Tiba-tiba saja mata Adriana Amani menangkap tepat kearah pendakap gigi Eja. Adalah juga idea yang diperolehi. Eja ini sudah ada anak pun masih hendak bergaya macam anak remaja, bisik hati Adriana.
“ Doktor gigi dekat mana?”
Tanya Eja.
Adriana Amani memandang satu persatu wajah yang meminta penjelasan dihadapannya kini. Ada lima orang semuanya. Masing-masing tidak membawa pasangan mereka kali ini. Semuanya sahabat dari universiti yang sama dia belajar dulu.
“ Adalah... Somewhere around KL ni juga. Tak kan aku kena beritahu detail semuanya”
Adriana cuba sedaya upayanya untuk berlagak selamba. Dia juga mati akal memikirkan lelaki yang tidak wujud ini. Lelaki yang menjadi rekaan imaginasinya sendiri.
“ Siapa nama dia? kut-kut aku kenal”
Tanya Haiqal dengan pandangan yang masih ragu-ragu dengan kenyataan Adriana itu. Adriana rasa mahu mencekik leher Haiqal, dia tahu Haiqal tidak pernah berpuas hati dengannya. Ada saja yang tidak kena.
“ Mikail”
Itu saja nama yang bermain di minda Adriana ketika ini. Baru semalam dia membaca novel yang mempunyai nama watak yang sama. Hentam sajalah! Mustahil wujud lelaki yang diciptanya ini.
“ Macam mana rupa dia?”
Tanya Haiqal lagi.
“ Kau ni kenapa Haiqal? Macam tak puas hati saja. Kau ingat aku nak tipu ke kewujudan lelaki ni? Macamlah aku ni terdesak sangat”
“ Manalah tahu. Yalah... Tiba-tiba saja kau dah ada teman lelaki. Saja nak kelentong kita orangkan? Kami semua dah kahwin, cuma kau saja yang belum. Aku rasakan, kau ni memang tak normal. Nak yang sejenis kot”
“ Haiqal!”
Tegur keempat-empat sahabat dengan keras, mereka tidak suka dengan kata-kata Haiqal itu.
“ Kau ni memang kurang ajarkan! Kau ingat aku kemaruk sangat ke nak kahwin? And kau peduli apa kalau aku kahwin ke, tak kahwin ke, itu semua urusan aku! Tapi apa yang aku katakan ini, memang benar”
Benci betul Adriana melihat wajah Haiqal. Dia tahu dulu Haiqal pernah meluahkan hasrat hati ingin menjadikan dia sebagai teman wanita Haiqal tapi Adriana menolak. Sejak itu Haiqal seperti berdendam dengannya.
“ Fine! So tell me, macam mana rupa dia. Sudahlah kau kedekut nak tunjukkan gambar dia dekat kita orang apatah lagi nak jumpakan dia dengan kami. Manalah kita orang susah nak percaya”
Suara Haiqal sudah mengendur. Dia tahu Adriana Amani marah dengan kata-kata yang dilontarkannya tadi.
“ Betullah Ad, aku pun nak tahu rupa dia macam mana. Lelaki pertama ni yang melekat dengan kau. Aku happy sangat lah!”
Linda dengan wajah yang tidak sabar-sabar ingin mengetahui macam mana rupa ‘teman lelaki’ Adriana Amani. Karen juga mengangguk laju tanda bersetuju dengan kata-kata Linda itu.
“ Kau ni macam budak-budak. Dah nak jadi ibu pun masih perangai macam ni”
Tergeleng-geleng Adriana melihat Linda itu. Linda yang baru saja mengandung cahaya mata yang pertama. Adriana Amani menarik nafas, cuba membayangkan rupa paras ‘teman lelaki’ nya itu.
“ Dia seorang yang tinggi, antara aku dengan dia kirakan paras bahu dialah. Wajah dia cerahlah juga. Rupa dia, not bad... Hmm... Badan dia memang maskulin, sedap saja mata aku ni memandang. Yang penting gigi dia tersusun, dah doktor gigikan, kenalah pandai jaga gigi. Yang membuatkan aku jatuh cinta dengan dia sebab aku nampak yang dia ni lelaki yang dapat membimbing aku kearah yang lebih baik. Lagipun dia seorang yang romantik tau”
Apa yang Adriana Amani nyatakan itu hanyalah ciri-ciri lelaki idamannya. Tersenyum-senyum dia melihat sahabat-sahabatnya yang khusyuk mendengar bicaranya itu.
“ Nampak macam perfect sangatlah boyfriend kau ni Ad”
“ Mana ada perfect. Tak ada sesiapa pun yang perfect dalam dunia ni Man. Dia juga tak terkecuali”
Laju saja Adriana Amani membalas kata-kata Najman itu. Salah dia juga, membayangkan sesuatu yang seakan sempurna.
“ So jangan lupa tau, minggu depan ke majlis anniversary aku. Kalau boleh, bawa buah hati kau sekali Ad, dapat juga kita orang berkenalan”
Terasa kesat air liur yang ditelan Adriana Amani. Dimana dia nak cekau ‘teman lelaki’ nya itu?
“ InsyaAllah kalau dia tak ada halangan”
Adriana Amani cuba memaniskan wajahnya. Setelah tiada apa lagi yang hendak dikata, Adriana meminta diri. Dia hendak balik, pening memikirkan apa yang patut dibuatnya selepas ini.
Tahun ini umur Adriana Amani sudah menjangkau ke angka 30. Kawan-kawan selalu saja bertanyakan tentang dirinya yang belum mendirikan rumah tangga. Bukan saja kawan-kawan tetapi keluarganya sendiri. Nasib baiklah keluarganya memahami walaupun Adriana tahu perasaan risau itu tidak lekang dari hati keluarganya.
Ada yang menyatakan bahawa Adriana Amani seorang yang memilih tapi dia bukan sebegitu. Siapalah dia untuk memilih. Cuma hatinya belum terbuka untuk menerima teman istimewa dalam hidupnya. Selama ini dia hanya mementingkan kerjayanya sebagai jurutera. Bukan tidak ada yang cuba mendekati Adriana tapi dia sedaya upaya mengelak dengan alasan belum bersedia.
Kadang-kadang Adriana Amani pernah terfikir, adakah dia akan bersendirian hingga ke akhir hayatnya? Jika itu takdir dariNYA, dia redha. Mungkin tidak ada jodoh dia di dunia yang fana ini. Perasaan rendah diri itu sememangnya ada bila kadangkala kawan-kawannya yang lain seakan memperli akan statusnya yang bujang itu. Ada yang kata dia tak laku, minat dengan kaum sejenis dan bermacam lagi tapi dia hanya pekakkan telinga. Entah mengapa gathering kali ini bersama dengan Eja, Linda, Karen, Haiqal dan Najman sebentar tadi membuatkan dia terpaksa mereka-reka kewujudan seorang ‘teman lelaki’ yang sememangnya tidak pernah wujud dalam kehidupan Adriana Amani.
Ahhh! Biarlah... Bukan selalu dia akan berjumpa dengan sahabatnya itu. Hanya ketika mereka mengadakan gathering. Minggu depan, dia akan menyatakan kepada Eja bahawa ‘teman lelaki’ nya ada urusan lain. Senang cerita!
.............................
“ Masuk”
Laung Mirza Mikail.
“ Assalamualaikum doktor”
“ Walaikumsalam. Puan Ezzah kan? Duduk puan”
Jawab Mirza Mikail mesra.
“ Doktor baru ke? Selalunya doktor Zana yang check up gigi saya ni”
Tanya wanita yang dihadapan Mikail itu.
“ Saya memang baru dekat sini puan. Zana kakak saya. Saya yang akan menggantikan kakak saya dalam beberapa hari ini sebab dia ada urusan. Kalau puan rasa tak selesa, saya boleh panggilkan doktor perempuan yang lain”
“ Ehh... Tak apalah. Saya tak kisah”
Cepat saja Eja menghalang doktor yang dihadapannya ini dari berdiri. Hensem juga adik doktor Zana ini, puji Eja dalam hati. Dia cuba melihat name tag yang ada di baju jubah doktor muda itu. Mikail. Sedap nama itu. Tidak sampai beberapa saat, Eja teringatkan sesuatu. Belum sempat Mirza Mikail hendak bertanyakan masalah gigi yang di alami Eja, Eja sudah bersuara.
“ You teman lelaki Ad kan?”
Mikail terpinga-pinga. Ad? Siapa Ad?
“ Hah? Ad?”
“ Ala... Adriana Amani. Girlfriend you lah siapa lagi. I best friend Ad. Tak sangka betul yang I akan jumpa dengan boyfriend Ad. Dia kedekut sangat nak tunjukkan you ni dekat kita orang. Patutlah... handsome rupanya”
Eja benar-benar yakin, doktor yang dihadapannya ini teman lelaki Adriana Amani. Tak kan dia salah orang, nama teman lelaki Ad adalah Mikail. Seorang doktor gigi. Sama seperti lelaki yang dihadapannya ini. Berwajah cerah. Gigi dia pun tersusun. Tempat klinik gigi ini juga terletak di sekitar Kuala Lumpur. Cuma ketinggiannya Eja belum pasti sebab Mikail belum lagi berdiri. Sah! Ini teman lelaki Adriana Amani!
Mirza Mikail memandang pelik wanita yang dihadapannya ini. Beria-ia memberitahu tentang Adriana Amani sambil memandangnya tanpa henti. Adakah dia sedang dianiaya? Dia tidak mengenali wanita yang bernama Adriana Amani. Siapa pula yang mereka-reka cerita yang dia teman lelaki Adriana Amani? Mikail cuba berlagak mengenali Adriana Amani itu.
“ Ohh... Ad...”
“ Yes Ad... Dia beritahu I yang you ada urusan dan tak dapat datang ke majlis I. Betul ke? Esok kan hujung minggu dan majlis I berlangsung malam. Rasanya you tak ada masalahkan? Yalah... Kami ni semua tertanya-tanya tentang teman lelaki si Ad ni. Yang kita orang tahu cuma nama you and your job as a dentist saja”
“ Err... Saya... Saya dengan Ad ada salah faham sikit. Itu sebab dia merajuk kut... InsyaAllah saya akan cuba datang. Awak bagi saja saya alamat. Tapi kalau boleh jangan beritahu Ad yang awak jumpa saya. Sebab esok saya akan cuba pujuk dia”
Eja mengangguk setuju.
“ You jagalah Ad ni baik-baik. You mesti tahukan yang you ni orang pertama yang bertakhta dalam hati Ad. I tak nak orang pandang rendah dekat dia lagi. Sekarang ni dia dah ada seseorang, I harap biarlah ianya kekal hingga ke akhirnya”
“ InsyaAllah, saya akan cuba”
Mirza Mikail tersenyum puas. Dia akan cuba datang ke majlis Eja itu. Dia akan melihat ‘teman wanita’ nya itu. Pelik! Tidak pernah lagi dia terdengar mahupun terjumpa dengan situasi yang melanda dirinya ini. Rasa macam kelakar pun ada juga bila mana wanita yang tidak dikenalinya menganggap dirinya sebagai teman lelaki wanita itu. Adriana Amani, nama yang cantik.
Secepat mungkin dia menyelesaikan pekerjaannya. Mirza Mikail rasa tidak sabar untuk menanti malam esok.
......................
Mirza Mikail kini sudah berada dihadapan banglo sederhana besar itu. Kelihatan ramai yang sudah hadir ketika itu. Menurut Eja, dia mengadakan majlis ulang tahun perkahwinan yang ke lima. Hanya keluarga terdekat dan sahabat handai saja yang dijemput. Mikail menarik nafas, cuba meredakan hatinya yang tiba-tiba saja berdebar.
Mikail melangkah menghampiri halaman rumah Eja. Dia menoleh bila namanya dipanggil. Kelihatan Eja menghampirinya bersama dengan suami.
“ Thank you sebab sudi datang. Anyway yang ni suami I, Zarief”
Zarief menghulurkan tangannya dan Mirza Mikail menyambut mesra.
“ Happy anniversary to both of you”
“ Thank you”
Ucap Zarief.
“ Jomlah kita pergi sana. You ni Mikail macam berjanji saja dengan Ad pakai baju warna yang sama. Kata bergaduh”
Usik Eja, kelakar melihat warna baju yang dipakai Mirza Mikail itu sama dengan warna dress muslimah Adriana iaitu gabungan ungu gelap dan hitam.
“ Mana Ad?”
Mirza Mikail rasa tidak sabar untuk berjumpa dengan Adriana Amani itu. Tiba-tiba Eja membuat pengumuman, Mirza Mikail terpinga.
“ Attention please... To all my friends, I nak kenalkan pada you guys, teman lelaki Adriana Amani. Doktor Mikail”
Hampir terlepas telefon bimbit yang berada ditangan Adriana Amani ketika ini. Apa yang Eja mengarut ni? Bentak hati Adriana. Banyak mata yang memandangnya kini. Terutama sekali Haiqal yang nampak terkejut. Siapa lelaki itu? Dia tidak kenal dengan lelaki itu. Inilah kali pertama dia berjumpa dengan lelaki itu. Adriana melihat Eja menunjukkan dia pada lelaki itu. Lelaki itu sedang menghampirinya.
“ Hai...”
Patutkah dia menjawab sapaan lelaki dihadapannya ini? Wajah Adriana sudah kelihatan pucat.
“ Ad... Sorry aku tak bagitahu kau yang aku dah jumpa boyfriend kau. I know you guys ada masalah sikit tapi Mikail datang nak pujuk kau ni. Kau janganlah merajuk panjang sangat”
Bisik Eja pada Adriana dan Adriana menggeleng-gelengkan kepala tanda menidakkan.
“ Kau jangan nak nafikan. Mikail dah cerita dekat aku. So now, pergilah bincang dengan Mikail tu”
Sejuk jari-jemari Adriana ketika ini. Dia tidak faham akan kewujudan Mikail ini. Rasanya semua ini salah faham semata-mata.
“ I guess, we need to talk”
Kata Mikail. Adriana hanya mengangguk setuju. Ya, sudah tentu mereka perlu berbincang.
Kini mereka sudah berada jauh dari tetamu yang hadir walaupun Adriana dapat rasakan banyak mata yang mencuri pandang pada mereka.
“ Awak kenal saya ke?”
Tanya Mikail.
“ Tak! Tak... Saya... Saya memang tak kenal awak”
Tergagap Adriana menjawab. Memang dia tidak menyangka akan kedatangan lelaki yang dihadapannya ini. Peluh sudah memenuhi dahinya. Dia takut lelaki dihadapannya ini akan menyangka bahawa dia cuba memerangkap lelaki tersebut. Sedangkan dia tidak menyangka akan ada lelaki yang seakan sama seperti apa yang di imaginasinya.
“ Kalau awak tak kenal saya, kenapa ada wujudnya Mikail, doktor gigi yang mana ianya sama seperti saya? Nama saya juga Mikail, saya juga seorang doktor gigi. Tak ke awak rasa ianya sama macam yang awak beritahu kepada kawan-kawan awak”
“ Sumpah! Saya betul-betul tak kenal awak. Saya juga tak pernah menyangka akan adanya Mikail doktor gigi ni. Sebenarnya... Err... Saya... Saya cuma mereka-reka saja tapi saya tak tahu pula ianya sama benar seperti awak. Maafkan saya, saya akan cuba memperbetulkannya”
Adriana berkira-kira untuk melangkah pergi, dia akan berterus terang kepada kawan-kawannya mengenai ‘teman lelaki’ rekaannya ini.
“ Tunggu! Kalau awak sudi memberitahu apa sebab awak mereka-reka kewujudan Mikail doktor gigi ni kepada saya, saya akan anggap ianya hanya satu kebetulan yang sangat pelik. Saya tahu mesti ada sebab tertentu awak buat sebegitu”
Cadang Mirza Mikail. Adriana Amani masih ragu-ragu. Jika dia memberitahu hal sebenar kepada kawan-kawannya, sudah tentu dia akan diejek dan dicemuh. Dia akan di anggap seperti perempuan yang terdesak hendak berteman kerana sanggup mereka-reka kewujudan ‘teman lelaki’ yang sememangnya tidak wujud.
Arghhh! Jerit hati Adriana Amani. Kenapa tiba-tiba saja jadi sebegini. Adakah benar-benar wujud lelaki yang di imaginasikannya itu? Ya, memang wujud! Inilah dia lelaki itu, Mirza Mikail.
Mirza Mikail hanya seorang dan manakala sahabatnya pula ramai. Lebih baik dia berterus terang kepada Mikail daripada sahabatnya. Malu yang ditanggung juga tidak seberapa. Akhirnya Adriana mengambil keputusan untuk memberitahu perkara sebenar kepada Mikail.
“ Sebenarnya begini, saya rasa tak tahan bila ada yang pandang serong terhadap saya. Hanya kerana saya tak kahwin lagi, ada yang sanggup kata saya suka kaum sejenis. MasyaAllah... Minta dijauhkan. Saya masih waras lagi. Saya pun tak tahu bila saya akan ada teman istimewa apatah lagi suami..”
Adriana Amani memejamkan matanya seketika cuba meredakan hatinya yang rawan. Kenapa begitu sekali orang memandang rendah padanya hanya kerana dirinya berstatus bujang. Dia mempunyai kerjaya yang menjamin walaupun kadangkala berasa cemburu terhadap sahabatnya yang sudah berumah tangga.
“ Saya beritahu pada kawan-kawan saya bahawa saya sudah mempunyai teman istimewa. Bila mereka tanya siapa nama teman saya itu, terus kepala saya terfikir nama Mikail. Entah kenapa bila saya nampak pendakap gigi Eja, terus doktor gigi yang saya sebut bila mereka tanya tentang pekerjaan pula.
Saya tak sangka pula ketinggian awak sama betul dengan apa yang saya beritahu mereka. Saya macam tak percaya semua ini terjadi, saya ingatkan Mikail doktor gigi tak akan wujud. Maklumlah semuanya hanya rekaan saya semata-mata. Maafkan saya sekali lagi. Disebabkan saya, awak terpaksa terbabit sama”
Adriana Amani benar-benar rasa bersalah. Disebabkan dia, Mikail turut sama dalam pembohongannya ini. Dia cuba memandang Mikail yang leka menguis rumput dengan kaki sambil kedua-dua tangan tersimpan rapi dikocek seluar. Nampak sangat berkarisma. Laju Adriana melarikan matanya bila Mikail menoleh kearahnya.
“ Apa sebab awak belum berkahwin? Pernah dikecewakan ke?”
Terkejut Adriana dengan pertanyaan Mikail itu.
“ Tak adalah... Cuma belum ada jodoh”
Jawab Adriana ringkas.
Mirza Mikail tersenyum. Sayang wanita dihadapannya ini, kerjaya sudah ada, paras rupa pun cantik tapi masih belum mempunyai teman istimewa. Kalau dia tidak diberitahu serba sedikit mengenai perkara sebenar, dia juga akan menyangka sebab Adriana belum berkahwin adalah kerana minat dengan kaum sejenis. Astagfirullah, laju Mikail beristigfar. Menyesali akan prasangkanya itu.
“ Since saya sudah terbabit sama, apa salahnya saya turut serta. Saya faham perasaan awak apatah lagi awak seorang perempuan. Ianya berbeza dengan lelaki. Lelaki boleh saja kahwin lambat. Itu common, macam saya”
Mikail tergelak kecil, dia juga belum berkahwin padahal umurnya sudah menjangkau 33 tahun.
“ Tapi tak ke menyusahkan awak? Nanti marah pula teman wanita ataupun tunang awak”
Adriana Amani semakin rasa bersalah. Dia tahu Mikail ikhlas mahu menolongnya.
“ Tidak mengapa. Dia tak akan marah. Nanti saya explain dekat dia”
Mikail teringatkan teman wanitanya, Zeerah. Dia juga mengharapkan Zeerah akan memahami.
Entah mengapa hati Adriana berasa kecewa. Benarlah, Mikail sudah berpunya. Jangan cuba mengambil kesempatan hanya kerana dia menolong kau Ad, seperti ada suara amaran yang berbisik. Adriana mengeluh. Dia tidak akan mengambil kesempatan. Mungkin belum muncul lagi jodoh yang ditetapkan untuknya.
“ Terima kasih...”
Ucap Adriana perlahan.
“ Sama-sama. So... Kita kena berkenalan terlebih dahululah. Nama saya Mirza Mikail. Umur 33 tahun. Sekarang kerja di klinik abang ipar saya. Awak?”
Mikail tersenyum melihat Adriana yang kelihatan malu. Cantik sungguh wanita ini, puji hati Mikail.
“ Err.. Saya Adriana Amani. Umur 30 tahun”
“ Boleh kalau saya minta nombor telefon awak? Tak kan ‘boyfriend’ tak ada nombor telefon ‘girlfriend’ dia kan”
Adriana tergelak kecil. Benar kata Mikail itu. Adriana mengeluarkan buku note kecilnya. Dia menulis nombor telefonnya lalu mengoyakkannya dan memberikan kepada Mikail.
“ Err.. Kawan awak nak datang sini”
Beritahu Mikail. Adriana menoleh, kelihatan Haiqal dan juga Linda bersama suaminya menghampiri mereka.
“ So you lah boyfriend Ad ni? Bila lagi nak tamatkan zaman bujang? Si Ad ni bukannya muda lagi”
Sinis kedengaran kata-kata Haiqal itu. Kenapalah aku ada kawan yang menyakitkan hati ni, bentak hati Adriana.
“ Ya, saya. InsyaAllah, kalau tak ada halangan, tak lama lagilah jawapannya. Benda baikkan... Kalau boleh nak dipercepatkan”
Lancar saja jawapan Mikail. Dia juga tidak menyangka bahawa dia akan menjawab sebegitu.
Adriana juga terkejut dengan kata-kata Mikail itu tapi dia cuba mengawal perubahan diwajahnya. Tidak mahu Haiqal mahupun Linda perasan dengan riak terkejutnya.
“ Tahniah Ad. Tak sabar aku nak makan nasi minyak kau pula. Tapi kalau boleh kau kahwin masa aku belum melahirkan atau selepas aku siap melahirkan anak tau. Senang, aku akan sentiasa ada di setiap majlis kau”
Adriana memandang kandungan Linda yang masih diperingkat awal itu. Terasa senyuman yang dilemparkannya palsu semata-mata. Adakah dia akan merasai detik bahagia itu? Terasa jauh sekali untuk digapainya.
“ Terima kasih Linda. Anyway Haiqal, isteri kau tak ikut sama ke?”
“ Malaslah aku nak bawa. Biar dia dekat rumah saja. Isteri ni tak boleh nak di beri muka sangat, nanti dia pijak kepala kita sebagai suami. Lebih baik dia buat kerja dekat rumah tu, ada pula faedahnya”
Bongkak sungguh kata-kata Haiqal itu.
“ Apa pula? Kau ingat isteri ni macam pembantu rumah ke? Kau kenalah bawa dia keluar sekali sekala. Ini tak, kau macam orang bujang, dia kau suruh buat kerja rumah. Tak adillah macam tu!”
Linda tidak berpuas hati dengan kata-kata Haiqal itu.
“ Betul apa kata aku tu. Ini cara aku mentadbir rumah tangga aku. Lainlah dengan kau. Masing-masing berbeza Lin. You nanti Mikail, jangan bagi muka sangat dengan si Ad ni”
“ Selagi Ad tak buat sesuatu yang menyalahi agama ataupun undang-undang, saya tak kisah. Saya nak dia bahagia. Yalahkan... Sayang bini tapi kenalah berpada-pada”
Lembut pandangan Mikail lemparkan kepada Adriana. Seperti mereka di alam percintaan sebenar. Meluat Haiqal melihatnya. Lagi-lagi Sufyan, suami Linda bersetuju dengan kata-kata Mikail itu.
“ Itu kata-kata masa hangat bercinta tu Mika... Semuanya indah. Tapi you kena tahu bila dah berumah tangga, segalanya akan berubah”
Haiqal masih tidak berpuas hati. Mikail tersenyum. Degil juga Haiqal ini, bisik hatinya.
“ Itu saya tak berani nak kata lebih. Maklumlah... Belum lagi sampai ke peringkat itu. Tapi harapan memang nak macam apa yang saya kata tadi”
Linda tergeleng-geleng, faham dengan sikap Haiqal yang tak mudah berpuas hati lebih-lebih lagi berkaitan dengan Adriana.
Setelah jamuan itu, Mikail dengan berbesar hati hendak menghantar Adriana pulang. Mulanya Adriana menolak tapi di sebabkan ketika dia datang tadi menumpang kereta Linda dan rasanya tidak elok jika dia balik ikut teksi mahupun menumpang Linda kembali sedangkan ‘teman lelaki’ nya ada sama dimajlis itu. Akhirnya dia bersetuju.
Sepanjang perjalanan, Adriana lebih banyak diam dari berbicara. Hanya Mikail yang rancak berbual. Hairan juga dia dengan sikap Mikail itu, seperti mereka sudah kenal lama tapi dia rasa selesa pula.
Mikail yang enak berbaring di atas katil itu leka memandang siling. Dia teringatkan Adriana Amani. Adriana memang ayu dengan tudung dan dress muslimah yang dipakainya tadi. Perwatakan yang lemah lembut tetapi terselit juga ketegasan. Ahh... Kenapa pula dia teringatkan orang lain berbanding dari teman wanitanya yang sebenar? Dia mencapai telefon bimbitnya. Dia mendail nombor telefon Zeerah. Sekali... Dua kali.. masih tidak berjawab. Mungkin Zeerah sudah lena. Esok dia akan cuba menghubungi Zeerah lagi.
Telefon bimbitnya dicapai semula. Lancar jarinya menaip sesuatu.
-Assalamualaikum. Saya Mika. Just nak ucapkan selamat malam-
Punat ‘send’ ditekan. Dia tersenyum dengan sikap anehnya ini. Walaupun tidak ada kata balas dari Adriana, hatinya sudah puas dan dia rasakan lenanya indah sekali malam itu.
.........................
Selepas majlis Eja itu, hari-hari Adriana mendapat pesanan ringkas dari Mikail. Kadangkala bertanyakan khabarnya. Kadang-kadang Mikail akan membuat kata-kata lawak. Sungguh, dia berasa sangat selesa dengan kehadiran Mikail itu walaupun hanya pesanan ringkas yang dititipkan. Dia tahu Mikail hanya ingin mengeratkan persahabatan mereka yang baru terjalin tapi dia juga berasa risau jika dia tersalah tafsir akan layanan Mikail itu.
Hari ini Adriana mendapat pesanan ringkas dari Mikail lagi.
-Awak free tak tengahari ni? Jom lunch sama-
Tidak sempat Adriana menjawab pesanan ringkas itu, tiba-tiba telefon bimbitnya berdering. Mikail.
“ Assalamualaikum”
Adriana cuba mengawal suaranya. Rasa berdebar pula bila hendak berbicara dengan Mikail.
“ Waalaikumsalam. So macam mana? Awak free tak? ‘Boyfriend’ awak nak bawa keluar makan ni”
Ketawa Adriana mendengar kata-kata Mikail itu.
“ Boleh la... Tapi kena berhampiran dengan tempat kerja sayalah ya? Okey tak?”
“ Okay... Anything for you Ad. I’ll be there in 15 minutes. See you later”
Bergegas Adriana mengemaskan kertas kerjanya yang berselerak di atas meja. Dia juga ingin merapikan diri untuk nampak lebih kemas dihadapan Mikail. Kenapa hati ini begitu teruja untuk berjumpa dengannya? Pertanyaan hati yang tidak dapat dijawab oleh Adriana sendiri.
“ Girlfriend awak tak marah ke kalau dia nampak awak keluar dengan saya?”
Sementara menunggu makanan yang dipesan, sempat Adriana bertanyakan tentang teman wanita Mikail.
“ Dia kerja di Ipoh. Dia jenis yang tak kisah, janji saya tak buat kerja yang tak senonoh belakang dia. Maksud saya, having an affair with someone else”
Bertuah sungguh teman wanita Mikail itu, dapat lelaki yang begitu baik. Adriana berasa cemburu dengan teman wanita Mikail itu.
“ Sudah berapa lama awak kenal dia? Dia tak nak kahwin ke? Umur dia dah berapa sebenarnya? Nampak sungguh dia memberikan kepercayaan yang penuh untuk awak ya”
“ Dah lama... Hampir 7 tahun kami kenal. Saya kenal dia masa dia buat appointment gigi. Dari sanalah perkenalan kami. Dari hubungan kawan, kami bercadang untuk melangkah keperingkat yang seterusnya iaitu menjadi pasangan kekasih. Dia muda lagi, baru masuk 27 tahun. Pasal kahwin pula, dia kata tunggu dia bersedia”
Tiba-tiba saja selera Adriana seakan mati. Dia hanya menguis-nguis makanan yang baru sahaja dimakannya itu.
“ Kenapa? Tak sedap ke? Kalau tak sedap, boleh order yang lain lagi”
“ Ehh.. Tak adalah. Sebenarnya saya tak adalah lapar sangat. Emm... Awak memang asal dari KL ni ke? Tak ada kampong?”
“ Memang asal KL. Tak ada kampong. Kesiankan? Damansara itulah kampong saya. Saya teringin sangat nak rasa suasana kampong yang sebenar”
Kalaulah Mikail ini bakal suaminya, pasti dia akan mengajak Mikail ke kampong Mak longnya. Suasana yang damai dan mengenalkan pada orang kampong mengenai Mikail. Ibu bapa Adriana menetap di Kuala Lumpur bersama dengan Adriana setelah abang Adriana berkahwin.
“ Kalau awak tak keberatan, apa sebenarnya ciri-ciri lelaki yang awak inginkan? Kut-kut saya terjumpa, bolehlah nanti saya kenalkan dekat awak”
“ Ciri-ciri yang ada dekat awak”
Terkedu Adriana dengan bicaranya sendiri. Dia melihat Mikail yang juga seakan terpana.
“ Maaf. Maksud saya...”
“ Tak mengapa. Nanti saya carikan ya”
Laju saja Adriana menggeleng.
“ Tak apa... Biarlah ianya datang sendiri jika benar jodoh saya ada”
Hati Mikail berperang sendiri. Tipulah jika dia tidak tertawan dengan wanita yang dihadapannya ini. Walaupun baru beberapa minggu mengenali Adriana. Hati yang teruja, berkobar-kobar tidak sama dengan apa yang dia rasakan ketika bersama dengan Zeerah.
.......................
7 bulan mengenali Adriana membuatkan Mikail yakin, Adriana lah wanita yang di cintainya. Jika sehari tidak bertegur sapa ataupun tidak tahu mengenai perkembangan Adriana, pasti dia akan tercari-cari. Dia tahu, dia bersalah. Tidak sepatutnya dia mencurangi Zeerah walaupun dia belum meluahkan isi hatinya yang sebenar kepada Adriana.
Hari ini dia akan berterus terang kepada Zeerah kerana Zeerah akan berjumpa dengannya. Solat istikarah berkali-kali dibuatnya agar dia tidak tersalah buat keputusan. Sesungguhnya jawapan seperti memihak perasaan hatinya kini. Lalu dia akan berdepan dengan Zeerah. Walau apa pun yang akan Zeerah lakukan terhadapnya, dia akan terima. Dia yang bersalah dalam hal ini.
Mirza Mikail sudah nampak kelibat Zeerah di restaurant itu. Bermacam-macam doa yang dibacanya dalam hati agar hati Zeerah lembut menerima keputusan yang dibuatnya ini.
“ Assalamualaikum Zee. Dah order?”
“ Walaikumsalam. Zee dah order. Semua makanan dan minuman kesukaan Mika”
Terasa air liur yang ditelan seakan tersekat. Mikail nampak kekeruhan diwajah Zeerah walaupun Zeerah seakan menutupinya dengan senyuman. Adakah Zeerah sudah mengetahuinya?
“ Mika... Tujuan Zee turun KL ni sebab nak tahu... Tentang hubungan kita”
“ Baiklah. Lebih baik Mika berterus terang. Sebenarnya... Mika ada mengenali seseorang. I’m so sorry Zee. Mika tak sangka yang Mika akan jatuh sayang dekat dia. Dia belum tahu lagi perasaan Mika terhadap dia sebab Mika hanya pendam perasaan Mika ni. Lagipun Mika nak selesaikan dulu dengan Zee. Mika akan terima kalau Zee nak herdik, cemuh atau nak pukul Mika. Mika akan terima sebab Mika tahu semua ini salah Mika”
Rasa bersalah semakin menebal dihati Mikail bila nampak riak terkejut di wajah Zeerah.
“ I’m so sorry.. I..”
“ Kita berpisah”
Laju Zeerah memutuskan bicara Mikail. Mikail terpinga-pinga dengan keputusan yang dibuat Zeerah itu walaupun dia mengharapkan sebegitu.
“ Kita berpisah secara baik. Zee tak akan salahkan Mika sebab Zee juga melakukan perkara yang sama. Mika tahukan yang Zirul kerja ditempat yang sama Zee bekerja”
Mikail mengangguk. Zirul merupakan sepupunya.
“ Zee juga tak sedar bila saatnya Zee jatuh sayang dekat Zirul walaupun dia pernah menyatakan bahawa dia menyukai Zee. Jangan salahkan Zirul sebab dia juga rasa bersalah dengan Mika. Tapi cinta kami kuat. Kami berhubungan tanpa diketahui oleh sesiapa pun kerana Zirul tidak mahu Mika dapat tahu. Adakalanya kami bergaduh hanya kerana perasaan bersalah terhadap Mika. Zirul bercadang hendak memutuskan hubungan kami tapi Zee yang tak sanggup.
Akhirnya, Zee beranikan diri untuk berdepan dengan Mika dan memberitahu hal sebenar. Perjumpaan Zee dengan Mika ini tanpa pengetahuan Zirul sebab Zee tahu, Zirul akan cuba menghalang. Maafkan Zee dan Zirul, Mika”
Kebenaran yang memeranjatkan. Selama ini Mikail fikir, dia sudah membuat kesalahan kerana jatuh cinta dengan wanita lain. Rupa-rupanya... Ahh... Perasaan marah itu sememangnya ada tapi dia cuba mengawal.
“ Berapa lama dah Zee dengan Zirul?”
“ Dah nak dekat 2 tahun. Maaf...”
Mikail nampak Zeerah menyeka airmata yang mengalir. Dua tahun bukan masa yang singkat. Patutlah Zirul seakan mengelak untuk berjumpa dengannya bila mereka mengadakan acara keluarga.
“ Terus terang Mika katakan, mustahil Mika tak marah. Mika mengenali Ad tidak sampai setahun tapi Zee dan Zirul berhubungan sudah dua tahun lamanya. Tapi... Syukur, sekurang-kurangnya Mika tak lukakan hati Zee. Okeylah... Kita makan, dah sejuk dah makanan kita”
Teragak-agak Zeerah untuk menyuap makanannya tapi bila melihat senyuman gembira yang terpancar diwajah Mikail, dia jadi lega.
“ Lepas ni, Mika akan berterus-terang kepada Adriana tentang perasaan Mika. Doakan Mika ya. Dan Zee dah boleh beritahu khabar gembira ini kepada Zirul”
“ InsyaAllah Mika. Niat Mika baik. Zee akan doakan yang terbaik buat Mika”
Mikail akan berterus-terang kepada Adriana, walaupun dia nampak Adriana seakan teragak-agak untuk merapatkan hubungan mereka. Mungkin Adriana bimbang tentang dirinya yang sudah ada teman wanita itu, fikir Mikail. Tetapi dia merasakan seperti Adriana mempunyai perasaan yang sama sebagaimana yang dia rasa.
Adriana berfikir-fikir tentang hubungannya dengan Mikail, sampai bila hubungannya ini. Pasti kawan-kawannya akan tertanya-tanya bila dia akan menamatkan zaman bujangnya. Sedangkan dia tahu, agak mustahil dia akan bersama dengan Mikail yang sudah mempunyai teman wanita. Walaupun hatinya sudah terbuka untuk lelaki itu. Dia tidak akan sesekali melukakan teman wanita Mikail kerana dia juga seorang wanita. Merampas kekasih orang ibarat melukakan hatinya sendiri. Siapa yang suka jika kekasih dirampas oleh orang lain.
........................
Malam itu, Mikail menghubungi Adriana. Niat hati ingin berjumpa empat mata tapi mengenangkan sudah malam jadi dia memadamkan niatnya itu. Tanpa kata-kata hiasan, Mikail berterus-terang akan hasrat hatinya dan menerangkan kesemuanya apa yang berlaku petang tadi ketika dia berjumpa dengan Zeerah. Mulanya tiada kata balasan dari Adriana. Tapi bila mendengar jawapan dan esakan kecil dari Adriana, hatinya lega.
“ Terima kasih awak sebab mencintai saya. Saya dengan ikhlas hati menerima awak”
Jawapan yang dinanti-nantikan oleh Mikail. Tanpa berlengah, bermacam-macam yang direncanakan oleh Mikail. Sehingga tanpa sedar, hampir pukul 3 pagi baru mereka habis berbual dicorong telefon.
.....................
“ Ad!”
Laung Haiqal.
“ Kau buat apa dekat sini Qal?”
Terkejut Adriana dengan kehadiran Haiqal itu. Sudah pukul 7 malam. Hari ini kerja Adriana banyak sangat yang hendak disiapkan, terpaksalah dia lambat balik.
“ Aku nak jumpa kau Ad. Betul ke kau nak kahwin?”
Adriana tersenyum. Ya, tidak sampai tiga bulan saja lagi, dia akan di ijabkabul sebagai isteri Mirza Mikail yang sah.
“ Yalah... Kan selama ni korang rasa tak sabar nak suruh aku kahwin... Hari tu masa aku bertunang, kenapa kau tak da...”
“ Kahwin dengan aku Ad! Aku sanggup ceraikan isteri aku. Kau tahukan yang aku cintakan kau. Please Ad... Aku betul-betul cintakan kau”
Terus Adriana beristigfar. Sanggup Haiqal berkata-kata sebegitu.
“ Aku rasa, ada baiknya kau balik rumah sekarang, tatap isteri kau Qal. Jangan jadi macam ni. Kita kan kawan, kau tahukan yang aku tak ada perasaan cinta dekat kau. Hanya persahabatan Haiqal”
Geram mendengar bicara Adriana itu, terus Haiqal mencengkam lengan Adriana dengan kuat. Adriana mengaduh kesakitan.
“ Lepaslah Haiqal! Tolonglah...”
Rayu Adriana. Dia berdoa agar Mikail akan cepat sampai menjemputnya. Dia benar-benar takut dengan tindakkan Haiqal kali ini. Dia juga tidak nampak orang lalu-lalang di tempat dia menunggu itu.
“ Haiqal! Lepaskan tangan Adriana sebelum saya buat laporan polis”
Mahu saja Mikail membelasah Haiqal kerana mengasari Adriana tapi dia tidak mahu Haiqal semakin berdendam. Dia tahu cerita mengenai Haiqal yang menyukai Adriana. Adriana sendiri memberitahunya. Dia melihat Haiqal melepaskan perlahan cengkaman dari lengan Adriana. Terus dia menarik Adriana supaya dekat dengannya.
“ Maafkan aku Ad. I’m so sorry Mikail. I’m so sorry..”
Selepas melontarkan kata maaf, Haiqal terus melangkah pergi. Dia tahu, sampai bila-bila pun, dia tidak akan dapat memiliki Adriana. Mungkin sudah takdir sebegitu.
.......................
Setahun enam bulan kemudian...
Selepas peristiwa Haiqal datang menyerbu Adriana, perancangan untuk bernikah dua bulan lebih akan datang ditukar menjadi dua minggu akan datang. Alasan Mikail, dia takut terjadi apa-apa terhadap Adriana. Dia mahu memiliki sepenuhnya Adriana Amani.
Hari ini mereka balik ke kampung mak long kerana nenek Adriana ingin berjumpa dengan Mikail. Semenjak Mikail berkahwin dengan Adriana, nenek Lijah selalu saja bertanyakan Mikail. Ini kerana nenek Lijah sudah menggunakan gigi palsu yang dicadangkan Mikail. Nenek Lijah selalu saja mengadu bahawa dia susah hendak makan kerana hampir kesemua giginya sudah tiada. Lalu Mikail mencadangkan nenek Lijah untuk menggunakan gigi palsu. Dengan rawatan yang diberikan oleh Mikail, nenek Lijah semakin menggemari gigi palsunya.
Ketika sedang mengurutkan kaki nenek Lijah, Mak Kiah, jiran sebelah menegurku.
“ Kamu bila lagi nak mengandung Ad? Dah lama juga kamu kahwin tapi belum berisi lagi ke?”
Terhenti urutannya. Dia memandang wajah Mak Kiah.
“ Belum ada rezeki lagi Mak Kiah”
“ Itulah kamu, lambat sangat nak kahwin. Anak aku si Melur tu dah ada 3 orang anak pun. Perasan aku, kamu tua cuma dua tahun dari dia. Anak si Timah tu pun aku dengar dia dah mengandung sedangkan baru tiga bulan lebih berkahwin. Susah kalau umur dah lanjut ni, susah nak mengandung”
Berubah terus riak wajah Adriana. Dia terasa dengan kata-kata Mak Kiah itu.
“ Hish... Kau ni Kiah. Jodoh, rezeki mengandung tu hanya Allah yang menetapkan. Kau pula yang mengada-ngada kata macam tu. Mereka ni pun berikhtiar supaya si Ad ni cepat mengandung. Bukan nak goyang kaki saja”
Nenek Lijah terus bersuara. Dia tidak suka dengan kata-kata jiran sebelahnya itu.
“ Tak adalah Mak Lijah... Cuma inilah akibat bila lambat kahwin, lambat juga nak dapat anak”
“ Inilah orang yang tak berpandukan pada takdir. Aku dah kata tadi, jodoh itu semua urusan Allah. Bukan dulu si Melur tu terlanjur ke, itu sebab dia kahwin awal”
Adriana menegur nenek Lijah, dia tidak mahu kisah Melur disebut. Dia juga tahu punca Melur berkahwin disebabkan ketelanjuran. Bagi Adriana, itu kesilapan masa silam yang penting manusia itu berubah dari kesilapan yang dilakukannya.
“ Aku balik dulu la Minah”
Laju Mak Kiah mengundurkan diri tanpa bersalam dengan nenek Lijah.
“ Jangan ambil hati dengan kata Mak Kiah tu Ad. Kau pun kenal dengan mulut dia tu kan”
“ Tak adalah Mak long. Nenek, Ad masuk bilik dulu ya”
Di dalam bilik, Adriana memandang permandangan indah melalui tingkap kaca. Tanpa sedar, airmatanya mengalir. Sudah setahun lebih dia menjadi isteri kepada Mikail tetapi belum ada janin yang membesar di rahimnya. Hatinya benar-benar terusik dengan kata Mak Kiah itu. Siapa yang tidak mahu memiliki cahaya mata, itu lambang perkongsian dua jiwa yang saling cinta mencintai.
Adriana terasa ada tangan yang memeluk pinggangnya dari belakang. Dia yakin itu Mikail, perbuatan yang selalu dibuat oleh suaminya itu. Dia menyandarkan kepalanya ke dada bidang Mikail itu.
“ Jangan menangis sayang... Belum ada rezekikan. Kita bersabar saja”
Rupanya Mikail juga mendengar kata-kata Mak Kiah itu. Mungkin dia tidak sedar akan kemunculan Mikail ketika diruang tamu itu.
“ Tapi Ad takut abang... Takut abang akan lelah menunggu. Siapa yang tak nak anak bang bila sudah melangkah ke alam perkahwinan ni. Ad juga tak terkecuali dan Ad tahu... Abang juga mengharapkannya”
“ Memang... Memang abang nak tapi kalau belum ada rezeki nak buat macam mana? Kita hanya mampu bersabar, berdoa dan berusaha. Ad tahukan betapa abang mencintai Ad?”
Adriana mengangguk. Sememangnya cinta Mikail terhadapnya tersangatlah besar.
“ Jadi... Jangan ragui kesetiaan abang... Abang tak kisah, janji Ad sentiasa ada disisi abang. Itu yang penting sayang”
Terharu dengan kata-kata Mikail itu, esakan Adriana semakin kedengaran.
“ Shhh... Kenapa menangis ni? Abang ingatkan, bila dah pujuk sayang semakin cool down tapi makin lebat pula airmata ni mengalir. Kenapa sensitive sangat ni sayang? Selalunya Ad tak macam ni. Ad pekakkan saja telinga bila ada yang cuba menyindir”
Mikail memusingkan badan Adriana supaya mengadapnya. Dia menyeka airmata isterinya itu dengan lembut.
“ Entahlah bang... Ad ingatkan bila dah kahwin ni, orang tak akan ambil peduli lagi tentang kisah Ad tapi kini diungkit pula pasal anak”
“ Manusia sayang... Bermacam-macam ragam. Ada yang tak suka bila orang lain senang. Yang penting, kita tak sibuk dengan hal orang lain. Dahlah... Abangkan ada... Abang akan sentiasa sokong sayang. So kita kena berusaha dengan lebih gigihlah lagi lepas ni ya”
Adriana mengangguk perlahan. Ya, dia akan berusaha. Selain dari doa, dia akan berusaha selagi terdaya dan selainnya hanya berserah padaNYA.
“ Jadi bermula dari sekarang?”
“ Maksud abang?”
Belum pun Mikail menjawab, Adriana sudah nampak wajah nakal Mikail yang mengangkat-angkat keningnya itu. Tergelak kecil Adriana dibuatnya.
“ Hishh... Abang ni tak senonoh. Dah nak masuk asar ni”
“ Tapi lepas Isya’ bolehkan?”
Tergeleng-geleng Adriana dengan perangai nakal Mikail itu. Ada-ada saja yang mencuit hatinya.
Adriana terbangun dari tidurnya malam itu. Hampir saja ke pukul 3 pagi. Dia benar-benar berasa lapar tapi dia rasakan tekaknya menginginkan sup tulang yang ada di gerai 24 jam Haji Maidin di pekan mereka. Dia menggerak-gerakkan badan Mikail supaya terjaga.
“ Abang... Ad laparlah”
Terpisat-pisat Mikail sambil menggosok matanya. Dia melihat jam tangannya yang terletak di atas meja, disisi katil.
“ Sayang... Dah nak pukul 3. Abang rasa, baru saja terlelap. Nak makan apa ni?”
“ Nak sup tulang yang ada dekat gerai Haji Maidin tu”
Terliur benar Adriana dengan sup tulang Haji Maidin. Berkali-kali dia menelan air liurnya.
“ Gerai Haji Maidin kan dekat pekan... Biar abang masak ya? Ad pun suka dengan sup tulang yang abang masakkan”
“ Tak nak! Ad nak sup tulang Haji Maidin”
Terbuka luas mata Mikail bila melihat wajah Adriana yang keruh itu. Semalam, elok saja keadaan Adriana.
“ Sayang dah pukul 3 ni... Kita tunggu esok ya... Lepas sembahyang subuh, abang bawa terus Ad pergi pekan”
“ Gerai tu buka 24 jam lah abang... Boleh lah... Selagi Ad tak makan sup tu, Ad tak dapat nak tidur semula”
Mikail memandang hairan. Beria-ia Adriana menginginkan sup tulang Haji Maidin itu. Akhirnya dia mengangguk, takut nanti Adriana akan merajuk pula.
“ Thank you abang. I love you so much. Ad bersiap sekarang. Abang cepatlah bangun”
Ciuman diberikan kepada Mikail sebelum dia bergegas menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri.
Sebelum Mikail masuk ke dalam kereta, dia memberitahu Mak long tentang keinginan Adriana itu. Kerana keinginan yang melonjak-lonjak itu, Adriana terus masuk ke kereta Mikail tanpa sempat memberitahu Mak Long.
“ Mak Long tengok si Ad tu lain macam Mika. Dari kamu datang lagi Mak Long tengok perubahan diwajahnya. Mungkin dah ada rezeki kamu kali ni. Ini pula dia macam mengidam nak makan makanan pilihan dia”
“ Saya pun fikir macam tu Mak Long. Doakan saja apa yang Mak Long katakan itu benar”
“ Amin... Mak Long akan sentiasa mendoakan kebahagian anak-anak Mak Long. Pergilah.. Nanti merungut pula si Ad tu, ini pun tak menyempat-nyempat, dia dah menonong masuk kereta”
Tercapai hasrat Adriana untuk makan sup tulang Haji Maidin. Sampai dua mangkuk yang di pesannya. Hampir habis juga tulang daging di makannya. Tergeleng-geleng Mikail melihat ‘kerakusan’ isterinya itu. Adriana hanya tersengeh bila matanya bertembung dengan Mikail.
....................
“ Sayang bersiaplah. Kita nak pergi klinik”
“ Buat apa? Abang sakit ke?”
Tanya Adriana pelik. Dia melihat Mikail elok saja. Tidak menampakkan yang Mikail kurang sihat.
“ Tak adalah... Abang nak Ad buat urine test. Abang macam rasakan yang kita ada rezeki kali ni lagipun Ad belum period lagikan?”
“ Tapi bang... Abangkan tahu yang period Ad tak menentu. Ad tak nak abang berharap sangat”
Walaupun dia juga mengharapkan ada rezeki yang akan diperolehinya.
“ Kita cuba saja sayang... Tak salah mencubakan. Kalau belum ada, kita redha”
Adriana mengangguk perlahan. Benar, tidak salah mencuba.
Kini mereka menantikan keputusan dari urine test Adriana. Hati Adriana berdebar-debar. Mikail menggengam erat jari-jemari Adriana bagi meredakan gemuruh yang melanda isterinya itu dan juga dirinya sendiri.
“ Tahniah puan Adriana. Sudah 7 minggu kandungan puan”
“ Syukur Alhamdulillah”
Bergetar suara Adriana mengucapkan kesyukuran. Airmata yang cuba ditahan, tidak lagi dapat dibendung. Mikail memeluknya erat. Kalau tidak memikirkan doktor yang dihadapan mereka ini, pasti esakannya akan kedengaran.
“ Alhamdulillah. Mungkin puan sudah lama menunggu ya. Nasihat saya, puan kena jaga kesihatan puan supaya tidak menjejaskan kandungan walaupun masih diperingkat awal. Pergerakkan juga haruslah terbatas, takut kandungan tak berapa teguh di awal-awal kandungan ini”
Adriana mengangguk, sudah semestinya dia akan menjaga kandungannya dengan lebih baik lagi. Dia pasti layanan baik Mikail terhadapnya juga akan berganda-ganda.
Adriana bernasib baik kerana hanya menunggu selama setahun lebih berbanding dari orang yang menunggu bertahun-tahun lamanya. Tapi dalam masa setahun lebih itu, keperitan yang dirasainya dari kata sindiran orang sekeliling membuatkan dia seakan kerdil, hatinya terluka.
...................
Adriana pernah berkata kepada doktor yang merawat kandungannya agar tidak memberitahu mengenai jantina anaknya. Dia cuma ingin tahu kesejahteraan anaknya didalam kandungannya saja. Baginya, dia sudah bersyukur dengan rezeki yang ada ini. Lelaki ataupun perempuan, itu tidak menjadi masalah untuknya. Mikail juga bersetuju dengan permintaan Adriana itu.
Kini saat-saat yang ditunggu sudah menjelma. Mikail sentiasa menemani Adriana. Ada kemungkinan, Adriana akan dibedah mengenangkan kandungan Adriana besar kerana takut nanti akan mengalami kesukaran jika dia melahirkan dengan cara normal. Mikail mencadangkan supaya mencuba dulu dengan melahirkan cara normal, jadi doktor juga bersetuju.
Dengan keseluruhan tenaga yang ada, Adriana meneran dengan sepenuhnya apatah lagi dengan kata-kata semangat Mikail yang berada di sisinya. Kedengaran tangisan nyaring. Adriana pasti, itulah bayinya. Adriana menarik nafas lega.
“ Teran lagi sekali puan. Seperti mana yang tadi. Saya dah nampak anak kedua puan”
Dia ada anak kembar? Terpinga-pinga Adriana memandang Mikail. Dia tidak menyangka dengan kenyataan yang baru didengarnya itu. Adriana mengulangi lagi apa yang dibuatnya sebentar tadi. Tangan Mikail digenggam kuat.
Mikail juga seakan tidak percaya bahawa mereka mempunyai anak kembar. Semakin bersemangat dia memberikan kata-kata perangsang kepada Adriana.
Alhamdulillah, seperti mana anak pertama, tangisan kedengaran. Adriana terasa amat lemah sekali tapi bila keinginan hati begitu teruja untuk menatap bayi-bayinya itu, jadi dia menguatkan diri. Mikail diberikan peluang untuk menggunting sendiri tali pusat kedua-dua anak kembarnya itu.
“ Tahniah puan. Puan telah melahirkan anak kembar. Sepasang, lelaki dan perempuan”
Patutlah emak Adriana mahupun mama Mikail pernah berkata yang kemungkinan Adriana mengandung anak kembar mengenangkan bila melihat perut Adriana yang besar itu tidak sama seperti orang mengandung biasa. Bila difikirkan semula, memang tidak mustahil kerana papa Mikail juga mempunyai adik kembar walaupun dia mahupun Mikail sendiri tidak mempunyai adik beradik yang kembar.
Setelah Mikail mengazankan dan mengiqamatkan anak-anaknya, Adriana pula ditempatkan di wad biasa. Sungguh, Adriana tersangatlah letih tapi bila melihat wajah-wajah keluarganya dan keluarga mertuannya serta tidak lupa dengan kehadiran Eja, Karen dan Linda bersama pasangan mereka masing-masing membuatkan dia rasa terharu, mata yang hendak terlelap juga terbuka luas.
“ Tahniah Ad... Aku yang dah lama kahwin ini pun baru dapat seorang anak. Kau dapat express dua lagi. Jealous aku tau... Ini yang buat aku tak sabar nak mengandung lagi ni”
“ Thank you Karen. Rezeki aku. Syukur yang teramat sangat”
Tersenyum Adriana mendengar kata-kata Karen itu. Dia menoleh ke sisi, kearah suaminya yang mengusap lembut kepalanya yang tertutup dengan selendang itu.
Kemunculan bayi-bayinya yang dihantar oleh jururawat bertugas menjadikan anak kembar itu menjadi perhatian semua yang ada di bilik yang menempatkan Adriana itu.
“ Comelnya Ad... Hish! Kalau anak aku, dah lama aku gigit-gigit. Pipi dia gebu sangat!”
Eja menghampiri dengan lebih dekat lagi. Bayi perempuan didukung oleh Adriana dan manakala bayi lelaki didukung oleh Mikail.
“ Dah ada nama ke anak-anak kau ni Ad?”
“ Belum lagi. Ada juga senarai nama yang dah kami pilih tapi sebelum ni belum sure dapat anak lelaki ke perempuan. Alih-alih dapat dua-dua. Alhamdulillah”
“ Eh lupa pula aku nak bagitahu, Najman ucapankan tahniah. Dia pergi Hongkong dengan bini dia. Nak honeymoon lagi sekali katanya”
Linda memberitahu tentang ketiadaan Najman. Sememangnya mereka berenam memang rapat. Hampir setiap bulan mereka akan berjumpa walaupun masing-masing bekerja di tempat yang berlainan.
“ Haiqal mana? Dah lama juga aku tak dengar khabar dia”
“ Ohh ya... Kau belum tahu lagikan. Dia sekarang sibuk dengan proses perceraian dia dengan bini dia tu. Dia dapat tahu yang bini dia ada hubungan dengan jiran dia. Mengamuk gila dia dengan bini dan jiran dia tu. Habis dibelasahnya jiran dia tu. Sampai-sampai jiran dia saman dialah. Itu yang jarang lagi dengar cerita dia tu. Dia malu nak jumpa dengan kita. Dulu dia selalu saja cakap besarkan”
“ Sayang tak payah lah cakap macam tu”
Sufyan menegur isterinya itu. Linda menjeling lembut suaminya itu.
“ Lin cakap saja... Bukan niat nak mengumpat dia”
“ Kita doakan saja dia dapat tempuhinya. Mungkin lepas ni dia akan berubah”
“ Betul kata Ad tu... Hmm.. You Mika lepas ni riuhlah rumah ya... Tak menang tangan dibuatnya bila dua-dua meragam pada masa yang sama”
Kini Zarief pula yang bersuara.
“ Itulah... Harap-harap nanti dapat mengawal dengan sebaiknya. Zaman honeymoon kita orang dah panjang, jadi lepas ni zaman menjaga mereka-mereka ni lah”
Tersenyum Mikail memandang Adriana. Dia mencium dahi Adriana dengan lembut, terlupa pula dia bahawa banyak mata yang memandang mereka. Pipi Adriana terasa membahang, malu bila Mikail menunjukkan kemesraan lagi-lagi dihadapan keluarga dan juga kawan-kawannya.
Indahnya perasaan Adriana bila bergelar isteri kepada Mikail dan ibu kepada Mifzal dan Amni. Terasa lengkap kehidupannya kini. Inilah hikmah yang diberi olehNYA. Dari kata-kata sindiran dari orang sekeliling, akhirnya dia mendapat suami yang baik dan anak-anak yang comel. Sesungguhnya, inilah kurnia yang tak ternilai buatnya.
Kewujudanmu memang tidak terduga olehku kerana semua itu hanya imaginasiku semata-mata tapi dengan kewujudanmu ini membuatkan aku bahagia sehingga menutupi keperitan yang melanda hati ini – Adriana Amani
Aku tidak menyangka bahawa kewujudanku ini akan menemuimu kerana semuanya bermula tanpa disangka tapi hati ini berbunga setiap kali menatap wajahmu sehingga aku sanggup melepaskan seseorang yang pernah menjadi istimewa dalam diriku ini. Benar, cinta itu tidak mengukur berapa lama kita mengenali pasangan kita. Aku yakin saat aku jatuh cinta padamu ketika pertama kali menatap wajahmu – Mirza Mikail
Tidak ada komentar:
Posting Komentar