novel indonesia terbaru best seller, daftar judul novel indonesia, daftar novel indonesia terbaru, download novel indonesia terbaru, novel indonesia terbaru ebook, novel indonesia terbaru 2014, novel cinta, novel remaja, kumpulan novel, novel gratis, novel terbaru, cerita novel, contoh novel
Jumat, 08 Juli 2011
CERPEN : RINDU BUKAN TEMAN
“ Mana tunang Encik AD ni? Tak ada pun dalam bilik ni”
Mata meliar melihat sekeliling. Ternyata tidak ada sesiapa pun kecuali aku dengan AD. Jadi TV yang terpasang di ruang tamu kondo ini, siapa yang menontonnya? Aku melihat AD sudah menutup rapat pintu bilik tidur ini.
“ Encik AD...”
Bergetar suaraku menyeru namanya. Hatiku berdegup kencang ketakutan.
“ Tunang?”
AD tersenyum sinis.
“ If you want to know.. I don’t have any fiancée. I tak suka sebarang ikatan ni. Macam mana dengan lakonan I tadi? Kira dah berkesanlah ye? TV yang terpasang kononnya tunang I betul-betul berada di kondo ni. Padahal memang tak ada langsung. Kosong. Dan kini hanya kita berdua saja”
Sambung AD. Dia menghampiriku. Aku pula berundur setapak.
“ Jadi siapa perempuan yang telefon saya hari tu, bertanyakan tentang tempahan baju dibutik? Encik AD jangan main-main macam ni. Encik AD buat saya takut..”
AD sudah ketawa terbahak-bahak.
“ Orang suruhan I. Orang yang menjayakan lagi rancangan I ni. Ala sayang.. jangan takut, kan I ada temani you”
“ Kalau tak disebabkan kerja, memang saya tak nak datang sini. Saya nak balik butik!”
Aku cuba menolak AD ketepi supaya memberikan aku ruang untuk beredar tapi dia menghalangku dan menolakku kedinding.
“ Tolong Encik AD, lepaskan saya. Saya memohon sangat”
Rayuku kepadanya. Kini ternyata aku sudah masuk ke dalam perangkapnya yang dulu aku cuba tepis sedaya upaya. Airmata mula mengalir berguguran, mengharapkan belas kasihan lelaki itu.
“ Kali ni kau tak akan terlepas. Aku dah banyak kali ajak kau keluar secara baik tapi kau menolak. Penolakkan yang banyak kali itulah yang membuatkan aku semakin rasa tercabar. Kau belum kenal siapa aku yang sebenarnya. Aku akan dapat apa yang aku nak, walau macam mana sekalipun caranya”
Aku cuba untuk melarikan diri tapi ternyata dia lebih pantas menarik tanganku yang menyebabkan diriku rebah terus menghempap katil. AD sudah menghimpit badanku. Tudung yang aku pakai, direntap hingga pin tudung tercucuk ke leherku. Pedih rasanya. Aku meronta-ronta. Cuba untuk meloloskan diri tapi apalah dayaku, tenaganya begitu kuat. Tangan AD mencengkam kuat kedua-dua tanganku. Aku menjerit lagi meminta pertolongan walaupun aku tahu, kondominium yang mewah sebegini diperbuat daripada kalis bunyi.
“ Heii! Diamlah!!”
Laju tangan AD menampar pipiku. Tanpa memikirkan dosa pahala, AD terus mencium rakus keseluruhan wajahku. Baju unifom butik kerjaku pun direntap, terdedah sebahagian tubuh badanku.
“ Kau setan AD!! Kau lelaki jahanam!!”
Jeritku lagi. Dia hanya ketawa lalu mencengkam kuat leherku. Nafasku sudah tersekat-
sekat.
“ Kan dulu aku dah kata, aku sukakan kau. Mungkin cinta. Tapi kau... Kau tak terima aku. Apa kurangnya aku? Aku ada segala-galanya. Padahal kau hanya budak butik, aku boleh dapat perempuan yang lebih setaraf dengan aku tapi aku tetap nak kan kau. Daripada aku tak dapat apa-apa, lebih baik aku dapatkan benda yang sangat berharga bagi kau ni. Lagipun memang aku nak rasa perempuan yang macam kau ni. Mesti istimewakan? Tertutup sana-sini, susah lelaki nak tengok. Tapi tak apa, aku bertuah sebab malam ni aku akan rasa keistimewaan kau tu”
Cengkaman dileherku dilepaskan. Nafasku turun naik, mengimbangi nafas yang hampir tersekat tadi. Keseluruhan badanku terasa perit. Airmata sentiasa menemani setiap ciuman rakus yang diberikan oleh AD. Kini leher dan dadaku menjadi tempat kerakusannya. Aku cuba lagi menolak wajahnya, ternyata perbuatanku itu membuatkan dirinya kearah yang dihajati lelaki itu. AD sudah membuka tali pinggangnya. Dalam kesempatan itu, dengan lafaz Bismillah, aku menendang kuat kelengkang AD. Dia terjelompok ke lantai, kedengaran dia mengerang kesakitan. Aku terus keluar dari bilik lelaki itu. Dalam masa itu, aku sempat mengambil bag tanganku yang terletak di sofa lalu berlari keluar dari kondominium itu. Walaupun badanku terasa perit dan lemah tapi aku tidak peduli semua itu, yang penting aku dapat keluar dari tempat ini.
“ Hei..”
Terkejut aku dengan teguran itu. Hilang peristiwa yang hampir meragut kesucianku, 5 tahun yang lalu. Peristiwa itu sukar untuk aku lupakan. Ianya sentiasa bermain-main di fikiran.
“ Termenung pulak minah ni”
Farah terus meneguk minuman yang aku pesan tadi.
“ Hishh! Minah ni. Aku belum minum, dia dah minum minuman aku. Orderlah”
Gelojoh betul Farah ni. Tanpa menghiraukan kata-kataku, dia meneguk lagi minumanku, hampir setengah juga yang ditelannya.
“ Asal kau lambat? Lenguh pinggang aku tunggu kau tau”
Lepas Farah membuat pesanan, dia terus memandangku sambil tersengeh-sengeh.
“ Sorrylah.. Tadi aku lambat keluar ofis then jammed pulak tu. Sorry eh”
Farah menggosok-gosok kedua telapak tangannya tanda minta maaf.
“ Tak apalah.. janji kau datang”
Mata mencari-cari pasangan kekasih yang di luar restauran itu tadi, ternyata sudah tiada. Apa yang aku lihat, pasangan itu seperti bergaduh yang mengingatkan aku ke peristiwa hitam itu. Aku beristigfar. Aku tidak mahu lagi terkenangkan peristiwa itu.
“ So kau dapat kerja kat mana?”
Suara Farah memecah kesunyian.
“ Tempat kerja kau”
Aku tersenyum memberitahunya. Kali ini aku mendapat kerja ditempat yang sama Farah berkerja. Sebagai setiausaha. Itulah bidang yang aku ambil ketika belajar di universiti dulu. Walaupun hanya setakat diploma tapi aku selesa dengan apa yang aku ada sekarang. Dulu aku pernah juga bekerja di Rentro Holding tapi tidak sampai 2 tahun, aku terpaksa berhenti kerana syarikat itu hendak menutup operasi mereka. Mungkin bukan rezekiku disana.
“ Kau biar betul Maira?”
Kelihatan Farah terkejut. Tangannya menggenggam erat jari-jemariku. Senyuman gembira menghiasi bibir Farah.
“ Betul la yang.. Aku pun mula-mula fikir syarikat manalah yang terima aku sebab 3 syarikat yang panggil aku interview sebelum ni. Bila dia orang bagi tahu nama syarikat, barulah aku tahu, syarikat tu tempat kau bekerja”
“ Syukurlah.. aku happy sangat ni. Ertinya kaulah pengganti kak Siti. Kau kerja dengan bos besar”
Bulat mataku mendengarnya. Bos besar? Aku tahulah kerja sebagai setiausaha ini, kerja dengan bos-bos tapi tidak menyangka yang aku akan bekerja dengan bos besar. Lagi pula masa aku interview hari itu, tidak ada pun yang memberitahu aku tentang pekara ini.
“ Bos besar Farah? Bos yang kecik-kecik tak ada ke?”
“ Ahli lembaga pengarah kat syarikat tu dua orang saja. So aku dengan minah gedik si Jay tulah yang jadi setiausaha diaorang. Tapi kan.. Kau untung tau Maira, bos besar hensem giler. Bos yang dua orang tu dah tua bangka. Tak ada keistimewaan langsung”
Aku ketawa kecil. Farah ni.. kalau bercakap memang tak pandang kiri kanan. Main belasah saja.
“ Aku lebih selesa bekerja dengan orang yang berumur ni. Fikiran dia orang berwawasan. Kalau lelaki muda, aku tak suka. Benci adalah”
“ Kau ni.. Encik Azriel ni okeylah. Baik, hensem, prihatin. Yang penting semua adalah. Package. Apa yang pasti, dia bujang. Tak ada makwe segala ni. Seorang yang matang, selaras dengan umur dia yang 33 tahun tu”
Aku melihat reaksi Farah, tangannya pun ikut sekali bergerak sama bila dia menjelaskan lebih terperinci tentang bos besar.
“ Ini yang aku tak suka. Lelaki-lelaki macam nilah yang tak serius nak bekerja. Enjoy saja tahu dia. Menggunakan kedudukan untuk memerangkap perempuan”
Reaksi wajah Farah berubah. Aku terkenangkan lagi lelaki keparat itu. Aku mengeluh.
“ Maira... Dahlah tu.. Kau lupakan saja lelaki gila tu. Tak kan disebabkan dia, kau prejudis terhadap lelaki? Aku cakap macam ni bukan aku nak lawankan dia, lagi-lagilah aku tak kenal siapa dia, nama pun kau tak bagitahu aku cuma perkara ni dah lama. Dah 5 tahun Maira. Sampai bila kau nak jadi macam ni? Tak nak kahwin ke kau? Umur kita ni dah 25 tahun, dah layak jadi isteri. Kalau kau macam ni, sampai bila-bila pun kau tak akan kahwin”
Ya. Peristiwa hitam itu hanya aku dan Farah saja yang tahu. Keluargaku langsung tidak mengetahuinya. Aku masih ingat kata-kata penipuan yang aku beritahu ibuku ketika aku menelefonnya malam itu.
“ Mak.. Maira tak dapat balik rumah sebab Maira ada assignment yang perlu Maira buat bersama dengan Farah. Sekarang Maira dirumah Farah. Mak jangan risau eh”
“ Kenapa mengejut ni? Tadi pagi Maira tak bagi tahu mak pun”
“ Err.. masa kuliah tadi pagi baru diberitahu. Sebenarnya masa Maira nak pergi kerja tu, Maira nak telefon mak tapi Maira terlupa. Lepas balik kerja ni baru ingat. Mak jangan risau eh. Bagitahu abah dengan abang. Mungkin lusa baru Maira balik rumah”
“ Kenapa sampai lusa? Banyak sangat ke kerja kuliah Maira tu? Kesian anak mak, mana nak fikir tentang kuliah, mana nak fikir tentang kerja. Jangan kerja kuat sangat nak, mak risau. Duit yang abang Maira bagi tu pun masih mencukupi”
“ Tak adalah banyak sangat tapi Maira kena berbincang dengan Farah tentang assignment ni. Assignment berkumpulan mak. Mak jangan risau. Biar duit yang abang bagi tu untuk keperluan mak dan abah. Okeylah mak, Maira nak solat. Tadi tak sempat solat Asar. Assalamualaikum”
Tidak sanggup aku berbual lama dengan mak. Rasa berdosa yang teramat sangat bila terpaksa menipu. Aku takut jika perkara ini diketahui oleh keluargaku disebabkan lebam-lebam yang ada diwajahku. Pasti keluargaku akan membuat laporan polis. Jika perkara ini sampai kepihak yang berkuasa, adakah pengadilan akan berpihak kepadaku? Dia lelaki yang mempunyai segala-galanya, harta, kedudukan, pangkat. Perkara ini juga perkara yang memalukan buat diriku. Jika aku kalah dalam pertuduhan itu, sudah tentu banyak penghinaan yang akan aku terima. Lebih baik aku mendiamkan diri.
“ Memang aku tak nak kahwin! Bercinta pun aku tak nak! Lelaki sekarang ni sama saja dengan lelaki jahanam tu!”
Jawabku. Farah menggeleng-gelengkan kepalanya, tidak bersetuju dengan kata-kataku.
“ Maira.. aku tahu kau yang terseksa menanggung segala ni tapi aku takut disebabkan perkara ni boleh memakan diri kau sendiri. Kau cuba fahami lelaki dulu, tak semua sama macam dia. Percayalah cakap aku. Lagipun selama 5 tahun ni, dia tak pernah pun cari kau atau cuba nak perangkap kau semula. Bukan aku nak minta-minta tapi memang dia tak muncul pun selama ni”
Aku menggigit bibirku, memikirkan seketika. Benar kata Farah, tidak semua lelaki seperti AD tapi segelintir daripadanya memang ada dimuka bumi ini! Dan aku akui, sepanjang 5 tahun ini memang aku tidak mendengar apa-apa pun berita tentang lelaki itu. Mungkin sudah mampus!
“ Malas aku nak fikirlah.. Harap-harap nanti bos besar kau ni senang nak berurusan”
“ Aku jamin kat kau. Encik Azriel ni memang baik. Bukan lelaki yang mudah ambik kesempatan. Kalau tak, confirm si Jay a.k.a Jamilah tu dah dapat Encik Azriel ni. Kau jangan hairan eh.. first thing yang kau dengar nanti ‘ jangan cuba nak rampas Encik Azriel, dia I yang punya’ ayat tu dari minah gedik si Jay tulah. Semua pekerja perempuan dia beri kata amaran macam tu. Aku takut nanti ayat yang sejengkal tadi tu akan jadi satu karangan sebab kau memang pesaing dia yang terhebat. Aku yakin si Jay tu nanti rasa tergugat”
“ Dia belum kenal la dengan aku ni ye.. setakat perempuan gedik macam tu, memang aku tak takut la”
“ Ye.. Aku ni merupakan musuh terdekat dialah. Kau tahulah mulut aku ni kan, kalau aku tak suka, memang aku cakap terus terang. Tak main belakang –belakang ni semua. Hahh.. kali ni hilang la gedik dia tu bila kau dengan aku bergabung menghentam dia”
Kami sama-sama ketawa. Memang perangai aku hampir sama dengan Farah tapi mulut Farah lebih berbisalah.
“ So bila kau start kerja?”
“ Hari isnin ni”
Farah tak habis-habis menyuarakan rasa gembiranya. Dalam masa yang sama terselit juga cerita tentang kebaikkan bos besar. Hishh.. Farah ni, sudah ada tunang, masih cakap tentang lelaki lain.
.......................
Hari ini merupakan hari permulaan aku bekerja ditempat baru. Mengenangkan tentang kerja, aku teringat ketika aku bekerja di salah sebuah butik terkenal di ibu kota. Ketika itu aku baru berusia 18 tahun. Bekerja sebagai jurujual hanyalah kerja sambilanku untuk menampung keperluan pembelajaranku. Ayahku dulu hanya pekerja kilang dan kini sudah bersara, manakala mak hanya seorang suri rumah. Abangku pula hanya seorang guru sekolah menengah, dialah yang menanggung keperluan keluargaku. Sepatutnya aku pula yang menanggung segala-galanya, abangku sudah berkahwin, walaupun belum lagi mempunyai cahaya mata tapi aku rasa bertanggungjawab. Kerana tidak mahu menyusahkan keluarga, aku bekerja keras dibutik itu dulu hampir 2 tahun juga aku bekerja disana tapi setelah peristiwa hitam itu terjadi, aku terus berhenti kerja.
Farah menemani aku berjumpa dengan bos besar untuk melaporkan diri. Hatiku berdegup kencang. Entah kenapa, dari semalam aku rasakan sebegini. Hairan juga aku, tidak pernah aku rasa gementar sebegini bila memulakan kerja ditempat baru. Tiba dihadapan bilik bos besar, sempat juga mataku melirik nama yang tertera di permukaan pintu itu. Azriel Darwisy. Pengerusi. Farah mengetuk pintu.
“ Masuk”
Kedengaran suara melaung dari dalam.
“ Jomlah”
Pelawa Farah. Aku menarik nafas. Dengan lafaz Bismillah, aku memulakan langkah.
“ Encik Azriel, inilah dia setiausaha baru Encik Azriel. Pengganti kak Siti. Merupakan kawan baik saya juga”
Farah memulakan bicara. Azriel yang pada mulanya tunduk, sibuk meneliti kertas-kertas kerja terus mendongak.
“ Oh ye ke?”
Reaksi terkejut yang dipamerkan oleh Azriel sambil tersenyum mesra. Aku tidak pasti dia terkejut tentang apa. Yang aku pasti, aku terkaku melihat dirinya. Senyuman yang tadi menghiasi bibirku ini terus melebuh tirainya. Rupa-rupanya Azriel adalah AD. Lelaki jahanam yang cuba memperkosa diriku dulu. Aku melihat AD mendekati kami. Aku mula berundur setapak. Tanganku mula menggeletar tapi aku cuba untuk mengawalnya.
“ Maira cepatlah kenalkan diri”
Saran Farah. Mungkin hairan melihat diriku yang hanya berdiri kaku tanpa berbuat apa-apa. Senyum pun tidak.
“ It’s okay Farah. Mungkin dia gementar kot. Biar saya perkenalkan diri saya dulu. Saya Azriel Darwisy. Pengerusi kat sini. Later I’ll tell you what should you do. Sebab banyak juga yang nak saya bagitahu. Okay, awak dah ready nak kenalkan diri? Masa interview hari tu, saya memang tak ada. So now you tell me about yourself serba sedikit”
Aku menggenggam kuat jari-jemariku. Api dendam yang dulu hampir terpadam, kini membara semula. Aku benci melihat dirinya. Nampak gayanya, AD sudah tidak mengenaliku. Lelaki sepertinya yang mempunyai perempuan keliling pinggang memang mudah melupakan perempuan yang mereka perdayakan. Aku masih diam membisu. Aku cuba mengawal api kemarahan yang terpancar diwajahku ini.
“ Saya keluar dululah Encik Azriel, nanti Tuan Ishak cari saya pula”
AD hanya mengangguk. Mataku mengiringi pemergian Farah dari bilik pejabat itu.
“ Eh silalah duduk. Berdiri pula kita ye”
Aku menarik kerusi yang berhadapan dengan meja kerjanya manakala dia juga duduk ditempat yang dia duduk tadi. Aku dapat rasakan yang dia memerhatikan aku. Rasa ingin sekali memberontak tapi tak kan aku hendak berhenti kerja lagi? Walaupun flat yang kami diami sekarang ini dibayar sepenuhnya oleh abangku tapi sampai bila? Sampai bila aku hendak menyusahkan abangku. Aku kena cekal, aku bukan Maira yang dulu. Aku akan pastikan, lelaki yang dihadapanku kini tidak akan cuba memperdayakan aku lagi. Tidak sekali-kali!
“ Hmmm... nampak gayanya cik ni masih belum bersedia untuk memperkenalan diri. Apa yang saya dengar dari orang yang interview awak hari tu, adalah pujian yang diberikan, kecekapan awak menjawab soalan yang dikemukakan. Tapi apa yang saya lihat adalah yang sebaliknya. Maaf kalau kata-kata saya ni menyinggung perasaan awak..”
“ Tak saya.. saya tak ambil hati dengan kata-kata Encik Azriel. Maafkan saya pasal tadi. Memang biadap rasanya bila tidak menjawab pertanyaan dari ketua. Maafkan saya sekali lagi”
Aku cuba mengawal kata-kataku dari bercakap kasar dengannya. Selagi aku dapat bertahan, aku akan bekerja disini. Itu tekadku.
“ Tak apa. Apa yang saya pentingkan adalah mutu kerja. So now dah ready nak kenalkan diri?”
Dia hanya tersenyum, tiada reaksi marah diwajahnya.
“ Saya Asshiefa Umaira. Tahap pendidikan adalah diploma dalam bidang setiausahaan ni. Pernah bekerja di Rentro Holding tapi terpaksa berhenti disebabkan syarikat itu hendak menutup operasi mereka”
“ Oh ye.. memang saya ada dengar tentang perkara tu. Rupanya awak salah seorang dari pekerjanya. InsyaAllah, awak akan kekal kerja kat sini. Itupun kalau awak nak la”
Dia ketawa kecil. Aku tidak pasti apa yang melucukan. Senyuman masih belum menghiasi bibirku.
“ Awak ni memang susah nak senyumkan? Kan senyuman itu adalah satu sedekah. Tak salah kalau awak senyum sedikit. Senyuman akan mencantikkan awak lagi. Lagi-lagilah awak sudah tersedia cantik”
Meluat aku mendengarnya. Mungkin disebabkan tiada reaksi yang aku berikan, dia terus menjelaskan kerja-kerja yang patut aku lakukan. Aku amati cara percakapannya. Sungguh berhemah, tidak seperti 5 tahun yang lalu. Aku perhatikan lagi penampilannya, kelihatan dia lebih matang berbanding dulu yang kelihatan seperti lelaki kasanova. Tapi dia memang lelaki kasanova! Penipu!
Hari ini, dia memberikan aku kelonggaran, tiada kerja yang perlu aku lakukan untuknya. Dia hanya menginginkan aku meneliti segala maklumat syarikat supaya memudahkan aku mengetahuinya. Setelah sesi suai kenal itu, aku diperkenalkan lagi kepada pekerja-pekarja yang lain. Meja kerjaku pun sudah tersedia berhampiran dengan bilik pejabat AD. Seperti yang dikata oleh Farah, aku didatangi oleh makhluk gedik, tahulah aku siapa dia. Dia adalah Jamilah a.k.a Jay. Memang ayat yang dilontarkan oleh perempuan itu teramatlah panjang. Tanpa menunggu Jay menghabiskan bicaranya, aku terus menjumpai Farah. Ada perkara yang ingin aku tanya mengenai AD.
“ Farah...”
Sejerus tiba dihadapan meja Farah, aku terus menyeru namanya.
“ Hah kenapa? Ada masalah ke? Amacam? Hensem tak bos kau tu? Hensemkan?”
Tanpa menghiraukan soalan Farah yang bertubi-tubi itu, aku terus bertanyakan tentang perkara yang aku hajati.
“ Kenapa kau tak bagitahu aku, Encik Azriel adalah AD?”
Farah memandangku hairan.
“ Rupanya.. Kau pun kenal siapa AD ni. Mesti kau kenal dia dari majalah dulukan? Sebab aku kenal dia pun dari majalah juga. Mana tidaknya, dah dulu tu selalu saja dia digosipkan dengan artis tak pun dengan model. Tapi sekarang tak lagi. Dia nak dikenali sebagai Azriel. Nama AD tu pun sebenarnya di ambil dari huruf hadapan nama dia. A untuk Azriel and D untuk Darwisy. Kasihan tau hidup dia. Aku tahu cerita ni pun dari Tuan Ishak”
Aku semakin keliru. Apa sudah jadi dengan AD? Memang aku hanya mengenali AD dengan nama AD. Sebab di majalah-majalah dulu pun, dia digelar sebegitu.
“ Cepatlah cerita dekat aku apa dah jadi dengan dia?”
“ Interesting nampak. Dah berkenan ke? Lagipun tak ada kerja ke kau?”
Tersenyum-senyum Farah bertanyakan soalan itu sambil kening terangkat-angkat.
“ Lebih baik kau bagitahu aku cerita sebenar. Kau tahukan perangai aku, aku tak suka bekerja dengan lelaki yang memang aku ketahui suka berfoya-foya”
“ Okeylah, okeylah. Kau duduk dulu. Sambil tu aku nak taip kerja aku ni. Kalau kau tak ada kerja, jangan bawa aku sekali sebab memang aku ada kerja yang perlu aku taip. Nasib baik Tuan Ishak nak kan petang ni kalau nak kan pagi ni, alamat petang nanti aku boleh cerita”
Aku menarik kerusi dan duduk berhampiran dengan Farah.
“ Macam mana nak mula eh.. 5 tahun dulu dia kemalangan teruk sehinggakan dia mengalami cedera yang amat parah. Dia hilang ingatan, kaki dia tempang. Yang kasihannya, keluarga terdekat dia tak datang pun menolong. Kawan-kawan dia yang sama berjoli dulu pun dah kecut, tak mahu nak tolong dia. Nasib baik ada pasangan tua ni yang menolong dia. Dia dijaga sebaiknya seperti bayi yang baru lahir. Dah memang dia tak kenal sesiapakan. Dulu syarikat ni hampir saja merundum tau. Rakan kongsi pun banyak yang lari, ada jugak yang cuba ambik kesempatan. Syukur, Tuan Ishak dengan Tuan Ismail yang masih bertahan. Sebenarnya perangai Encik Azriel yang suka berjoli tu setelah kedua-dua ibu bapa Encik Azriel meninggal dunia. Akibat kemalangan juga, tak silap aku 7 tahun yang lepaslah. Disebabkan perasaan yang sunyi itu dan hasutan dari kawan-kawan yang menjadikan dia jadi sebegitu”
“ 2 tahun dia menyepi Maira. Selepas tu dia bangkit semula. Aku tabik spring betul dengan pak cik Mahmod dengan mak cik Saleha tu, merekalah yang jaga Encik Azriel. Mereka mahu Encik Azriel meneruskan syarikat yang turun temurun ni. Dulu aku pernah fikir juga, mustahil pak cik Mahmod dengan mak cik Saleha tu tak nak apa-apa dari Encik Azriel tapi memang hati mereka mulia. Apa yang hanya mereka mahukan adalah supaya Encik Azriel sihat walafiat. Lagipun mereka memang tak mempunyai zuriat. Mereka sudah menganggap Encik Azriel macam anak mereka sendiri. Macam yang kau lihat hari ni, Encik Azriel dah elok berjalan dengan sempurna. Dulu dia terpaksa berkerusi roda tau. Perangai dia pun dah kontra. Tak ada lagi joli-joli ni semua. Masa ni pun dia dalam proses penyembuhan ingatan dia. Apa yang aku dengar, ada something yang berlaku dalam kehidupan dia dulu tapi dia pun tak pasti apa sebenarnya. Perkara tu selalu saja bermain dalam mimpinya. Entahlah.. aku pun bukannya pakar dalam bidang ni nak explain dekat kau”
Aku terkejut. 5 tahun dulu juga merupakan peristiwa hitam itu berlaku. Patutlah AD tidak mengenali diriku. Tapi perlukah aku berlembut dengan dirinya? Aku rasa tidak. Parut yang dia tinggalkan masih berbekas dihati. Mustahil aku akan melupakanya walaupun dengan keadaannya sebegini.
.....................
Hari-hari yang mendatang, aku semakin mengenali dirinya. Memang benar kata-kata Farah. Dia sudah berbeza. Soal agama amatlah dititikberatkan. Aku semakin mengagumi dirinya. Mengapa dengan diriku ini? Memang aku akui, aku memang tertarik dengan dirinya sejak dulu lagi tapi perasaan itu semakin menghilang bila hampir setiap hari aku melihat dia membawa perempuan pelbagai rupa datang kebutik kerjaku dulu. Apatah lagi selepas peristiwa hitam itu, terus hilang perasaan itu dan digantikan dengan perasaan dendam. Tapi kebelakangan ini, aku seperti merindui kehadirannya. Walaupun aku tidak mempamirkan kemesraan tapi dia tetap melayan diriku dengan baik. Mungkin dia sudah terbiasa. Hampir setahun juga aku berkerja disini.
....................
Entah kenapa hari ini aku melayan lawak jenakanya. Senyuman yang dulu tidak pernah aku pamirkan kepadanya kini menghiasi bibirku.
“ Awak betul-betul cantik Maira. Senyuman awak.. Saya suka sangat dengan senyuman awak tu. Mungkin dengan lebih jelas lagi saya sudah jatuh cinta dengan awak. Lagi pun saya macam pernah tengok senyuman tu sebelum ni. Maaf kalau kata-kata saya ni keterlaluan. Tapi memang saya maksudkannya”
Senyumanku tiba-tiba mati. Dulu AD juga pernah memuji senyumanku. Tanganku mula menggeletar ketakutan. Aku terbayangkan peristiwa hitam itu.
“ Saya.. Saya nak keluar dulu”
Laju kakiku melangkah untuk keluar dari bilik pejabat AD. Aku terkejut bila tanganku ditarik lembut.
“ Lepaskan tangan awak!”
Aku cuba menepis tangan AD
“ Maafkan saya. Saya tak bermaksud nak ambik kesempatan. Saya cuma hairan..kenapa dengan awak ni?”
“ Kau memang tak akan berubah! AD yang dulu sama saja dengan Azriel yang ada masa ni!”
Tanpa sedar, kata-kata itu yang keluar dari mulutku. Dia kelihatan terkejut.
“ Awak kenal saya? AD.. AD adalah nama yang saya guna dulu. Maira please... tell me the truth. Patutlah pertama kali awak jumpa saya, saya dapat lihat kebencian yang terpancar di mata awak. Apa yang saya dah lakukan pada awak Maira? Jangan buat saya macam ni.. Awak buat saya rasa bersalah.. Saya tahu saya banyak lakukan perkara dimurkai Allah. Maafkan saya Maira. Tapi tolong, tolong beritahu saya perkara sebenar ”
Rayu AD. Aku menggeleng-gelengkan kepala. Airmata mula mengalir.
“ Cukuplah setakat ini.. Saya nak berhenti kerja. Maaf, saya akan hantar notis 24 jam dekat Farah”
Aku terus berlari keluar. Menggambil bag tanganku dan mula melangkah pergi meninggalkan bangunan itu. Dapat aku rasakan, pekerja yang lain memandangku hairan bila AD melaung namaku. Namun aku tidak peduli dengan semua itu lagi. Perasaan takut ini begitu membuak. Aku takut peristiwa dulu itu akan berulang kembali bila aku berdekatan dengannya. Pujuk rayunya membuatkan aku terkenangkan saat dia cuba membuaiku dengan kata-kata manisnya.
Aku hanya mengurungkan diri didalam bilikku. Terpancar rasa hairan diwajah mak dan abahku bila aku tiba-tiba balik dari pejabat sebelum tamat waktu kerja. Di sanalah aku melepaskan tangis. Hatiku berbelah bahagi, aku mula menyukainya tapi perasaan benci tetap ada terhadap dirinya.
“ Maira.. ada orang nak jumpa sayang. Katanya kawan sama Maira kerja”
Mak mengetuk pintu bilikku. Pintu yang aku kunci dari dalam itu menyukarkan untuk mak masuk. Aku mengelap airmata. Melihat wajahku di cermin, mataku kelihatan sembab. Biarlah. Aku menyarungkan kembali tudung yang aku pakai tadi. Tiba diruang tamu, aku melihat AD berbual dengan abahku.
“ Maira...”
“ Saya rasa lebih baik Encik Azriel balik. Flat usang macam ni tak layak didatangi
oleh lelaki seperti Encik. Lagipun saya tak ada benda nak cakap dengan Encik Azriel”
“ Asshiefa Umaira..”
Tegur abah, mungkin tidak menyukai cara percakapanku itu.
“ Kamu berbincanglah apa yang patut. Pak cik tak tahu apa sebenarnya masalah yang berlaku tapi berbincanglah elok-elok. Maira jaga percakapan kamu”
Sejerus abah berkata sebegitu, dia terus menuju keruang dapur.
“ Kita cakap dekat luar. Jangan cuba babitkan mak dengan abah saya”
Tanpa banyak soal, dia mengekoriku. Diluar rumah, aku memandang dirinya. Satu perangai yang tidak berubah pada dirinya adalah, dia lelaki yang tidak mudah berputus asa. Beginilah caranya dulu bila cuba hendak mendekatiku.
“ Maira.. I need an explaination. Adakah awak perempuan yang selalu ada dalam mimpi saya.. perempuan yang saya pukul? Kejadian itu sering kali bermain didalam mimpi saya Maira. Saya cuba tanya doktor yang merawat saya, katanya mungkin itu adalah sebahagian kehidupan saya yang lalu ataupun hanya mimpi semata-mata. Tapi ia kerap kali menggangu tidur saya. Saya tak pasti siapa perempuan itu. So tell me.. itu adalah awak kan? ”
“ Encik Azriel jangan nak mengarut. Saya tak ada kena mengena dengan kehidupan lampau Encik”
Dia cuba menghalangku dari melangkah menjauhinya.
“ Lepaskan saya!!”
Jeritanku itu mengejutkan jiranku yang baru saja hendak keluar rumah. Aku melarikan diri laju menuruni anak tangga. Tiba ditangga bawah sekali, aku mendengar jeritan.
“ Arghhh!”
Aku cuba mencari suara itu. Aku terkaku bila melihat AD sudah terkulai layu dilantai yang berbatu-batu. Darah yang mengalir dikepalanya cuba ditahan oleh jiranku.
“ Ke.. Kenapa.. dia?”
“ Dia jatuh dari tangga, mungkin salah langkah. Pak cik sudah telefon ambulan. Teruk cedera dia ni nak”
“ AD...”
Aku menangis lagi. Kenapa semua ini berlaku padaku? Puaskah hatiku melihat dirinya terkulai layu sebegini? Maafkan aku AD...
...................
6 bulan berlalu..
Kehidupanku semakin suram. Aku tidak lagi bekerja di syarikat AD. Kini aku bekerja di syarikat hartanah. Hubunganku dengan Farah pun semakin renggang bila aku masih tidak dapat menerima AD. Akibat jatuh dari tangga itu, AD dapat mengembalikan ingatannya. Aku ingat lagi di mana AD merayu meminta maaf dariku bila dia sudah ingat tentang peristiwa hitam itu.
“ Maafkan saya Maira.. Maafkan saya. Hukumlah saya. Saya sanggup Maira. Ampunkan dosa saya. Saya berdosa. Ya Allah. Saya sedar, akibat niat saya yang jahat tu, Allah telah membalas dengan hukuman yang setimpal. Apa yang saya kesalkan, saya masih belum menginsafi perbuatan saya dekat awak. Saya tetap nak cari awak malam tu jugak. Akhirnya kemalangan yang berlaku yang hampir membuatkan saya hilang nyawa. Maafkan saya Maira...”
Buat pertama kalinya aku melihat dirinya mengalirkan airmata.
“ Jangan muncul dihadapan saya lagi. Itu saja yang saya harapkan. Kalau awak muncul jugak, saya tak akan memaafkan awak buat selama-lama”
Selepas melontarkan kata-kata itu, aku terus keluar dari bilik wad itu. Hatiku menangis pilu. Kejam sangatkah diriku? Aku dapat lihat dia bersungguh-sungguh menyesali akan perbuatanya dulu. Semenjak itu, dia tidak lagi muncul dihadapanku.
Kini aku amat merindui dirinya. Aku mengaku kalah dengan hatiku sendiri. Cinta telah memadamkan api dendamku. Memang betul, rindu bukan teman yang mendamaikan perasaan dikala hati dilanda sepi. Rindu juga bukan teman yang merawat duka dikala dirinya berjauhan.
......................
“ Assalamulaikum. Err.. mak cik ni, mak cik Saleha kan?”
Ya. Aku pasti, ini adalah mak cik saleha. Ibu angkat AD. Perempuan tua yang aku lihat menjaga AD ketika kali terakhir aku berjumpa dengan AD. Apa yang dibuatnya disini? Di hadapan bilik bedah?
“ Anak ni..”
“ Saya Maira mak cik, bekas pekerja AD.. Err tak.. Encik Azriel”
Mak cik Saleha hanya mengangguk lemah. Hidungnya kelihatan merah, matanya sembab. Kenapa dengan mak cik Saleha ni? Aku baru saja melawat kawanku yang baru lepas menjalani pembedahan. Alhamdulillah, pembedahan berjalan dengan lancar. Tapi kenapa Mak cik Saleha disini juga? Mana pak cik Mahmod?
“ Mak cik.. kenapa ni?”
“ Nak.. Azriel nak..”
“ Kenapa dengan Encik Azriel mak cik?”
Hatiku berdegup kencang. Apa sudah jadi dengan AD? Kedengaran esakkan halus. Aku mengelabah.
“ Azriel.. dia sekarang ni menjalani pembedahan. Ada darah beku dikepalanya akibat hentakan yang banyak kali. Mak cik tak tahu nak... Rupanya dia dah tahu perkara ni 3 bulan yang lepas tapi dia seolah-olah pasrah dengan apa yang menimpa dirinya. kalau tak disebabkan dia pengsan tadi petang, sampai bila-bila pun mak cik tak tahu. Mak cik sedih.. dia umpama anak mak cik... mak cik takut kehilangannya. Mak cik rela gantikan tempat dia nak..”
“ Mak cik...”
Aku terduduk. Hatiku pedih mengenangkan nasib AD. Tanpa dapat ditahan, aku menangis. Menangis sehingga mak cik Saleha cuba menenangkan aku.
“ Nak.. mak cik tahu, anak ni adalah perempuan yang Azriel cuba..”
“ Mak cik, jangan dikenang perkara yang dah lepas tu”
Aku tidak mahu mak cik Saleha mengungkit peristiwa itu lagi. Bagiku, biarlah aku mulakan kehidupan yang baru. Menerima AD sebagai orang yang baru aku kenali.
“ Mak cik nak minta maaf bagi pihak dia. Mak cik sanggup merayu nak.. maafkanlah dia. Maira nilah perempuan yang dia rasa amat bersalah sekali. Beberapa bulan yang lepas, dia ada jumpa dengan mak, abah dan abang Maira, memohon kemaafan dari mereka. Mak cik yang temani dia.. Hampir juga dia dikerjakan oleh abang Maira. Tapi bila hampir setiap hari dia meminta maaf dari keluarga Maira, akhirnya dia dimaafkan. Mak cik bersyukur sangat nak”
Melopong aku mendengarnya. Jadinya keluargaku sudah mengetahui perkara itu?
“ keluarga saya tak beritahu saya pun..”
“ Betul.. atas permintaan Azriel. Dia datang kerumah Maira, setiap kali Maira pergi kerja. Lagi pula, dia berpegang pada kata-kata Maira. Maira tidak akan memaafkan dirinya jika dia muncul didepan Maira. Apa yang membuatkan mak cik rasa sedih sangat bila dia kata, kalau Maira rela memaafkan dirinya, dia akan rasa aman walaupun ajal datang menjemput”
Aku menangis lagi. Sampai begitu sekali kejamnya diriku.
“ Mak cik.. saya dah maafkan dia.. dari lubuk hati saya yang paling dalam. Saya sudah pun memaafkan dirinya”
“ Alhamdulillah.. terima kasih nak”
Mak cik Saleha terus memelukku erat. Dibahunya aku tempiaskan tangisanku. Begitu juga dengan Mak cik Saleha.
“ Pak cik Mahmod mana?”
Aku tidak nampak pun kelibat pak cik Mahmod.
“ Dia mengumpulkan anak-anak surau untuk bersolat hajat dan mendoakan kesejahteraan Azriel nak. Mak cik tak sanggup nak biarkan Azriel keseorangan. Biarlah mak cik jadi penunggu. Menunggu sehingga pembedahan ni selesai.. hah.. tu dia pak cik kamu”
Aku menoleh kebelakang, kelihatan pak cik Mahmod menghampiri kami. Pada masa yang sama, pintu bilik bedah terbuka. Serentak aku dengan mak cik Saleha berdiri. Doktor bedah yang tidak aku ketahui namanya itu menghampiri kami.
“ Macam mana dengan anak saya doktor?”
Tanya mak cik Saleha cemas. Aku jugak tidak sabar hendak mengetahuinya.
“ Bawa bertenang mak cik, pak cik dan yang ni mungkin isteri pesakit. Saya harap kalian semua bersabar. Sekarang pesakit dalam keadaan kritikal, kalau dapat kumpulkan keluarga terdekat. Berdoalah semoga ada keajaiban yang berlaku dan kami akan sedaya upaya menyelamatkan pesakit. Tapi buat masa ni, harapan pesakit untuk hidup adalah 50-50”
“ Ya Allah.. Anak kita bang..”
Mak cik Saleha meraung selepas mendengar kata-kata dari doktor itu tadi.
“ Sabar Leha.. kita hanya mampu berdoa. Jangan menangis macam ni”
Pak cik Mahmod cuba menenangkan mak cik Saleha. Walaupun pak cik Mahmod kelihatan tenang tapi aku nampak juga dirinya menyeka airmata. Aku.. aku sudah tidak mampu berkata-kata. Kakiku longlai melangkah pergi. Pergi menuju kesurau. Aku kena cekal. Selain dari usaha, doa jugak merupakan sesuatu yang amat penting. Aku bersujud
kehadratNya. Berdoa agar AD terselamat. Aku ingin mengatakan sesuatu kepada AD. Sesuatu yang tersirat di hatiku ini.
...................
“ Mama!”
Jerit si anak kecil.
“ Kenapa Danish?”
Aku yang sibuk menyusun makanan jamuan dihalaman rumah, sedikit terganggu dek jeritan si kecil itu.
“ Ayah ni.. Buli Danish”
Tersenyum aku mendengar. Hishh.. manja betul anakku ini. Tiba-tiba terasa pelukan seseorang dari belakang. Tahulah aku siapa orangnya.
“ Abang ni.. nanti orang tengok”
Mataku melihat sekeliling, kelihatan masing-masing sibuk dengan hal mereka sendiri. Hari ini kami mengadakan hari kesyukuran. Memang setiap tahun kami akan mengadakannya. Hanya keluarga terdekat mahupun kawan rapat saja yang dijemput.
“ Tak ada pun yang tengok”
Jawab Azriel Darwisy selamba. Aku hanya menggeleng-gelengkan kepala. Semakin hari, perangai Azriel semakin manja, mengalahkan manja Ashrif Danish, anak kami.
“ Abang tak sabar nak dapat anak kedua ni. Hidup abang semakin bahagia sayang. Abang amat mensyukurinya. Allah dah banyak kali berikan abang peluang. Tegurlah abang jika abang tersasar dari jalanNYA sayang. Itu pinta abang”
Aku tersenyum mengangguk. Hampir setiap masa aku diperingatkan sebegitu. Azriel dengan rendah diri, menginginkan aku untuk menegurnya jika dia mengabaikan suruhanNYA. Tapi setakat ini, memang dia tidak pernah lupa menjalani suruhan Ilahi dan meninggalkan perkara larangNYA. Terasa usapan lembut diperutku yang hampir sarat itu. Aku mengandung anak kedua kami. Terasa bahagia sekali.
“ Sudah-sudah ler tu.. Aku ni pun kahwin jugak, tak adalah romantik sebegitu”
Farah menegur kami. Malu aku dibuatnya. Keluarga yang lain hanya tersenyum. Farah ni.. kalau nak tegur pun, janganlah depan keluarga yang lain.
“ Romantik kena sepanjang zaman Farah, awak bawak la sekali Hisyam tu beromantika dengan awak”
Aku masih dalam pelukan suamiku. Azriel ni tidak ada rasa malu ke dengan usikkan Farah itu?
“ Tak ada maknanya. Anak dah 3. Dah hilang rasa nak romantik segala ni”
Riuh halaman rumah kami bila ada yang mengusik suami Farah. Syukur Alhamdulillah, hubungan aku dengan Farah yang dulu renggang, kini kembali terjalin. Sudah 3 tahun aku mendirikan rumah tangga dengan Azriel. Berkat doa dari keluarga dan kawan-kawan, Azriel terselamat dari tahap kritikalnya dulu. Darah beku dikepalanya sudah tiada. Dan kini, rindu bukan lagi peneman hidupku. Azriel Darwisy sudah ada didepan mata. Cintaku terhadapnya semakin bersemarak hari demi hari. Aku tidak lagi memanggil dirinya dengan panggilan AD, kerana bagiku nama itu adalah sejarah buatku. Azriel Darwisy merupakan cerita masa depanku bersama anak-anak.
P/S : Maaf jika cerpen ini ada klise dengan cerpen Sya sebelum ini. Sya hanya meluahkan apa yang bermain difikiran. Kalau ada masa, berikan komen supaya Sya dapat memperbaiki lagi tahap penulisan Sya. Terima kasih kerana sudi baca cerpen Sya.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar