PROLOG
Qisya Zulaikha terkejut dengan pesanan ringkas yang baru saja dibacanya melalui telefon bimbitnya itu. Tidak pernah sekalipun Nuh Qays, ketua pemasaran itu beramah mesra dengannya cuma hanya bertegur bila lelaki itu hendak berjumpa ketuanya atau bertanyakan tentang kerja. Itu sahaja! Tidak lebih daripada itu. Inikan pula menginginkan dia untuk menghantar dokumen penting kepada lelaki itu. Qisya Zulaikha membaca sekali lagi pesanan itu.
Tolong hantar dokumen Alam Jaya ke rumah saya. Ketua awak bagitahu saya yang dokumen itu ada pada awak. Saya nak kan malam ini juga – Nuh
Qisya Zulaikha melihat jam di dinding. Sudah 8.30 malam. Sepupunya juga masih belum balik ke rumah, Mak su pula ada acara mengaji di masjid berhampiran dengan rumah mereka. Dia hilang punca. Mengenangkan dia adalah setiausaha Encik Kamal, dia harus ikut apa yang disuruh walaupun dari ketua bahagian lain. Dia akan menghubungi Nuh Qays kerana dia tidak sanggup untuk datang ke rumah lelaki itu hanya kerana satu dokumen.
“ Assalamualaikum,” Sapa Qisya Zulaikha. Sememangnya hatinya tidak pernah duduk diam bila ternampak Nuh Qays.
“ Waalaikumsalam” Lemah kedengaran suara di hujung sana.
“ Ini saya, Zulaikha. Setiausaha Encik Kamal. Encik nak kan dokumen Alam Jaya kan? Tapi boleh tak kalau saya serahkan pada encik, esok pagi sebab sekarang dah malam. Rasanya tak elok kalau saya datang ke rumah encik” Jelas Qisya Zulaikha berhati-hati. Dia selalunya tidak membantah apa yang disuruh melainkan ianya tidak ada kena mengena dengan hal kerja.
“ Maaf, tapi saya nak kan dokumen itu malam ini juga sebab esok pagi saya nak hantar sendiri ke Putrajaya. Kalau tak disebabkan saya demam, saya sendiri akan mengambilnya ke rumah awak. Kita dah kesuntukan masa ni Zulaikha”
Qisya Zulaikha mengetap bibirnya. Apalagi yang harus dia katakan. Dokumen ini sangat penting untuk syarikatnya dan dia juga tahu syarikatnya kesuntukan masa jika dia cuba melengah-lengahkan penghantarannya.
“ Kalau saya send through email, boleh tak encik?” Qisya Zulaikha mencuba nasib, mana tahu Nuh Qays mempertimbangkan cadangannya itu.
“ Awak tahu kan apa yang terjadi pada syarikat kita tahun lepas. Akibat salah email, syarikat kita terpaksa menanggung kerugian kerana idea kita diambil syarikat lain. Saya tak nak jadi macam tu lagi” Walaupun lemah suara Nuh Qays menjawab tapi terselit juga ketegasan.
“ Baiklah encik, saya akan hantar dokumen ni ke rumah encik. Tolong SMS alamat rumah encik”
“ Okey. Awak jangan risau, rumah awak tak jauh manapun dengan rumah saya. Terima kasih”
Qisya Zulaikha terkedu bila Nuh Qays tahu dimana dia tinggal. Mungkin dari Nadia Afiah, sepupunya merangkap setiausaha Nuh Qays. Tanpa menunggu lama, Qisya Zulaikha terus menukar pakaiannya. Dia tidak mahu berlengah lagi. Jika dia terus-terusan berfikir, semakin lewat dia akan sampai kerumah Nuh Qays.
Kini Qisya Zulaikha sudah sampai di hadapan kondominium Nuh Qays. Memang tidak jauh dari rumah tempat tinggalnya. Dia juga sempat menghantar pesanan ringkas kepada Mak Su supaya tahu akan ketiadaanya.
“ Nak kemana cik?” Tanya sekuriti yang bertugas. Mungkin untuk memastikan tujuannya ke kondominium ini.
“ Saya nak serahkan barang Encik Nuh”
“ Oh.. Ya, ya. Encik Nuh dah beritahu saya. Dah tahu nombor kondo dia?”
“ Ya, dah tahu”
“ Silakan cik” Terus sekuriti itu menekankan butang lif. Sebelum masuk ke dalam lif, Qisya Zulaikha sempat memberikan senyuman kepada sekuriti itu.
Berkali-kali bil lonceng ditekannya, pintu masih belum dibuka. Qisya Zulaikha mengeluh. Macam-macam betul la mamat ni, bebelnya. Dia cuba menghubungi Nuh Qays tapi masih tidak berjawab. Tanpa berfikir panjang, dia cuba menyelitkan dokumen itu dibawah pintu. Itu saja idea yang dia ada. Sebaik saja dia hendak bangkit berdiri, tiba-tiba pintu kondo dibuka dari dalam.
Terkaku Qisya Zulaikha bila melihat Nuh Qays yang lemah berpaut pada pintu. Peluh sudah membasahi seluruh wajah lelaki itu. Nampak benar Nuh Qays kurang sihat.
“ Encik... Encik okey ke tak ni?”
“ Saya tak okey. Tolong papah saya. Saya tak larat” Satu-persatu perkataan terbit dari lelaki itu. Hati Qisya Zulaikha tersentuh.
Qisya Zulaikha teragak-agak mahu memegang lengan lelaki itu walaupun Nuh Qays memakai baju lengan panjang. Dia sempat mengambil dokumen yang diselitnya tadi dan meletakkan di atas meja yang berdekatan. Dia memapah Nuh Qays dan membaringkan lelaki itu di sofa.
“ Errr... Tolong ambikkan saya, tuala dan sweater saya. Saya nak tukar baju. Rasa tak selesa” Sambil mata terpejam, Nuh Qays meminta pertolongan.
“ Dekat mana ya?” Terpaksa juga Qisya Zulaikha turuti, kalau Nuh Qays berkeadaan sihat walafiat, sememangnya dia tidak akan menurutinya. Lebih baik dia terus balik ke rumah.
“ Wardrobe, bilik hujung sekali”
Terus kaki Qisya Zulaikha melangkah menuju ke bilik wardrobe. Nasib baik segalanya tersusun dan dia senang mencari apa yang dimahukan lelaki itu.
Sebaik saja menyerahkan tuala dan baju sejuk kepada Nuh Qays, dia menuju ke dapur untuk membasahi tuala kecil yang diambilnya tadi untuk meletakkan ke dahi Nuh Qays bagi meredakan suhu panas.
TING! TONG!
Qisya Zulaikha melihat pintu kondo yang tertutup rapat itu. Astagfirullah, asal aku tutup pintu tu? Gumannya.
Cepat-cepat pintu kondo itu dibuka. Seakan batu menghempap kepalanya, tangannya terketar-ketar melihat beberapa orang lelaki di hadapannya.
“ Assalamualaikum, kami dari pejabat ugama, kami mendapat aduan bahawa tuan rumah ini bersekedudukan tanpa ikatan yang sah. Saya harap cik dapat memberikan kerjasama. Kami nak jumpa dengan tuan rumah”
Setiap perkataan yang keluar dari mulut lelaki di hadapannya ini bagaikan peluru yang menembusi tangkai hatinya.
“ Tak, tak.. Tuan Haji. Tuan Haji dah salah faham ni. Saya datang sini cuma untuk menghantar dokumen. Dan boss saya pada masa yang sama tak berapa sihat. Saya tak bersekedudukan dengan dia Tuan Haji” Laju Qisya Zulaikha cuba menjelaskan kepada lelaki-lelaki di hadapannya itu.
“ Maaf cik, kami tak boleh nak kata apa. Cik kena juga memberikan kerjasama dengan kami. Sememangnya kalau sudah jadi perkara sebegini, bermacam-macam alasan yang diberikan”
Qisya Zulaikha tersandar ke dinding. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya berkali-kali, mengharapkan semua ini hanya mimpi tapi apa kan daya, segalanya nyata belaka. Dia melihat Nuh Qays yang juga nampak terkejut dengan kedatangan 4 orang lelaki itu.
Entah apa yang dikatakan oleh pegawai agama itu kepada Nuh Qays, Qisya Zulaikha tidak tahu kerana dia hanya meratapi apa yang berlaku ini. Air mata diseka berkali-kali tapi ianya mengalir tanpa berhenti.
Dua orang pegawai agama itu memapah Nuh Qays. Seharusnya mereka tahu keadaan sebenar kami tapi.... Ahh! Rintih hati Qisya Zulaikha.
“ Ikha... Kita terpaksa ikut mereka. Nanti kita bincang” Beritahu Nuh Qays.
“ Tapi encik.. Kita tak salah. Kita di tempat yang betul! Saya datang sini pun atas dasar kerja encik!” Bentak Qisya Zulaikha.
“ Semakin cik berkeras, perkara ini tak akan selesai. Kami harap cik dapat ikut kami”
Qisya Zulaikha hanya duduk di tempat yang disediakan sebaik sampai ke pejabat ugama. Nuh Qays di bawa masuk ke dalam bilik, mungkin untuk berbincang sesuatu atau dengan kata sebenar merayu dari didakwa. Kepala Qisya Zulaikha terasa berdenyut laju, dia memicit kepala perlahan.
“ Zulaikha...” Qisya Zulaikha menoleh ke sisi bila namanya disebut. Nuh Qays duduk selang sebuah kerusi darinya.
“ Saya minta maaf dengan apa yang terjadi. Tapi kali saya merayu dengan awak, tolong terima saya jadi suami awak... Saya...”
“ Apa yang encik merepek ni?! Apa kena mengena dengan hal nikah ni hah? Kalaupun kita didakwa, kita akan buktikan pada mereka yang kita berdua tak salah” Laju Qisya Zulaikha memotong kata-kata Nuh qays.
“ Semua ini adalah sebab maruah Zulaikha. Maruah saya, maruah awak. Maruah keluarga kita. Awak kena fikirkan semua tu. Kita tak akan ada masa untuk mempertahankan diri bila maruah kita sudah di hujung kaki. Tolonglah... Saya merayu dekat awak, kita nikah saja. Saya tak pernah merayu pada sesiapa tapi kali ini tolonglah...”
Terhinjut-hinjut badan Qisya Zulaikha menahan sendu. Kenapa akhirnya jadi sebegini? Dia menekan butang telefon bimbitnya. Nuh Qays hanya memerhatikan, setia menanti jawapan dari Qisya Zulaikha.
“ Assalamualaikum Mak Su.. Tolong Ikha Mak Su. Ikha kena nikah malam ni juga. Tolong datang ke sini. Ikha perlukan kekuatan” Semakin teresak-esak Qisya Zulaikha sebaik saja mendengar suara Mak Su.
“ Ikha kenapa ni nak? Nikah? Apa yang dah jadi?” Tanya Mak Su cemas.
“ Rasanya ada yang dah salah faham dengan kami Mak Su. Tolonglah datang ke sini dengan cepat. Ikha betul-betul perlukan Mak Su”
Nuh Qays yang di sisi menarik nafas lega. Bukan dia gembira dengan apa yang terjadi cuma dia bersyukur Qisya Zulaikha sanggup menerimanya sebagai suami. Semua ini bukan saja hanya kerana maruah tapi di sudut hatinya ada satu agenda yang tersembunyi yang sudah bertahun-tahun dia menyimpan. Dia mahukan dua bukti iaitu menidakkan apa yang didengarnya selama ini dan bukti sesuatu yang dia rasa selama ini adalah benar belaka.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar