Senin, 04 November 2013

SALAM MAAL HIJRAH 1435 DAN CERITA BARU....

As salam dan salam sejahtera...

Salam Maal Hijrah 1435 buat semua readers.. Moga tahun yang baru ini membawa lebih banyak keberkatab pada kita semua. Aaminn...

Lama betul tak update blog kan? Rasanya dah bersawang nih... Lately ni sangat2 busy. Tak ada masa nak update dekat blog jadi Sya hanya update cerita baru dekat FB Group. Terhad di sana sja. Bagi sesiapa yang ada FB, jemputlah ke FB Group Sya:


Kalau ada masa yang terluang, memang Sya nak update dekat blog. So untuk hari ini.... Sya memperkenalkan cerita baru dari Sya... MISS TEMU JANJI (MTJ) Prolog dan Chap 1. Enjoy reading guys! Jangan lupa tinggalkan jejak ye ;)


PROLOG

“Assalamualaikum, Puan Asma dan Encik Omar. Kami sudah dapat penderma hati yang sesuai untuk Nur Nadia.”

Bacaan ayat-ayat suci yang teralun dari tadi kini sudah terhenti bila mendengar berita yang tidak disangka-sangka itu.

“Walaikumsalam. Ya Allah... Syukur Alhamdulillah, doktor. Syukur Alhamdulillah...” Puan Asma menadahkan tangan lalu mengaminkan. Air mata yang mengalir semenjak seminggu yang lalu, kini mengalir dengan rasa kesyukuran. Dahi Nadia dicium lembut. Tubuh itu masih kaku namun Puan Asma mengharapkan agar ada sinar baru untuk anak mereka.

“Abang.... Akhirnya abang... Akhirnya ada juga penderma hati yang sesuai untuk Nadia.” Bergetar bibir Puan Asma berkata pada Encik Omar. Kerana terlalu mengharapkan semua ini berlaku, Encik Osman sudah tidak terkata lagi. Hanya air mata yang menjelaskan segala-galanya rasa hatinya.

“InsyaAllah, kami akan berusaha sedaya upaya untuk menjayakan pemindahan hati ini. Selepas ini, pembantu saya akan menyerahkan surat persetujuan untuk Encik Omar tandatangan,” ujar Doktor Fadli.

Kedua-dua pasangan itu mengangguk. Tidak terkata lagi bila segalanya bagaikan mimpi. Nadia adalah pesakit penyakit hati kronik. Pada mulanya bahagian utama hati di sebelah kanan yang menjadi masalah buat Nadia. Namun disebabkan hati penderma pertama tidak sesuai dengan tubuh badan Nadia, pemindahan hati terpaksa ditangguhkan sehingga pihak hospital dapat mencari penderma hati yang sesuai.

Kerana terlalu lama menunggu, kini bahagian utama hati di sebelah kiri juga sudah dicemari sehingga membuatkan Nadia tidak sedarkan diri semenjak seminggu yang lalu. Puan Asma dan Encik Omar hanya mampu berdoa agar keajaiban berlaku. Nadia sememangnya sudah lama menderita. Mengalami penyakit hati kronik di usia yang muda menjadikan Nadia tidak sama seperti gadis remaja yang lain.

“Doktor... Boleh saya tahu siapa penderma untuk anak saya?” tanya Encik Omar ingin tahu. Sekurang-kurangnya, dia ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada penderma hati tersebut sebelum pembedahan berlangsung. Dia tahu, penderma juga akan mengalami risiko yang tinggi sepertimana anaknya juga. Semua ini ibarat hidup atau mati.

“Apa yang mampu saya beritahu, penderma adalah dari kalangan penderma kadaverik. Iaitu penderma yang sudah meninggal dunia. Arwah adalah pengikrar penderma organ namun keluarga arwah tidak mahu dikenali dan mengharapkan agar pembedahan ini berjaya. Kami terpaksa mematuhi permintaan keluarga arwah,” jelas Doktor Fadli mengenai penderma hati buat Nadia.

Encik Omar memandang Puan Asma dengan pandangan penuh simpati, alangkah mulianya hati penderma ini. Keinginan untuk berterima kasih secara berhadapan kepada keluarga penderma juga terpaksa disimpan. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik penderma ini.

“Tak mengapa, doktor. Saya faham. Tapi jika doktor jumpa dengan keluarga arwah, sampaikan salam takziah dan juga terima kasih kerana mengizinkan arwah mendermakan hati untuk anak saya.”

“InsyaAllah, saya akan sampaikan.”

Ketika pembedahan berlangsung, Puan Asma tidak senang duduk. Hati sudah resah-gelisah lagi-lagi bila melihat jururawat keluar masuk dari bilik pembedahan. Tidak terkira berapa lama pembedahan berlangsung, apa yang penting buat keluarga Puan Asma adalah keselamatan Nadia yang bertarung nyawa.

Adakalanya air mata kembali mengalir bila memikirkan kemungkinan yang ada. Bukan tidak mempercayai kradibiliti pakar yang bertauliah cuma semua ini terletak di tangan Tuhan. Mereka sekeluarga cuba sedaya upaya untuk tidak terlalu mengharap kerana takut mereka tidak akan dapat menerima kenyataan jika sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Namun di sebalik satu sudut, ada hati yang turut sama menderita. Hatinya hanya mampu merelakan dalam keterpaksaan. Mungkin ini takdir yang Allah caturkan untuknya. Nur Nadia Omar, nama yang akan sentiasa tersemat di mindanya kerana sesuatu yang menjadi milik Nadia kini adalah sesuatu yang sangat berharga padanya.




Chapter 1

Tujuh tahun kemudian...

Nadia sudah gelisah, orang beratur di kaunter pembayaran hari ini memang banyak betul. Kakinya juga sudah lenguh lagi-lagi dia hanya menggunakan bakul dari menggunakan troli.

“Kenapa lambat sangat ni?” rungut Nadia. Matanya turut sama melihat ke hadapan. Ada dua orang lagi di hadapannya. Huh! Banyak kerenah betul. Ni mesti sebab bayar guna kredit kad. Mana nak sain bagai lagi, gumam Nadia dalam hati.

Dia menoleh ke kaunter sebelah menyebelah. Semua sama. Lagi ramai berbanding dengan barisannya.

“Kenapalah aku kena pi sini masa orang terima gaji. Ni la padahnya.” Sekali lagi Nadia merungut.

Bila dia mendongak, rupanya lelaki di hadapannya ini sedang memandang ke arahnya. Lelaki itu kelihatan pelik ketika memandangnya. Cepat saja Nadia mengetap bibir seraya terus tunduk. Malu dilihat sebegitu. Ketika Nadia mendongak untuk memandang lelaki itu dan tanpa sedar terasa debaran di hatinya. Lelaki itu menjeling seraya kepalanya tergeleng-geleng perlahan. Mungkin lelaki itu menganggap Nadia perempuan yang suka bercakap seorang diri.

Bila lelaki itu sudah memandang ke hadapan, Nadia mengambil peluang untuk menatap belakang badan lelaki itu serta troli yang penuh dengan barang keperluan harian. Ada juga kelihatan makanan basah dan juga sayur-sayuran segar.

Bagus! Tak ada pun makanan segera mahupun makanan dalam tin. Selalunya kalau nak tengok cara kehidupan seseorang itu, lihat barang-barang yang dibelinya. Memang akan menunjukkan cara pemakanan atau kehidupan seseorang itu. Tapi... Lelaki ni memang sungguh-sungguh jaga kebersihan, pencuci muka ada, shampoo, conditioner, sabun cecair, hand sanitizer dan banyak lagi. Fuh! Nadia kembali memandang belakang badan lelaki itu, tough dan harum. Memang sunguh-sungguh jaga badan. Aishh... Apa kau merepek ni Nadia?

Akhirnya, tiba masa untuk Nadia membayar barang yang dibelinya. Matanya memandang dengan penuh teliti setiap harga barang-barang yang dibelinya.

“Semuanya dua puluh dua ringgit enam puluh sen, cik,” beritahu juruwang itu. Dengan pantas Nadia mencari purse dalam beg tangannya. Wajahnya mula berkerut, purse yang dicari tidak ada. Yang ada cuma telefon bimbit dan kunci kereta.

“Sekejap ya dik,” ujar Nadia cuba bertenang. Orang belakang mula memandang ke arahnya dan rasa malu mula menerjah ke dalam dirinya.

Kali ini beg tangan diletakkan di atas ruang pembayaran. Sah! Pursenya memang tidak ada dalam beg tangan. Ya Allah, apa yang perlu aku buat ni? Nadia baru teringat yang tadi dia keluarkan purse untuk memberi wang saku untuk adiknya, Nur Diana. Ish! Budak tu punya pasal.

“Err... Macam ni... Sebenarnya... Err...” Nadia gugup bercampur dengan rasa malu. Sungguh malu, rasa nak lari terus dari situ.

“Saya tak ada...”

“Berapa tadi?”

Belum pun sempat Nadia memberitahu bahawa pursenya tertinggal tiba-tiba ada suara lelaki bertanya. Nadia menoleh dan matanya bulat memandang lelaki itu. Lelaki yang berada di hadapannya tadi, rupanya belum pergi lagi.

“Dua puluh dua ringgit enam puluh sen, encik.”

            Nadia terpinga. Hanya matanya saja yang mampu memandang lelaki itu menghulurkan tiga not sepuluh ringgit.

            “Sorry, purse dia tertinggal,” ujar lelaki itu kepada juruwang bagi pihak Nadia.

            Nadia rasa amat terharu dengan kebaikkan lelaki itu. Kalau tidak mengenangkan ketika itu ramai orang, mahu menitis juga air matanya.

            “Jom...” ajak lelaki itu pada Nadia setelah wang baki dikembalikan semula. Barang-barang Nadia juga dibawa bersama, masuk ke dalam troli lelaki tersebut. Seperti mereka mengenali satu sama lain.

            Nadia hanya mengekori lelaki itu. Buat ketika ini memang dia menganggap bahawa lelaki itulah penyelamatnya. Tidak terlintas sedikit pun di kepalanya jika lelaki itu berniat jahat padanya.

            Tiba di tempat letak kereta, lelaki itu menyerahkan plastik yang Nadia pasti kesemuanya mengandungi barang-barang yang dibelinya tadi. “Be careful next time,” ujar lelaki itu.

            “Awak,” panggil Nadia.

            Langkah lelaki itu terhenti bila Nadia memanggilnya.

            “Terima kasih banyak-banyak kerana sudi tolong saya. Tapi boleh tak awak tunggu sekejap, saya call along saya untuk hantar my purse. Saya nak bayar harga barang-barang saya tadi.”

            “Sorry, I’m in hurry. You can pay me next time.” Kata-kata selamba lelaki itu membuatkan Nadia ternganga.

            “Saya tak nak! Sekejap aje. Saya call along saya. 
Tolong jangan pergi dulu.” Sambil cuba menahan lelaki itu untuk pergi dari situ, Nadia menekan nombor telefon alongnya, Nazhan.

            Namun lelaki itu tetap meneruskan langkahnya. Dia perlu cepat pergi dari situ. Bila terasa bajunya ditarik dari belakang, lelaki itu menoleh pantas. Berani sungguh perempuan ini buat begitu padanya. “Awak ni kenapa? You know what? I’m in hurry. So, please, let me go!”

            “Awak boleh diam tak? Saya tengah call along saya ni.”

            Lelaki itu mengerutkan dahinya seraya tersenyum sinis. Bila dah ditolong, begini pula lagak perempuan itu.

            “Tak serupa dengan lagak bertudung. Berani pula nak sentuh-sentuh orang,” bebel lelaki itu.

            Nadia mengetap bibir. Terasa dengan kata-kata lelaki itu. “Saya tak sentuh awak. Tak nampak ke yang saya cuma sentuh baju awak?”

            Lelaki itu mendengus.

            “Along, please datang Alamanda sekarang juga. Purse Nad tinggal kat rumah. Now, I need urgent!” Bila mendengar saja panggilannya berjawab, terus Nadia mengarahkan Nazhan tanpa sempat alongnya berkata ya dan telefon bimbit itu terus ditutup.

Nadia memandang kembali lelaki di hadapannya itu. Tangannya masih memegang baju lelaki itu dan kini teralih pada lengan baju bila lelaki itu memandangnya juga.

“Tolonglah awak, saya memang nak cepat ni.”

“Saya kena bayar awak juga. Saya tak mahu berhutang.”

“Saya halalkan.” Pantas saja lelaki itu bersuara.

“Tak nak! Saya tak nak terhutang budi.”

“Ya Allah, minah ni..,” ujar lelaki itu. Geram dengan kedegilan perempuan di hadapannya ini.

“Saya ada flight pukul tujuh ni, so please, let me go. Kalau awak nak bayar juga, saya suruh adik saya jumpa awak,” ujar lelaki itu seraya memandang jam tangan. Sudah pukul tiga setengah petang. Dia perlu balik ke rumah terlebih dahulu sebelum ke KLIA.

“Saya nak bayar sekarang juga. Kejap lagi along saya datang. Awak cuma tunggu dalam masa lebih kurang sepuluh minit saja. Tolonglah. Kalau awak suruh adik awak jumpa saya, bila masanya lagi saya nak bayar? Kalau sesuatu terjadi pada saya dan saya tak sempat bayar hutang, saya yang berdosa tau! Awak faham tak?” Panjang lebar Nadia menjelaskan pada lelaki itu.

Lelaki itu mendengus lagi. Dia memang tidak suka mendengar bila orang berkata ‘kalau sesuatu terjadi pada saya’.

“Dalam hal ni, saya nak cepat dan saya dah halalkan duit yang saya bayar tadi. Dah cukup baik saya tolong awak tau.”

“Ni lah yang saya tak nak, kes ungkit! Sebab tu saya tak nak berhutang, saya kena bayar awak juga. Hati saya tak tenang kalau saya tak bayar awak. Awak simpan saja niat baik awak tu. Apa yang penting, saya nak bayar juga.”

“Ish! Degil!”

“Boleh lepaskan tangan awak tu tak? Saya rimas la,” sambung lelaki itu. Perempuan ini memang bikin malu saja.

“Kalau saya lepas, awak akan pergi.”

“Ya Allah... Ada juga minah macam ni,” bebel lelaki itu.

Nadia menjeling. Namun tidak dihiraukan dan matanya memang melilau mencari kereta Nazhan.

“Hah! Tu dia along saya.”

“Cepat ambik your purse,” arah lelaki itu.

Nadia terus berlari mendekati Nazhan. “Nad buat along risau, tahu tak?”

“Sorry... Nad berhutang dengan mamat tu. Thanks along.” Tangan Nadia naik menunjukkan ke arah lelaki yang ‘baik hati’ bayarkan barang-barangnya tadi.

“Okey... Nah.” Sekembalinya pada lelaki itu, tanpa berlengah Nadia menghulurkan tiga not sepuluh ringgit.

“Yang selebihnya, awak simpanlah. Terima kasih kerana sudi tolong saya. Saya dah tak risau lagi. Terima kasih sangat-sangat. Awaklah penyelamat saya hari ni. Have a safe journey ya awak.” Bila lelaki itu mengambil duit Nadia, cepat saja Nadia pergi dari situ.

“Awak!” Panggil lelaki itu. Kali ini, dia pula yang seakan berhutang dengan perempuan itu. Baki tujuh ringgit empat puluh sen perlu dipulangkan. Tapi bila melihat jam bergerak dengan pantas, dia perlu cepat beredar dari situ.

Nadia tersenyum puas hati. Apa yang penting, dia tidak berhutang dengan mamat itu lagi. Lelaki yang pada mulanya dianggap sebagai penyelamat tapi berlagak bagai nak mampus! Sempat lagi Nadia mengata tentang lelaki itu.


Balik rumah, Nadia terus menyerahkan plastik yang mengandungi bahan-bahan untuk membuat macaroon kepada Puan Asma. Gelas diambil dan air mineral dituang. Haus! Puan Asma hanya memerhatikan perbuatan Nadia itu.

            “Ya Allah... Apa yang Nadia beli sebenarnya?” tanya Puan Asma sebaik saja membuka ikatan plastik tersebut.

            “Kenapa ibu? Bahan-bahan nak buat macaroon la...” Pelik sungguh Nadia, sedangkan Puan Asma sendiri yang senaraikan bahan-bahannya.

            “Yang ada cuma shampoo, sabun muka, pencukur, ni entah krim apa la yang Nad beli ni. Lain macam aje ibu tengok.”

Kesemua barang-barang yang dibeli dikeluarkan dari plastik. Nadia tepuk dahi perlahan. Patutlah berat semacam. Kenapa dia tak perasan tadi?

“Nad tertukar barang dengan mamat tu la bu.”

“Mamat mana?”

“Mamat tadi tu ke?” kali ini Nazhan pula yang mencelah.

Dengan perlahan Nadia mengangguk. Wajahnya cuba meminta simpati si abang.

“Cuai betul la Nad ni. Ibu tahu tak, Nad ni dah la tertinggal purse dia kat rumah. Lepas tu boleh pula tertukar barang dengan lelaki yang entah siapa.”

Kali ini Nazhan tidak melawankan si adik. Nadia memang kerap kali cuai. Dia dan angah, Najwan memang sentiasa menjadi tulang belakang untuk Nadia jika adiknya itu mengalami masalah.

“Dia tolong Nad la tadi. Cuma yang ni, dia sendiri yang cuai sebab letak barang Nad dalam troli dia. Mana tak tertukar. Bukan salah Nad tau ibu. Lelaki tu yang sendiri cuai.” Nadia cuba membela diri.

“Dah la... Tak menjadi masalah besar pun sebenarnya. Along ni... Cuba cakap elok-elok sikit.” Puan Asma menjeling Nazhan. Tidak suka bila Nazhan dan Najwan memarahi Nadia. Walaupun kini Nadia lebih ceria berbanding dulu tapi Nadia mudah berkecil hati. Lain benar dengan sikap Nadia yang dulu.

Nadia akhirnya tersenyum bila Puan Asma  membela dirinya. Senyuman puas hati dipamerkan pada Nazhan.

“Suka la tu... Nanti lepas solat Asar, kita bincang tentang cadangan along semalam. Jangan cuba nak mengelat. Apa yang penting, Nadia kena cuba dulu baru kata tidak.”

Senyuman Nadia mati serta merta. Cadangan Nazhan semalam? Temujanji dengan orang yang dia tak kenali? Biar betul! Nadia ingatkan Nazhan cuma bergurau dengannya. Sekali lagi, Nadia cuba memandang ke arah Puan Asma namun kali ini ibunya pula buat-buat tidak tahu. Temu janji? Oh no, Tidakkk!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar