Rabu, 21 Maret 2012

Mungkinkah? 20


 Mengharapkan suasana kerja yang harmoni seperti dahulu, memang sesuatu yang mustahil. Dia perlu membiasakan diri dengan suasana yang serba-serbi tidak kena yang mulai menyelubunginya. Dan, dia tahu itu adalah suatu situasi yang harus dia lalui. Paling kurang untuk tempoh kurang satu bulan ini.  Encik Karim benar-benar kecewa dengannya. Juga benar-benar marah dengannya. Walaupun tidak mencampur-adukkan masalah antara mereka dengan kerja, tetapi, jelas Encik Karim seperti mahu terus menagih perhatiannya. Dalam rajuk, lelaki itu terus juga mencuba untuk terus memujuk. Tidak cukup dengan onar Encik Karim, gelagat Puan Salma juga kian menyesakkan. Wanita itu kini, bertambah kerap berkunjung ke pejabat untuk terus menghadiahkan kata-kata sinis buatnya.  Satu lagi situasi yang mahu dia hindari secepat yang boleh.
            “Arisa… masuk kejap,”
            Arisa mengangkat muka. Encik Karim tercegat di hadapannya. Pasti baru pulang daripada makan tengahari. Perlahan dia mengangguk sambil mengangkat punggung. Terus mengekori langkah Encik Karim.
            “Tutup pintu,”lembut namun tegas arahan yang diberikan. Dia menurut sedang Encik Karim terus menuju ke kerusinya.
            “Duduk,”
            Bersama anggukan kecil, Arisa melabuhkan punggung. Bersedia untuk menerima tugasan sekiranya ada. Namun, jelas Encik Karim seperti lebih suka untuk terus berdiam diri. Diam di kerusi sambil mata terus mengamatinya. Membuat dia tahu, tujuan dia dipanggil bukan lagi untuk urusan kerja.
            “Ada apa Encik Karim?,”
            Encik Karim meraup wajah. Sekali lagi merenung sepasang mata yang sering memukaunya itu. Sejujurnya keputusan nekad Arisa memberi sedikit tekanan buatnya. Dia tidak mahu menyusahkan Arisa. Dia juga tidak bersedia untuk kehilangan Arisa.
            “Kenapa awak berkeras tak mahu terima saya?,”
            Sebaik soalan itu habis meniti di bibir Encik Karim, Arisa mengeluh panjang.
            “Encik Karim. Saya rasa saya dah jelaskan semuanya. Tak perlulah lagi kita terus ulang benda yang sama,”
            “Kalau saya belum berkahwin, akan ada peluang tak untuk saya?,”
            Arisa tergelak sinis. Terasa soalan itu terlalu kebudak-budakan.
            “Encik Karim, kita dah sama-sama matang. Janganlah cakap macam ni,”
            “Please Arisa. I need to know. I nak tahu sangat, sebab saya memang terlalu berharap awak sudi terima saya. Saya sanggup lakukan apa saja, Arisa,”
            “Lakukan apa saja untuk selamatkan rumahtangga Encik Karim. Orang yang perlu Encik Karim utamakan saat ini ialah isteri dan anak-anak Encik Karim. Tolong jangan terus mengharapkan saya setuju untuk terima Encik Karim. Saya tetap dengan keputusan saya. Saya harap Encik Karim dapat menghormati keputusan ini,”
            Encik Karim menarik nafas sedalam mungkin. Merenung wajah Arisa agak lama.
            “Saya yakin, lepas ni bekas suami awak akan terus mengganggu hidup awak, Arisa. Awak perempuan. Bukan mudah awak nak lalui semua tu sendiri. Awak perlukan pelindung. Saya bersedia melindungi awak daripada lelaki tak guna tu,”
            Arisa menggeleng perlahan. Sudah malas mahu memberi jawapan. Dia yakin Encik Karim mengerti apa yang cuba dia sampaikan.
            “Jadi, memang awak tak akan ubah fikiran ke?,”
            Sekali lagi Arisa menggeleng. Dengan reaksi wajah yang cukup meyakinkan.
            “Untuk kebaikan semua pihak, saya rasa saya dah buat keputusan yang paling baik, Encik Karim. Terima kasih atas jasa Encik Karim pada saya selama saya berkhidmat di sini. Encik Karim memang seorang majikan yang baik. Tapi, saya terpaksa pilih jalan ini,”lembut Arisa memberi penjelasan. Berusaha untuk tidak terlalu lancang mengeluarkan kata-kata.
            Melihat wajah Encik Karim yang sedikit sayu, memang dia berat hati. Bukan sehari dua dia bekerja dengan lelaki ini. Tidak dia nafikan, dia cukup serasi menjadi pembantu Encik Karim. Kalau bukan kerana fitnah Radhi yang memburukkan keadaan, tidak mungkin dia akan mengambil keputusan sebegini. Dan kalau bukan sebab perasaan Encik Karim yang tiba-tiba berubah, mustahil juga dia senekad ini.
            “Kalau awak nekad mahu berhenti, saya mahu pinjaman itu awak langsaikan semua sekali sebelum awak berhenti,”
            Pantas Arisa mengangkat muka. Itu sesuatu yang amat mustahil. Dia yakin Encik Karim tahu mustahil dia mampu membayar kesemua pinjamannya itu.
            “Encik Karim…,”
            “Itu syarat saya,”
            “Mustahil saya boleh buat macam tu. Saya mohon sangat-sangat Encik Karim faham keadaan saya. Saya akan tetap bayar nanti. Saya tak akan lupa pada hutang saya, Encik Karim,”
            “I am sorry, Arisa. Kalau dengan cara tu saya dapat buat awak kembali pada saya, saya nekad,”
            Arisa bungkam. Ugutan itu kedengaran cukup keras. Niat Encik Karim masih juga untuk terus mengikatnya.
            “Saya faham saya berhutang. Saya juga faham, Encik Karim berhak dapatkan semula duit tu. InsyaALLAH saya akan cuba langsaikan nanti, apabila saya dapat kerja baru,”
            Encik Karim tersenyum kecil.
            “And, one more thing, saya nak berterus-terang. Saya tak akan buat laluan awak jadi mudah. Saya akan cuba halang awak untuk terus dapat kerja lain. Saya mahu awak kembali ke sini,”
            Arisa tertunduk. Lemas dengan ugutan demi ugutan yang cukup lembut meniti di bibir majikannya itu.
            “Awak dengar tak Arisa?,”
            Perlahan Arisa mengangkat muka. Memandang wajah Encik Karim. Sejujurnya, dia sedikit kecewa dengan sikap lelaki itu.
            “Kenapa Encik Karim sampai hati buat saya macam ni?,”akhirnya perlahan soalan itu meniti di bibirnya.
            “Because I love you. Walau baru sekarang saya luahkan semua ni, saya nak awak tahu, dah cukup lama saya simpan perasaan pada awak. Dulu, awak bersuami. Dah tentu jadi satu kesalahan untuk saya dapatkan awak. Tapi, sekarang…,”
            “Memang perangai lelaki semuanya sama ke? Orang  lelaki selalu fikir boleh dapat apa saja yang diingini. Kan? Boleh buat sesuka hati?,”sedikit membentak, Arisa pantas mengangkat punggung.
            “Arisa. Jangan salah faham,”
            “Saya tak salah faham. Encik Karim, sekarang ni, saya rasa Encik Karim sama saja dengan bekas suami saya yang tak guna tu. Memeras… mengugut… Ya, saya tahu masalah saya. Saya tahu masalah saya dengan Encik Karim. Saya juga tahu risiko yang saya ambil. Tapi, saya yakin, Tuhan masih ada untuk bantu saya. Encik Karim cuma manusia biasa yang tak boleh halang keputusan saya,”
            Sebelum nekad berlalu, sekali lagi dia berpaling.
            “Dan, tolong jangan cakap pasal ni lagi dengan saya, Encik Karim. Saya tak suka. Walau apa pun yang Encik Karim cakap…Encik Karim buat… keputusan saya muktamad. Saya tak nak khidmat saya di sini berakhir dengan rasa benci yang menggunung pada Encik Karim…,”Arisa bersuara sambil terus berlalu keluar.
            Encik Karim tersandar hampa di kerusi. Kerasnya hati Arisa. Perlahan dia mengeluh. Benar-benar berharap Arisa gagal mendapat pekerjaan baru dan juga berharap Arisa akan kembali semula padanya. Kembali demi hutang yang gagal dilangsaikan. Kembali untuk bersetuju dengan saranan pernikahan mereka. Perlahan dia meraup wajah. Kemarahan isterinya bagai sudah tidak terkesan di hati. Dia lebih risau akan kehilangan Arisa. Ugutan dan tuduhan isterinya bagai titis-titis air yang jatuh ke daun keladi. Fokusnya kini cuma pada Arisa.


*****

Selasa, 20 Maret 2012

NOVEL : PERANGKAP DUA HATI 1


BAB 1

“ Ikha, kau dengar tak yang ketua pemasaran ada yang baru? Kan Encik Sufi dah bersara... Aku dengar dari Roslan tadi. Dia hantar surat dekat atas then dia nampak mamat tu. Menggedik la si Peah lepas ni. Hensem aku dengar mamat tu”
Ifa dengan teruja bercerita tentang ketua pemasaran yang baru. Ifa merupakan kerani kewangan dibahagian pemasaran dan Qisya Zulaikha sememangnya tahu bahawa Ifa tidak sebulu dengan sepupunya, Nadia Afiah.

“ Tak tahu pula aku Ifa. Tak kisah la, hensem ke, tak hensem ke, janji kita dah buat kerja kita. Aku malas nak ambik peduli. Lagipun ketua pemasaran tu bukannya boss aku. Boss aku encik Kamal. Kita pun bukannya di tingkat yang sama”
Qisya Zulaikha menyambung semula kerjanya. Di dalam syarikat ini, Ifa adalah teman yang dia paling rapat selama dia bekerja di syarikat ini berbanding dengan sepupunya yang juga bekerja sebagai setiausaha dibahagian pemasaran. Sudah 3 tahun dia bekerja sebagai setiausaha encik Kamal dan dia amat selesa sekali dengan suasana tempat kerjanya.

“ Ish kau ni... Boring betul la. Aku nak sangat tengok mamat tu. Untunglah si Peah, selalu mengadap mamat tu”

“ Alah... Tak lama lagi, dapatlah kau tengok mamat tu. Kau kan dibahagian yang sama dengan dia. Hari-hari kut dapat jumpa dia”

“ Malaslah! Sebelum nampak mamat tu, muka si Peah tu dulu yang harus aku hadap. Itu yang aku tak nak. Menyampah adalah” Terkumat-kamit mulut Ifa bila menyebut nama Afiah. Nampak benar tidak suka dengan sepupu Qisya Zulaikha itu.

“ Dah lah kau ni... Peah tu sepupu aku tau. Buruk baik dia pun dia tetap sepupu aku. Kita orang tak ada siapa lagi melainkan Mak Su”

“ Tapi dengan kau sekali dia menyombong Ikha. Nasib kau la dapat sepupu macam dia tu. Dah lah tinggal serumah. Kalau aku, naik kematu badan aku ni bila berdepan dengan dia yang berlagak nak mampus tu”
Qisya Zulaikha hanya mampu tersenyum. Entah sampai bila hubungannya dengan Afiah akan berterusan sebegini. Bertegur hanya perlu, itu pun harus mendengar kata sindiran dari Afiah. Jika dia tidak mengenangkan Mak Su, pasti sudah lama dia tinggal di tempat lain.

Deringan telefon membuatkan mata Ifa dan Qisya Zulaikha menoleh serentak. Cepat tangan Qisya Zulaikha mengangkat ganggangan telefon yang berhampiran dengannya. Sebelum sempat dia bersuara, suara dihujung sana sudah berkumandang.

“ Zulaikha, tolong bawakan dokumen yang ada di atas meja saya. Saya tunggu awak di bilik meeting bahagian pemasaran ya”

“ Baik encik Kamal. Saya datang segera”
Jawab Qisya Zulaikha pantas. Pasti ketuanya itu sangat memerlukan dokumen itu. Dari ton suara saja, Qisya Zulaikha sudah faham dengan kemahuan ketuanya itu.

“ Aik..? Tak salam, tak apa, terus terima arahan Ikha. Dahsyat betul boss kau tu”
Ifa sempat lagi menyindir dirinya. Dia tidak kisah pun dengan apa yang Ifa katakan. Baginya semua itu hanya gurauan.

“ Dia nak cepat la Ifa. Aku tak kisah pun. Yang penting orang tua tu baik. Jomlah sama-sama kita naik atas. Dia suruh aku hantar ke bilik meeting bahagian kau la. Ini yang aku malas ni”
Cepat saja Qisya Zulaikha masuk ke bilik Encik Kamal dan mengambil dokumen yang ada di atas meja lelaki itu. Sebenarnya dia memang tidak suka naik ke tingkat atas iaitu dibahagian pemasaran kerana dia tidak mahu berhadapan dengan Afiah. Sebab itu Ifa yang selalu datang ke tempatnya, dibahagian pentadbiran.

“ Jom Ifa”
Nasib baik Ifa ada bersamanya. Tidaklah dia kekok bila berhadapan dengan Afiah. Pasti akan ada jelingan yang diberikan oleh sepupunya itu.

Sampai di bahagian pemasaran, Qisya Zulaikha terus menuju ke bilik meeting dan Ifa sudah pun kembali ke meja kerjanya. Sempat matanya meliar mencari kelibat Afiah tapi tidak ada. Tak kan dia dalam bilik meeting ni juga? Detik hati Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha mengetuk pintu bilik meeting. Entah kenapa, hatinya berdebar-debar tatkala ini.

“ Masuk”
Laung seseorang dari dalam. Pastinya itu adalah Tuan Haji Yusuf, pemilik syarikat ini.

“ Assalamualaikum”

“ Walaikumsalam Zulaikha. Masuk, masuk”
Ramah Tuan Haji Yusuf mempelawanya masuk. Mata Qisya Zulaikha melihat beberapa manusia yang ada di situ termasuk dengan Afiah yang merenungnya bagaikan orang yang tidak berpuas hati saja. Hanya seorang saja lelaki yang dia tidak tahu siapa, lelaki yang membelakanginya.

“ Saya nak serahkan dokumen yang encik Kamal minta tadi”

“ Ohh ye Zulaikha. Serahkan pada encik Nuh. Dia adalah ketua pemasaran yang baru menggantikan encik Sufi. Esok dia officially memegang title tu. Hari ni cuma nak explain saja dulu kerja-kerja dia”
Bagaikan tersentak... Qisya Zulaikha menelan air liurnya. Dia ada mengenali seseorang yang bernama Nuh tapi mustahil lelaki itu. Tapi tidak lama kemudian, wajahnya berubah bila melihat sendiri lelaki yang dimaksudkan oleh encik Kamal itu.
Lelaki itu memandangnya dan mengambil dokumen yang dihulurkan oleh Qisya Zulaikha. Tiada ucapan yang diberikan cuma senyuman.

“ Err... Kalau tak ada apa lagi... Saya keluar dulu la ya, Tuan Haji, encik Kamal. Err... dan encik Nuh”

“ Okey Zulaikha. Terima kasih ya”
Ucap encik Kamal. Tuan Haji Yusuf juga mengangguk, membenarkannya.

“ Assalamualaikum” Sebelum melangkah keluar, Qisya Zulaikha sempat memberikan salam. Rasa tidak cukup nafas jika dia berlama disitu.

“Walaikumsalam” Jawab mereka serentak.

Sungguh dia memerlukan tempat untuk bernafas. Dia kenal dengan lelaki itu tapi disebabkan dengan apa yang telah terjadi padanya dulu, dia sudah tidak menyimpan apa-apa harapan. Mungkin juga lelaki itu tidak mengenali dirinya lagi. Dia bukan siapa-siapa yang boleh membuatkan lelaki itu terus ingat akan dirinya.


“ Eh kau betina! Apa yang kau dah buat dengan boyfriend aku hah? Kau ni memang dasar perempuan tak tahu malu! Lebih baik kau pergi matilah!”
Tanpa belas Nur Qairina menarik tudung Qisya Zulaikha dengan kasar sekali. Ketika itu dia di kafeteria, berkira-kira hendak makan tengahari.

“ Kak Rina, sakit... Saya tak tahu apa-apa pun. Tolonglah...”
Airmata tidak lagi dapat dibendung bila Qairina dengan pantas menampar pipinya. Beberapa orang pelajar cuba menarik Qairina dari terus menyerang Qisya Zulaikha.

“ Kau memang perempuan gatal! Selama ni aku cuma diamkan bila aku dengar Diyad selalu jumpa kau. Tapi kali ni aku tak akan berdiam diri bila Diyad dah berubah sekarang ni. Ini kau kata tak tahu?!”
Teresak-esak Qisya Zulaikha. Dia sudah tidak peduli akan dirinya yang terduduk di lantai itu.

“ Semua ni salah faham kak Rina. Saya tak ada hubungan pun dengan Abang Diyad, percayalah...”

“ Tak ada hubungan kau kata!” Sekali lagi Qairina cuba menerpa Qisya Zulaikha tapi sempat dihalang oleh seseorang.

“ Kaka apa ni? Tak malu ke buat macam ni? Nanti prof nampak, tak pasal-pasal kena tindakkan disiplin. Tolonglah, jangan buat malu”

“ Kau diam abang! Aku nak kerjakan betina ni, biar dia mampus!”
Qisya Zulaikha cuba mendongak. Perasaan malu dan takut silih berganti. Tapi apa yang dilihatnya adalah Nuh Qays. Lelaki yang dia minati semenjak dia di tahun satu lagi.
Lelaki itu melihatnya tanpa perasaan. Dia tahu, tidak ada siapa pun yang akan memihak dirinya. Jauh sekali sepupunya yang hanya tersenyum sinis melihat dirinya dicemuh.

“ Jomlah kaka. Kau ni buat malu sajalah. Asal kau tak tanya Diyad sendiri tentang ni?”
Nuh Qays cuba menarik lengan Qairina supaya beredar.

“ Sebab aku tahu, betina ni memang gatal! Dia layan juga si Diyad tu”

“ Saya tak per..”

“ Kau diam betina! Apa pun  cakap kau, aku tak akan percaya. Kalau aku nampak kau ada depan mata aku, sediakan pipi kau untuk dapat penampar aku lagi”
Amaran Qairina sebelum melangkah pergi. Qisya Zulaikha dibantu oleh beberapa pelajar perempuan. Ada yang membetulkan semula tudungnya yang sudah tidak menentu itu.

“ Maaf Ikha... Kita orang tak dapat nak tolong kau. Bukan kau tak tahu dengan kak Rina tu. Kalau dia bawa dengan geng dia sekali, mampus kita orang mereka kerjakan. Jadi kami tak berani nak masuk campur walaupun kami tahu kau tak salah apa pun”
Salah seorang pelajar perempuan cuba menerangkan kedudukan sebenar mereka yang tidak membela Qisya Zulaikha tadi.

“ Tak apa... Aku faham. Aku balik dulu ya.”
Lemah sekali Qisya Zulaikha mengangkat begnya. Terasa perit bila ditampar dan ditolak oleh Qairina itu tadi.

“ Ikha.. Makanan kau ni?”

“ Korang makanlah. Aku tak ada selera”
Kaki melangkah laju meninggalkan kafeteria bersama dengan airmata yang deras mengalir.


“ Hoi! Menung pula minah ni? Kena sawan ke?”
Terjah Ifa. Terkejut Qisya Zulaikha dibuatnya. Dia melihat sekeliling, dia berada di meja kerjanya. Ahh... Kenapa kenangan itu yang bermain difikiranya?

“ Jomlah keluar lunch. Aku dah lapar tahap gaban dah ni”
Terang Ifa seraya mengusap-usap perutnya menandakan yang dia sudah lapar.

“ Okeylah. Jom”

Dalam kepala Qisya Zulaikha masih memikirkan apa yang akan terjadi kepada dirinya selepas ini. Dengan adanya Nuh Qays, pasti akan adanya Nur Qairina. Dia juga amat yakin bahawa Afiah juga mengenali siapa Nuh Qays. Senior mereka ketika di universiti dulu. Dia berharap sangat selama tiga tahun lebih ini, Nuh Qays mahupun Nur Qairina melupakan apa yang pernah terjadi diantara mereka. Dan... Sedaya upaya dia cuba mengelak dari bertembung dengan Nuh Qays.

p/s: selamat membaca dan  kalau ada masa tinggalkanlah komen ya.

Senin, 19 Maret 2012

Biarkan YM Terus Bicara 10


            Langkahku terhenti di hujung tangga. Gelak itu teramat aku kenali. Juga gelak Encik Firdausku yang aku sayangi. Perlahan aku menjenguk. Ruang tamu nampak begitu meriah. Ada kek coklat kegemaran suamiku. Pasti kek hasil tangan Mia yang cantik. Hati berdetak tiba-tiba.  Kenapa aku mesti cemburu lagi? Mata, aku pejam perlahan. Mahu membuang jauh-jauh perasaan cemburu yang seperti tidak berpenghujung ini.
Teruk betul kau ni, Tiya! Aku mula memarahi diri sendiri. Kenapa aku perlu berasa cemburu pada Mia? Kenapa perlu aku layan perasaan ini, walhal aku tahu benar cinta Encik Firdaus cuma untuk aku. Sejenak aku tercegat di anak tangga. Mahu menyertai kumpulan manusia itu, wajahku terasa sukar untuk mengukir senyum. Bersama satu keluhan pendek, aku mengambil keputusan untuk berlalu pergi buat seketika. Tidak selesa membawa wajah kelatku bersatu dengan senyum Mia yang sentiasa manis. Nampaknya aku perlu belajar membuang perasaan cemburu ini dengan lebih gigih. Nasihat Encik Firdaus perlu aku pegang kuat-kuat.
            “Sayang?,”
            Aku terkedu. Sedikit terlambat. Suara Encik Firdaus memaksa aku matikan langkah yang sedikit lemah. Lemah juga aku berpaling. Menatap senyum riang Encik Firdaus bersama sepiring potongan kek coklat. Nampak begitu sedap sekali.
            “Come. Nak ke mana tu?,”
            Aku mengukir senyum. Menanggapi wajah Mia juga wajah ibu dan bapa mertuaku.
            “Jomlah Diya. Saya buatkan kek ni. Fir cakap awak suka kek coklat,”
            Aku tersengih. Sempurnanya pemilik nama Mia ini. Bagaimana aku tidak dilanda cemburu?
            “Erm…. Sakit perutlah. Nak naik atas kejap. Kejap lagi saya turun,”
            Tanpa menunggu balasan,  langkahku laju meniti anak tangga. Bergerak menuju ke bilik. Pintu bilik ku tutup perlahan. Teruk sangatkah cemburuku ini? Dan, kenapa kebelakangan ini, terasa cemburu ini semakin memburuk? Perasaan aku atau memang Encik Firdaus kini semakin rapat dengan Mia? Tapi, bukankah sejak dulu mereka memang rapat? Dan, apa yang perlu aku risaukan. Mia pernah jelaskan antara dia dan Encik Firdaus tidak pernah ada apa-apa hubungan istimewa.
             “Awak dah salah faham ni. Saya tak ada apa-apa dengan Firdaus tu. Firdaus tu, cuma tergila-gilakan kat awak aje,”
            Selintas bicara Mia satu ketika dulu menjengah di minda. Membuat aku sempat tersenyum dalam melayan perasaan kurang senangku itu.
            “Tiya! Kau ni kenapa? Jangan cemburu butalah,”aku berbisik sendiri. Cuba memberi motivasi pada diri sendiri. Kerana cemburu tidak bertempatku, aku hampir kehilangan Encik Firdaus dulu. Aku tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama. Aku tidak mahu kehilangan Encik Firdaus. aku juga tidak mahu satu hari Encik Firdaus akan berasa bosan dengan cemburuku ini.
            “Mereka cuma kawan biasa. Kawan biasa. Faham tak?,”aku bersuara sendirian. Cuba menyingkir perasaan negatif  yang sering memburuku itu.
            “Encik Firdaus sayangkan kau sorang aje. Jadi jangan mengada-ngada nak cemburu buta,”marahku bersambung sambil jemari, aku tunjal perlahan ke pipi sendiri.
            “Betul tu,”
            Aku tersentak. Suara dari belakang menggangu sesi motivasiku. Segera aku menoleh. Senyum Encik Firdaus melebar, membuat wajahku merona merah. Kantoi monolog aku!
            “Abang ni! Kenapa masuk senyap-senyap?,”
            Encik Firdaus sekadar menyambung senyumnya sambil bergerak menghampiriku.
            “Abang risau tengok isteri abang cakap sorang-sorang,”ujarnya perlahan setelah tegak berdiri di hadapanku.
            Aku menjeling. Encik Firdaus tersenyum lagi.
            “Abang dah agak dah. Mesti kes cemburu ni…,”
            Aku diam. Tidak mahu menafikan kerana itu adalah hakihatnya.
            “Nasib abang dapat isteri kuat cemburu. Nak buat macam mana?,”sambungnya masih bersama senyum. Aku mengangkat muka. Melawan renungan lembut Encik Firdaus.
            “Menyesallah ni ya?,”soalku sedikit menduga.
            Encik Firdaus tergelak. Melabuhkan punggung ke katil. Aku ditarik berdiri di hadapannya.
            “Sikit pun tak ada kesal. Abang tak pernah menyesal. Abang bahagia dengan pilihan abang ni. Bahagia sangat-sangat,”jawabnya lembut. Menyejukkan hatiku. Membuat bibirku terukir senyum tanpa sedar. Bijak Encik Firdaus membuat aku perasan sendiri.
            “Jom. Turun,”
            Ajakan Encik Firdaus membuat aku teringat semula pada Mia. Seketika aku menentang pandangan suamiku itu.
            “Apa Mia buat kat sini?,”soalku cuba mengawal nada suara.
            “Saja dia singgah. Wondering kenapalah Tiya cemburu sangat dengan Mia tu. Tak yakin dengan cinta abang? Tak percaya pada abang?,”
            Aku tunduk. Bukan soal tidak yakin. Juga tiada kaitan dengan tidak percaya. Namun, entah kenapa tiap kali melihat wajah jelita itu, aku jadi tidak senang tingkah. Sering ada risau yang mengganggu. Melihat keakraban Encik Firdaus dan Mia sering membuat aku membayangkan perkara-perkara yang menakutkan. Lebih-lebih lagi dengan munculnya gangguan daripada Puan Sri Ainul. Namun, aku tiada hak untuk menghalang hubungan itu. Mereka akrab lama sebelum aku mengenali Encik Firdaus lagi. Mereka berhak untuk terus menjadi kawan. Tetapi, kenapa aku tidak pernah boleh memahami? Dan, kenapa tingkah Puan Sri Ainul semakin membuat aku goyah pada keyakinanku sendiri?
            “Teruk Tiya ni kan?,”akhirnya aku bersuara lemah. Malu dengan sikap sendiri.
            Encik Firdaus tersenyum kecil. Menarik aku ke ribanya. Pinggangku dipeluk erat.
            “Tak. Tiya tak teruk. Abang nampak Tiya berusaha nak buang sikap yang kurang elok tu,”
            “Tapi, tak berjaya pun….,”aku merungut sendiri. Encik Firdaus tergelak.
“Yakin dengan cinta abang. Yakin betul-betul Mia dengan abang cuma kawan. Yakin abang cuma sayang Tiya seorang. Hilanglah cemburu tu,”
Aku mengeluh perlahan. Memandang wajah Encik Firdaus.
            “Tapi…Mia tu cantik sangatlah. Tiya takut lama-lama abang terpikat juga…,”
            ‘Takut juga kalau-kalau mak dia tu akan kacau hubungan kita ni…,’kata-kata itu bergema di ruang hatiku. Tidak aku luahkan sekali kepada Encik Firdaus.
            Encik Firdaus tergelak besar. Aku menjeling. Luahan perasaan aku cuma bersambut dengan gelak besar?
            “Tiya seriuslah bang. Janganlah gelak,”
            “Ok…ok  sorry,”
            Aku menjeling lagi. Walau tidak setajam jelingan tadi.
            “Kenapa? Isteri abang ni, tak cantik ke?,”Encik Firdaus bersuara setelah tawanya reda.
            Aku mengeluh perlahan. Susah rupanya kalau hati sering diburu rasa cemburu.
            “Abang pun… sejak akhir-akhir ni, selalu sangat bersama Mia,”aku bersuara dengan nada sedikit merungut.
            Rungutan aku kali ini membuat Encik Firdaus cuma memandang wajahku dengan renungannya yang cukup sejuk itu. Lemah lutut rasanya. Hilang sudah segala cemburu.
            “Tiya kan tahu Mia cuma sukakan abang Kamal Tiya tu. Jadi apa yang Tiya risau sangat?,”
            Kali ini aku diam. Betul tu. Namun, tetap aku akui, sukar membuang rasa tidak senang ini. Perasaan manusia boleh berubah. Wasangka lagi. Bagaimana lagi usaha yang harus aku lakukan untuk membuang rasa kurang senang ini.
            “Tapi. Lately, cemburu Tiya menjadi-jadi ya?,”usik Encik Firdaus sambil menyentuh hidungku. Aku tersenyum kecil.
            “Tiya minta maaf ya. Tiya cuba tak cemburu buta lagi,”
            “Itu yang abang nak dengar,”
            “Abang tinggalkan Mia seorang ke?,”aku menukar topic perbualan.
            “Mummy ada. Abah ada. Tengah makan kek coklat,”
            “Mesti best kan?,”
            “Mestilah sedap,”
            Aku diam. Cemburu datang lagi. Cemburu dengan kebolehan Mia yang pelbagai. Memang Mia berjaya membuat aku berasa rendah diri. Aku harus ubah diri sendiri. Demi Encik Firdaus, aku mesti belajar semua perkara yang Encik Firdaus suka.
            “Tiya?,”
            Aku memandang wajah Encik Firdaus. Tersengih. Menarik nafas dalam-dalam sambil cuba bersikap positif.
            “Jom turun. Nanti apa Mia cakap, abang tinggal dia macam tu,”
            “Tak apa. Abang ada reason kuat,”
            “Apa dia? Abang cakap dengan Mia, Tiya cemburu dengan dia ya?,”
            Encik Firdaus tergelak lagi. Aku kaku. Jahatnya suami aku. Pandai buat aku malu!
            “Tak baiklah abang ni. Malulah Tiya,”
            “Takkan abang nak cakap macam tu. Cuma abang risau. Kenapa isteri abang tiba-tiba sakit perut. Mestilah kena tengok kan. Takkan nak biarkan saja. Teruk ke tak?,”
            Aku senyum lega mendengar jawapan itu.
            “Teruk ke?,”sekali lagi Encik Firdaus bertanya.
            “Apa yang teruk?,”berkerut keningku. Tidak faham dengan soalan Encik Firdaus.
            “Sakit perutlah,”
            Aku tergelak malu. Pembohonganku tidak menjadi pada Encik Firdaus.
            “Teruk juga kot,”balasku sambil tersenyum lebar.
            “Nak abang ubatkan?,”kali ini, senyum Encik Firdaus lebih lebar. Aku senyum. Perlahan-lahan bangkit dari riba Encik Firdaus.
            “Hmm.. tiba-tiba dah hilang sakitnya,”ucapku sambil menggosok perut. Encik Firdaus menggeleng perlahan sambil tersenyum. Senyum Encik Firdaus bagai punya agenda lain. Hampir luruh jantungku apabila dia mula kenyitkan mata. Aku tersengih.
            “Jomlah turun bang,”
            “Betul dah baik ni?,”Encik Firdaus terus mengusik.
            Aku mengangguk laju. Menyimpan senyum segan yang singgah di hati.
            “Hmmm.. sure?,”suara Encik Firdaus lebih menggoda.
            “Betul. Cepatlah turun. Tiba-tiba rasa macam nak makan kek coklat,”laju aku menjawab sambil menarik tangannya. Tidak mahu terus melayan usikan merbahaya itu.
            Encik Firdaus tergelak sambil bergerak malas mengangkat punggung. Santai memaut pinggangku sambil mengatur langkah keluar dari bilik.
            “Nanti Tiya belajar buat kek coklat ya, bang,”aku bersuara sambil mendongak mencari wajah Encik Firdaus.
            “Hurmm… berita baik ni. Bila agaknya abang boleh rasa kek coklat isteri abang ya?,”
            Aku tersenyum. Bila ya?
            “Bila sampai seru,”candaku sambil tertawa kecil. Dibalas dengan jelingan Encik Firdaus yang menggoda. Juga pelukan yang semakin erat. Bahagianya menjadi milik Encik Firdaus.
            “Tiya bahagia…,”tanpa sedar aku berbisik lembut.
            “Abang seribu kali bahagia…,”bisikan Encik Firdaus lebih hampir di telingaku. Sama-sama mengukir senyum di bibir.


*****