Senin, 16 Mei 2011

CERPEN : KEIKHLASAN CINTA


“ I rasa.. I nak berhentilah. I nak balik kampung” Sarah tiba-tiba bersuara.
“ Hei.. you jangan jadi gila hah! You sudah famous mau berhenti pula. Bodoh la you” Marah Ms.Lin, perempuan cina merangkap ketua agensi permodelan itu.
“ I lagi bodoh kalau I teruskan.. I dah tak sanggup you tau tak? I semakin rimas. Dulu I tak macam ni, kata you, I hanya cuma jadi model kosmetik tapi sekarang dah jadik model peragaan baju. Kalau baju kurung takpe. Ini tidak, dah la dress yang you suruh pakai semakin hari semakin seksi. I betul-betul tak sanggup!” Kali ni Sarah benar-benar ingin memberontak. Dia sudah tidak sanggup lagi. Dia rasa kehidupannya semakin terancam. Dia betul-betul berasa takut.
“ You jangan cuba nak lawan I eh.. Kontrak you dengan I belum tamat lagi. You sanggup ke bayar kalau you langgar itu kontrak?” Mencerlung mata Ms.Lin, dia geram dengan tindakan Sarah. Sarah merupakan salah seorang model yang semakin meningkat popularitinya. Dia tidak akan sesekali melepaskan Sarah kerana dia yakin Sarah merupakan salah seorang model yang memberi kekayaan kepadanya. Kalau melepaskan pun, dia kena dapat habuan yang besar.
“ I rasa kontrak I dah lama tamat. You saja yang sengaja nak tipu I. Kontrak tu kat you. Lagipun dah nak dekat 3 tahun I bekerja kat sini. Kontrak tu Cuma untuk 2 tahun saja” Itulah kesilapan Sarah, dia tidak menyimpan kontrak perjanjian mereka. Dulu dia hanya ingin cepat bekerja. Bila ditawarkan dengan ganjaran yang agak lumayan, bagi orang kampung sepertinya hanya tahu mengangguk setuju. Dengan bertiketkan wajah yang cantik dan susuk badan yang menawan, dia sanggup jadi model.
Ms.Lin terkejut dengan kenyataan Sarah itu, dia ingatkan Sarah tidak ingat tentang kontrak itu. Baru saja dia ingin menyatakan bahawa Sarah mempunyai tugas yang amat besar malam nanti bersama Dato Malik, seorang ahli perniagaan yang sudah beristeri 3. Dasar lelaki tua tidak sedar diri.
“ Ok.. I akan serahkan kontrak itu kat you tapi you kena buat sesuatu untuk I. I dah sain kontrak dengan Dato Malik, dia nak you jadi model dia untuk promote dia punya itu company” Ms.Lin harap Sarah tidak akan menolak permintaan dia ni. Dia sudah membuat perjanjian itu bersama Dato Malik kelmarin, kalau dia ingkar, dia akan membayar pampasan RM 50 ribu. Gila! Duit dia tidak sampai kearah itu. Sudah banyak duit dia keluar gara-gara enjoy dengan kawan-kawannya.
“ I tak nak!” Sarah bertegas tidak mahu menerima tugasan itu. Dia kenal dengan Dato Malik, lelaki tua yang cuba membelinya dengan wang ringgit.
“ Kalau you tidak mahu, you kena bayar itu ganti rugi dengan Dato 50 ribu ringgit. I tidak akan masuk tangan lagi. You tunggu dia saman you la. You apa nak kisah, banyak sudah orang tengok you punya badan. Nak lagak suci la you.. I yakin perempuan yang macam you ni walaupun masih suci, orang dah ragu-ragu sama you. Come on lah Sarah.. be professional” Ms.Lin tersemyum mengejek, ugutannya seperti mengena jeratnya. Sarah serba salah. Dia tidak ada duit sebanyak tu. Tak apa, ini kali terakhir dia melakukan tugas ini. Selepas ini dia akan berhenti terus dan pulang ke kampung. Duit hasil kerjanya yang selama ini masih banyak. Cukuplah untuk dia dan jugak ibunya. Lagipun dia yakin duit yang dia kirimkan bulan-bulan kepada ibunya itu masih ada.
“ Ok. I sanggup tapi ini yang terakhir. I tak akan berganjak dari keputusan I lagi” Ms.Lin tersenyum puas. Dia juga tidak akan berganjak dengan keputusannya.

Sarah mengenakan dress labuh. Bagi dirinya, dia tidak perlu berdandan cantik hanya kerana orang tua seperti Dato Malik itu. Ms.Lin membawa Sarah ke hotel yang bertaraf bintang. Sarah sudah berasa tidak sedap hati. Kenapa perlu membawa dia ke hotel? Tiba di bilik suite, Sarah sudah nampak kelibat Dato Malik. Sarah merasa meluat tengok Dato Malik merenung dirinya. Nampak sangat gatal dia tu, desis hati Sarah.
“ Have a sit ladies” Dato Malik tersenyum meleret. Dia melirik kearah Ms.Lin, begitu jugak Ms.Lin. Mereka berhantar-hantar isyarat kepada masing-masing tanpa disedari Sarah. Sebenarnya Ms.Lin berjanji hendak menyerahkan Sarah kepada Dato Malik. Dengan tawaran yang begitu lumayan, dia sanggup saja asalkan duit masuk. Lagipun dia yakin kali ni Sarah nekad hendak berhenti jadi modelnya, jadi tak salah rasanya dia menjual Sarah kepada orang kaya.
“ So apa yang perlu I buat?” Sarah tidak sanggup berlama-lama disitu. Dia sudah rasa seram sejuk.
“ Eh.. relax la dulu.. takkan nak terus bincang tentang ni” sanggah Dato Malik.
“ I takde masa nak relax-relax la Dato. Straight to the point je la” sedikit kasar Sarah menjawab kata-kata Dato Malik itu. Dato Malik tersenyum penuh makna. Sabar tak lama lagi kau akan jadi milik aku, desis orang tua itu.
“ Ini baju yang you perlu cuba. I nak tengok sesuai tak untuk company I” Sarah melirik kearah kotak dress yang Dato Malik berikan tu. Dia terus mengambil kotak itu tanpa banyak soal. Yang penting dia hendak cepat pergi dari situ. Ketika Sarah berada di bilik mandi untuk menukar pakaian itu, Ms.Lin terus bersuara.
“ Good luck Dato. Have a great night” Ms.Lin terus beredar dari suite tu, yang pasti kerja dia sudah selesai dan duit sudah pun masuk kedalam akaunnya. Dato Malik berkira-kira hendak memulakan misinya, tiba-tiba pintu bilik mandi itu terbuka.
“ Ms.Lin mana?” tanya Sarah hairan.
“ Err.. dia ambik dokumen kat kereta kejap. Anyway you nak minum tak? I boleh buatkan or you nak minum wine?” Orang tua gila! Dia ingat aku minum minuman setan tu, bentak hati Sarah. Tapi dia cuba untuk mengawalnya. Dia nekad, dia hendak lari dari sini, dia yakin ada sesuatu yang tak kena. Dirinya seperti diserahkan sepenuhnya dekat lelaki tua ini.
“ Ermmm.. boleh jugak. I nak coffee, boleh tak?” Dia berpura-pura tersenyum manja menggoda.
“ Anything for you dear” Hati Dato Malik berbunga riang. Dia yakin, dia dapat menjinakkan Sarah.
Sarah sudah mundar-mandir di dalam bilik mandi itu. Dia kena cepat bertindak, air mata sudah bergenang ditubir mata. Ya Allah, Kau tolonglah hamba Mu ini Ya Allah, doa Sarah dalam hati. Dia membuka tombol pintu bilik mandi itu perlahan, dia sudah tercium bau aroma coffee. Nasib baik bilik mandi berhampiran dengan pintu keluar, tanpa mengenakan kasut tinggi yang dipakainya tadi dia terus menyeludup keluar bilik. Dia berdoa Dato Malik tidak akan mendengar ketupan pintu suite itu tadi. Dia terus berlari laju tanpa menghiraukan orang sekeliling yang hairan melihat dirinya yang hanya berkaki ayam.
Dato Malik tersenyum puas, misinya sudah berjaya. Dia sudah memasukkan pil khayal ke dalam coffee Sarah, larut la dia tak lama lagi. Dia menunggu dengan sabar, tetapi hairan, Sarah masih tidak kelihatan. Dia terus menjenguk bilik mandi yang terbuka luas. Kosong.
“ Sarah, you kat mana?” laung Dato Malik. Sepi. Tiada sahutan.
“ Shit! Berani kau lari Sarah! Kau takkan lepas dari aku!” jerit Dato Malik seperti orang gila. Dia mesti mencari Sarah. Sarah miliknya. Dia sudah membeli perempuan itu dari Ms.Lin. Perempuan yang dia idam-idamkan dari setahun yang lalu.
Tiba di lobby hotel, Sarah meneruskan lariannya tanpa sengaja dia terlanggar seseorang sehingga menyebabkan dirinya rebah tersungkur.
“ Cik.. Maafkan saya tak sengaja” Lelaki itu cuba menolong Sarah untuk berdiri tetapi disebabkan rebah yang kuat, kaki Sarah terseliuh. Sarah mengerang kesakitan.
“ Tolong saya encik... encik kena bawa saya pergi dari sini. Tolong” Rayu Sarah. Sebelum Dato Malik menjumpainya, dia kena keluar dari hotel ni. Air mata mengalir derasnya seperti empangan pecah.
“ Cik...”
“ Tolong saya.. Ada orang yang cuba nak perangkap saya. Tolong la. Saya merayu sangat-sangat. Bawa saya keluar dari hotel ni”
Orang sekeliling memerhatikan mereka tapi tidak ada yang cuba untuk menghampiri, mungkin mereka fikir, mereka adalah pasangan kekasih yang cuba untuk memujuk rayu ataupun bergaduh kecil.
“ Marilah.. Bismillah” Lelaki itu memegang lengan Sarah dengan harapan Sarah boleh berdiri dengan sebaiknya. Tapi tidak lama selepas berjalan beberapa tapak, Sarah mengerang lagi. Kakinya betul-betul sakit, rasa bergetar kakinya memijak lantai.
“ Maafkan saya dengan tindakan saya ni” pada mulanya Sarah tidak faham dengan kata-kata lelaki itu tapi setelah lelaki itu mencempung dia, barulah dia faham.

Arman mempercepatkan langkahnya. Jika benar perempuan yang dicempungnya ini diburu dan diperangkap, dia akan cuba menyelamatkannya. Ya Allah, Ampunkan dosa hamba Mu ini. Tidak terniat dihati ini untuk mengambil kesempatan. Doa Arman. Dia tidak pernah rapat sebegini dengan perempuan kecuali uminya. Dengan kerjaya sebagai pengerusi Sekolah Tahfiz, dia juga sudah terlatih dengan hukum-hukum agama sejak kecil lagi. Sebab itu dia takut, dengan keadaan yang darurat ini, dia hanya perlu bertawakal. Niatnya hanya satu, ingin menolong. Sudah sampai ke kereta Arman, dia terus meletakkan Sarah ditempat penumpang.
“ Saya hantar awak ke klinik dulu ya” Sarah hanya mengangguk lesu. Mujur kelibat Dato Malik tidak kelihatan. Arman terus membuka lampu didalam kereta sebelum memulakan perjalanan. Sarah memandang hairan.
“ Tak elok bergelap.. lagi-lagi kita hanya berdua dalam kereta ni” Terang Arman. Memang dia jugak tidak biasa, lampu dalam kereta menyala tapi memikirkan hanya mereka berdua dalam kereta itu dengan suasana yang gelap, takut ada makhluk ketiga menghasut untuk berbuat yang tidak baik. Lebih baik mencegah awal. Radio dipasang, kedengaran ayat-ayat suci dialunkan oleh si pembaca. Arman jugak mengikut sekali, memang tabiat dirinya membaca ayat-ayat suci Al-Quran ketika dalam perjalanan. Semoga dipermudahkan segala urusan oleh Allah.
Sarah hanya mampu terdiam. Dia jarang sekali menunaikan suruhanNya ketika dia bergelar model ini. Disebabkan masa yang selalu saja sibuk dengan peragaan, dia semakin lalai. Ketika dikampung, dia tidak pernah pun meninggalkan solat kecuali keuzuran tetapi sekarang dia sudah banyak terpesong. Melakukan solat hanya bila ada rasa keinginan itu. Dia terkenang kata-kata ibunya sebulan lepas.
“ Jangan lupa solat Sarah.. Itu tiang agama. Tak guna cari rezeki jika kita melupakanNya. Lagi satu.. jaga penampilan diri, tak guna juga amalan kita kepadaNya kalau aurat terdedah sana-sini” Mengalir lagi air matanya. Inilah bahana bila ingkar suruhanNya. Hanya mengejar harta duniawi.
“ Awak buat apa kat hotel tadi?” Hairan juga dia dengan lelaki disebelahnya, luaran macam orang alim tapi pergi ke hotel. Malam pulak tu.
“ Ada gathering dengan kawan-kawan yang sama belajar kat Jeddah dulu. Diorang yang pilih tempat ni, kalau saya, baca doa selamat kat rumah pun dah kira gathering. Berkumpul jugakkan” Sarah hanya mengangguk mengiyakan. Tersenyum kelat dia. Macam-macam dah dia fikir tadi. Ingatkan lelaki itu hanya alim tahi kucing. Astagfirullah..
Setelah pergi ke klinik, dia diberikan ubat penahan sakit, kakinya juga semakin elok setelah diperiksa oleh doktor yang kat klinik itu tadi. Kata doktor itu, kakinya hanya salah urat dan dengan perkhidmatan percuma, doktor perempuan itu mengurutkan kaki Sarah bagi meredakan kesakitan yang dialaminya. Syukur Alhamdulillah, kaki Sarah sudah boleh berjalan walaupun hanya perlahan. Nasib baik clutch Sarah sentiasa ditangannya, kalau tak macam mana dengan purse dan telefon bimbitnya. Walaupun bayaran ubat kaki itu dibayar sepenuhnya oleh Arman.
“ Nak saya hantar awak kemana ni?” Sarah bingung. Kalau dia balik ke apartmentnya, sudah tentu Ms.Lin datang mencarinya. Takut dengan Dato Malik sekali mencarinya disana.
“ Err.. Awak hantar saya saja ke hotel berdekatan. Hotel murah la. Saya tak nak balik ke apartment saya lagi. Saya takut”
“ Apa yang terjadi dengan awak ni sebenarnya?” Sarah terus menceritakan apa kejadian yang menimpa dirinya itu.
“ Macam ni la. Buat sementara waktu ni, awak tinggal kat rumah saya. Rumah tu baru aje saya diami. Jadi awak tinggal la kat sana sampai masa awak balik ke kampung” Cadang Arman. Kesian dia dengan nasib yang menimpa Sarah.
Kini mereka sudah sampai dirumah Arman yang terletak di Damansara itu. Rumah yang sederhana besar itu, rasanya cukup besar untuk dirinya.
“ Awak tak tinggal kat sini ke?” tanya Sarah, dia sebenarnya takut tinggal seorang apatah lagi rumah yang sebesar ini. Kat apartment yang didiaminya dulu itu pun dia berkongsi dengan kawan-kawan. Tak adalah rasa sunyi.
“ Berdosa awak, tinggal bersekedudukan ni. Saya akan tinggal kat rumah umi saya”
“ Tapi saya takut” Arman buntu. Mustahil dia akan tinggal serumah dengan Sarah tanpa ada ikatan yang sah.
“ Macam ni la.. Saya akan hantar Mak Bedah sekejap lagi. Dia akan temani awak. Rumah umi saya tak jauh jugak dari sini. Saya akan pinjam baju Mak bedah sekali, senangla awak nak ganti nanti”
“ Terima kasih awak” Mengalir lagi air mata Sarah, dia terharu dengan pertolongan Arman itu.
“ Awak ada nombor telefon tak? Senang kalau saya datang, saya call awak. Takut awak tertidur nanti” Sarah terus menyerahkan telefon bimbitnya kepada Arman, supaya lelaki itu dapat mendail sendiri ke telefon bimbitnya.
“ Nama awak?”
“ Sarah” Sarah memerhatikan Arman menekan-nekan punat telefon bimbit lelaki itu.
“ Nama saya Arman, saya letak nama saya kat dalam ni eh. Senang awak tahu” Lagi sekali Sarah hanya mengangguk.
“ Ok.. Saya pergi dulu. Jangan lupa kunci pintu. Bila saya sampai, ada saya call awak. Assalamualaikum” Arman terus meninggalkan Sarah. Dia perlu cepat. Risau jugak dia hendak meninggalkan Sarah seorang diri dirumah itu.
Akhirnya Mak Bedah sampai, tanpa banyak soal, Mak Bedah hanya masuk kerumah itu. Mungkin telah dijelaskan oleh Arman tentang kehadiranya, fikir Sarah. Kali ni dia boleh tidur lena. Dia sudah ditemani Mak Bedah.

........................

Sudah hampir 2 minggu jugak dia tinggal dirumah Arman, dia jugak semakin rapat dengan Arman dan jugak Mak Bedah. Setiap malam Arman akan menghubunginya dan bertanya tentang keperluan yang dia perlu. Dia senang sebegitu. Kadang-kadang Arman akan memberikan dia motivasi dan jugak ceramah tentang hukum-hukum agama. Dia mula menitik beratkan soal solatnya. Itulah manusia, bila sudah menimpa kesusahan, baru ingat kepada Penciptanya. Kali ini dia bersedia untuk balik kampung, dia akan menceritakan perkara sebenar kepada ibunya. Arman menemaninya balik kampong. Bagi Arman, dia berasa bertanggungjawab terhadap Sarah. Biarlah dia menghantar Sarah sampai kerumah perempuan itu.
Tiba dihadapan rumah Sarah, Sarah kedengaran suara ibunya menangis.
“ Ibu..” Sarah mencari kelibat ibunya. Dia nampak mak longnya jugak ada disitu.
“ Anak yang tak tau di untung! Sanggup kau conteng arang kat muka aku! Kurang ajar punya anak. Ini yang kau buat kat KL tu??” Puan Salwa terus bangkit dari duduk dan melemparkan gambar-gambar Sarah tepat kewajah anaknya itu. Sarah terkejut dengan perbuatan ibunya. Tidak pernah ibunya berbuat sebegitu kepadanya. Sarah lebih terkejut dengan gambar-gambar yang berselerak dilantai. Gambar dirinya yang seakan bogel. Dia yakin gambar ini adalah gambar yang disuper imposed? Yang diedit supaya menampakkan gambar itu seperti dirinya dengan menggunakan wajahnya. Dia tidak pernah bergambar sebegitu. Ya Allah! Dugaan apa yang menimpa diriku ini. Sarah mengutip gambar-gambar tersebut.
“ Ibu.. Bila Ibu dapat gambar ni? Ini bukan Sarah ibu.. Percayalah” Sarah sudah menangis teresak-esak. Arman juga terkejut bila ternampak gambar-gambar itu. Dia terus beristigfar.
“ Tadi pagi, postman yang hantar. Eh kau ingat aku buta? Tak kenal dengan anak sendiri? Aku tak sangka anak yang aku kandung, sanggup buat macam ni. Mana pergi agama yang aku ajar dekat kau? Ini balasan kau kat aku?”
“ Ibu... Mak long.. ini bukan Sarah. Sarah sanggup bersumpah. Sarah tak pernah lakukan benda ni?” Sarah cuba memohon pengertian mak longnya.
“ Sabar Sarah.. bawa mengucap nak” Puan Salmah cuba menenangkan anak saudaranya itu. Dia juga kurang percaya dengan gambar-gambar ini. Mustahil Sarah sanggup melakukan itu.
“ Tak kan Ibu tak kenal dengan tubuh Sarah”
“ Aku dah tak kenal dengan engkau-engkau sekali. Aku takde anak yang macam takde iman ni” Arman, Sarah mahupun Puan Salmah beristigfar mendengar kata-kata Puan Salwa itu.
“ Yang ni jantan mana yang kau bawa ni? Jangan kau kata yang kau dah terlanjur dengan lelaki ni?”
“ Ibu.. dia yang tolong Sarah ibu.. sanggup ibu kata macam tu” Sarah terus menoleh kearah Arman.
“ Awak baliklah.. biar saya saja yang uruskan hal ni” Arman serba salah. Dia berat hati hendak meninggalkan Sarah.
“ Aku nak kau pergi dari sini. Jangan datang kat sini lagi. Nanti kotor pulak kampung ni disebabkan kau. Berambus cepat!”
“ Ibu..” Sarah sudah terduduk mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya itu.
“ Salwa!” Puan Salmah juga terkejut. Puan Salwa terus masuk kebiliknya. Mengambil duit yang Sarah berikan dia tiap-tiap bulan itu dan terus melemparkan kepada Sarah.
“ Kau ambik duit kau tu semula. Aku tak nak dengan duit haram kau tu” selepas melemparkan kata-kata itu, Puan Salwa terus masuk kebiliknya. Hempasan pintu kuat kedengaran.
“ Sarah balik la dulu. Lama-lama reda la marah ibu Sarah tu. Mungkin dia terkejut. Sebab tu marah dia tak terkawal.” Puan Salmah cuba untuk memujuk Sarah.
“ Sarah tak buat benda tu mak long. Mungkin kesalahan Sarah hanya disebabkan Sarah kerja sebagai model, baju tak menutup aurat tapi yang penting Sarah tak pernah bergambar bogel macam ni” Dia mengutip duit yang berselerakan akibat lemparan ibunya itu.
“ Mak long percaya nak.. nanti mak long cuba untuk menasihati ibu Sarah tu. Kali ni biarlah dia surutkan kemarahan dia tu” Sarah mengangguk lemah. Dia menoleh kebelakang, ternyata Arman masih ada disitu.
“ Yang ni, duit hasil titik peluh Sarah mak long. Mak long belanjakanlah untuk keperluan Ibu. Jangan bagitau dia ini duit Sarah.” Sarah menambahkan lagi duit yang diberikan kepada Puan Salmah. Hasil dari simpanannya. Biarlah dia beredar. Memberikan ruang ketenangan kepada ibunya.
“ Sarah pergi dulu. Assalamualaikum” Sarah menyalami Puan Salmah. Hajat hati ingin berbuat sebegitu kepada ibunya tapi pintu bilik ibunya berkunci dari dalam. Dia pasrah. Mungkin inilah balasanNya akibat kelekaannya selama ini.
Didalam perjalanan pulang, Arman mahupun Sarah hanya berdiam diri. Air mata yang mengalir diseka berkali-kali. Dia malu dengan Arman, hajat hatinya hendak memperkenalkan Arman kepada ibunya tetapi kejadian yang tidak diingini berlaku.
“ Awak percaya dengan gambar-gambar tu?”
“ Kalau saya cakap saya tak percaya, awak percaya tak?” soal Arman kembali.
“ Ibu saya sendiri percaya dengan gambar-gambar itu, apatah lagi awak” Arman hanya tersenyum. Dia benar-benar tidak percaya dengan gambar tersebut.
“ Terpulang kepada awak. Tapi yang penting saya tak percaya. Saya akan cuba siasat perkara ni. Saya tak nak tuduh sesiapa. Biar bukti yang menunjukkannya” Itu nekad Arman, dia akan mencari siapa dalang dalam penyebaran gambar ini. Sarah hanya diam membisu, dia sudah letih. Kini ibunya sudah tidak mempercayainya lagi. Orang yang sangat penting dalam hidupnya, ayahnya sudah lama meninggal dunia ketika dia kecil lagi. Untuk sekian kalinya airmatanya tumpah lagi.

Mereka sempat jugak singgah di R & R untuk bersolat Asar dan menjamu selera sedikit. Mereka sampai kerumah Arman hampir menjelang Maghrib. Dalam perjalan itu tadi, Arman memikirkan sesuatu, rasanya inilah jalan yang terbaik.
“ Err... Saya.. Ermm.. Bukan niat saya nak mengambil kesempatan atas masalah awak ni tapi rasanya inilah yang sebaiknya. Saya nak sangat menolong awak tapi disebabkan hubungan kita ni rasanya tak elok kalau kita kehulu-hilir tanpa ikatan yang sah. Jadi sudikah awak jadi isteri saya?” Sarah terkejut. Betul ke apa yang didengarnya ni?
“ Saya betul-betul ikhlas. Keinginan ini bukan kerana saya simpati kepada awak tapi kerana rasa tanggungjawab. Saya nak lindungi awak” Sambung Arman lagi.
“ Tapi kita baru kenal. Tak kan semudah itu awak mempercayai saya dan sanggup jadikan saya sebagai isteri awak? Lagi pula awak tak cintakan saya”
“ Cinta kalau tanpa kasih sayang dan juga rasa tanggungjaawab, tak berseri jugak. Bila dah ada rasa sayang dan tanggungjawab tu, InsyaAllah dengan izinNya timbullah rasa cinta tu. Manakala kepercayaan datang dari hati kita. Bila hati percaya dengan kemahuan kita, itulah yang sebenar-benarnya” Sarah menoleh kearah Arman. Arman hanya merenung kehadapan, tidak sanggup dia melihat wajah wanita disebelahnya. Seperti biasa, hari semakin petang, lampu dalam kereta sedia dibuka.
“ Sayang? Adakah perasaan itu ada pada awak kat saya?”
“ Err.. Ye.. Saya tak pandai dalam bab-bab macam ni. Saya harap awak tak menyalah ertikan hajat saya ni. Saya takut awak diapa-apakan. Sebab tu saya nak awak berada dekat dengan saya”
“ Kalau saya minta tempoh untuk memikirkan boleh tak?” Arman menarik nafas panjang. Dia sudah meluahkan apa yang berlubuk dihatinya. Dia akan memberi masa kepada Sarah dan dia juga ingin melakukan solat istikhkarah, biar Allah yang memberi petunjuk kepadanya jika dia salah membuat keputusan.
“ Awak ambiklah masa sebanyak manapun untuk awak berfikir tentang ini” Sarah mengangguk. Dia meminta izin untuk masuk kerumah. Dia perlu merehatkan minda dan badannya. Bermacam perkara yang berlaku pada hari itu. Yang penting, dia hendak menunaikan solat dalam masa yang sama dia boleh menenangkan diri sujud menyembahNya.
2 hari selepas itu, Sarah membuat keputusan untuk menerima Arman sebagai suaminya. Rasanya Armanlah lelaki yang sangat mengambil berat terhadap dirinya. Menjaga tatatertib pergaulan. Yang pasti, sentiasa menjadi pelindungnya. Mustahil perasaan sayang itu tidak timbul dalam diri Sarah, dia begitu selesa dengan lelaki itu. Bila dia menyatakan keputusanya itu kepada Arman, Arman juga menyatakan bahawa dia hendak menemukan Sarah dengan uminya. Dan hari itu adalah hari ini. Arman terkejut dengan penampilan terbaru Sarah. Sarah kelihatan lebih cantik dengan bertudung.
“ Awak cantik sangat dengan bertudung ni. Tapi saya harap bukan disebabkan perjumpaan ini, awak melakukannya. Biarlah ianya ikhlas dari hati awak”
“ Bukan disebabkan ini. Sepatutnya dah lama saya bertudung ni, ibu banyak kali suruh saya pakai tudung tapi saya yang degil. InsyaAllah, bertudung ni biarlah ianya kekal sampai bila-bila. Itu yang saya harapkan dan itulah yang dituntut agama” Arman tersenyum. Syukur, akhirnya terbuka hati Sarah hendak bertudung. Mereka terus pergi kedestinasi yang hendak dituju iaitu rumah umi Arman. Arman sudah menyatakan hajat hatinya ini. Mengharapkan persetujuan dari uminya. Dia juga sudah menjelaskan siapa Sarah yang sebenarnya. Ketika dia menceritakan siapa Sarah itu, uminya kelihatan tidak setuju dengan keputusanya untuk menikah dengan Sarah. Tapi Arman memujuk uminya supaya berjumpa dengan Sarah dan mengenali Sarah dengan lebih dekat lagi. Akhirnya umimya bersetuju.
Sampai dihadapan rumah umi Arman, perasaan gementar seperti membuak-buak dalam diri Sarah. Dia membaca surah-surah pendek supaya mengurangkan rasa gemuruhnya dan berdoa supaya umi Arman menerima dirinya dengan seadanya.
“ InsyaAllah.. segalanya akan berjalan dengan lancar. Jadi diri awak. Jomlah masuk. Bismillah” Arman cuba untuk mengurangkan rasa gemuruh Sarah. Kelihatan uminya sudah berada diruang tamu. Sesi perkenalan berjalan dengan lancar. Mereka makan malam bersama, Sarah banyak berdiam diri, dia hanya menjawab bila ditanya. Perasaan segan itu begitu menebal dalam dirinya bila berhadapan dengan umi Arman. Selesai perjumpaan itu, Arman menghantar Sarah pulang dan dia jugak pulang terus kerumah uminya selepas menghantar Sarah. Ternyata uminya masih berada diruang tamu.
“ Man yakin dengan keputusan yang Man buat ni?” tanya Puan Aminah. Arman memandang hairan uminya.
“ Man yakin umi. InsyaAllah, Allah juga merestui keputusan Man ni” Berkali-kali Arman solat Istikhkarah, meminta petunjuk dariNya ternyata wajah Sarah yang menjelma berkali-kali dalam mimpinya.
“ Man yakin ke yang dia tu masih suci?” Astagfirullah.. beristigfar panjang Arman mendengar kata-kata uminya itu.
“ Umi... mengapa cakap macam tu? Man ikhlas merimanya umi” Arman melabuhkan punggungnya kesofa.
“ Umi tak yakin. Dah lah dulu kerja sebagai model, cantik pulak tu. Tak mustahil kehidupan dia social”
“ Umi ni.. Bukan ini yang Man nak dengar umi. Lagipun tak baik menuduh. Umi sendiri tau apa dosanyakan?”
“ Umi tak menuduh tapi tak mustahilkan. Umi tak nak Man menyesal bila tau dia dah tak suci lagi”
“ Man redha Umi. Jika benar perkara itu, Man redha.. Itu kesilapan dia yang lepas, tak patut kita mengungkitnya. Lagipun kita tidak patut untuk menghukum dia. Biar Allah yang menentukannya. Tapi yang penting, Man percayakan Sarah. Tak semudah itu dia hendak menyerahkan dirinya” Arman cuba menyangkal kata-kata uminya itu.
“ Memang Man tak nampak semua ni sebab Man dah jatuh sayang dekat dia. Semua nampak baik-baik belaka je kat Man” Arman hanya menggeleng-geleng kepala, tidak setuju dengan apa yang dikatakan ibunya itu
“ So macam mana? Umi setuju tak? Man benar-benar ingin memperisterikan dia. Bila dia takde, Man rasa risau. Takut apa-apa yang terjadi dekat dia. Man inginkan restu dari Umi. Man berharap sangat Umi bersetuju dengan kehendak Man ni. Kalau dengan merayu membuatkan Umi setuju dengan Man, Man sanggup” Bulat mata Puan Aminah. Sanggup anaknya merayu kepadanya hanya kerana ingin berkahwin dengan Sarah. Tetapi dia terpaksa akur, Arman la sahaja anak yang dia ada. Hampir 10 tahun suaminya sudah pergi mengadap Ilahi, rasanya jika dia berdegil, takut merenggangkan hubungannya dengan Arman.
“ Baiklah.. umi setuju. Tapi jangan menyesal jika apa yang umi katakan tadi itu benar” Arman tersenyum gembira. Dia terus memeluk uminya.
“ InsyaAllah umi.. Man redha. Dengan keredhaan ini moga Allah menghapuskan rasa yang tak baik dalam diri Man ni. Terima kasih umi” Arman betul-betul gembira. Dia akan menyatakan berita ini kepada Sarah.
Setelah kata sepakat dipersetujui oleh umi Arman dan telah pun memilih tarikh untuk bernikah, Sarah menghubungi mak longnya dan memberitahu tentang perkara itu. Mak longnya kedengaran gembira dengan berita itu tapi bila dia cuba untuk bercakap dengan ibunya, ibunya tidak mahu. Nampak ibunya masih marahkan dirinya. Dia sedih. Dia mengharapkan ibunya ada ketika majlis pernikahan itu. Nikah gantung, itulah yang diharapkan kedua-duanya. Arman juga mengharapkan masalah Sarah akan selesai dalam masa terdekat ini. Dia berusaha untuk mencari siapa yang cuba untuk menfitnah Sarah dengan gambar-gambar yang tidak senonoh itu. Dan berdoa moga gambar itu tidak tersebar di internet mahupun wartawan. Walaupun Sarah bukan artis mahupun pelakon tapi dia dikenali sesetengah orang. Nasib baik dia ada kawan polis yang boleh menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut lagi.

...............................

Pernikahan berlangsung dimasjid kerana itu keinginan Arman sendiri. Katanya, nikah dimasjid adalah yang sebaik-baik. Afdhal. Itulah katanya. Sarah juga setuju, dirumah Allah adalah tempat yang paling sesuai untuk majlis yang bermakna ini. Kelihatan Mak Bedah sibuk dengan barang hantaran, begitu jugak dengan Puan Salmah. Mengenangkan Puan Salmah, Sarah berasa sedikit lega, terubat jugak hatinya yang sedih ini bila mengenangkan ibunya yang tidak hadir. Keras betul hati ibunya kali ini. Majlis bermula. Kelihatan Arman begitu segak mengenakan baju cara melayu putih satin.
“ Sarah senyum sikit nak. Tak elok bermuram. Inikan hari yang bermakna untuk Sarah. Nanti orang fikir Sarah dipaksa kawen” pujuk Puan Salmah. Sarah tersenyum.
“ Tampan betul bakal suami Sarah tu, sedap mata mak long tengok wajah dia. Dahlah ada sekolah tahfiz sendiri, mak long harap dia akan mendorong Sarah kearah yang lebih baik lagi. Jadilah isteri yang solehah sayang. Mak long tengok Arman tu budak baik. Dengan keperibadian sebegitu, mak long yakin dengan keputusan yang sarah buat ni. Jangan sesekali ingkar kata-katanya. Lepas ini, syurga Sarah akan terletak dibawah kaki suami” Sedikit nasihat diberikan kepada Sarah. Sarah hanya mengangguk. Itulah yang akan dilakukannya. Taat kepada suami walaupun dia bukan sesempurna Saiditina Khadijah, tapi dia akan cuba menjadi sempurna untuk suaminya itu walaupun yakin dia banyak kelemahan.
Akad nikah berlangsung. Syukur dengan sekali lafaz, Sarah sah menjadi isteri Arman. Setelah Arman sembahyang sunat, acara pembatalan air sembahyang berlangsung sepertimana pasangan yang lain melakukannya. Menyarungkan cincin, isteri mencium tangan sisuami dan sisuami mencium dahi isteri. Tapi yang kelakarnya, Arman bukan mencium dahi Sarah tapi ubun-ubun Sarah yang berlapik dengan tudung. Nampak sangat Arman masih segan bila bersentuhan kulit dengan Sarah walaupun sudah sah disisi agama. Dirumah Puan Aminah, ada jamuan doa selamat. Sarah dan jugak Arman sibuk melayan tetamu. Begitu jugak Puan Aminah. Hampir pukul 11 malam, Sarah naik kebilik mereka untuk membersihkan diri dan menunaikan solat. Selepas membuat kedua-duanya, Sarah duduk dibirai katil, perasaan gemuruh datang. Itulah yang akan dirasakan oleh setiap isteri bila malam pertama menjelma. Takut, gementar dan bermacam-macam perasaan lagi. Inilah perkongsian yang amat besar bagi kedua-dua pihak. Pintu bilik dibuka dari luar, menjengul Arman. Sarah terus bangkit dari duduk dibirai katil.
“ Err.. abang nak mandi ke? Sarah siapkan baju abang ye” Sarah bergegas menghampiri almari. Arman tersenyum dengan panggilan ‘ abang’ itu tadi.
“ Sayang.. baju abang yang kat hujung tu” Terhenti segala perbuatan Sarah. Dia terkejut dengan panggilan ‘ sayang’ dari Arman itu. Dia menoleh kearah Arman yang menghampirinya.
“ Sayang?” tanya Sarah.
“ Errr.. Abang ada baca dalam buku, panggilan manja ni boleh mengeratkan lagi perhubungan” Sarah tersenyum. Kedengaran janggal bila Arman menyebut Sayang. Nampak kekok sangat.
“ Kenapa abang? Kenapa tak panggil dengan panggilan yang lain?” tanya Arman sambil tangan mengambil tuala yang disediakan oleh Sarah.
“ Kenapa? abang tak suka ke?” Sarah nampak Arman hanya menggeleng.
“ Panggilan ‘ abang’ tu adalah panggilan yang sebaiknya untuk suami, ianya tanda hormat isteri kepada suaminya lagipun baru hari ni Sarah tahu umur sebenar abang. Dah masuk 30 dah. Sepatutnya dari dulu Sarah panggil abang dengan panggilan abang. 6 Tahun jarak umur kita” jelas Sarah. Arman tersenyum, berpuas hati dengan penjelasan Sarah.
“ Abang mandi dulu lepas tu nak solat. Dah tengah malam ni, sayang rehat la” Sarah mengangguk. Cepat dia merebahkan badan kekatil. Takut dengan apa yang berlaku selepas ini. Dia cuba untuk memejamkan mata untuk tidur, tapi matanya semakin terbuka segar. Dia merasakan gerakan dikatil. Ya Allah, Kau tenangkan rasa gemuruhku ini, doa Sarah. Dia perlu kuat. Inilah yang perlu dilalui mana-mana pasangan.
“ Abang... Err..” Sarah menyentuh jari-jemari Arman. Bergetar tangannya saat Arman membalas dengan menggenggam jari-jemarinya kembali. Arman merasakan getaran jari-jemari Sarah. Dia tahu Sarah belum bersedia untuk melakukannya.
“ Sayang jangan paksa diri. Abang tak paksa. Abang akan tunggu sampai sayang bersedia”
“ tapi.. berdosa kalau ingkar dengan kehendak suami”
“ Ada abang suruh? Takde kan? Jadi jangan rasa bersalah hanya kerana perkara ni. Sebagai lelaki, abang tak terkecuali untuk kearah itu. Hanya itu nafsu seorang lelaki. Tapi abang nak Sarah bersedia sepenuhnya, ikhlas melayan abang bukan disebabkan keterpaksaan. Abang kawen dengan sayang, bukan hanya nafsu semata-mata. Abang nak lindungi isteri abang ni sampai nyawa abang terpisah dari badan” jelas Arman sambil tangan meramas lembut rambut Sarah.
“ Tapi bang.. perkongsian zahir dan batin tu amat penting bila kita dah berumah tangga”
“ Itu abang tau.. yang penting, kita buat perkongsian zahir dulu. Selepas sayang bersedia sepenuhnya barulah kearah itu. Dah la.. sayang tidur eh. Dah lewat ni” Lega hati Sarah, 80 peratus memang dia belum bersedia. Lenalah tidurnya lepas ini. Arman mencium lembut dahi isterinya itu.
.........................

Setelah beberapa hari bergelar isteri Arman, Sarah terdengar umi Arman bercakap sesuatu kepada lelaki itu. Dia menyembunyikan dirinya disebalik tiang besar dalam rumah itu.
“ Jadi? Macam mana? Dah tau rahsia isteri tu? Suci ke tidak?” Sarah terkejut dengan pertanyaan umi Arman itu.
“ Astagfirullah umi... berdosa tau tak? Man tak nak fikir benda ni. Dah la.. nanti dengar Sarah”
“ Mesti Man tak tau lagi kan? Mesti dia takut Man tau rahsia dia yang dah ditebuk tupai tu” tangan Sarah spontan naik menutup mulutnya, dia sedih mendengar kata-kata umi Arman. Air mata mengalir deras.
“ Bawa mengucap umi. Man tak nak cakap benda ni. Sarah isteri Man umi. Dia bukan perempuan yang macam tu” balas Arman. Sarah terus masuk kebilik tidur mereka, tidak sanggup lagi dia mendengar kata-kata tomahan dari umi Arman. Sarah sedar, memang layanan Puan Aminah agak dingin terhadapnya selama ini. Dia nekad, malam ni dia akan membuktikan segala-galanya kepada Arman. Memang dari kelmarin dia bersedia melakukannya tapi mengenangkan Arman kelihatan letih, dia memadamkaan niatnya itu.

Arman sibuk meneliti keputusan anak-anak murid dari sekolah tahfiznya di meja kerjanya. Tiba-tiba Sarah datang mengurut tengkuknya.
“ Abang.. Sarah rasa, Sarah dah bersedia sepenuhnya. Lagipun tak baik jika kita sengaja mengabaikan keperluan batin” Arman terkesima. Tidak menyangka Sarah akan berkata sebegitu.
“ Abang..” tegur Sarah.
“ Kita sembahyang sunat dulu ya.. semoga Allah mempermudahkan” dan meredakan gemuruh yang melanda hati abang ni, sambung Arman dalam hati. Memang dia rasa gementar, tidak menyangka dengan tiba-tiba Sarah menyatakan hasrat itu. Mereka melakukan solat sunat bersama. Syukur, akhirnya perkongsian batin terlaksana dengan kehendak kedua-duanya dimalam jumaat itu, hari yang sebaik-baik hari.

...........................

“ Sayang.. abang ada berita gembira untuk sayang” petang itu Arman bergegas pulang dari sekolah tahfiz setelah mendapat panggilan yang menggembirakan.
“ Kenapa abang?” Dia yang menyediakan minuman petang itu bertanya hairan.
“ kita dah dapat tangkap dalang yang menyebarkan gambar-gambar fitnah sayang tu”
“ Betul ke bang? Siapa?” teruja Sarah mendengarnya.
“ Sebenarnya macam ni, kawan abang menyiasat tentang penyeludupan perempuan yang dari luar negara masuk kenegara kita ni. Bila menyelongkar tempat kerja dan jugak rumah penjenayah tu, terjumpalah gambar-gambar Sarah ni. Nak tau siapa? Dia adalah Ms.Lin, ketua agensi permodelan Sayang dulu. Dia didapati bersalah kerana penyeludupan secara haram dan menjadi ibu ayam kepada perempuan-perempuan yang diseludup itu” Sarah betul-betul tidak menyangka, Ms.Lin sanggup buat dia macam tu.
“ Nak tau siapa rakan kongsi Ms.Lin? Dato Malik” Lagilah Sarah terkejut. Belum insaf orang tua tu.
“ Tapi.. Dato Malik akan terlepas dari tuduhan” kata Arman kesal.
“ Kenapa boleh macam tu abang?”
“ Pengaruh duit sayang. Dia dapat membayar pampasan dan juga denda yang dikenakan kepadanya lagipun dia tak mengaku bersalah, lagi pula bukti tak cukup untuk menyumbat Dato Malik kepenjara” hampa Sarah mendengarnya. Lelaki seperti Dato Malik tu tak patut berada dimuka bumi ini. Dia mendoakan supaya Dato Malik insaf dengan perbuatan yang orang tua itu lakukan.

..........................

“ Umi nak pergi mana? Pasarkan? Biar Sarah temankan eh” Sarah nampak kelibat umi Arman yang hendak keluar rumah. Puan Aminah hanya diam, entah kenapa walaupun Arman telah menyatakan bahawa Sarah masih suci bak sesuci kain putih bersih beberapa minggu yang lalu. Dia masih keras hati untuk menerima menantunya itu. Walaupun banyak kebaikkan yang dia terima dari Sarah. Egonya masih meninggi.
“ Umi..”
“ Ikut ajelah. Jangan nak banyak soal” Sarah tersenyum, dia sudah terbiasa dengan kata-kata kasar umi mertuanya itu. Mereka terus kepasar untuk membeli keperluan dapur, pak cik Daud yang menemani mereka yang mana pak cik Daud itu adalah tukang kebun merangkap driver puan Aminah.
Tanpa sedar, perbautan mereka diperhatikan Dato Malik dari jauh. Dato Malik menggenggam kuat stering kereta.
“ Mampuslah kau kejap lagi Sarah. Dendam aku belum tamat lagi. Disebabkan kau, company aku jatuh merundum. Dan yang pasti, kau tak akan dimiliki oleh sesiapa. Aku mahupun suami kau. Biar sama-sama tak merasa” tekad Dato Malik. Dia geram dengan Sarah, duitnya habis dengan membayar segala denda yang dikenakan kepadanya. Walaupun kejadian itu tidak ada kena mengena dengan Sarah tapi dendam masih menyala untuk perempuan tu. Kalau dulu dia dapat Sarah tak mungkin dia akan mencari perempuan lain lagi. Disebabkan itu, dia sanggup menjadi rakan kongsi Ms.Lin untuk menyeludup perempuan luar bagi memuaskan hawa nafsunya. Dato Malik sudah menghidupkan enjin keretanya. Dia nampak Sarah dan jugak seorang perempuan tua hendak menyeberangi jalan. Inilah masanya.

Sarah dikejutkan dengan kereta yang cuba untuk merempuh mereka.
“ Umi!” Sarah menolak umi Arman kebelakang. Dengan kejadian yang begitu pantas itu hentakkan yang kuat dibahagian peha dan kakinya. Dia rebah. Dan bunyi perlanggaran kuat kedengaran. Yang pasti pandangannya kini gelap dan dia terlentang layu ditepi jalan itu.

........................

“ Yasin... Wal qur’an nil hakim....” Sarah mendengar ayat suci itu dialunkan berkali-kali oleh beberapa orang. Dia cuba untuk membuka mata.
“ Sayang? Sayang dah sedar? Sayang ini abang sayang?” terasa titisan airmata suaminya jatuh diwajahnya.
“ Err.. Umi...” Sarah takut sesuatu terjadi kepada umi Arman.
“ Sayang.. ini umi nak.. maafkan umi.. maafkan umi.. terima kasih kerana menyelamatkan umi. Umi minta maaf” puan Aminah menggengam erat tangan menantunya. Dia menyesali akan perbuatannya selama ini. Sarah dengan hati yang mulia bertanyakan tentang dirinya terlebih dahulu.
“ Isa, panggilkan doctor. Bagitau pesakit dah sedar” Arman menyuruh adik angkatnya yang menuntut disekolahnya itu untuk memanggilkan doctor.
“ Sarah ok umi.. alhamdulilah umi selamat” semakin laju air mata Puan Aminah mendengarnya. Doktor datang memeriksa Sarah. Syukur, tiada side effect akibat kemalangan itu. Hanya keretakan kaki Sarah yang kini disimenkan sahaja. Itupun akan kembali pulih dalam masa beberapa minggu ini.
“ don’t forget to tell her about the great news that I told you yesterday” bisik doctor Syuib. Arman tersenyum lalu mengangguk.
“ Sayang syukur kehadrat Ilahi, Allah telah menyedarkan sayang. Jangan tinggalkan abang sayang. Abang benar-benar takut” Arman mencium lembut tangan isterinya. Sudah tidak ada perasaan malu dia berbuat sebegitu walaupun dihadapan umi dan jugak beberapa murid yang menuntut disekolahnya.
“ Siapa sebenarnya yang cuba nak langgar Sarah tu bang” tanya Sarah lemah.
“ Dato Malik Sayang.. tapi dia mati ditempat kejadian. Dari apa yang saksi nampak, selepas pelanggaran Sarah, kereta Dato hilang kawalan dan merempuh sebuah lori besar. Abang harap jangan la Sarah berdendam, orang dah tiada. Kita maafkan saja perbuatanya itu lagipun ada hikmah semua ni berlaku” jelas Arman. Sarah mengangguk perlahan. Tiada guna untuk dirinya berdendam. Dato Malik sudah tiada.
“ Abang ada hadiah untuk sayang, teramat istimewa. Memandangkan lusa adalah hari lahir sayang yang ke 24. Biarlah abang berikan hadiah tu lebih awal” Arman terus membuka pintu bilik hospital yang ditempah untuk isterinya berasa selasa. Muncul puan Salwa dan juga Puan Salmah sekeluarga.
“ Sarah.. anak ibu sayang” seru puan Salwa dan terus memeluk Sarah. Sejak hari kemalangan itu puan Salwa sudah berada dihospital itu. Menemani anaknya. Tapi tadi dia dan juga puan Salmah sekeluarga mengisi perut dikantin hospital itu. Dia sebenarnya terkejut bila Arman menghubunginya, memberi tahu bahawa Sarah sudah sedar. Sarah terkejut, ibunya datang memeluknya erat. Dia benar-benar rindu dengan pelukan itu.
“ Ibu...”
“ Maafkan ibu Sarah.. maafkan ibu. Ibu patut mempercayai anak ibu. Entah apa yang merasuk ibu selama ni” Sarah menggeleng laju. Menidakkan kata-kata ibunya.
“ Ibu tak salah.. Sarah yang salah tak jaga diri. Akibatnya jadi macam ni”
“ Ibu sedar bila ibu perhatikan gambar itu, parut takde kat perut perempuan yang jadi Sarah tu. Ibu masih ingat Sarah ada parut kat perut” Sarah mengangguk, memang dia ada parut ditepi perutnya, parut bekas appendix. Syukur Alhamdulillah.. kini ibunya sudah memaafkannya dan berada disisinya. Kelihatan murid-murid Arman sudah tiada dalam bilik itu. Puan Aminah, Arman mahupun Puan Salmah sekeluarga menyeka air mata yang mengalir melihat dua beranak yang sudah bertemu itu.
“ Lepas ni, boleh la kita buat persediaan untuk persandingan pula. Sebenarnya abang nak bawa kita sekeluarga pergi menunaikan haji tapi...” Arman menyentuh lembut perut Sarah.
“... Perut ni tak lama lagi membuyung”
“ Apa maksud abang?” Sarah mahupun ahli keluarga yang lain jugak bingung dengan kata-kata Arman.
“ Tak lama lagi, dengan izin Allah, Sarah akan menjadi mama dan abang akan menjadi papa”
“ Tapi..”
“ memang.. abang pun tak percaya. Dengan hentakan yang kuat mengenai Sarah, mustahil Sarah mengandungkan. Tapi tak mustahil jika itu kehendak Allah sayang. Dengan keajaibanNya, benih yang mula membesar ini masih kuat menghuni di perut ini. Baru nak masuk 2 minggu sayang. Berdoalah supaya Allah mempermudahan kandungan ini” serentak menusia yang berada didalam bilik itu mengaminkan.
Sarah benar-benar bersyukur. Dia memeluk erat Arman. Dengan dugaan yang mendatang rupanya ada hikmah disebaliknya. Tidak akan dipersiakan kandungannya ini. Dia juga akan memastikan yang dia akan sentiasa mentaati suaminya dan jugak keluarganya. Yang paling penting mentaati suruhanNya.


P/S :
Untuk renungan bersama.. ‘ Jangan sesekali kita menilai seseorang itu dari luaran kerana luaran seseorang tidak selalunya mencerminkan dalamannya’

Tidak ada komentar:

Posting Komentar