Senin, 25 Juli 2011

SPECIAL N3


            “Ayu!,”
            Satu suara asing yang menyapa dari belakang mematikan langkahnya. Ada sedikit rasa hairan. Perlahan dia berpaling. Renungannya mati pada sesusuk tubuh yang semakin mendekat. Berpandangan dengan seraut wajah yang tidak ingin dia jumpa. Kepalanya ligat melihat sekeliling. Apa lelaki ini buat di sini? Segera dia memalingkan muka. Dan jelas kedengaran derap langkah di belakangnya semakin melaju.
            “Ayu!,”
            Dan, kini lelaki itu sudah tercegat menghalang laluannya. Cukup untuk membuat dia diserbu rasa gelisah yang teramat sangat. Risau kalau-kalau terserempak dengan pekerjanya atau barangkali dengan Hisyam sekali. Memang Hisyam sudah beritahu yang dia tidak akan balik ke pejabat hari ini. Namun, itu tidak cukup melegakannya. Bertemu dengan lelaki ini membuat dia berasa terlalu serba-salah.
            “Ayu nak ke mana?,”
            “Apa awak buat kat sini? Macam mana awak jumpa tempat kerja saya?,”sedikit cemas soalan itu meniti di bibirnya. Kepalanya sudah cukup sarat dengan masalah untuk ditambah pula dengan gangguan daripada lelaki ini.
            Borhan tegak berdiri di hadapan Idayu. Memandang wajah Idayu yang jelas kelihatan cukup terganggu. Begitu sekalikah Idayu tidak dapat menerima kehadirannya? Masih menebalkah benci Idayu padanya?
            “Ayu sihat?,”dia bersuara memulakan perbualan.
            “Sihat atau tidak bukan masalah awak, Borhan. Tolong pergi dari sini. Saya tak nak orang nampak awak dengan saya,”
            “Kenapa? Kita bukan buat apa-apa pun. Can we talk?,’
            “Tak boleh. Saya tak suka nak jumpa awak,”
            Pandangan redup Borhan jelas kelihatan hiba.
            “Benci betul Ayu pada saya, ya? Jelas Ayu masih tak dapat nak maafkan saya,”
            “Semua tu cerita lama. Saya pun dah lupakannya,”
            “Kalau dah lupakan, kenapa masih anggap saya macam musuh?,”
            Idayu menentang renungan Borhan. Wajah itu sudah sedikit berubah. Sudah lebih matang berbanding lebih tujuh tahun yang lalu. Betapa lamanya dia tidak memandang wajah itu. Di perkahwinan Hasmieza pun, pandangannya tidak begitu terarah pada lelaki ini.
            “Saya tak pernah anggap awak macam musuh. Cuma, antara kita memang sudah tidak ada ikatan. Saya lebih suka begini. Jadi, saya mohon sekali lagi. Tolong pergi. Saya tak mahu nanti ada yang salah sangka,”
            “Saya rindukan Ayu,”
            Bagai putus nafas Idayu mendengar luahan itu. Tajam dia merenung wajah Borhan.
            “Apa awak cakap ni?,”sedikit keras soalan yang meniti di bibirnya.
            “Saya mahu Ayu beri saya satu lagi peluang. Kita mulakan semula hubungan kita. Please, Ayu…,”
            Idayu merengus perlahan. Tidak lagi berminat untuk meneruskan perbualan sia-sia ini. Pantas dia menghayun langkah mahu meninggalkan Borhan. Pantas juga Borhan mencapai lengannya. Membuat langkahnya terhenti. Sekaligus membuat berderau darah naik ke wajahnya. Kuat dia merentap tangannya. Merenung tajam wajah Borhan. Cukup tidak suka dengan gangguan ini.
            “Jangan sesekali sentuh saya,”
            “Apa yang Ayu harapkan lagi dari perkahwinan Ayu ni? Saya boleh bahagiakan Ayu lebih daripada Hisyam. Ayu kembali kepada saya,”
            Idayu menahan nafas. Entah kenapa bertubi-tubi dugaan menimpanya. Belum pun reda kerenah Hisyam membuat dia penat, muncul pula Borhan yang tidak pernah mahu mengerti ini. Tingkah Borhan tiba-tiba menyakitkan hati. Tiba-tiba menambahkan beban yang memberat di kepalanya. Membuat kepalanya tiba-tiba terasa sakit.
            “Tolong Borhan. Saya mohon jangan ganggu saya. Walau apa pun yang berlaku dalam rumahtangga saya, langsung tak ada kena mengena dengan awak. Saya cintakan suami saya. Sepenuh hati saya. Saya tak mahu ada gangguan lain dalam hidup saya. Saya mahu hidup aman dengan suami dan anak saya,”sedikit kasar bicara yang terpacul dari bibirnya. Berharap dengan kekasaran itu, Borhan akan pergi. Namun, lelaki itu tetap berdiri menghadapnya. Terus merenung wajahnya.
            “Ayu bohong…,”
            “Tak ada sebab untuk saya berbohong. So, please tinggalkan saya di sini. Saya tak suka jumpa dengan awak,”
            “Saya tahu Ayu sedang sedih sekarang. Saya tahu hati Ayu sakit dengan perbuatan Hisyam,”
            Idayu mengeluh panjang. Borhan bagai tidak memahami keinginannya. Langkah diatur sekali lagi. Cuba mencelah di balik tegapnya tubuh Borhan yang menghalang langkahnya. Benar-benar dia mahu lari daripada lelaki ini. Dan, sekali lagi lengannya dipaut.
            “Lepaskan!,”bentaknya sedikit menjerit. Geram yang bukan sedikit dengan sikap kurang ajar Borhan. Satu renungan penuh kemarahan menikam wajah Borhan.
            “Awak tolong pergi…,”rayunya sekali lagi. Memohon pengertian daripada lelaki itu.
            I am sorry. Tapi, tolong bagi peluang untuk kita bercakap. Sekejap pun tak apa,”
            “Borhan, saya tak ada apa-apa perkara pun nak bercakap dengan awak. Saya ada kerja dan tolong jangan halang laluan saya. Saya dah lupakan kebencian saya pada awak. Jangan awak buat saya benci awak semula,”
            Borhan mengeluh berat. Sedikit pelik dengan kekerasan hati Idayu. Sedikit pun Idayu tidak mahu memberi dia peluang. Dengan wajah sedikit berputus – asa, dia sekali lagi mencari wajah Idayu. Wajah itu terus dibayangi riak marah.
            “Tolong pergi…,”Idayu bersuara lagi. Ingin Borhan segera berlalu apabila kepalanya mula terasa berat. Sememangnya fikirannya sudah terlalu terbeban dengan pelbagai kerenah Hisyam untuk beberapa ketika ini. Dia tidak perlukan kerenah Borhan untuk menambahkan tekanannya.
            “Ayu okay? Ayu nampak macam tak sihat,”Borhan bersuara lembut apabila melihat Idayu seakan menahan sakit. Juga wajah kesayangannya itu sudah sedikit pucat.
            “Saya okay kalau awak pergi dari sini. Awak mengganggu saya,”
            No. Ayu tak okay. Ayu tak sihat ke?,”
            Idayu membuang pandang. Cuba menghayun langkah. Namun, matanya seakan berpinar. Hampir dia terjatuh kalau  tangan Borhan tidak pantas memaut bahunya.
            “Ayu… kenapa ni?,”
            “Saya…,”
            Kata-kata Idayu terhenti di situ. Tubuhnya terkulai di dalam pegangan Borhan. Membuat Borhan terkejut bukan sedikit. Segera dia melutut sambil meriba Idayu yang sudah tidak sedarkan diri. Perlahan dia menampar pipi mulus Idayu sambil menyeru nama wanita itu. Idayu tidak bereaksi. Matanya liar memerhati sesiapa yang berada berhampiran untuk meminta bantuan.
            “Puan Idayu! Kenapa ni? Apa awak dah buat pada bos saya ni?,”
            Satu suara lantang menegurnya dari belakang. Segera dia menoleh.
            “Awak kenal Idayu?,”
            “Dia bos saya. Encik ni siapa? Apa Encik dah buat pada Puan Idayu ni?,”
            “Dia pengsan. Saya hantar dia ke hospital. Awak hubungi suami dia ya,”
            Mendengar lelaki asing yang sedang memangku Idayu itu menyebut tentang suami Idayu, prasangka Nora sedikit berkurangan. Segera dia tunduk membantu lelaki itu mengangkat tubuh Idayu yang terkulai lemah.
            “Tolong buka pintu kereta saya,”Borhan bersuara sambil menghulurkan segugus kunci pada gadis di hadapannya. Nora pantas mencapai dan terus menuju ke arah Mitsubishi Lancer merah yang ditunjuk lelaki itu. Alat penggera ditekan dan pintu dibuka segera. Memberi ruang untuk lelaki itu meletakkan tubuh Idayu ke dalam perut kereta.
            “Saya nak ikut. Saya nak temankan Puan Idayu,”
            “Awak beritahu suami dia. Saya akan bawa dia ke hospital,”
            Nora tercegat seketika. Serba – salah. Bolehkah dia percaya pada lelaki ini. Matanya tajam merenung wajah lelaki itu yang jelas kelihatan cemas. Wajah itu tidak kelihatan seperti mempunyai niat yang tidak baik.
            My key…,”
            Sedikit teragak-agak, Nora menghulurkan kunci kereta pada lelaki itu.
            “Siapa nama Encik?,”
            “Saya Borhan. We don’t have to waste our time here. You just dapatkan husband Idayu. Tell him,”
            Nora mengangguk. Meminggir perlahan untuk memberi ruang  Borhan bergerak ke arah tempat pemandu. Dia perlu cepat. Dia tidak tahu apa yang sedang berlaku pada Idayu. Dia perlu cepat-cepat menyelamatkan wanita itu.
            Nora memandang kereta itu bergerak meninggalkannya. Kemudian dia bergegas mengatur langkah. Dia perlu segera memberitahu Hisyam apa yang telah menimpa Idayu.


****


            Matanya terus menatap wajah Idayu yang memucat.
            “Encik tak perlu risau. Dia tak apa-apa. Cuma tekanan darahnya rendah. Tapi jangan risau. Ini normal di awal kehamilan. Barangkali disebabkan perubahan hormon. Kondisinya memang lemah sikit. Biarlah dia berehat,”
            Penjelasan daripada doktor itu membuat dia sedikit tersentap. Tidak menyangka Idayu sedang mengandung. Dia membetulkan duduknya sebaik mata Idayu perlahan-lahan terbuka. Tersenyum sebaik pandangan mereka berlaga. Idayu mengengsot perlahan sambil bersandar ke katil.
            “Macam mana saya boleh ada kat sini. Apa awak buat kat sini?,”
            “Ayu pengsan tadi,”
            Idayu diam. Teringat dia sedang berusaha mengelak daripada lelaki ini dan, pandangannya tiba-tiba gelap.
            “Kenapa dengan saya?,”
            “Doktor cakap Ayu pregnant. Tekanan darah rendah,”
            Idayu terdiam. Mengandung? Satu berita yang cukup mengejutkan. Benarkah dia sedang mengandung?
            “Betul?,”
            Borhan tersenyum sambil mengangguk. Idayu tersenyum manis. Namun, senyumnya perlahan-lahan menghilang. Borhan bukan teman yang baik untuk dia berkongsi kegembiraan ini.
            “Saya dah okay. Terima kasih sebab tolong saya. Tapi, saya rasa baik awak pergi. Saya tak mahu nanti ada salah faham,”
            “Kenapa keras sangat hati Ayu? Bagilah satu peluang pada saya. Saya tak kisah dengan keadaan Ayu. Saya sanggup terima anak-anak Ayu,”
            “Apa awak cakap ni?,”
            “Ayu bahagia ke hidup macam ni?,”
            “Itu semua bukan masalah awak. Saya tak tahu macam mana awak dapat alamat tempat saya kerja. Tapi, saya nak awak tahu satu perkara. Saya tak perlukan awak dalam hidup saya,”
            “Saya tak sanggup tengok Ayu macam ni,”
            Langkah kaki Hisyam terhenti tiba-tiba mendengar suara lelaki dari dalam bilik Idayu. Siapakah lelaki itu? Daripada pintu yang terkuak, dia melihat wajah Idayu yang tersandar di katil dan seorang lelaki sedang membelakanginya.
            “Buat apa Ayu terus nak sakitkan hati sendiri? Ayu tak patut terima semua ni. Sepatutnya Ayu hidup bahagia. Ayu berhak untuk bahagia. Biarkan dia dengan perempuan yang dia pilih. Ayu patut pilih hidup yang lebih baik,”
            Hisyam terus memaku langkahnya. Dada sudah berombak kencang. Sungguh kata-kata itu cukup mencabar kelelakiannya.
            “Abang yakin sangat isteri abang tu baik. Kalau baik sangat, macam mana ex-boyfriend boleh tahu rumahtangga dia ada masalah? Ex-boyfriend jadi tempat dia luahkan perasaan ke?,”
            Sepintas kata-kata Maisara mengasak mindanya. Benarkah kata-kata gadis itu? Kalau tidak benar, bagaimana lelaki ini seperti mengetahui segala-galanya tentang rumahtangga dia dan Idayu. Matanya merenung wajah Idayu dari jauh. Sampai hati Idayu. Sungguh dia kecewa dengan Idayu. Sangkanya Idayu adalah wanita yang teramat sempurna. Namun, di mana kesempurnaan itu, kalau Idayu boleh berhubung dengan lelaki lain sejauh ini?
            “Hisyam tak berhak untuk lukakan hati Ayu macam ni. Tinggalkan Hisyam. Kita bina hidup baru. Kita kahwin…,”
            Sebaris kata-kata itu tidak mampu membuat dia terus bersembunyi di situ. Agak kuat pintu diketuk. Sengaja mahu membuat pasangan itu terkejut dengan kehadirannya. Dan, dia sedar wajah Idayu yang disapu riak terkejut bukan sedikit. Dia melangkah masuk. Lelaki bersama Idayu menoleh. Dia kenal wajah itu. Wajah itulah yang membuat dia tidak senang hati di perkahwinan Hasmieza dulu. Memang Idayu sedang sembunyikan sesuatu daripadanya. Satu pandangan kecewa dilontarkan pada Idayu.
            “Abang…,”
            “Sampai hati Ayu. Ayu ingat abang ni, apa? Patutlah Ayu macam tak kisah dah. Senang saja Ayu izinkan abang kahwin dengan Maisara. Rupa-rupanya Ayu pun ada rancangan sendiri ya? Dia ni tempat Ayu meluahkan perasaan ke?,”
            “Abang. Bukan macam tu…,”

JANGAN LUPA DAPATKAN VERSI CETAK SEP NANTI. INSYAALLAH...

Selasa, 19 Juli 2011

Mungkinkah? 5

Helaian kertas yang sedikit berserakan di atas meja, dikemas dengan sedikit malas. Temujanji sudah selesai, dan dia bersedia untuk pulang semula ke pejabat. Lemah semangat untuk dia meneruskan kerja. Dan tanpa disedari tingkahnya diperhati dalam diam.
            “Kita balik sekarang? Encik Karim?,”dia bersuara sambil mengangkat muka. Bertentang mata seketika dengan majikannya itu. Lelaki itu tersenyum nipis.
            “Arisa, ayah awak macam -mana?,”
            Arisa diam seketika. Memandang wajah Encik Karim. Majikannya itu kelihatan seperti mahu berlama di restoran ini.
            “Semalam dah boleh balik, Encik Karim,”perlahan dia menjawab. Segera teringatkan bapanya yang cukup lemah terbaring di katil. Kasihan bapanya.
            “Apa sebenarnya masalah awak ni? Cuba ceritakan pada saya. Kalau saya boleh tolong, InsyaALLAH saya akan tolong,”
            Arisa memandang wajah Encik Karim yang kelihatan ikhlas bertanya. Melihat wajah itu, dia teringat pada cadangan Tasnim.
                “Apa kata kau pinjam dengan Encik Karim?,”
            “Kau gila ke? Kau ingat Encik Karim tu gila nak bagi aku pinjam duit sebanyak tu? Jangan cakap yang bukan-bukanlah,”
            “InsyaALLAH boleh. Encik Karim tu baik. Mungkin dia boleh tolong. Kau cubalah,”
                Kata- kata itu berlegar di mindanya. Perlukah dia senekad ini demi menghalang Radhi daripada terus mengganggu dia dan keluarganya?
            “Terlalu peribadi, Encik Karim. InsyaALLAH saya cuba selesaikan sendiri,”
            Encik Karim tersenyum lagi. Kali ini bersama gelengan perlahan.
            “Awak pekerja kesayangan saya. Saya tak nak tengok prestasi kerja awak terganggu dengan masalah peribadi yang tak selesai-selesai. Saya tak suka pekerja yang gagal ketepikan masalah bila berada di pejabat,”
            Arisa menunduk. Itu merupakan teguran Encik Karim yang kedua. Ketara sangatkah kegagalannya menjalankan tugas dek kerana masalah dengan Radhi?
            “Saya faham, encik. Saya minta maaf. Saya akan cuba selesaikan masalah ni secepat mungkin,”
            “Macam-mana?,”
            Arisa mengeluh perlahan. Kembali mencari wajah Encik Karim. Soalan itu tiada jawapan kerana dia sendiri masih buntu mencari jalan penyelesaian.
            “Saya boleh pinjamkan awak dua puluh ribu tu,”
            Arisa ternganga. Membuntang mata memandang wajah majikannya itu. Adakah ini semua satu halusinasi? Mungkinkah dia tersilap dengar. Rasanya dia belum meluahkan apa-apa pada lelaki ini. Dari mana lelaki ini mendapat angka itu?
            “Arisa, tak salah kalau kita minta bantuan daripada orang lain, kalau kita benar-benar perlukannya. Masalah tak akan selesai kalau awak pendam semua masalah awak ni sendiri. Suami awak terus ganggu awak. Keadaan kesihatan ayah awak pun semakin terganggu. Konsentrasi kerja awak turut terjejas. Sampai bila awak nak hadapi itu semua?,”lembut sahaja suara lelaki itu meresap ke gegendang telinganya. Dengan penuh tanda tanya, dia merenung wajah majikannya itu. Tasnim. Hanya imej Tasnim yang memenuhi mindanya saat ini. Hanya Tasnim yang tahu segalanya. Mungkinkah Tasnim yang bercerita?
            “Tasnim?,”sebaris nama itu meniti perlahan di bibirnya.
            Encik Karim tersenyum nipis. Sekuntum senyuman yang mengiyakan teka-teki di kepalanya.
            “Tasnim cuma nak membantu awak,”
            Arisa mengeluh perlahan. Ada sedikit rasa kecewa dengan sikap Tasnim. Namun, beanr kata Encik Karim. Barangkali Tasnim cuba membantunya.
            “Jumlah tu bukannya sikit, Encik Karim. Banyak…,”
            “Anggap saja saya pinjamkan pada awak. Awak bayar perlahan-lahan pada saya. Saya ikhlas nak bantu,”
            Arisa menggeleng perlahan. Merenung wajah majikannya yang sentiasa tenang.
            “Nanti apa kata staff lain?,”
            Lelaki di hadapannya itu tergelak halus.
            “Arisa…Arisa… takkan saya nak buat announcement pada semua staff kalau saya membantu salah seorang staff saya. Yang tahu, cuma saya…awak dan Tasnim. Saya tak nampak di mana masalahnya kalau awak terima pertolongan saya,”
            “Tapi…,”
            “Awak nak kekal hidup dengan suami awak?,”
            Arisa menggeleng. Memang perasaan untuk bersama Radhi sudah mati. Cuma satu yang dia harapkan daripada lelaki itu. Berharap agar Radhi terus lenyap dari hidupnya. Kalau boleh, nama lelaki itu pun dia ingin padam dari ingatannya.
            “Geleng? Means? Tak tahu? Tak pasti? Or…tak mahu?,”Encik Karim bertanya lagi.
            Seketika Arisa terdiam. Bibir bagai terkunci. Pelik rasanya apabila hari ini Encik Karim mengajak dia berbincang soal seperibadi ini. Cukup Tasnim seorang yang menjadi tempat dia meluahkan perasaan. Apabila Encik Karim turut menunjukkan sikap mengambil berat, dia benar-benar buntu.
            “Arisa… saya mahu bantu awak. Awak kena benarkan saya bantu awak. Berdiam diri. Memendam rasa, bukan cara untuk selesaikan masalah,”
            “Saya tak selesa berbincang soal peribadi macam ni…,”
            “Awak kena percayakan saya. Saya ikhlas nak tolong awak. Awak memang perlukan seseorang untuk bantu awak,”
            “Saya tahu,”
            “So?,”
            “Saya tak tahu nak minta tolong dengan siapa. Saya tak nak bebankan ayah saya,”
            “Awak memang tak mahu lagi hidup bersama suami awak?,”sekali lagi soalan itu meniti di bibir Encik Karim.
            “Tak nak,”
            “Awak nak minta fasakh?,”
            “Ayah saya masuk hospital sebab saya beritahu dia, saya nak minta fasakh. Tiap-tiap hari dia datang ganggu ayah…,”
            “Jadi, yang dia mahu cuma duit?,”
            Dengan bibir mata mula memberat, Arisa mengangguk perlahan.
            “Dia cuma akan lepaskan awak, kalau awak bayar dia?,”
            Arisa mengangguk lagi.
            “Tebus talak?,”
            “Nampaknya saya terpaksa buat macam tu. Kalau tak, dia dah ugut dia akan terus ganggu kami sekeluarga,”
            Satu keluhan yang keluar dari mulut Encik Karim, mendorong Arisa mengangkat muka. Memandang wajah lelaki itu kini sedikit mendung.
            “Saya tumpang simpati dengan masalah awak…,”
            Arisa tersenyum kelat.
            “Tak patut saya ceritakan semua ni pada Encik Karim…,”
            “Kalau tak nak cerita pada saya, awak nak cerita pada siapa?,”lelaki itu bertanya dengan nada sedikit berseloroh.  Seloroh yang tidak mampu membuat senyum memekar di bibir Arisa.
            “Kalau dah tak ada pilihan lain, awak terimalah bantuan saya. Selesaikan segera masalah awak. Saya harapkan yang terbaik untuk awak,”
            Arisa membeku. Huluran pertolongan sebegini tidak mungkin akan datang untuk kedua kalinya. Mungkin dia perlu menerima pertolongan daripada Encik Karim? Sememangnya tiada lagi sumber lain yang boleh dia harapkan. Untuk membuat pinjaman bank, dia tidak mahu terus terbeban. Pinjaman untuk membeli kereta masih lagi belum lunas semuanya.
            “Tapi, saya tak mampu nak bayar balik nanti…,”
            “Just take your time. Bayar berapa yang awak mampu,”
            Arisa mengeluh perlahan. Saat ini, memang dia malu mahu berhadapan dengan Encik Karim. Malu dengan ketidakberdayaan dirinya. Namun, peluang ini mustahil mampu dia tolak. Demi bapanya, dia harus singkirkan Radhi secepat mungkin.
            “Saya malu dengan Encik Karim. Tapi, saya memang perlukan bantuan ini. Saya cuba langsaikan pinjaman tu secepat yang saya mampu. Terima kasih, Encik Karim,”
            “Tak boleh bayar, kena jadi wife saya,”
            Arisa terpempan. Tajam merenung wajah lelaki itu yang tersenyum lebar. Tidak percaya majikannya itu boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu.
            “Encik….,”
            Encik Karim tergelak besar.
            “Janganlah buat muka macam tu. Saya gurau saja,”
            Arisa tersenyum kelat. Sungguh kurang senang dengan gurauan majikannya itu.
            “Jangan risau. Saya ikhlas nak membantu,”
            Tanpa mampu bersuara, pantas dia mencapai beg tangannya. Berdiri tegak sambil mencapai beberapa helaian kertas bersama planner.
            “Saya rasa baik kita balik ke pejabat sekarang? Atau…Encik Karim ada hal lain? Saya boleh balik ke pejabat dengan teksi,”
            “Tak. Saya pun nak pulang ke office,”
            Arisa mengangguk perlahan. Encik Karim tersenyum sambil turut mengangkat punggung.


*****

Minggu, 10 Juli 2011

CERPEN : MENENTANG PERJODOHAN


“ Alhamdulillah..”

Suara umi Sofea, Puan Aisyah menyapa ke telinga Sofea. Airmata Sofea mula bergenang. Tanpa ditahan airmata itu akhirnya jatuh mengalir ke pipi. Hanya sekali lafaz, Sofea kini mutlak menjadi isteri kepada Adam Alfian. Pernikahan ini bukanlah suatu paksaan dan ia juga bukan dengan pilihan hatinya. Dia redha dengan pilihan keluarganya. Sofea masih ingat lagi kata-kata pujukan dari umi dan walidnya.

“ Kami risau Fea. Umur kamu dah 26 tahun tapi kamu masih belum berteman. Siapa yang nak jaga kamu dikemudian hari kalau kami ni dah tak ada? Umi dengan walid sayang sangat dekat kamu. Fea ajelah anak yang kami ada. Walaupun ada keluarga terdekat tapi tak sama kalau kamu dah bersuami”

Itulah kata-kata umi Sofea yang membuatkan Sofea rasa sayu.

“ Dalam beberapa bulan ni, kami asyik fikirkan masalah kamu ni. Masalah kesihatan walid pun sekarang ni semakin bertambah, ada saja yang perlu diperiksa. Walid takut, walid tak sempat nak mewalikan kamu bila kamu kahwin nanti. Kalau Fea sudah ada teman, janganlah segan untuk memperkenalkan kepada walid dengan umi nak”

Sofea hanya menggeleng. Memang dia belum mempunyai teman istimewa. Mana tidaknya, Sofea seorang yang pendiam, bercakap bila perlu sahaja. Itu yang menyebabkan dirinya sukar untuk didekati. Dia ibarat mempunyai segala-galanya, rupa mahupun kerjaya. Dia adalah seorang pensyarah di sebuah universiti terkenal di ibu kota. Walaupun dirinya seorang pendiam tapi bila mengajar anak didiknya, dia menjadi seorang yang berbeza.

Reaksi hampa terpancar di wajah umi dan walidnya. Sofea cuba memikirkan sesuatu. Dia tahu kegusaran yang melanda hati orang tuanya.

“ Kalau macam tu... Walid dengan umi pilihlah mana-mana lelaki yang sesuai dengan Fea. Fea akan terima dengan hati yang terbuka”

Itulah yang difikirkan oleh Sofea sebulan yang lepas. Menerima pilihan dari keluarga dengan ikhlas. Dia percaya, pilihan keluarganya semestinya dari keluarga yang baik-baik juga.

Suaminya kini menuju kearahnya. Acara pembatalan air sembahyang akan berlangsung. Adam Alfian menyarungkan cincin ke jari manis Sofea, begitu juga Sofea. Ketika mata bertemu mata, hati Sofea terusik, getaran yang dirasakan seperti beralun mengikut irama. Pertama kali dia rasakan perasaan ini. Adakah ini yang dinamakan cinta? Soal hati Sofea. Tanpa jawapan, dia nekad akan menjadi seorang isteri yang mentaati suami, menyayangi suaminya dengan penuh kasih sayang.
Bila bibir Adam Alfian menyentuh dahinya, sekali lagi airmatanya jatuh ke pipi. Dia terkejut bila Adam Alfian menyeka airmatanya sambil tersenyum. Itulah senyuman yang selalu Adam Alfian lemparkan kepadanya bila setiap kali mereka bertemu.

Adam Alfian merupakan saudaranya, saudara yang tidak terlalu dekat dan tidak juga terlalu jauh. Disebabkan hubungan walid Sofea dan juga ayah Adam Alfian begitu rapat jagi keraplah mereka bertemu bila masing-masing mengadakan acara keramaian mahupun kekeluargaan. Sofea dengan Adam Alfian memang jarang sekali berborak, hanya sekadar bertukar-tukar senyuman bila berjumpa dan hanya bercakap bila perlu saja.

Ini hanya acara pernikahan, kerana pihak lelaki menginginkan sebegitu. Acara persandingan akan berlangsung dikemudian hari. Sofea juga mengharapkan sebegitu. Sementara dia juga sibuk dengan anak didiknya yang tidak lama lagi menghadapi peperiksaan.

Selesai segala-galanya, mereka sekeluarga solat berjemaah. Setelah mengemas segala apa yang patut diruang tamu dan dapur, Sofea mengerling kearah jam dinding, ternyata jam menunjukkan 12 tengah malam, Sofea bersedia untuk masuk kebilik. Suaminya juga sudah tidak kelihatan. Mungkin sudah masuk kebilik, fikir Sofea.

Adam Alfian gelisah menunggu kehadiran Sofea. Dia harus menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku. Perasaan marah masih membelenggu dirinya terhadap keluarganya. Dia cuba berlagak seperti menerima Sofea dengan hati yang terbuka di hadapan keluarga mertuanya.

“ Kamu jangan sesekali mengungkit tentang Zara kepada Sofea! Kalau ayah dapat tahu kamu cuba membatalkan pernikahan ini. Kamu tahulah bala yang akan menimpa kamu akibat ingkar kata-kata orang tua. Huh! Si Zara tu memang belum bersedia nak kahwin, dia ingat kamu ni semakin muda agaknya. Dari tahun lepas dah ayah suruh kamu berkahwin tapi sampai sekarang pun masih belum berhasil! Mana si Zara kamu tu? kalau benarlah dia nak kahwin dengan kamu, ayah bagi tempoh sebulan tu sepatutnya dia dah terima kamu. Tapi tengoklah, masih tak ada perkembangan. Keputusan ayah dah muktamad! Ayah nak kau kahwin dengan Sofea!”

Dia masih teringat kata-kata ayahnya. Bila dia cuba ingin menjelaskan hubungannya dengan teman wanitanya, Zara, kepada Sofea ketika mereka bertemu untuk mengenali dengan lebih dekat lagi, yang kononnya masa itu dia hendak Sofea memikirkan tentang keputusan yang Sofea buat tapi akhirnya hanya tersimpan kemas di dalam hatinya. Dia bukanlah anak yang tidak mengenang budi, sanggup ingkar kehendak orang tua tapi perasaan marah itu tetap ada. Dia tidak mencintai Sofea! Dia sudah ada Zara dan pernah berjanji akan menempuhi kehidupan bersama untuk selamanya. Dia juga akui bahawa Zara seorang yang mementingkan kerjaya. Banyak kali juga dia melamar Zara tapi Zara masih meminta tempoh sampailah dia mengahwini Sofea. Entah kenapa, apa yang mendorong dirinya untuk terus menerima pernikahan itu. Dengan hanya sekali lafaz, dia sudah bergelar suami. Sekali lafaz! Seperti dirinya mencintai Sofea. Situasi itu tadi seperti bukan paksaan dalam dirinya, ibarat kerelaannya. Hairan...

Dia buntu. Emaknya juga hanya berdiam diri, langsung tidak membela dirinya apatah lagi adik-beradiknya yang lain juga menyokong saranan ayahnya yang menginginkan dia untuk berkahwin dengan Sofea.

“ Betul kata ayah tu Pian. Abang dengan kakak pun setuju. Sampai bila kau nak membujang? Nak tunggu si Zara, alamat semakin tua lah engkau. Umur dah 32. Si Zara tu aku tengok muda lagi, dalam lengkongan 24, patut aje dia tak bersedia nak kahwin. Kau tu adik bongsu kami, kau jugaklah adik-beradik yang masih bujang. Seeloknyalah kau kahwin sementara semua keluarga kita masih ada. Nak tunggu sampai bila? Sofea tu bukannya orang lain kita, baik, berpendidikan. Apa lagi yang kau nak?”

Kata-kata itu dari abangnya yang terus disokong oleh kakaknya, Amirah.

Pintu bilik dibuka dari luar, kelihatan sofea menjengulkan diri. Dia nekad, apa nak jadi, jadilah. Dia sudah tidak peduli lagi. Cintanya hanya untuk Zara! Itu yang pasti!

“ Kita perlu berbincang”

Adam Alfian terus bangkit dari birai katil dan menuju ke sofa yang terletak berhampiran dengan beranda bilik Sofea itu.

Terhenti pergerakan Sofea dari terus membuka tudungnya. Apa yang perlu diperbincangkan lagi? Tanya hati Sofea. Dia mengambil tempat duduk berhadapan dengan Adam Alfian.

“ Ada apa bang?”

Tanya sofea lembut.

“ Saya nak bagitahu... Saya menerima awak hanya disebabkan dari suruhan keluarga. Tiada perasaan cinta langsung untuk diri awak. Saya sudah ada pilihan saya sendiri. Maaf, mungkin ini hanya akan menyakitkan hati awak. Tapi perjalanan rumah tangga kita biarlah ianya seperti angin. Saya tidak akan sesekali mengabaikan nafkah zahir, tapi selebih itu, saya tidak akan masuk campur. Bila Zara sudah bersedia, saya akan mengambilnya sebagai isteri. Saya harap awak faham maksud saya ni”

Adam Alfian hanya tunduk memandang jari-jemarinya ketika dia meluahkan bicaranya. Tidak sanggup melihat reaksi Sofea, perempuan yang sangat lembut hatinya. Tegarkah dia berkata sebegitu? Dia hanya ingin berterus-terang.

Sofea terkaku. Hatinya ibarat dihiris-hiris. Sebak dirasakan bila suami sendiri menyebut nama perempuan lain di hari pertama pernikah mereka. Airmata mula bergenang, tidak disangka rupanya rumah tangganya akan jadi sebegini. Dia tunduk, takut Adam Alfian terkesan airmatanya. Hanya lampu tidur yang menerangi bilik tidur mereka. Dia tidak mahu suaminya sangka dia perempuan yang lemah.

“ Saya akan menerima dengan hati yang terbuka. Apa yang penting, saya akan buat yang terbaik untuk abang. Saya tidak akan memaksa abang untuk mencintai saya tapi biarlah saya berusaha menjadi isteri yang diredhai suami sepanjang perkahwinan kita”

Adam Alfian terus mendongak, mencari wajah Sofea. Dia fikir Sofea akan melemparkan kata-kata amarah tapi apa yang didengarnya adalah yang sebaliknya.

Sofea cuba untuk tersenyum walaupun sukar untuk dia melakukan. Deringan telefon bimbit Adam Alfian mengganggu perbincangan mereka.

Adam Alfian bangkit dan terus menuju ke beranda bila melihat nama si pemanggil.

“ Sampai hati you sayang! I benci you!! Mana janji-janji you dulu tu?? I ingat you sayang dekat I, dan sanggup tunggu sampai I bersedia. Tapi kenapa ini yang you laku kan?? You hancurkan hati I!!”

Esakan dari tangisan Zara kedengaran. Semakin sayu Adam Alfian rasakan. Dia juga terseksa. Tapi apakan daya, semuanya sudah terjadi.

“ Sayang... I sememangnya sayangkan you tapi ini atas arahan dari orang tua I. You kena faham situasi I. I dah banyak kali lamar you tapi setiap kali itu juga you minta tempoh dari I sampai keluarga I naik bosan. I dah tiada pilihan sayang. I terpaksa”

“ You tipu!! I bencikan you. Sayang I dekat you setinggi melangit. Tapi ini yang I dapat dari you? I.. I..”

Tanpa habis bicara, Zara sendiri yang menutup panggilan itu. Adam Alfian dapat rasakan kesengsaran Zara. 3 tahun menyemai cinta, akhirnya dia sendiri mengahwini orang lain. Adam Alfian cuba menghubungi Zara kembali tapi tindakkan Zara yang terus mematikan telefon bimbit itu sukar untuk dia menghubungi. Dia meraup wajahnya dan keluhan pun kedengaran.
Disebalik itu, Sofea yang setia menanti disofa, mendengar kata-kata Adam Alfian kepada Zara itu. Yakinlah dia tiada langsung ruang untuk dirinya berteduh di hati suaminya. Dia cuba menekan dadanya yang terasa ngilu itu. Tanpa menunggu lama, dia terus mengambil baju tidurnya dan masuk ke bilik mandi. Di sanalah dia menempiaskan airmatanya.

Adam Alfian mencari kelibat Sofea yang tadi di sofa. Di katil pun tiada, mana perginya? Desis hati Adam Alfian. Pintu bilik mandi terbuka dari dalam, dia melihat Sofea sudah mengenakan baju tidur, rambutnya juga sudah kelihatan. Berbeza benar Sofea tanpa mengenakan tudung. Bertambah cantik. Adam Alfian meraup wajahnya, memang cabaran yang tinggi bila berdua-duaan sebegini. Apatah lagi orang yang bersamanya kini, orang yang bergelar isterinya.

“ Abang dah mandi? Biar saya sediakan keperluan abang”

“ Tak apa. Saya dah mandi”

Adam Alfian memandang hairan bila Sofea sudah menyediakan selimut tebal berhampiran dengan katil. Satu daripada bantal dari katil diambil dan di letakkan berdekatan dengan selimut tebal itu.

“ Biarlah saya tidur dekat bawah. Abang tidurlah dekat atas”

Kini fahamlah dia, Sofea mahu tidur dilantai dan hanya berlapikkan selimut tebal.

“ Tak apa. Biar saya tidur dekat sofa tu. awak tidurlah dekat katil ni”

Sofea hanya menggeleng. Dia tidak mahu sebegitu. Keselesaan suami lebih penting.

“ Jangan bang.. Saya tak nak abang tidur di sofa, apa gunanya ada katil kalau abang tak tidur dekat sini. Abang akan buat saya rasa bersalah kalau abang tak tidur di tempat yang sepatutnya”

Adam Alfian hanya mengeluh. Dia juga tidak sanggup kalau Sofea tidur di lantai mahupun di sofa. Seperti dirinya tidak berperikemanusiaan.

“ Macam ni lah. Kita sama-sama tidur di katil. Tapi jangan risau, tak akan berlaku apa-apa. Itu jaminan dari saya”

Adam Alfian mengambil bantal peluk dan di letakkan di tengah-tengah katil. Ibarat sempadan untuk mereka.

Sofea terkejut. Tidak di sangka, Adam Alfian mencadangkan sebegitu.

“ Tidurlah. Dah lewat sangat ni. Lusa kita balik ke rumah saya”

Adam Alfian terus merebahkan badannya ke katil. Selesa, terasa empuk. Badannya benar-benar letih. Kepala pun sarat dengan masalah. Tapi sebahagian masalahnya dengan Sofea sudah di selesaikan. Yang lain pula, biarlah selepas ini.

Sofea juga merebahkan badan ke katil itu.

“ Abang..”

“ Hmmm..”

Adam Alfian menoleh. Dia melihat Sofea menghulurkan tangan tanda ingin bersalam dengannya. Walaupun terasa janggal tapi dia tetap juga menghulurkan tangannya.

Sofea tunduk lalu mencium tangan suaminya. Sebelum dia berkahwin, memang menjadi kebiasaannya mencium tangan kedua-dua orang tuanya. Walaupun sudah meningkat dewasa.

“ Selamat malam dan Assalamualaikum”

Terkebil-kebil mata Adam Alfian. Salam dijawab perlahan.

...............................

Baru seminggu Sofea tinggal di rumah Adam Alfian, dia di datangi oleh keluarga mertuanya. Sofea merasakan suasana itu sangat meriah, anak-anak abang dan kakak Adam Alfian juga turut datang bersama. Keluarga Adam Alfian melayannya dengan baik sekali. Masalah rumah tangga mereka memang awal-awal lagi dikesan oleh orang tua Adam Alfian. Mana tidaknya, bila Adam Alfian sendiri melayan dingin kehadiran mereka itu. Hanya orang tua Sofea saja yang tidak tahu pergolakkan mereka ini. Sofea rasa sangat terharu bila orang tua Adam Alfian memohon maaf dengan tindakkan Adam Alfian. Kerana mereka menyatakan bahawa hubungan Adam Alfian dengan Sofea, tidak ubah seperti teman serumah saja. Memang Sofea akui. Mereka ibarat seperti teman serumah. Bilik berasingan. Bercakap bila perlu. Meluangkan masa bersama juga tidak ada. Hanya ketika menjamu selera saja mereka duduk di meja yang sama. Itu pun kalau Adam Alfian ingin menjamu selera bersama dengannya.

Berbalik pada layanan baik dari keluarga mertua Sofea, dia berasa sangat beruntung. Dia tiada masalah dengan keluarga mertua. Adakah dirinya berasa bangga bila emak Adam Alfian sendiri menyatakan bahawa mereka sekeluarga kurang selesa dengan Zara? Dia adalah pilihan keluarga mertuanya. Adakah dia sudah berpuas hati dengan kenyataan itu? Dari hati yang paling dalam, dia menginginkan penerimaan yang ikhlas dari suaminnya. Dia benar-benar berharap. Di cintai oleh suami sendiri. Kini dia yakin bahawa cintanya kukuh untuk Adam Alfian. Kalau sekirannya Adam Alfian melayannya dengan buruk atau secara kasar, mungkin cinta itu tidak terlalu cepat untuk tumbuh ataupun mungkin tiada langsung. Tapi disebabkan Adam Alfian melayannya dengan berhemah, cinta itu semakin meliliti seluruh jiwa raganya. Dia sentiasa berdoa agar rumah tangganya akan bahagia seperti orang lain.

...........................

Siap memasak untuk makan malam, Sofea bergegas menaiki anak-anak tangga untuk menuju ke bilik kerja suaminya. Akhir-akhir ini suaminya kerap makan di rumah, dia berasa sangat bersyukur dengan perubahan itu. Dia berusaha untuk balik awal selepas kerja, semata-mata ingin menyiapkan hidangan untuk suaminya. Mungkin suaminya sudah nampak kesungguhannya itu, fikir Sofea.

Tiba dihadapan pintu bilik kerja suaminya, Sofea melihat pintu tidak tertutup rapat. Tangan sudah tersedia untuk menolak pintu itu perlahan. Belum sempat menolak pintu itu tiba-tiba tangannya terkaku. Dia cuba menghayati sebahagian lagu yang di dengar suaminya itu.

Dengarkanlah duhai kasih
cinta di hati hanya untukmu
tak bisa pindah ke lain hati
walau jodoh dari orang tua...

Percayalah duhai kasih
ku menentang perjodohan ini
hanya dirimu yang ku cintai
jangan pergi meninggalkan aku...

Kembalilah... kasih...
kita buka lagi... lembaran baru...
berdua kita raju hati
yang hampir terluka

Airmata Sofea kini menitis tanpa henti. Lagu itu ibarat luahan hati Adam Alfian. Yang langsung tidak menerima perjodohan mereka ini. Habis lagu itu, Sofea di kejutkan lagi dengan bunyi hempasan kuat dari dalam bilik kerja suaminya. Mungkin perkakas yang di atas meja kerja itu dilemparkan oleh suaminya untuk menempiaskan rasa marah. Tidak sanggup dia berlama-lama di situ. Hatinya benar-benar hancur.

Tiba di biliknya, dia merebahkan badan ke katil. Tangisan yang selama ini cuba di tahan akhirnya tumpah kembali seperti hari pertama pernikahan mereka. Sudah hampir lima bulan perkahwinan mereka. Tapi hidup mereka tetap begini. Suaminya langsung tidak ada perasaan untuk dirinya. Masih mencintai Zara. Apa lagi yang harus dibuatnya untuk membeli sekeping hati Adam Alfian? Dia benar-benar buntu.

Hati Adam Alfian terasa sesak. Lagu yang di dengarnya sebentar tadi seperti perjalanan hidupnya kini. Perasaan marah seperti membuak-buak. Habis semua perkakas kerja yang di atas mejanya dilemparkan, termasuk dengan komputer ribanya sekali. Hatinya puas. Zara seperti bermain tarik tali dengannya. Isterinya juga tiada cacat celanya, tiada sumber untuk membuatkan dirinya marah terhadap isterinya itu. Rayuannya langsung tidak di dengar oleh Zara. Bila Zara cuba memberikan dia kata pilihan, dia pula yang terasa pilihan itu sangat berat.

“ Kalau benar you sayangkan I. I berikan kata pilihan, antara isteri you dengan I. You pilihlah. Kalau you lepaskan isteri you, I akan terima lamaran you. Bila-bila masa saja. I dah bersedia. Tapi kalau you masih tak ceraikan isteri you tu, I tak akan menerima you, walau apapun yang terjadi. I tak nak bermadu!”

“ Sayang.. please. I betul-betul tak cintakan dia. Tapi I tak boleh lepaskan dia tanpa sebab. Dia tak pernah buat salah sayang. Cinta I hanya untuk you! You kena ingat tu. Kita bina balik hubungan kita ya Zara”

Zara terus meninggalkan dirinya terkaku sendiri ditengah-tengah restauran itu. Dia tahu Zara marah tapi dia hanya mahu Zara cuba memahami dirinya. Dia tersepit antara cintanya kepada Zara dengan kebaikkan isterinya. Dia cuba beristigfar. Menenangkan diri.

Mata melirik ke jam dinding, hampir pukul 9. Hairan, selalunya isterinya akan menghidangkan makan malam sebelum pukul 8. Apa sudah terjadi dengan Sofea? Dia bergegas keluar dari bilik kerjanya. Barang-barang yang berselerakkan di lantai, hanya di pandang sepi tanpa dihiraukan. Dia terhidu aroma masakan, tiba di ruang tamu, isteri tiada. Di meja makan juga tiada makanan yang di hidangkan. Dia menjenguk ke dapur, memang isterinya sudah siap masak untuk makan malam tapi kelibat Sofea juga tidak ada di ruang dapur. Kenapa dengan Sofea? Adakah dia sakit?
Perasaan risau membelenggu dirinya. Dia mengetuk pintu bilik tidur Sofea. Adam Alfian memandang hairan sejerus Sofea menbukakan pintu. Mata Sofea sembab. Menangiskah dia? tanya hati Adam Alfian.

“ Awak kenapa?”

“ Tak ada apalah bang. Cuma pening sedikit. Mata pula sakit”

Adam Alfian terus melekapkan tangannya ke dahi Sofea. Panas biasa saja. Dia tahu isterinya baru
lepas menangis tapi sebab apa?

Sofea berundur setapak, Adam Alfian seperti tidak mempercayai helahnya. Mana tidaknya, kalau suaranya sendiri sengau akibat menangis. Biarlah, malas Sofea hendak memikirkan lagi. Dia yakin Adam Alfian tetap tidak mencintai dirinya, walau dia menangis darah sekalipun!

“ Abang nak makan? Saya hidangkan ya. Maaf, kalau sudah terlewat untuk makan malam”

“ Kalau pening, tak apalah. Saya boleh buat sendiri”

Adam Alfian menegah Sofea dari menuruni anak tangga.

“ Tak apa abang. Saya OK. Saya pun belum makan lagi ni”

Makan malam mereka seperti makan malam sebelum ini. Cuma kali ini agak janggal, bila Adam Alfian selalu merenungnya. Merenung hanya kerana hairan bukan kerana sayang. Itu yang Sofea pasti!

Hati Adam Alfian bergetar setiap kali matanya merenung Sofea. Mengapa ini yang di rasakannya? bisik hati Adam Alfian. Apa kurangnya Sofea di matanya, dia nampak kesempurnaan dalam diri Sofea walaupun dia yakin setiap insan di dunia ini tiada yang sempurna. Selesai makan malam mereka, masing-masing menuju ke bilik tidur masing-masing. Sofea seperti biasa, bersalam dan mencium tangan Adam Alfian. Entah kenapa, Adam Alfian mendekati Sofea dan terus mencium dahi Sofea. Lama. Selepas itu, ciuman beralih ke dua-dua belah mata Sofea. Sofea tergamam dan hanya merelakan perbuatan suaminya itu.

Adam Alfian tersedar bila bibirnya terasa basah dek airmata Sofea. Dia berundur setapak, terasa dekat benar dirinya dengan Sofea.

“ Jangan menangis kerana saya”

Sejerus berkata sebegitu, Adam Alfian terus masuk ke bilik tidurnya tanpa menoleh Sofea yang terpinga-pinga. Ketika pintu tertutup rapat, dia terus bersandar di pintu. Apa yang di rasakannya ini memang luar biasa. Baru tadi dia memikirkan masalahnya dengan Zara tapi kini hatinya seperti menginginkan Sofea. Arghhhh! Ini hanya nafsu! Bentak hati Adam Alfian. Tapi mengapa hati aku bergetar? Soal hati Adam Alfian. Persoalan itu hanya dibiarkan tanpa jawapan.

Sofea hanya merenung pintu bilik tidur Adam Alfian. Dia bingung, kenapa suaminya buat begitu sedangkan hati suaminya hanya untuk Zara. Airmata yang mengalir tadi adalah airmata kegembiraan. Itulah kenangan yang terindah yang tidak akan di lupakannya, kenangan bersama Adam Alfian. Suami yang di cintainya. Walau hanya sedikit tapi dia tetap bersyukur.


.............................


Sebulan selepas itu, dia di datangi oleh perempuan cantik bergaya. Sudah lima hari Adam Alfian tiada di rumah kerana suaminya ada kursus di Terengganu. Perempuan itu adalah Zara. Mereka berjanji untuk bertemu di Cafe berdekatan dengan rumah Adam Alfian. Zara seperti tidak mahu menjejakkan kaki kerumah mereka. Sofea hanya menurut saja kehendak Zara itu.

“ I tak nak kata panjang cuma I nak bagitahu, I dah bersedia untuk menjadi isteri Adam Alfian. Rasanya I tak perlu minta izin, sebab I adalah wanita yang di cintai oleh Fian. Perempuan pertama. You adalah perempuan kedua dalam hidup dia tapi sayang, cintanya tetap untuk I”

Sofea menggenggam kuat jari-jemarinya. Layakkah perempuan yang dihadapannya ini, berkata sedemikian sedangkan dia adalah isteri Adam Alfian? Dia cuba mengawal rasa amarah dan sakit hati. Dia perlu bertindak rasional.

“ Lagi satu, I tak nak bermadu. Fian dah tahu tentang ni dan I harap you faham maksud I”

Sofea cuba melemparkan senyuman walaupun terasa hambar.

“ Saya akan cuba berbincang dengan abang. Semua keputusan terletak di tangannya. Saya akan menerima segala keputusan itu dengan rela hati. Maaf, saya terpaksa pergi. Ada urusan yang perlu saya uruskan. Assalamualaikum”

Tanpa di tahan, setitis airmatanya jatuh. Cepat-cepat dia menyeka. Dia tidak mahu Zara melihatnya sebegitu. Kaki juga cepat melangkah pergi meninggalkan Zara. Inilah kesudahan rumah tangganya. Dia yakin, Adam Alfian akan melepaskannya pergi dan memilih Zara untuk menjadi isteri suaminya itu. Isteri yang di cintai Adam Alfian.

Dia perlu memikirkan nasibnya selepas ini. Tidak sanggup rasanya mendengar talak yang akan digugurkan oleh Adam Alfian untuk dirinya. Dia perlu lari dari kenyataan. Mungkin orang lain akan mengatakan bahawa dia bodoh, kerana sudah pasti manusia tidak dapat lari dari mana-mana masalah sehinggalah masalah itu selesai. Itulah lumrah dunia tapi dia hanya insan biasa. Dia lemah dengan dugaan yang Tuhan berikan kepadanya. Lusa baru suaminya balik dari Terengganu. Dia nekad, sebelum suaminya pulang, dia harus pergi dari sini. Dia tahu dosanya amat besar sekali, keluar rumah tanpa izin suami tapi inilah saja pilihan yang dia ada.

Zara masih termangu di tempat duduknya. Sempat juga matanya melihat airmata yang jatuh ke pipi Sofea. Kenapa Sofea tidak memarahi dirinya? Dia memahami perasaan Sofea, kerana dia juga seorang wanita. Dia juga terseksa dengan keadaan ini. Dia tahu bahawa dirinya tidak layak berkata sebegitu tapi dia terpaksa. Adam Alfian seperti sudah jemu memujuk dirinya. Sudah dua minggu, Adam Alfian tidak menghubunginya. Sepanjang Adam Alfian bergelar suami, setiap hari Adam Alfian akan menghubungi dirinya dengan kata-kata pujukan tapi tidak lagi sebulan yang lalu. Adam Alfian seperti sudah berubah. Hanya dia saja yang terhegeh-hegeh. Sebulan yang lepas, dia pula yang menghubungi Adam Alfian dan kononnya dia cuba untuk merajuk dengan sikap Adam Alfian tapi itu hanya sia-sia. Rajuknya selama dua minggu langsung tidak dipujuk. Dia takut kehilangan lelaki itu. Kini hatinya benar-benar menginginkan Adam Alfian.

........................

Hari pertama menjejakkan kaki ke Johor Bharu. Sofea di jemput oleh temannya, Nana. Nana juga merupakan seorang pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Kerana rayuannya kepada dekan universitinya terdahulu, dia berjayakan bertukar ke UTM. Dia tahu, dia tidak sepatutnya sebegini tapi dia merayu kepada dekan bahawa dia sanggup menerima tindakan dari pihak universiti kerana tidak mengikut peraturan yang sepatutnya. Meminta kebenaran untuk bertukar ke universiti lain dalam masa sehari? Memang tidak di buat oleh orang lain. Tapi di sebabkan Sofea seorang pensyarah yang berdidikasi, tidak pernah menimbulkan masalah sebelum ini, Puan Halimah sendiri menolong sofea untuk bertukar ke UTM. Mungkin ada sebab mengapa Sofea menginginkan sebegitu dengan secara terburu-buru. Fikir Puan Halimah.

Orang tua Sofea memang tidak mengetahui pertukaran ini. Hatinya sebak. Pasti orang tuanya risau akan dirinya jika mendapat tahu dia sudah berpindah ke Johor. Maafkan saya umi walid, bisik hati Sofea.

..............................

Adam Alfian bergegas untuk balik ke rumah. Seminggu berada di Terengganu membuatkan dirinya sentiasa terkenangkan Sofea. Dia juga sudah terbiasa, bersalaman dengan isterinya itu sebelum tidur walaupun mereka berasingan bilik. Dia hairan. Adakah perasaan cinta itu wujud untuk isterinya? Setiap hari dia bertanyakan khabar Sofea cuma semalam saja dia cuba menghubungi Sofea tapi tidak berjawab. Hari ini dia tidak mahu menghubungi Sofea kerana dia ingin memberikan kejutan kepada isterinya itu. Sehingga tanpa sedar dia lupa akan kewujudan Zara dalam hubungan mereka. Dia melihat jam di tangan sambil tersenyum. Dia yakin Sofea sudah balik dari bekerja. Kereta Sofea sudah tersadai di garaj rumah mereka. Pintu rumah di buka perlahan.

“ Sofea..”

Laung Adam Alfian. Hairan... Jarang sekali Sofea tiada di ruang tamu. Sebab dulu memang Sofea akan sentiasa menunggu setiap kali dia pulang dari kerja.

“ Sofea... Abang dah balik”

Ya. Kali ini Adam Alfian membahasakan dirinya dengan panggilan ‘abang’. Kerana dia juga ingin berubah. Berubah menjadi suami yang bertanggungjawab dalam segala-gala perkara.

Bilik tidur Sofea kosong. Dia sudah berasa tidak sedap hati. Kemana isterinya? Matanya kini tertumpu di meja solek Sofea. Surat? Terus surat itu dicapai.

Assalamulaikum abang,
Maafkan segala tindakkan yang saya buat ini. Maafkan saya jika selama saya menjadi isteri abang, saya tidak melakukan apa yang sepatutnya seorang isteri lakukan. Maafkan saya kerana menjadi penghalang dalam hubungan abang dengan Zara. Maafkan saya... saya terpaksa pergi. Pergi jauh meninggalkan abang. Hanya ini soalan yang berlegar di fikiran saya, apa salah saya abang? Salahkah saya mencintai suami sendiri? Mencintai abang adalah perkara baru dalam diri saya. Maafkan saya jika kenyataan ini membuatkan abang rasa marah. Maafkan saya... Saya akan menerima segala keputusan yang akan abang buat. Halalkan makan minum saya selama ini. Sekali lagi, maafkan saya...

Isterimu,
Nur Sofea

“ Maafkan abang Sofea. Jangan buat abang macam ni”

Terduduk Adam Alfian sejurus membaca surat dari Sofea. Tanpa segan silu, airmatanya jatuh menitis. Dia menyesal. Sepatutnya dari dulu lagi dia menyatakan hasrat hatinya ini. Tapi kini isterinya sudah pergi meninggalkan dirinya.

Dulu dia jatuh cinta kepada Zara melalui paras rupa barulah dia mengenali hati budi Zara. Tapi hatinya terusik dan jatuh cinta dengan kebaikkan isterinya dan kebelakangan ini wajah Sofea sentiasa menghiasi tubir matanya. Sofea sememangnya cantik, menjaga tatasusila berpakaian tidak seperti Zara. Adakah disebabkan Zara seksi, pandai bergaya membuatkan dia buta menilai seseorang itu? Dia mesti mencari Sofea! Dia tetap menginginkan isterinya kembali kepangkuannya. Maafkan aku Zara, inilah pilihanku. Bisik hati Adam Alfian.

Adam Alfian terus mencari kunci keretanya. Ketika dia hendak masuk ke kereta, Zara muncul.

“ Sayang... kenapa you tak telefon I? I rindukan you. I nak bagitahu kat you. I sanggup terima you”

Zara memandang hairan Adam Alfian yang berlutut di hadapannya. Di hadapan halaman rumah Adam Alfian.

“ Sayang...”

“ I nak minta maaf. Minta maaf dalam segala perkara. I sudah membuat keputusan. Sofea tetap akan menjadi isteri I buat selama-lamanya. Dan hanya dia saja yang akan menjadi isteri I. Tiada perempuan lain. Tak juga you. Ampunkan I. I tahu, I yang bersalah dalam hal ni. Tapi Sofea isteri yang baik. Dia tiada tandingannya. I yang buta selama ni. Maafkan I Zara”

“ What?? Jadi selama ni, you merayu dekat I buat apa? You tahu tak yang I lebih-lebih lagi terseksa? Dia yang rampas you dari I!”

“ Dia dah pergi tinggalkan I Zara! I baru sedar yang I cintakan dia. Dia bukan perampas! I yang bersetuju untuk berkahwin dengan dia. Dalam hal ini, dia juga terseksa. Hanya di sebabkan perkara ini, you sanggup terima I. Kalau I tak berkahwin, adakah you bersedia sepenuhnya untuk menerima I? I rasa tidak! You hanya mementingkan kerjaya you!”

“ Baguslah. Sebab I bagitahu yang I tak nak bermadu. Dan you jugak sudah tahu tentang perkara ni. Mungkin sebab tak nak terima kenyataan, dia larikan diri. Perempuan bodoh! Takut untuk hadapi kenyataan. Lagi satu, you jangan cuba nak mempertikaikan kesediaan I. I yang kenal you dulu dari perempuan tu!”

Adam Alfian yang tadi berlutut kini sudah berdiri tegak. Kuat tangannya memegang pergelangan tangan Zara. Zara meronta-ronta.

“ You jumpa Sofea? Bila??”

Tempik Adam Alfian. Jadinya Sofea pergi di sebabkan Zara.

“ Entah!! Mungkin dua hari yang lalu. I terdesak. You seolah seperti sudah melupakan diri I. Mana pergi cinta you kat I? Mana pujuk rayu you?? You kata you menentang perjodohan you ni!!”
Airmata Zara berlinangan. Memang benar apa yang di takutkannya sebelum ini. Adam Alfian sudah melupakan dirinya.

“ Ya, itu dulu, sebelum I hidup bersama dengan dia dan mungkin di awal perkahwinan kami tapi kebaikkannya membuatkan I bertukar fikiran. Dia wanita yang baik. Dia tak pernah pun marah bila I masih berhubungan dengan you. Kenapa you kejam sangat ni hah!! Dia isteri I. You tahu tak?? I tak akan lepaskan dia selagi I masih hidup. Dia milik I. Dan dia tetap akan jadi isteri I sampai bila-bila. Cinta I hanya untuk Sofea. Walaupun Sofea tidak akan menerima I kembali, I tetap tak akan menerima you juga. Maafkan I”

Terus Adam Alfian meninggalkan Zara. Zara sudah tidak mampu menghalang lagi. Hatinya hancur. Kalau dulu dia menerima saja lamaran Adam Alfian, dia tidak akan jadi begini. Sudah tentu kebahagiaan akan berpihak kepadanya. Zara akui bahawa dirinya yang bodoh setiap kali menolak lamaran Adam Alfian dan cukuplah untuk hari ini, dia menerima kekalahan yang besar. Kalah dalam percintaan dan kalah daripada Sofea. Dia akui bahawa Adam Alfian bukan jodohnya.

............................

“ Termenung lagi?”

Tegur Nana. Sofea hanya tersenyum. Itulah kerja terbarunya, termenung. Merenung nasib dirinya. Apatah lagi berada di tepi pantai ini. Rasa damai sekali.

“ Umi saya ada telefon kelmarin. Saya tak sampai hati tak nak jawab panggilannya. Mereka betul-betul risaukan saya. Mereka dah tahu masalah rumah tangga kami. Saya juga bingung bila umi bagitahu abang risaukan saya. Adakah salah tindakkan yang saya ambil ni Nana?”

“ Apa pulak si Pian tu nak risaukan awak. Dia kan dah ada Zara. Berapa lama dah awak kahwin dengan Pian?”

“ Hampir tujuh bulan”

“ Itu bermakna dah lebih empat bulan, awak berhak menuntut cerai. Walaupun dia ada berikan awak nafkah zahir tapi kalau nafkah batin tak jalan, awak berhak menuntut”

“ Saya tahu Nana... Ya Allah... saya tak sanggup dengar perkataan cerai tu. Saya sayangkan abang. Abang baik Nana, awak tak kenal abang. Walaupun saya terseksa tapi abang suami yang baik.
Abang mengambil berat tentang saya. Tak pernah berkasar”

Rindu. Itulah perasaannya kini. Sofea merindui Adam Alfian.

“ Entahlah Sofea, kalau hati awak kata macam tu, saya tak boleh nak kata apa. Cuma bersabarlah dengan dugaan Tuhan ni. Saya yakin awak mampu tempuhi”

“ Sofea...”

Tiba-tiba kedengaran suara lelaki menyeru nama Sofea. Sofea mahupun Nana menoleh kebelakang. Sofea terkejut melihat Adam Alfian berada di situ. Dia terus berdiri. Airmatanya mula bergenang, hampir tiga minggu dia tidak menatap wajah suaminya itu. Nana di sebelah terpinga-pinga, dia tidak mengenali lelaki yang di hadapan mereka ini.

“ Sofea... Abang...”

Adam Alfian menghampiri Sofea. Rindunya sarat untuk Sofea. kehidupannya seperti tidak terurus bila mendapat tahu Sofea meninggalkan dirinya. Hampir kesemua universiti di ibu kota, dicarinya untuk mendapat tahu di mana isterinya berada. Universiti lama Sofea juga tidak mahu memberitahu lebih lanjut di mana pertukaran Sofea kerana itu adalah permintaan Sofea sendiri. Alhamdulillah, di sebabkan mertuanya sendiri memberitahu di mana Sofea berada. Akhirnya, tanpa membuang masa dia terus membeli tiket ke Johor. Kerjanya sudah lama tidak terusik. Yang penting adalah Sofea. Dia mahukan Sofea!

Fahamlah Nana bahawa lelaki di hadapan mereka ini adalah suami Sofea. Dia berlalu pergi dan memberikan ruang untuk pasangan suami isteri itu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Adam Alfian terus merangkul badan Sofea. Pertama kali dia merangkul isterinya itu. Hatinya sebak. Kejamnya dirinya selama ini. Tangisan Sofea kedengaran.

“ Maafkan abang sayang. Abang bersalah. Maafkan diri abang. Abang kejam selama ini membiarkan Sofea hidup tanpa kasih sayang seorang suami”

“ Saya... Saya rindukan abang... Maafkan saya sebab pergi meninggalkan abang tanpa izin abang. Ampunkan saya..”

“ Shhh... Sayang tak ada salah apa pun. Abang dah maafkan sayang dari lubuk hati abang yang paling dalam. Semua ni salah abang, abang tak pandai nak mentadbir rumah tangga abang sendiri selaku ketua keluarga. Abang biarkan hati Fea merana”

Sofea merenung mata Adam Alfian, ada satu perkara yang ingin dia pastikan.

“ Zara... dia? Saya bukan perempuan yang luhur hati yang akan menerima apa saja, hati saya akan sakit bila saya terpaksa di madukan”

“ Dia dah tiada dalam hubungan kita sayang. Sofea tetap akan jadi isteri abang sampai bila-bila. Hanya Sofea. Tiada wanita lain walaupun dengan Zara sekalipun”

Airmata kegembiraan mencurah lagi. Sofea menyembamkan wajahnya ke dada Adam Alfian. Tiba-tiba lagu menentang perjodohan seperti bermain-main di cuping telinganya.

“ Menentang perjodohan?”

“ Hah?” Adam Alfian bingung.

“ Lagu menentang perjodohan. Abang suka lagu tu kan? Ia ibarat perjalanan hidup abang”

“ Sayang... tiada perkara yang nak ditentang. Apatah lagi jodoh yang ditetapkan olehNYA. Mungkin itu dulu, lagu itu ibarat menceritakan jalan hidup abang tapi tidak lagi sekarang. Lagu tetap lagu, tidak ada kena mengena pada orang yang hidup mahupun yang dah tiada. Kalau sekiranya lirik yang disampaikan seperti menceritakan tentang perasaan seseorang, mungkin ianya hanya kebetulan”

Sofea hanya mengangguk-angguk. Berpuas hati dengan jawapan Adam Alfian.

“ Jom balik sayang...”

“ Hah? Balik mana?”

“ Balik rumah Fea kat sinilah. Abang rindu sangat dekat Fea. Abang dah buang masa banyak untuk kita nak dapatkan cahaya mata”

Menjengil mata Sofea. Adam Alfian hanya mengekek ketawa. Lucu melihat isterinya malu bila dia berkata sebegitu.

“ Tengok kat sana”

Adam Alfian menunjukkan sekumpulan manusia yang agak jauh dari mereka. Sofea memerhatikan dengan lebih teliti. Umi dan walidnya serta keluaga Adam Alfian.

“ Abang...”

Sebak melanda hati Sofea.

“ Mereka rindu sangat dekat Fea. Lagi-lagilah abang”

“ Umi dan walid tak marah abang?”

Risau juga Sofea kalau orang tuanya menyalahkan Adam Alfian dalam hal ini.

“ Mahu tak marahnya, dengan mak ayah sekali marah. Lebih-lebih lagi ayah. Ayah mengamuk bila dapat tahu Fea pergi tinggalkan abang. Abang Adham dan kak Mirah pun marah sekali. Memang abang ketahui yang abang salah dalam hal ini. So abang terima saja. Sampailah kelmarin bila mereka dapat tahu di mana sayang. Mereka dah tak marah lagi”

“ Maafkan saya abang”

Adam Alfian hanya menggeleng.

“ Sayang tak salah apa-apa pun. Abang cintakan sayang sepenuh hati abang. Fea kena ingat tu”

“ Sejak bila?”

Tanya Sofea.

“ Sejak malam tu... di mana buat kedua kalinya abang mencium dahi Fea. Hati abang benar-benar menginginkan Sofea malam tu tapi abang ego. Maafkan abang sayang”

Bisik Adam Alfian ke telinga Sofea. Tangannya terus merangkul pinggang isterinya. Sofea tersenyum bahagia, dia menyandarkan kepalanya ke dada bidang suaminya itu, sambil menuju ke arah keluarga mereka.

Memang begitulah lumrah berumah tangga, ada pasang surutnya. Dalam hal Adam Alfian ini, tiada istilah kahwin paksa. Cuma hati belum bersedia untuk menerima pasangan baru, lagi-lagi bila diri sendiri ada pilihan lain. Jodoh, walau macammana sekalipun badai melanda ianya tetap akan bersemi juga. Kita tidak berhak menentang perjodohan itu kerana jodoh pertemuan sudah ditetapkan olehNYA.



P/S : Terima kasih sebab sudi baca. Kalau ada masa berikan komen supaya Sya dapat memperbaiki lagi mutu penulisan Sya.