenal?,”
            Encik Firdaus tersenyum kecil.
            “Elakkanlah daripada boleh buat orang yang pandang jadi salah faham. Abang tahu Tiya memang rapat dengan sepupu Tiya tu. Dan, abang juga tahu, orang yang hantar SMS hari tu, ada niat tak baik pada kita. Cuma, kan elok kalau kita ambil pengajaran dari apa yang dah jadi tu,”
            Aku diam. Cuma perlahan mengangguk setuju. Ada benarnya di situ. Tempoh hari, aku memang menemani Abang Kamal mencari-cari sesuatu untuk dibawa pulang ke kampung. Buah tangan untuk ibu dan ayahnya. Juga aku sempat makan bersamanya. Mungkin keakraban itu yang Encik Firdaus maksudkan.
            “Abang pun… janganlah rapat sangat dengan Mia ya,”tiba-tiba aku bersuara.
            Seperti biasa, lelaki ini tergelak kecil.
            “Abang pun kena sekali?,”
            Aku memandang wajahnya. Menanti reaksi daripada Encik Firdaus. Mana tahu dia kurang senang dengan permintaanku. Namun, wajah itu tetap kelihatan tenang dan ceria.
            “Mungkin permintaan Tiya ni macam mengarut. Tapi, boleh kan, abang jarakkan sikit hubungan abang dengan Mia? Demi Tiya?,”pintaku dengan suara yang cukup lembut.  Ini bukan soal cemburu buta lagi. Tetapi, dengan langkah demi langkah yang telah Puan Sri Ainul aturkan, rasanya aku lebih lega andai Encik Firdaus dapat berjanji denganku. Berjanji yang dia akan jarakkan hubungan dia dengan Mia. Mungkin itu akan membuat hatiku sedikit tenang. Tidak kisahlah apa yang Encik Firdaus mahu fikirkan tentang permintaan itu, tetapi, aku tetap mahu Encik Firdaus bersetuju.
            “Boleh tak bang?,”
            Encik Firdaus tersenyum lagi. Merenung lama ke wajahku. Kemudian mengelus lembut rambutku.
            “Demi Tiya, abang akan cuba,”akhirnya dia bersuara. Memberi satu jaminan padaku. Aku mencapai jemarinya lalu kukucup perlahan.
            “Terima kasih, bang,”ucapku luhur. Memang aku sangat berharap Encik Firdaus akan tunaikan keinginanku yang satu ini. Juga amat yakin yang Encik Firdaus pasti tidak akan kecewakan aku.
            “Sayang,”
            Panggilan itu membuat aku segera mencari wajah Encik Firdaus.
            “Ya, bang?,”
            “Tiya pakai perfume apa?,”
            Aku diam seketika. Sedikit hairan dengan soalan itu.
            “Ini kan perfume yang abang hadiahkan pada Tiya. Kenapa? Takkan dah lupa. Abang cakap abang suka sangat baunya…,”
            “Are you sure?,”
            Pelukan aku leraikan. Berdiri tegak sambil memandang wajah Encik Firdaus yang kelihatan kurang selesa.
            “Mestilah. Kenapa bang?,”
            Encik Firdaus menggeleng perlahan sambil tersenyum kecil. Aku mengerling sambil mengangkat kening. Gelengan itu mendatangkan rasa hairan. Mesti ada yang tidak kena. Kalau tidak mustahil Encik Firdaus akan bertanya.
            “Are you sure?,”aku pula yang bertanya membuat Encik Firdaus tergelak kecil.
            “Yes, sayang. Cuma baunya pelik sikit,”
            Aku mengerling lagi.
            “Sudahlah. Jom kita masuk tidur,”
            “Kerja abang?,”
            “Abang nak buat kerja lain,”selamba Encik Firdaus bersuara sambil mencapai jemariku. Merenung wajahku sambil tersenyum. Aku juga cuma mampu membalas senyuman itu. Syukur kerana salah-faham ini sudah berakhir. Benar kata Sharifah, benar juga kata ibu mertuaku. Tidak salah kita mengalah andai itu akan memberi kebaikan kepada kita. Kalau aku terus berdegil, pasti kami tidak akan tahu punca yang menjentik perasaan masing-masing. Kini, semuanya sudah terlerai dan aku sudah boleh tersenyum riang semula.


*****


Jumat, 04 Januari 2013

MININOVEL : JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 13




BAB 13

            Kini sudah enam bulan berlalu dari Hanina membenarkan Rafael berjumpa dengan Rafieqi. Ianya ibarat saat-saat sukar buat Hanina. Bermacam-macam alasan yang diberikan oleh Rafael agar dia ikut serta ketika lelaki itu berjumpa dengan Rafieqi. Sungguh, dia bencikan Rafael. Dia tidak suka berjumpa dengan lelaki itu. Luka yang ditinggalkan oleh lelaki itu masih tersemat di hatinya.

            Ketika hari pertama Rafael berjumpa dengan Rafieqi.

            “Sayang... Ini ayah Eqi. Ayah sebenar Eqi.” Ketika Hanina mengenalkan Rafieqi kepada Rafael, budak kecil itu seperti kehairanan. Berkerut dahinya bila Hanina berkata begitu.

            “Papa Eqi...” Kata-kata Rafieqi terhenti dan memandang Hanina dan Rafael silih berganti.

            “Yes... Ini papa sayang. Papa Eqi yang sebenar.” Kali ini Rafael mula bersuara. Dia menundukkan sedikit badannya agar selaras dengan ketinggian Rafieqi sambil mengusap lembut kepala si anak.

            Rafieqi dengan secara tiba-tiba melarikan kepalanya dari terus diusap lembut oleh lelaki yang mengaku sebagai ayahnya itu. Seraya menyembunyikan diri di belakang Hanina.

            “Papa Eqi lain..,” beritahu Rafieqi. Dari pandangan matanya, lelaki di hadapan uminya ini nampak sungguh menakutkan. Apatah lagi ketika dia mengelak dari lelaki itu.

            “Eqi.. Ini ayah Eqi yang sebenar. Jangan macam ni sayang. Kan selama ni Eqi nak sangat jumpa ayah Eqi, kan? Please, jangan macam ni.” Hanina cuba memujuk Rafieqi. Memang dia tahu, perkara ini datang secara mengejut buat Rafieqi tapi lambat laun, saat-saat seperti ini pasti akan tiba.

            Cepat saja Rafieqi menggelengkan kepalanya. “Papa Eqi, papa Hanif. Eqi taknak orang lain.”

            “Excuse me... What did you say?” Hati Rafael bagaikan dicabar. Sakit hatinya dengan pengakuan si anak.

            “I’m your real daddy. Rafael Huzaimi. Not Hanif!” Dengan wajah dan suara yang serius itu membuatkan lagi Rafieqi takut untuk menentang mata Rafael.

            “Boleh tak kalau you cakap elok-elok dengan Eqi? Kalau tak, I tak akan benarkan you jumpa dia lagi.” Sakit hati Hanina bila Rafael berkata sebegitu pada Rafieqi.

            “I’m sorry... I didn’t mean that. But he was talking about Hanif. Don’t you know what I felt? I’m his real father, not Hanif, Nina.”

            “Okay... Just give him some time...He still young. He doesn’t know what is really happening between us. You masuklah dulu dalam kereta. I akan pujuk dia.”

             Kali ini Rafael terpaksa akur. Jika dia tetap berdegil dan mengikut kata hatinya, pasti Rafieqi akan terus mengelak dari berjumpa dengannya. Dan sudah pasti, Hanina sendiri tidak akan membenarkan.

            Hanina berpaling menghadap Rafieqi. Anak itu hanya tunduk membisu. Dia mengharapkan agar bicaranya dengan Rafael sebentar tadi tidak difahami oleh budak berumur enam tahun ini.

            “Sayang... Boleh pandang umi?” Senyuman terukir bila Rafieqi mengikut katanya. Memandang dia dengan pandangan sayu.

            “Eqi dengar baik-baik apa yang umi nak katakan ni ya... Sayang, lelaki tadi tu sebenarnya ayah Eqi. Bukan papa Hanif. Eqi tak boleh macam ni. Berdosa tau kalau Eqi buat macam ni. Tuhan marah kalau Eqi menderhaka pada ibu bapa. Sama juga kalau Eqi taknak jumpa dengan ayah Eqi. Sedangkan dia nak sangat jumpa Eqi.”

            “Tapi dia...”

            “Bukan dia sayang... Ayah... Eqi kena panggil dia ayah. Dialah yang sepatutnya digelar ayah.” Cepat saja Hanina memotong bicara Rafieqi. Dia mahu memperbetulkan cara Rafieqi berbicara tentang Rafael.

            “Tapi Eqi tak kenal ayah... Boleh tak kalau Eqi tak jumpa ayah?”

            “Dulu Eqi juga tak kenal papa Hanif, kan? Kenapa sekarang dah boleh rapat? Sebab Eqi kena kenal dulu dengan seseorang tu. Sama juga dengan ayah. Eqi kena kenal ayah dulu baru Eqi tahu, ayah juga baik seperti papa Hanif.” Di dalam hati, Hanina menidakkan apa yang telah dikatakan. Baik? Rafael lelaki yang baik? Baik sangatlah sampai suruh gugurkan kandungan. Baik sangatlah sehingga menceraikan dia di hadapan teman wanita lelaki itu sendiri! Perlinya di dalam hati. Tapi kerana tidak mahu Rafieqi berfikir yang bukan-bukan, dia terpaksa memuji lelaki itu agar kelihatan baik di mata Rafieqi.

            “Eqi sayang umi tak?”

            Cepat saja Rafieqi mengangguk. “Eqi sayang umi sangat-sangat.”

            “Kalau Eqi sayangkan umi, dengarlah kata umi ni. Jumpa ayah. Eqi tak perlu takut, uncle Harun akan ikut sama.”

            “Umi?”

            “Umi ada kerja sayang... Umi tak dapat temankan Eqi. Eqi pergi ya. Lepas jumpa ayah, Eqi boleh jumpa papa Hanif pula.”

            “Betul ke? Yeay!”

            Bila mendengar saja nama Hanif, Rafieqi memang nampak teruja. Hanina terpaksa memberikan janji sebegitu agar Rafieqi termakan dengan pujukkannya.

            “Petang nanti bila balik dari jumpa ayah, umi akan call papa Hanif untuk jumpa Eqi ya.”

            “Okey...” Setelah berkata ‘okey’ Rafieqi terus berpaling lalu mendekati kereta Rafael.

            Cepat saja Rafael keluar dari kereta bila melihat Rafieqi sedang mendekati keretanya.

            “Hai ayah..,” tegur si anak yang membuatkan Rafael sedikit tergamam. Tidak menyangka secepat itu Rafieqi menerimanya sebagai seorang ayah.

            “Hai sayang... Dah sedia nak pergi mana? Ayah akan bawa ke mana saja Eqi nak pergi.”

            “Let me think first,” ujar Rafieqi seraya bersalam dengan Hanina sebelum masuk ke dalam kereta.

            “Apa yang you kata sampai secepat ini Eqi dapat terima I?”

            “Yang tu you tak perlu tahu. Apa yang penting, you kena jaga anak I dengan baik. Kalau you cuba sakiti dia, jangan harap you akan dapat jumpa Eqi lagi. Seperti yang I dah kata tempoh hari, seorang pengawal akan ikut you dari belakang.”

            Mata Rafael menghala pada kereta hitam yang berada di belakang keretanya. Dia mengeluh. “Takkan jumpa dengan anak sendiri pun kena ada pengawal? Ingat, Eqi tu anak I juga!”

            “And you should remind yourself, you dah setuju dengan semua ni, kan? So tak ada lagi rungutan.”

            “You ikutlah sekali. Temankan I.”

            Permintaan yang membuatkan Hanina tergelak sinis. “I berikan masa untuk you luangkan bersama dengan Rafieqi. So please don’t wasting your time. Tepat pukul 5 petang nanti, I harap you dah ada kat sini. And don’t worry, kalau you lupa, pengawal tu akan ingatkan you.”


            Rafael akan berjumpa dengan Rafieqi setiap hujung minggu. Dan tempat mereka berjumpa untuk mengambil Rafieqi adalah di taman yang berdekatan dengan tadika Hanina. Dia tidak mahu Rafael mengambil Rafieqi dari rumahnya. Takut nanti lelaki itu pula yang selalu bertandang ke rumahnya.

            Bila ketika lelaki itu bersama dengan Rafieqi, bermacam-macam yang lelaki itu adukan. Eqi meragamlah, Eqi degillah, Eqi menangislah, semua! Dan ayat yang paling dia benci dengar adalah..., “Sebab ni I nak you ikut sama. Sebab Eqi belum biasa lagi dengan I. Macam-macam perangai dia. Kalau you ada, senang. Lagipun I memang nak jalan-jalan dengan you juga. I miss you. I rindukan Hanina yang dulu. Saat-saat kita bersama.”

            “Hanina yang selalu diperbodohkan oleh Rafael Huzaimi tu kan? Saat-saat kita bersama? Bila masa you luangkan masa untuk I? Rasanya hanya malam tu. Malam malapetaka dari you!,” jawab Hanina dengan rasa geram.

            Hatinya semakin geram bila mendengar kata-kata Rafael semalam. Kerana dia rasa, inilah sebab utama lelaki itu hendak berjumpa dengan Rafieqi.

            “I nak kita kembali bersama semula Nina... Please... I’m sorry for what I’d done to you before. I’m really sorry. But please, untuk kebaikan Eqi, kita bersamalah. I nak Eqi ada keluarga yang bahagia. He likes me now. And I percaya... dia juga pasti akan setuju kalau kita kembali bersama semula.”

            Hanina tergelak sinis. “You tengah merapu apa ni? So inilah tujuan you sebenarkan? Nonsense! We will never ever back together again! I akan bina keluarga I sendiri. But not with you.”

            “Jadi dengan Hanif? No way!”

            “Yes! With him.” Setelah mengatakan sebegitu, Hanina memutuskan panggilan.

            Memang selama enam bulan ini, dia semakin rapat dengan Hanif. Malah berkongsi rasa. Pada mulanya, memang dia menganggap keadaan yang mendesak untuk dia mendekati Hanif. Kerana semua itu boleh membuatkan Rafieqi bahagia dan Rafael berhenti mengharu-birukan kehidupannya. Tapi setelah mengenali dengan lebih dekat lagi siapa Hanif yang sebenar, bagaimana layanan lelaki itu pada Rafieqi membuatkan hatinya berdebar dan adakalanya dia bagaikan tidak sabar mahu menatap wajah lelaki itu. Sungguh, dia percaya bahawa dia telah jatuh suka pada lelaki yang bernama Hanif Harris.

           
            “Untuk yang ke berapa, saya tak pasti. Tapi rasanya dah banyak kali saya nyatakan benda yang sama. Saya sayangkan awak dan Eqi. Mungkin awak pun serik nak dengar ayat yang sama dari saya, kan? Tapi percayalah, ianya datang dari hati. Saya nak jaga awak dan Eqi hingga ke nafas saya yang terakhir. Nak luangkan masa bersama awak dan Eqi setiap hari. Mungkin angan saya terlalu tinggi...”

            Terhenti bicara Hanif seketika lalu dia tersenyum. Malu bila mengenangkan dirinya yang terlalu berangan-angan untuk memiliki Hanina.

            “Tapi tak salahkan kalau berangan-angan walaupun ianya tidak pasti akan terjadi di dalam realiti kita.”

            Hanina terdiam. Cuba menyusun ayat yang sesuai untuk diluahkan pada Hanif. Dia menoleh sekilas pada Rafieqi yang leka benar bermain games. Hendak diluahkan dengan kata-kata, dia malu. Tetapi jika dia hanya berdiam diri, rasanya dia sudah terbuka hati untuk menerima Hanif dalam hidupnya.

            “Awak... Awak tak malu ke bila bersama saya? Seorang janda yang beranak satu?” Perlahan saja dia mengungkapkan pertanyaan itu.

            Cepat saja Hanif menggeleng. Jika dia malu untuk bergandingan dengan Hanina, mungkin dia tidak akan menunggu selama ini. “Memang benar saya mencintai awak terlebih dahulu. Walaupun ketika itu awak masih bergelar isteri orang. Tapi ternyata setelah lapan tahun, perasaan itu tetap sama malah makin berkembang hari demi hari. Apatah lagi bila adanya Eqi. Saya rasa semakin bahagia, seolah-olah saya sudah mempunyai keluarga yang cukup bahagia. Dari hati saya yang paling dalam, saya tak pernah rasa malu bersama dengan awak malah saya bangga kerana bergandingan dengan wanita yang saya cintai dari dulu lagi dan mempunyai anak yang sungguh hensem... seperti saya.” Di hujung katanya, Hanif sedikit mengusik. Cuba untuk mententeramkan hati yang kian berdebar. Berdebar untuk menanti jawapan yang bakal keluar dari bibir Hanina.

            Bibir menghiasi senyuman. Mata mula menatap sepasang mata yang dari dulu menagih cintanya. Dia mengharapkan kali ini hatinya tidak dipermainkan lagi. Hanina memejamkan mata lalu mengangguk perlahan.

            “Hani... What do you mean by nodding?” Tegak badan Hanif menghadap Hanina. Jika dia halal di sisi Hanina mahu digenggam erat jari-jemari runcing itu.

            “Saya harap awak tak akan berubah hati dan berpaling tadah dari saya dan Eqi.”

            “Hani... Thank you so much sayang. I’m speechless.” Sejurus berkata begitu, Hanif menadah tangan lalu mengaminkan. Berkali-kali kalimah ‘Alhamdulillah’ terbit dari bibir. Dia bangkit dari duduk lalu mendekati Rafieqi. Dipeluknya si anak untuk melempiaskan rasa bahagia. Kedua-dua pipi Rafieqi dikucup bertalu-talu.

            “Papa! Eqi geli.” Ketawa Rafieqi kedengaran. Walaupun pada masa yang sama dia menolak dari terus dipeluk oleh Hanif.

            Hanina pula yang terasa sebak. Kenapa lelaki ini tidak muncul suatu ketika dulu? Sebelum dia melayari bahtera bersama Rafael? Iya, itulah percaturan Ilahi. Adakalanya kita mempersoalkan dengan rasa tidak puas hati tapi ternyata disebaliknya ada sesuatu yang tersirat. Sesuatu yang mungkin membahagiakan dikemudian hari. Kenangan lama bersama Rafael mengajar dia hidup dalam berumah-tangga. Mengajar dia erti tabah menghadapi segala ujian. Mempelajari erti kehidupan yang sebenar.

            “Tapi awak kena jumpa parents saya dulu. Sebenarnya dari dulu lagi mereka nak jumpa dengan awak. Tapi saya tak sedia. Pada mulanya saya fikirkan, hubungan kita tak akan ke mana.”

            “I will, Hani. Thanks for accepting me. I’ll do my best for you and Eqi. I love you, sayang.”

            “I love you too, papa,” jawab Rafieqi polos. Dia menganggap bahawa Hanif mengucapkan kalimah itu padanya. Tapi sebaliknya adalah untuk Hanina.

Ternyata Hanif tidak sedar bahawa dia telah mengangkat Rafieqi ke sisinya. Wajahnya berkerut bila budak kecil itu yang membalas katanya.

            Hanina tergelak kecil. Baru padan muka Hanif bila Rafieqi berkata begitu. Terkulat-kulat Hanif menahan malu. Itulah, cakap tak tengok orang sekeliling. Hah... Alih-alih budak kecik pula yang menjawab.

            “Pandai aje anak papa ni ya... I love both of you. Eqi dan umi.” Pipi Rafieqi dicubit lembut.

            “Bila saya perlu jumpa parents awak?” tanya Hanif. Walau berdebar untuk berjumpa dengan kedua-dua ibu bapa Hanina tapi pada masa yang sama, dia juga rasa teruja.

            “Bila-bila masa. Maksud saya, ketika masa lapang awaklah.”

            “Esok boleh?”

            Hanina cuba berfikir seketika. “Tapi esokkan awak kerja. Tak letih ke?”

            Cepat saja Hanif menggeleng. “Tak. Lebih semangat adalah.”

            “Saya kena bagitahu parents saya dulu. Nanti mereka terkejut pula tengok kedatangan awak.”

            “Papa nak datang rumah atuk ke?”

            Melihat saja anggukkan dari Hanif, Rafieqi melonjat kegembiraan. “Yeayy!”

            Lapang dada Hanina melihat kemesraan di antara Hanif dan Rafieqi. Dia mengharapkan semua ini akan berpanjangan. InsyaAllah, dia juga percaya dengan kesetiaan Hanif dan kradibiliti Hanif dalam menjaga sesebuah keluarga.