BAB 3
“ Zulaikha, sekejap lagi kita nak ke bilik mesyuarat. Hari ni merupakan perlantikan ketua pemasaran baru.” Qisya Zulaikha hanya mengangguk. Hatinya tidak berapa enak dengan kemunculan Nuh Qays ini. Dia takut kejadian dulu itu berulang lagi. Takut dengan kemunculan Nur Qairina dan sudah pasti dia tidak mahu adanya kemunculan Izdiyad.
Sebaik saja sampai ke tingkat atas, di bahagian pemasaran, Ifa menarik lengan Qisya Zulaikha.
“ Saya pinjam Ikha sekejap Encik Kamal ya. Sekejap saja.” Dengan wajah yang ala-ala comel Ifa pamerkan pada Encik Kamal.
“ kamu ni ada-ada saja Ifa. Jangan lama, Pukul sembilan tepat, masuk ke bilik mesyuarat.” Qisya Zulaikha dan Ifa mengangguk faham.
“ Mana minah kerek tu? Dah masuk la tu. Semangat betul dia hari ni. Siap kemaskan bilik bos baru tu.” Sebaik saja Encik Kamal masuk ke dalam bilik Tuan Haji Yusuf, Ifa sudah memuntahkan rasa tidak puas hati tentang Afiah.
“ Biar dia lah. Yang penting dia tak kacau kita. Lagipun memang patut dia buat macam tu, yang bakal dilantik ni kan bakal bos dia. So tak ada hal lah.” Memang Qisya Zulaikha akui, hari ini Afiah bersemangat. Awal benar wanita itu pergi ke pejabat tadi. Pakaian juga cantik, berbeza dengan yang dulu.
Ifa mencebik. Dia benci melihat gaya gedik Afiah itu tadi. Gaya Afiah itu seperti ‘ahli jawatan kuasa’ saja lagaknya. “ Meluatlah aku tengok dia. Harap-harap bos baru ni tak termakan cakap dia. Nanti lagi dia besar kepala.”
Qisya Zulaikha ketawa kecil. Walau apapun tentang Afiah, pasti Ifa tidak menyukai. Walau berkali-kali Qisya Zulaikha cuba untuk menasihati agar Ifa tidak menghiraukan Afiah tapi setiap hari juga pasti akan ada pertelingkahan antara mereka.
“ Gelak pula minah ni. Eh, kau tahu tak, aku dah nampak bos kita orang tu. Fuhh! Memang tak syak lagi si Peah tu menggedik. Masa dia datang tadi, dia bawa aku senyum tau... Lemah jantung den ni dibuatnya.”
“ Dia dah ada?”
“ Dah ada pun, dia masuk bilik Tuan Haji Yusuf dulu.” Bergetar hati Qisya Zulaikha bila terkenangkan wajah Nuh Qays. Adakah dia perlu buat tidak kenal dengan Nuh Qays atau sebaliknya? Tapi jika dia memberitahu siapa dirinya pasti lelaki itu akan ingat kembali tentang perkara dulu. Itu sudah pasti!
Qisya Zulaikha melihat jam ditangan seraya menarik tangan Ifa untuk pergi ke bilik mesyuarat, “ jomlah. Lima minit lagi nak pukul sembilan ni. Aku tak nak jadi perhatian pula nanti.”
“ Aku tak dijemput la cik adik oii... Ketua-ketua bahagian dan setiausahanya saja yang dijemput. Kalau mereka jemput semua pekerja, tak muat aku rasa bilik mesyuarat tu. Masa jamuan baru kita orang join sekali.”
“ Oh ya ke? Okeylah kalau macam tu. Aku masuk dulu.” Laju kaki Qisya Zulaikha melangkah meninggalkan Ifa.
Pintu bilik mesyuarat dibuka perlahan. Qisya Zulaikha melihat rata-rata yang ada dalam bilik itu kebanyakkan setiausaha dan ketua dari bahagian yang berlainan. Qisya Zulaikha memberikan senyuman, semua yang ada membalas senyuman Qisya Zulaikha kecuali Afiah. Cuma Afiah saja yang serius memandangnya. Qisya Zulaikha malas mahu ambil kisah dengan perangai Afiah itu. Dia sudah lali.
Ketika Qisya Zulaikha mahu duduk, tiba-tiba pintu mesyuarat terbuka luas. Muncul Tuan Haji Yusuf bersama dengan ketua yang lain. Mata Qisya Zulaikha memerhatikan setiap manusia yang masuk itu tapi matanya terpaku pada seseorang. Itulah dia, Nuh Qays. Masih sama seperti dahulu cuma kematangan itu yang menjadikan dia lebih segak dengan penampilannya kini.
Qisya Zulaikha menundukkan sedikit wajahnya kerana dia sudah tertangkap oleh Nuh Qays disebabkan terlalu leka merenung lelaki itu. Pipi sudah membahang, malu dengan keterlanjurannya. Qisya Zulaikha memberikan ruang untuk Encik Kamal duduk di sebelahnya.
“ Segak Nuh tu ya, berebut-rebut la nanti orang nak ke bahagian pemasaran. Jangan pula awak yang minta tukar nanti, sudah la,” bisik Encik Kamal. Qisya Zulaikha tersenyum mendengar gurauan Encik Kamal itu.
“ Bos saya tetap Encik Kamal, lainlah kalau Encik dah tukar atau bersara. Lagipun biasalah Encik Kamal, orang mudakan... Pandai bab-bab bergaya ni. Tapi Encik Kamal pun bergaya juga... Itu sebab Puan Hayati sayang lebih tu,” balas Qisya Zulaikha juga bernada gurauan.
“ Macamlah dia tu bukan orang muda. Saya tengok, berseri-seri wajah wanita-wanita bahagian pemasaran ni. Kuat juga penangan Nuh ni ya.” Tanpa dapat di tahan Qisya Zulaikha tergelak kecil seraya mengundang perhatian sebahagian manusia yang berada di bilik mesyuarat itu. Qisya Zulaikha bukan apa, dia tergelak kerana mengenangkan Ifa dan juga Afiah yang bergaya sakan hanya kerana hari ini merupakan hari pertama Nuh Qays bekerja.
“ Maaf,” Qisya Zulaikha memohon maaf. Dia menoleh ke arah Encik Kamal, mengharapkan orang tua itu akan membela dirinya.
“ Maaf Tuan Haji, Zulaikha ni salah dengar apa yang Tuan Haji katakan tadi. Bila saya bagitahu dia, rupanya salah information pula.” Ahh...! Sudah, aku pula yang kena! Desis hati Qisya Zulaikha.
“ Apa yang Zulaikha salah dengar tu ya?” tanya Tuan Haji Yusuf ramah. Qisya Zulaikha menelan liur. Kini dia sudah menjadi perhatian semua orang dan sudah pasti Nuh Qays juga sedang memandangnya kini.
“ Pasal kerja di bahagian saya dengan pemasaran Tuan Haji. Malu pula Zulaikha ni, alah biasalah... Ada orang baru, itu sebab dia malu-malu tu.” hampir kesemua tergelak mendengar kata-kata Encik Kamal itu. Tuan Haji Yusuf menggeleng, faham benar dengan perangai Encik Kamal yang suka menyakat pekerja bawahan. Malu Qisya Zulaikha sehingga dia tidak mampu berkata-kata. Inilah dia Encik Kamal, menyakat tidak kira tempat!
“ Tak apa Zulaikha.. Saya tahu Kamal cuma bergurau. Bukan saya tidak kenal dengan Kamal ni. Pasal kerja tu pula, seperti biasa, bahagian pentadbiran sememangnya akan selalu berurusan dengan pemasaran. Jadi jika Nuh memerlukan sebarang dokumen tentang pentadbiran maka Zulaikha buat macam biasa, sama seperti ketika adanya Sufi. Begitu juga sebaliknya Afiah ya?”
“ Ya Tuan Haji,” jawab Afiah bersemangat. Qisya Zulaikha mengangguk. Dia sudah biasa dengan kerjanya. Dulu, bukan saja Encik Kamal yang menjadi bosnya, Encik Sufi juga kadang-kadang memerlukan bantuannya.
Kini tibalah sesi memperkenalkan diri. Nuh Qays bangun dan secara rawak dia memperkemaskan kamejanya. Baginya penampilan itu sangat penting, apalagi dia merupakan salah seorang ketua bahagian dalam syarikat ini.
“ Assalamualaikum dan salam sejahtera. Selamat pagi semua. Saya Nuh Qays. Saya akan mengambil alih sebagai ketua pemasaran. Saya masih baru dalam bidang ini walaupun saya mempunyai pengalaman selama setahun setengah ketika bekerja di UK setelah tamat pengajian master saya. Bagi saya, saya masih cetek dalam bidang ini berbanding dengan ketua-ketua yang lain. Saya mengharapkan tunjuk ajar dari anda semua. Sebarang teguran, pasti akan saya terima untuk meningkatkan lagi mutu kerja saya. Terima kasih.” Sebaik saja Nuh Qays mengakhiri ucapannya, tepukkan gemuruh diberikan. Nuh Qays tersenyum dengan penerimaan itu dan dia menundukkan sedikit badannya tanda menghargai. Matanya pula memandang Qisya Zulaikha yang sedari tadi banyak menundukkan diri. Tentu wanita itu malu akibat gurauan Encik Kamal, desis hatinya.
Selesai saja acara perlantikkan itu, seperti biasa jamuan kecil akan diadakan. Itu sudah lumrah jika ada mesyuarat ketua-ketua bahagian, pasti akan ada jamuan kecil untuk semua pekerja. Itulah cara Tuan Haji Yusuf untuk mengeratkan hubungan sesama pekerja. Sekali lagi, Nuh Qays memperkenalkan dirinya pada semua pekerja di Syarikat Bina Perdana itu.
Mata Qisya Zulaikha sudah terpandang makanan kegemarannya. Dia menyiku Ifa dan dia berkata tanpa bersuara, “ kuih kegemaran aku.”
“ Aku tahulah. Aku yang suruh Jannah tempah kuih ni. Jomlah,” jawab Ifa dengan senyuman simpul.
“ Thank you. Lama benor aku tak makan kuih onde-onde ni.”
Mata Qisya Zulaikha hanya memberi tumpuan pada kuih onde-onde itu sampai mana dia mengambil penyepit tanpa menyedari ada tangan juga yang mengambil penyepit itu. Laju tangannya melepaskan, dia mendongak. Terkaku dia seketika.
“ Maaf! Saya tak sengaja.” Laju saja Qisya Zulaikha memohon maaf. Nanti dikatakan pula ingin mengambil kesempatan untuk mendekati Nuh Qays.
“ It’s okay,” balas Nuh Qays. Dia juga tergamam bila tanpa isyarat Qisya Zulaikha terpegang tangannya.
Qisya Zulaikha membatukan dirinya, tidak tahu hendak buat apa lagi. Pinggan kecil di tangannya kini berisi sudah kuih onde-onde. Sekali lagi dia mendongak. Nuh Qays melemparkan senyuman.
“ Saya rasa, awak nak sangat kuih ni. Selamat menikmatinya.” Qisya Zulaikha malu sendiri. Menyesal pula berbuat sebegitu tadi. Nampak sangat dia gelojoh untuk mengambil kuih onde-onde itu.
Ifa tergelak. Dia menghampiri Qisya Zulaikha yang sudah kalut itu. “ Itulah kau... Mata tengok kuih tu saja. Manusia yang ada dalam ni pun kau dah tak hiraukan.” Qisya Zulaikha mengetap bibirnya. Geram dengan kata-kata Ifa walaupun ada benarnya apa yang dikatakan itu.
“ Maaf ya Encik Nuh, Ikha ni memang... Kalau bab makanan kegemaran, memang tak hengat dunia,” jelas Ifa pada Nuh Qays.
“ Tidak mengapa. Enjoy your kuih ladies,” ujar Nuh Qays seraya meninggalkan dua wanita itu. Niat hati memang ingin berlama lagi untuk berhadapan dengan Qisya Zulaikha tapi dia tidak mahu banyak mata yang memandang perilakunya itu. Dia tidak mahu. Biarlah semuanya berjalan dengan perlahan dan sempurna untuk dia mendekati Qisya Zulaikha.
Di satu sudut, Nadia Afiah menahan geram. Benci melihat Qisya Zulaikha cuba menghampiri Nuh Qays. Tidakkah dia sedar tentang kisah dulu tu? Tak kan Nuh Qays tidak mengenali Qisya Zulaikha? Bentak hati Afiah. Dia tidak akan membenarkan Qisya Zulaikha sewenang-wenangnya menghampiri Nuh Qays. Dia juga ada cara tersendiri untuk membuatkan Nuh Qays membenci Qisya Zulaikha. Itu adalah matlamatnya kali ini!
P/S : Komen anda amat saya perlukan <-- ( tak macam ayat terdesak ke? kekeke) kalau ada masa tinggalkan komen ya. itu pun kalau ada masa tau, tiada paksaan tapi dalam hati ni nak juga tahu apa komen anda tentang PDH ni. kekeke. Terima kasih kerana sudi baca PDH.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar