Senin, 06 Mei 2013

MININOVEL : JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 18



BAB 18

Hanina memandang ruang tamu rumah walidnya yang sudah berkemas rapi. Esok rombongan Hanif sekeluarga akan datang merisik dan acara pertunangan berlangsung pada hari yang sama. Hatinya mula berdebar. Walau bukan pertama kali namun kali ini dia dapat rasakan debaran yang sememangnya bercampur aduk dengan rasa gembira. Dia melangkah masuk ke dalam biliknya, segalanya sudah berubah suai. Kedudukan perabot mahupun warna bilik kelihatan sangat sempurna di matanya.

            Bila terkenang kembali kenangan sebulan yang lalu, bila pertama kalinya dia datang berjumpa dengan keluarga Hanif. Awalnya memang dia rasa berkecil hati bila mak dan kakak Hanif yang kedua tidak dapat menerimanya. Dia cuba sabarkan hati. Cuba dengan sedaya upaya mengambil hati kedua-dua wanita itu namun sehinggalah dia pulang ke hotel, dia tetap dilayan dingin. Sedih, itulah yang dia rasa.

            Namun sebaik saja keesokkan harinya dia terkejut dengan penerimaan Hajah Latifah dan Harisa.


            Sebaik saja kaki menjejak ke ruang tamu, Hanina mendapat pelukan erat dari Hajah Latifah. “Maafkan mak... Mak tak sepatutnya membezakan status hang. Kalau hang dah istimewa di mata Hanif, itu bermakna kamu wanita yang baik. Mak percaya dengan pilihan Hanif. Mak juga sukakan Eqi. Dia anak yang baik. Pandai hang mendidik dia.”

            Terpinga-pinga Hanina memandang Hanif. Sedangkan ketika di dalam kereta, Hanif tidak memberitahu apapun mengenai dengan perubahan Hajah Latifah.

            “Surprise sayang..,” ujar Hanif tanpa rasa segan di hadapan keluarganya. Apa yang dia rasa cuma bahagia. Bahagia bila maknya memeluk erat Hanina.

            “Amboi...” usik Harisa pada Hanif. Pertama kali mendengar Hanif berkata begitu.

            “Kau diam. Aku tengah bahagia ni,” ujar Hanif seraya tergelak. Harisa pula menjulingkan matanya tanda meluat namun akhirnya dia juga turut tergelak sama.

            Makinlah Hanina terpinga-pinga bila Harisa juga turut bergelak tawa bersama dengan Hanif. Sedangkan sebelum ini kata-kata yang keluar dari bibir Harisa berbaur sindiran dan kedengaran sinis.

            “Mak panggil Hanina, Hani ya? Sebab mak dengar Hanif panggil hang nama Hani.”

            Belum sempat Hanina mengangguk, Harisa pula yang bersuara, “Mak, Hanif panggil Hanina, Hani tu sebab bermaksud lain. Dalam bahasa orang putih. Maksud dia sayang. ‘honey’ mak bukan Hani.”

            “Risa, kau jangan nak buat mak pening ya. Aku memang panggil dia Hani. Tapi kira dua dalam satu la. Mak, jangan dok risau apa yang Risa kata ni. Mak boleh panggil apa saja. Memandai aje Risa ni.” Geram Hanif dengan Harisa. Apatah lagi bila melihat Harisa gelak jahat. Nak kenakan dia la tu.

            Hajah Latifah memegang lembut kedua-dua pipi Hanina seraya mengucup dahi wanita itu. “Terimalah anak mak ni. Tak ada yang istimewa, dia hanya seorang anak kampung yang tak setanding dengan keluarga hang. Tapi mak yakin, dia sangat sangatkan hang dan Eqi dengan ikhlas, Hani.”

            Hajah Latifah tidak menyangka bahawa Hanina adalah anak Tan Sri Syed Hanafi, dari apa yang dia nampak, Hanina seorang yang tidak menunjuk-nunjuk. Jika dibandingkan dengan keluarganya, memang jauh beza. Itulah yang Hanif katakan padanya. Apatah lagi bila mengetahui bahawa Haniflah yang sebenarnya mahu mendekati Hanina. Hanina menerima Hanif tanpa memandang pangkat dan darjat.

            “Tak pernah saya terfikir hendak membandingkan mak cik. Saya bersyukur sangat kerana Hanif dapat menerima kekurangan yang ada pada diri saya dan terima kasih pada mak cik kerana menerima kekurangan saya ini.”

            Tanpa dapat ditahan, airmata Hanina jatuh. Terharu dengan apa yang dikatakan oleh Hajah Latifah padanya. Pantas saja dia memeluk kembali mak Hanif. Erat seeratnya.

“Panggil mak, Hani,” ujar Hajah Latifah.

            “Baik mak..,” ucap Hanina dengan rasa gugup.

Kerana terlalu leka dengan Hajah Latifah, tidak sedar pula dengan Rafieqi yang sedari tadi menjadi pemerhati. Hujung baju Hanina terasa ditarik berkali-kali. Hanina memandang ke bawah.

“Eqi nak peluk juga..,” ujar Rafieqi seraya mendepangkan tangannya.

“Meh sini sayang... nenek peluk.” Pantas Hajah Latifah membongkokkan badannya seraya memeluk Rafieqi.

Rafieqi tersenyum bahagia. Seronok dipeluk begitu. Seperti layanan nenek dan atuknya yang berada di KL.

“Nenek... Eqi belum siap lukis nenek lagi. Hari ni boleh ya?” Untuk sekian kalinya Rafieqi melambai-lambaikan kertas lukisannya pada Hajah Latifah. Memang tak berputus asa sungguh budak ini.

“Boleh. Nak nenek buat macamana?”

“Mari... Nenek duduk kat sini...” Jari Hajah Latifah digenggam erat lalu dibawa ke sofa panjang.

Tergeleng-geleng Hanina melihat lagak Rafieqi. Dia memandang Hanif dan lelaki itu juga turut sama memandangnya seraya mengenyitkan mata. Hanina baru saja hendak menjeling manja namun bila melihat Harisa dan Haiza menyiku Hanif dan membuat lagak seperti kegelian, dia jadi malu.

“Apa? Hanif baru aje nak bercinta ni. Tak kan tak boleh?” protes Hanif. Dia tahu sangat lagaknya seperti diperhatikan oleh kakak-kakaknya. Maklumlah, baru saja hendak menjalinkan hubungan yang serius.

“Geli tau... Nak buat aksi romantik, jangan depan kami,” ucap Harisa.

“Aku tak kisah. Kalaulah dah halal, memang aku berkurung aje dalam bilik. Hah! Itu dah jadi antara aku dengan Hanina je la.”

“Eeeeee, melampaulah Hanif ni. Tak malu nak kata gitu depan kitaorang. Nasib baik Eqi dah leka dengan mak.” Haiza menolak badan Hanif dengan lembut.

“Betul Hanif, abang sokong kau. Memang wajib buat gitu kalau dah halal.”

Pantas Hanif mengangkat ibu jarinya tanda bersetuju sangat dengan apa yang Shahrul katakan.

“Abang ni...” Kini Haiza pula yang malu bila suaminya tanpa segan menambah perisa.

“Betul apa... Kita macam tu juga.”

Hanina tertunduk malu seraya menutup bibirnya dari terus tergelak kerana tidak tahan melihat keletah adik-beradik Hanif.

“Nanti Hanif belajar dengan abang, bagi tips yang bernas ya.”

“Kali ini aku pula yang akan jadi pensyarah untuk kau, Nif. Jangan risau. Kami berdua dah pakar ni,” sahut Idrus pula.

Semakin riuh-rendah rumah Hajah Latifah dengan gelak ketawa. Dari usik-mengusik sehinggalah mereka beralih tentang hubungan Hanina dan Hanif. Dengan tegasnya Hanif menginginkan untuk disatukan dengan kadar segera.

Disebabkan itulah, acara merisik dan pertunangan berlangsung pada esok hari.

            “Umi...”

            “Iya sayang?” Hanina menoleh bila Rafieqi masuk ke dalam biliknya.

            “Esok umi pakai baju tu ya?” Rafieqi menunjukkan baju kurung satin yang berwarna kuning cair itu.

            “Iya... Eqi dah cuba baju tadi, kan? Eqi nampak hensem sangat sayang.”

            “Tak sabar nak tengok papa...” ujar Rafieqi seraya membaringkan kepalanya di riba Hanina. Lagaknya memang kelihatan seperti anak yang manja.

            “Mungkin esok papa tak ada sayang.”

            “Kenapa tak ada?”

            “Sebab tak boleh datang,” balas Hanina seraya mengusap lembut rambut Rafieqi.

            “Ala... Esok ayah juga nak pergi tempat lain.”

            Hanina terkejut bila Rafieqi menyebut ayah. Tahulah dia bahawa itu bermaksud Rafael.

            “Pergi tempat lain?” Dia cuba menyelidik tentang Rafael pada Rafieqi. Memang selama sebulan ini, Rafael tidak lagi mengganggu dirinya. Jika lelaki itu mahu berjumpa dengan Rafieqi, tidak ada sepatah pun yang keluar dari bibir Rafael padanya. Sedikit sebanyak memang dia berasa lega.

            “Ayah pergi Turkey. Turkey tu kat mana umi?”

            “Turkey tu jauh dari Malaysia, sayang. Macamana pula Eqi tahu ayah nak pergi Turkey?”

            Rafieqi kelihatan berfikir seketika. “Eqi suruh ayah datang rumah. Cakap yang papa nak kahwin dengan umi.”

            “Apa ayah jawab?”

            “Ayah kata dia pergi Turkey.”

            “Tak kata apa-apa?”

            Pantas Rafieqi menggeleng. “Ayah tak kata apa tapi lepas tu nenek girl cakap dengan ayah.”

            Hairan betul Hanina dengan perubahan mengejut Rafael. Tapi dia bersyukur sangat kerana lelaki itu tidak memberontak lagi mengenai pilihan hatinya.

            “Eqi dah nak tidur ke?” tanya Hanina bila melihat mata Rafieqi sudah semakin kuyu.

            “Eqi tidur dengan umi, boleh tak?”

            “Boleh sayang... Kenapa pula tak bolehnya.” Badan Rafieqi diangkat walaupun terasa berat lalu dibaringkan di sebelahnya. Hanina bangkit untuk menutup lampu setelah lampu tidur dipasang.

            “Umi...”

            “Iya sayang?”

            “Hari tu ayah ada tanya Eqi...”

            “Bila?”

            “Eqi tak ingat bila.”

            Rafieqi dipeluk erat sambil menanti sambungan ayat dari anaknya itu.

            “Ayah tanya apa?” Hanina berdebar menanti jawapan dari Rafieqi.

            “Ayah tanya, Eqi sayang siapa. Ayah atau papa.”

            Terkejut Hanina dengan pertanyaan Rafael itu. Ada ke patut tanya pada anak begitu, bebel Hanina dalam hati.

            “Dah tu, Eqi jawab tak?”

            “Jawab. Eqi jawab macam ni... Eqi suka dengan ayah tapi Eqi sayang papa. Umi pun sayang papa.”

            Ternyata sememangnya Rafieqi hanyalah budak-budak. Terlalu berterus-terang dengan apa yang dia rasa.

            “Ayah jawab apa pula? Ayah marah Eqi tak?”

            “Ayah tak jawab apa. Ayah diam aje. Ayah tak marah Eqi pun. Tapi... Eqi nampak ayah sedih. Eqi buat salah ke umi? Sebab tu ayah pergi Turkey.”

            “Tak sayang... Eqi tak salah apa-apa pun. Mungkin ayah ada kerja kat Turkey. Nanti ayah pasti balik. Jangan la sedih-sedih. Esok kita ada acara besar tau...”

            Akhirnya Rafieqi mengangguk, menerima alasan yang diberikan oleh Hanina. Pelukan semakin dieratkan. “Tidur sayang... Dah lewat ni.”

            Tanpa menunggu lama, dengkuran halus kedengaran dari Rafieqi. Hanina tersenyum. Ternyata Rafieqi juga semakin membesar, sudah sedikit faham dengan maksud-maksud yang tersirat. Biarlah Rafael mengikut haluannya. Mereka bukan berhubungan lagi. Hanya Rafieqi yang menjadi perantaraan mereka. Harap lelaki itu sedar bahawa mereka sememangnya tidak ada jodoh lagi.



JARI-JEMARI Hanina berpeluh bila mendengar bahawa keluarga rombongan lelaki sudah pun sampai. Dia yang pada mulanya duduk di dalam bilik, disuruh bersiap sedia untuk keluar ke ruang tamu. Rafieqi tetap setia berada di sisinya dari tadi. Kasihan anaknya itu, langsung tidak mengeluh keletihan dengan acara yang berlangsung ini.

Dia juga turut bersyukur kerana kedua-dua ibu bapanya dapat menerima kedatangan bekas ayah dan mak mertuanya ke majlis ini. Risau juga jika walidnya cuba menghalang tapi benarlah apa yang ibunya katakan, buang yang keruh, ambil yang jernih.

“Nina dah boleh keluar, acara sarung cincin dah nak mula,” ujar ibu Hanina. Dia diiringi untuk ke ruang tamu. Banyak mata yang memandangnya ketika ini, sudah pasti ini adalah dikalangan keluarganya dan keluarga Hanif. Malu ditatap begitu. Dia duduk bersimpuh dengan berhati-hati.

Hanina kurang mendengar butir bicara salah seorang ahli keluarga Hanif. Kedengaran seperti berbalas pantun. Mahu tersenyum juga Hanina, sesungguhnya adat itu masih tidak dilupakan.

“Sedia Nina... Mak Hanif dah nak sarung cincin.” Tanpa sedar, acara sarung cincin akan bermula tidak lama lagi. Dia melihat Hajah Latifah sudah mendekatinya. Dia tersenyum memandang mak Hanif.

“Hani nampak cantik sangat. Ini yang buat Hanif dua tiga hari ni tak cukup tidur. Sampai tak menyempat, nak ikut sekali,” ujar Hajah Latifah seraya menyarungkan cincin ke jari manis Hanina.

Tangan orang tua itu dikucup lembut. Dan dia kembali memandang Hajah Latifah. “Hanif datang juga ke mak?”

“Datang... Tapi dia tunggu dalam kereta. Mak tak suruh dia keluar. Lepas acara baru boleh jumpa hang. Tak tahulah mak dengan anak lelaki mak tu.”

Hanina tersenyum malu. Eee.. Memang buat malu sungguh Hanif tu. Hajah Latifah memeluk Hanina seraya berkata, “Tiga bulan lagi kamu akan disatukan. Tak sabar mak nak menerima menantu perempuan pula. Moga segalanya akan berjalan dengan lancar ya nak. InsyaAllah.”

Hanina mengangguk. “Amin mak.”

Selesai saja acara sarung cincin, Hanina disarankan untuk bersalaman dengan ahli keluarga yang ada di ruang tamu itu.

Ketika bersalaman dengan Puan Hasnah, bekas mak mertuanya, erat wanita tua itu memeluknya. “Mak doakan Nina bahagia, kekal hingga ke akhir hayat. Terima kasih kerana sudi jemput mak dan ayah.”

“Terima kasih juga mak kerana sudi datang.”

“Nenek girl...” seru Rafieqi.

“Segaknya cucu nenek.” Pipi Rafieqi dikucup berkali-kali sehingga membuatkan Rafieqi kegelian.

“Ayah dah pergi Turkey ya nenek girl?”

Kasihan Hanina dengan keprihatinan Rafieqi terhadap Rafael. Dalam anak itu bahagia, masih juga terkenangkan si ayah.

“Sudah sayang,” jawab Puan Hasnah seraya tersenyum hambar.

“Kenapa ayah tak call Eqi dulu sebelum jalan?” Terasa sedih tiba-tiba bila ayahnya pergi tanpa menelefonnya terlebih dahulu. Adakah benar dia sudah melakukan kesalahan di hadapan ayahnya?

“Nanti ayah call. Jangan risau ya. Eqi jangan monyok macam ni.”

Hanina memeluk Rafieqi seraya mengusap lembut bahu si anak. “Kan umi kata, ayah mungkin sibuk. Nanti ayah akan call Eqi juga. Don’t worry okay?”

Akhirnya Rafieqi mengangguk. Kini anak itu beralih ke arah Omar, anak Haiza yang masih terkedek-kedek berjalan. Tinggallah Hanina dengan Puan Hasnah.

“Mak tak izinkan kalau Rafael datang menggangu hubungan Nina dan bakal suami. Maafkan mak kerana selama ini membiarkan Rafael datang menganggu kehidupan Nina. Mungkin dulu mak juga berharap agar kamu dapat bersama kembali, tapi mak sedar kalau sememangnya bukan jodoh apapun usaha kita, tak akan berjaya.”

Hanina diam, tidak tahu mahu kata apa. Inilah sifat yang dia suka mengenai Puan Hasnah, wanita tua itu akan berterus-terang dengan apa yang dia rasa.

“Jadi mak biarkan dia bercuti lama ke Turkey. Bagi mak, dia perlu tenangkan fikiran. Lupakan Nina dan mulakan hidup bersama dengan orang lain. Apa yang dapat mak lawankan tentang Rafael, dia benar-benar menyayangi Eqi. Harap hubungan dia dengan Eqi nanti, tak akan putus.”

“Saya tak akan putuskan hubungan Eqi dengan ayahnya mak. Eqi juga sayangkan Raf. Dan saya percaya, Raf juga melayan Eqi dengan baik. Mak jangan la risau. Saya memang tak kisah tentang tu. Saya percayakan Rafael. Eqi anak dia juga, mak.”

Puan Hasnah mengangguk. Rasa lega bila Hanina berkata begitu. Dia menatap wajah Hanina yang bertambah cantik walaupun hanya bersolek nipis. Namun kejelitaannya terserlah. Bekas menantunya yang sangat baik, lemah lembut bila berkata-kata. Perasaan sedikit kesal kerana Hanina tidak menjadi menantunya lagi. Namun inilah percaturan dari-Nya. Mungkin inilah juga hikmah buat Hanina kerana teraniaya dulu oleh anaknya sendiri.

Puan Hasnah teringat kembali kata-katanya pada Rafael ketika dia cuba menghalang Rafael dari terus menganggu hubungan Hanina dengan bakal suami.

“Kali ini mak bertegas agar kamu tak ganggu Hanina lagi, Raf. Mak tak izinkan.”

“Mak nak tengok dia kahwin dengan orang lain ke?” Protes Rafael.

“Kamu dengan dia dah tak ada jodoh lagi. Boleh tak kamu terima hakikat ni? Jangan begini Raf. Kamu tak dapat melawan takdir. Ini takdir dari Allah. Sepatutnya apa yang terjadi pada kamu sebelum ni, kamu jadikan sebagai pengajaran. Beringatlah, hidup kita tak sentiasa di atas. Adakalanya kita gagal memiliki apa yang kita mahukan.”

“Raf sayangkan dia...  Raf nak hidup bahagia disamping Eqi dan Nina, mak. Tak kan dia tak nak bagi Raf peluang kedua?” rintih Rafael. Memang apa yang dikatakan oleh Puan Hasnah itu benar belaka.

“Tak semestinya kita akan dapat peluang yang kedua, Raf. Disebabkan itu kita disuruh untuk tidak mensia-siakan peluang pertama kerana tak semestinya peluang kedua ada buat kita. Bahagia juga boleh diperolehi di mana-mana. Tapi dengan apa yang kamu lakukan ni, kamu telahpun menghancurkan kebahagiaan orang lain. Eqi bahagia dengan apa yang dia ada sekarang ini. Dia bahagia bersama kamu dan dia juga bahagia berada disamping papanya. Cuba selami hati anak kamu. Lagipun, mak tak nak berjauhan dengan Eqi lagi.” Puan Hasnah menitiskan air mata. Sesungguhnya dia tidak berupaya lagi mahu mengenang kenangan lalu di mana dia terpaksa berpisah dengan cucunya sendiri.

“Mak..,” seru Rafael.

Tangan Rafael digenggam erat lalu Puan Hasnah berkata, “pergilah bercuti... Tenangkan hati dan lupakan Nina. Dia bukan milik kamu lagi.”



HANIF MUNCULKAN diri sebaik saja acara selesai. Riuh Hajah Latifah dengan kedegilan Hanif. Nasib baik tetamu mahupun keluarga dekat Hanina sudah banyak yang pulang.

            “Memang budak sekarang ni lain, Syed. Dah tak ikut adat macam kita dulu-dulu. Dia tetap berkeras nak hadir. Mula-mula lagilah, dia yang nak sarung cincin tu kat jari Hanina,” ujar Hajah Latifah bila melihat Hanif bersalaman dengan Tan Sri Syed Hanafi.

            Walid Hanina tergelak seraya menepuk lembut bahu Hanif. “Sabar ya Hanif. Bila nikah nanti, pasti akan dapat sarungkan sendiri.”

            Hanif mengangguk lalu tersenyum malu. Perasaan gembiranya tidak mampu disembunyikan kerana itulah dia teruja ingin datang ke rumah Hanina. Walaupun hanya menanti di dalam kereta.

            “Papa!” jerit Rafieqi bila melihat kemunculan Hanif di ruang tamu. Pantas saja dia mendapatkan Hanif.

            Sebaik saja Rafieqi mendekati, budak kecil itu diangkat lalu dipeluk erat. “Miss papa?”

            “Yeah... Miss you so much. Umi kata papa tak datang.”

            “But I’m here now sayang.”

            “Wah... Papa pakai baju sama dengan Eqi.”

            “Mestilah, kan Eqi anak papa. Umi mana sayang?” Hanif juga tidak sabar mahu berjumpa dengan Hanina. Ingin mengambil gambar bersama.

            “Nenek suruh umi masuk bilik dulu.”

            “Oh.. Lepas ni kita ambil gambar sama-sama ya sayang. Nak tak?”

            “Nak-nak!”

            Sementara menunggu Hanina turun dari tingkat atas, sempat pula Hanif menghantar pesanan buat wanita itu.


-Syg... Cepatlah turun. Abg dah tunggu lama ni. Jgn tukar baju tau. Abg nak ambil gmbr kita. U look awesome syg. Risa hntr gmbr syg pada abg tadi.-


            Semenjak dua minggu yang lepas, panggilan di antara mereka sudah berubah. Hanif membahasakan dirinya sebagai abang dan Hanina pula sebagai sayang. Kedengaran manis saja dari ber ‘awak’ dan ber ‘saya’.


-Betul2 tak menyempatlah abg ni. haha. Kejap lagi syg turun. Nak touch up dulu.-


Bahagianya.. Itulah yang dirasakan oleh Hanif saat ini. Kini rasmilah sudah bahawa Hanina adalah tunangannya. Dan untuk jangka masa tiga bulan lagi, Hanina akan sah menjadi isterinya. Sungguh, tidak sabar rasanya untuk menantikan hari bahagia itu.

Jumat, 03 Mei 2013

ENOVEL TERBARU SELEPAS MININOVEL JAPH

SALAM SEMUA....
NAK HABAQ SAT... SELEPAS MINI NOVEL JAPH HABIS DEKAT BLOG, SAYA AKAN UP ENOVEL TERBARU SAYA YANG BERTAJUK MENAWAN CINTAMU.

Ini adalah sebahagian awal plot cerita:
Perkenalan Dhira dan Aisy bermula dari satu perancangan yang sememangnya dirancang oleh Dhira dan abang sepupunya, Abang Is untuk menawan hati Aisy. Ini adalah kerana Aisy telah merampas bakal tunang Abang Is yang tidak lama lagi ingin melangsungkan tali pertunangan dan hanya beberapa bulan saja lagi akan melangsungkan perkahwinan.

Perancangan demi perancangan bermula. Adakalanya Dhira sendiri ingin berputus asa dengan rancangan yang telah mereka buat. Bila perangai sebenar Aisy sudah kelihatan di depan mata, akhirnya dia memutuskan agar rancangan ini tidak diteruskan lagi. Namun tanpa diduga dan disangka, apa yang mereka rancang jadi sebaliknya bila Aisy pula yang cuba hendak mendekati Dhira...

Nantikan yang seterusnya.... :)

Iffa Nadhirah

"Cinta bukan datang dari ungkapan, bukan datang dari apa yang kita pandang malah bukan juga datang dari apa yang kita dengar. Tapi ianya datang dari hati. Hati yang ikhlas menerima segalanya. Apa yang I nampak hanya ungkapan yang bermain dari bibir you."



Aniq Aisy

"Sebab you tak sedar apa yang ada dalam hati I. Kalau hanya ungkapan yang you nampak, why not I teruskan aje. Sedangkan hanya itu yang you nampak dalam diri I. Ungkapan yang keluar dari bibir I, bukan sekadar ungkapan semata-mata. You kena tahu membezakan semua tu." 


Nantikan ya teman-teman semua... Cerita ini hanya cerita biasa... Dan saya harapkan anda akan menyukainya... Terima kasih... 

Lots of Love:
Farisya Natasya