Kamis, 06 September 2012

MININOVEL: JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 2



BAB 2

            “I nak you ceraikan dia depan mata I, Raf!” jerit Melina kepada Rafael. Hanina hanya berdiri kaku bila dengan tiba-tiba saja Melina merempuh masuk ke rumah mereka. Dia sudah lama kecewa dengan sikap Rafael. Lelaki itu hanya tunduk tanpa melawan kata-kata Melina.

            “You cintakan I ke atau perempuan ni?” Jari telunjuk naik tepat menghala Hanina. Mata pula sudah terpanah pada perut yang sudah nampak bulatnya.

            “Ofcouse I cintakan you, Mel. You ingat I bodoh ke nak jatuh cinta dengan dia?”

            “Dan you ingat I bodoh ke kalau you masih tak ceraikan dia? Kalau you tak bodoh, takkan pula perempuan ni boleh mengandung! Dasar lelaki!” Mata Melina mencerlung memandang Rafael. Hatinya sakit bila dia dapat tahu bahawa Hanina sudah mengandung.

            Kata-kata Rafael itu langsung tidak terkesan pada Hanina. Dia sudah lali. Hatinya yang luka berdarah akibat perbuatan Rafael itu bagaikan tidak mahu sembuh. Malas mahu mendengar pertelingkahan di antara pasangan sejoli itu, Hanina mengorak langkah untuk masuk ke bilik tidur.

            “Hei! Perempuan! Kau nak ke mana?”

            Kaki terhenti dari terus melangkah. Hanina memandang Melina yang sudah kelihatan seperti wanita ‘meroyan’ itu.

            “I want you say it, Raf! Ceraikan dia depan mata I! Kalau tak, jangan harap you akan jumpa I lagi.”

            Rafael memandang Melina dan Hanina silih berganti. Dia keliru. Dalam hal ini, dia benar-benar mencintai Melina. Tapi dalam masa yang sama, Hanina adalah sumber perniagaan mereka sekeluarga. Hanya kerana perniagaan, mereka terpaksa disatukan demi meluaskan lagi empayar perniagaan papanya yang semakin berkembang itu.

            “Raf!”

            “Dengan ini, aku, Rafael Huzaimi bin Rafiq ceraikan engkau, Sharifah Hanina Syed Hanafi dengan talak satu.” Laju saja lafaz cerai itu meluncur keluar dari bibirnya. Jika bukan disebabkan kedegilan Hanina dalam meneruskan kandungan itu, pasti Melina tidak akan melenting habis-habisan.

            “Puas hati aku! Hei, perempuan, kau bukan isteri Rafael lagi. Aku harap, kau berambus dari sini sebelum aku heret kau keluar.”

            Mahu saja Hanina tergelak. Tidak perlu Melina mengatakan sebegitu, dia sendiri akan keluar dari rumah itu tanpa disuruh. Walaupun sepanjang edah itu nanti Rafael boleh meminta rujuk semula tapi dia amat yakin sekali, Rafael tidak akan buat begitu.

            “Terima kasih Raf kerana sudi lepaskan saya. Inilah yang saya tunggu-tunggu selama ni.”

            “Hei! Dia memang dari dulu lagi nak ceraikan kau la! Dasar perempuan tak tahu malu. Kau ingat Rafael nak sanjung tinggi kau ke dengan hanya kau mengandung anak dia? Kalau tak disebabkan kau yang goda dia, kau tak akan mengandung. Perempuan gatal!”

            “Kalau saya gatal, dia apa? Perkara ni tak akan jadi kalau dia tak nak. Saya pun tak ingin nak hidup macam ni. Oh ya... Saya lupa nak bagitahu, dia gunakan kuasa veto dia hanya kerana nak bersama saya. Awak rasa, saya ke yang terhegeh-hegeh kat dia? Fikirlah, jangan hanya nak memekik.”

            “Nina!”

            Jerkahan Rafael itu menyedarkannya dari terus terlena. Hanina terkejut. Dia mimpi lagi. Akhir-akhir ini kerap benar dia bermimpi. Dia tidak mahu memikirkan hal itu lagi. Di mana Rafael mula naik tangan padanya. Dia benci lelaki itu. Dia rasa terhina. Suami yang seharusnya disanjung tinggi membuatkan dirinya ibarat sampah!

            Dia cuba bertahan dari terus menangis tapi sakit yang dirasakannya dulu itu sangat perit sekali. Dulu, ibu bapanya juga turut menyalahkannya. Perkahwinan yang hanya berdasarkan perniagaan semata-mata itu musnah juga akhirnya. Begitu juga gabungan kedua-dua keluarga. Akhirnya berpecah-belah. Berpatah arang hanya kerana perceraian mereka. Dia berpuas hati dengan apa yang berlaku. Biar ibu bapanya sedar bahawa jodoh itu bukan berdasarkan perniagaan, berjual beli untuk mengaut keuntungan.


            Mata mengerling jam di tepi katil. Baru pukul dua pagi. Kaki mengorak langkah ke bilik Rafieqi. Anak itu tidur dengan lenanya. Tangan mengusap lembut rambut si anak. Segala kasih sayangnya tumpah untuk Rafieqi.

            Pernah sekali Rafieqi bertanyakan kepadanya tentang kewujudan Rafael Huzaimi.

            “Rafael Huzaimi ni, papa Eqi ke umi?” Ketika itu dia terjeda seketika. Kelu untuk menjawab pertanyaan si anak.

            “Sebab kawan Eqi tanya, mana papa Eqi. Eqi jawab, Eqi tak ada papa. Eqi cuma ada umi aje. Tapi dia kata, nama yang ini, adalah nama untuk bapa.” Rafieqi menunjukkan buku yang tertulis nama penuhnya itu. Nama yang berbinkan Rafael Huzaimi.

            “Umi tak tahu sayang. Apa yang penting, Eqi ada umi. Kenapa, Eqi tak suka umi ke? Nak papa juga?”

            Rafieqi menggeleng. “Eqi cuma nak umi aje.”

            Hatinya benar-benar tersentuh dengan kata-kata Rafieqi itu. Walaupun dia kesal kerana mengenali Rafael tapi dia tidak sekali-kali menyesali melahirkan Rafieqi ke dunia ini. Wajah Rafieqi ada iras-iras Rafael yang membuatkan kadang-kadang hatinya rasa terusik. Bekas suami yang tidak tahu ke mana perginya. Ah, sudah pasti sedang berbahagia di samping wanita yang dicintai. Melina. Hanina meraup wajahnya. Tidak mahu memikirkan tentang Rafael lagi. Cukuplah!



LEPASsaja habis mengajar siswa dan siswi, tengahari itu Hanif memulakan langkahnya. Dia baru saja teringat tentang syarikat milik walid Hanina. Mungkin dari sana dia akan tahu di mana Hanina berada. Atau mungkin juga wanita itu bekerja di situ.

            “Apa yang boleh saya bantu encik?” tanya penyambut tetamu itu setelah dia memberikan salam.

            “Nina, ada tak?” Hanif cuba berlagak natural.

            “Maksud encik, Puan Hanina?”

            “Iya..”

            “Dia tak kerja kat sini, encik...”

            “Tapi.. Inikan syarikat ayah dia.” Cepat saja Hanif memotong kata-kata penyambut tetamu itu.

            “Iya, memang syarikat ni kepunyaan walid Puan Hanina tapi Puan Hanina memang tak kerja kat sini. Encik ni siapa ya?”

            “Saya, Hanif. Kawan lama Nina. Ala... Saya ingatkan dia kerja kat sini. Saya tak ada phone number dia. Kami lost contact bila saya sambung belajar dulu. Macam mana ni.”

            Hanif membuat wajah hampa. Dia melihat penyambut tetamu itu sudah serba salah. “Awak tahu no phone dia? Boleh saya minta tak?”

            “Maaf encik. Saya tak boleh bagi nombor telefon dia. Itu sudah melanggar etika. Sedangkan no phone tu dah kira privasi.”

            Kepala mencerna untuk memikirkan jalan lain. Hish! Minah ni, terlebih etika pula dah.

            “Macam mana saya nak jumpa dia sedangkan saya langsung tak tahu dia kat mana sekarang. No phone dia pun tak ada. Dari jauh saya datang semata-mata nak jumpa kawan lama saya. Takkan awak tak percayakan saya. Awak boleh ambil gambar saya, kalau terjadi apa-apa pada Nina, saya akan tanggung.”

            Hah! Belasah ajelah. Wanita yang tidak diketahui namanya itu kelihatan berfikir. Entah apa yang difikirkannya, Hanif tidak tahu.

            “Sekurang-kurangnya awak bagitahu la saya, dia kerja kat mana sekarang ni. Saya yakin, kalau awak sebut nama saya kat Nina, confirm dia kenal saya.”

            “Dia buka tadika sendiri. Tadika Al-Jannah. Saya tak berani nak bagi phone number dia. Tapi ini adalah nombor telefon tadika tu berserta alamat dia sekali.”

            “Terima kasih banyak-banyak. Kalau tak disebabkan pertolongan awak ni, mungkin hubungan persahabatan kami putus macam tu aje. Dia kawan baik saya. Ini... Betul tak nak ambik gambar saya sebagai jaminan?” Pertanyaan yang membuatkan dirinya turut kecut perut. Kalau perempuan di hadapannya ini bersetuju, memang naya dia. Habis musnah perancangannya.

            “Tak apa. Saya percayakan encik. Lagipun, CCTV ada kalau encik tipu saya.” Wanita itu menunjukkan kamera yang sememangnya tidak tersembunyi itu, yang berada di atas kepalanya. Dia hanya perlu mendongak dan... Here we go... CCTV.

            Kau pensyarah yang tak boleh blah la, Hanif. Ada ke benda macam tu pun kau tak sedar. Memang cari nahas betul!

            “Ish! Buat apa saya nak tipu. Dah memang betul, Nina kawan saya. Umur dah lanjut macam ni, nak tipu-menipu, memang tak baik. Anyway, terima kasih sangat-sangat kerana sudi bagitahu kat mana Nina berada.”

            “Sama-sama,” jawab penyambut tetamu itu.

            Hanif melihat jam tangannya. Kalau dia ke tadika Al-Jannah, memang tak sempat kerana petang ini dia harus mengajar siswa-siswinya lagi. Haih! Sudahlah dia belum makan tengahari lagi tapi demi Hanina, tak makan pun tak apa. Biar betul, Hanif?

            Mahu tergelak dia dengan kata-kata hatinya itu. Dia harus makan, nanti tak pasal-pasal pula dia tidak bersemangat mengajar. Perut bagaikan bergendang, meminta untuk diisi.


MATA memusat pada papan tanda ‘TADIKA AL-JANNAH’. Akhirnya dia sampai juga ke sini. Ketika mengajar tadi hatinya bagaikan meronta-ronta seperti tidak sabar untuk menuju ke destinasi yang akan dituju selepas dia balik bekerja. Dia teringat kembali pertanyaan Nuqman padanya sewaktu dia bergegas ke kereta tadi.

            “Kau nak ke mana, Nif? Nampak kelam-kabut aje aku tengok.”

            “Aku ada hal, Man. Kau makanlah apa-apa nanti ya. Jangan tunggu aku. Maybe aku balik malam kut. Tak tahu lagi,” ujarnya seraya kaki tetap mengorak langkah.

            “Hal apa? Kau ni... Tak pernah-pernahnya macam ni, apahal sebenarnya?” Pelik Nuqman memandangnya.

            “Bila hal aku ni settle, aku akan bagitahu kau. Jangan risau la... Aku pergi dulu, Man. Nanti lewat pula aku.”

            Dia yakin, sudah pasti Nuqman hairan dengannya. Tidak pernah dia berkelakuan sebegitu selama ini. Sudahlah tengahari tadi juga dia menolak ajakkan Nuqman untuk makan  tengahari bersama.

            Mata kembali memusat pada tadika itu. Dia memerhatikan beberapa kanak-kanak yang bermain di kawasan taman. Ada yang berkejaran dan ada juga yang hanya duduk memerhatikan. Dan budak lelaki yang hanya duduk memerhatikan itu adalah Rafieqi. Anak kepada Hanina. Rasanya inilah masanya, dia mendekati si anak.

            Kaki mengorak langkah, mendekati pagar yang tertutup itu.

            “Nak ambil anak encik?” tanya salah seorang sekuriti. Alahai... Bermacam-macam halangan pula. Tidak pula dia perasan akan kewujudan pengawal keselamatan itu. Ini kalau aku bagitahu nak ambil anak, nanti dia tanya nama anak pula, bisik hatinya. Ah, terus-terang sajalah.

            “Nak jumpa Hanina. Saya kawan dia. Saya dah call phone dia tadi, tapi tak angkat pula. Jadi saya terus datang kat sini.”

            Hari ini, memang dalam sejarah, dia banyak menipu. Tak apa.. Tipu sunat... Niat dia baik.

            “Puan Hanina baru saja keluar, katanya ada urusan. Saya tak tahu pula lama ke tidak dia keluar.”

            “Tapi saya nampak anak dia ada. Jadi memang dia akan balik semula kat sinilah?”

            “Memang, encik. Dia akan datang semula ke sini. Mungkin urusan sekejap saja. Kalau nak juga jumpa dia, encik boleh menunggu di ruang rehat.”

            Hah! Cadangan yang bernas. Memang dia tetap akan berjumpa dengan Hanina hari ini juga. Tidak kira macam mana nanti penerimaan wanita itu. Apa yang penting, dia harus memulakan langkahnya.

            “Boleh juga. Tapi saya tunggu kat sini aje dulu la,” beritahu Hanif pada pengawal keselamatan itu. Dia tahu pasti gerak lakunya akan diperhati. Bukan senang untuk masuk ke dalam ini. Takut jika terjadi apa-apa. Apatah lagi sekarang ini, penculikan kanak-kanak semakin membimbangkan hari demi hari.

            “Saya jumpa Eqi sekejap dulu ya, boleh?” Dia meminta izin pada sekuriti itu untuk berjumpa dengan Rafieqi yang dari tadi tidak beralih dari duduk memerhatikan kanak-kanak yang bermain.

            “Boleh encik.”

            Hanif mengangguk pada sekuriti yang berbadan besar itu. Ini kalau buat jahat, memang tidak akan lepas. Sudahlah pengawal yang menjaga tadika ini ada empat orang semuanya. Siap bersenjata segala bagai. Memang tadika ini mementingkan keselamatan yang tinggi untuk anak-anak. Bagus! Tapi tidak bagus untuk dirinya. Macam mana pula kalau dengan tiba-tiba saja Hanina menjerit ketakutan bila melihat wajahnya? Macam mana pula kalau wanita itu berfikiran yang bukan-bukan tentangnya? Aduh, betul ke tidak tindakkan aku ni? Atau aku sekarang ni cuba untuk mencari nahas sendiri?

Tidak ada komentar:

Posting Komentar