Rabu, 08 Agustus 2012

SPECIAL POST 2 : PERANGKAP DUA HATI



“Err... Nak cari siapa?” tanya Qisya Zulaikha sekali lagi bila pertanyaannya tidak dijawab. Dengan perlahan daun pintu utama cuba ditolak perlahan agar tidak ternganga seperti tadi. Dia berasa gerun pula tiba-tiba bila melihat wajah lelaki di hadapannya ini.

            “Aku nak kau!” ujar lelaki itu seraya menolak Qisya Zulaikha dengan kasar. Pintu ditutup dengan menggunakan kaki. Bibir sudah mengukir senyuman penuh makna.

            “Tak sangka pula kau ni cantik ya..” kata lelaki itu.

            “Awak ni siapa? Apa awak nak?!”

            Terketar-ketar bibir Qisya Zulaikha bila dengan mengejut, dia ditolak. Tersandar badannya di rak kasut. Tangan mencapai kepala, sedar bahawa dia telah menonjolkan auratnya. Ya Allah. Tolong selamatkan aku...

            Rak kasut ditolak kuat, mengharapkan agar lelaki itu sukar mendekatinya. Telefon bimbit yang berada digenggamannya ditekan. Entah, dia sendiri tidak tahu apa yang ditekannya. Dia melarikan diri bila terdengar suara lelaki itu ketawa berdekah.

            “Nak lari mana sayang... Hai.. Untungnya aku hari ni. Dapat makan besar.”

Lelaki itu semakin menghampiri. Kini dia sudah berlari ke ruang tamu. Mata menghala pada pasu bunga kaca. Lalu dicapai dan dibalingkan ke arah lelaki itu. Sasarannya tidak mengena. Dengan tangkas, lelaki itu mengelak. Pecah berderai pasu bunga di permukaan lantai. Sekali lagi hiasan kaca yang ada di meja ruang tamu itu digapai lalu dilemparkan. Kali ini, sasarannya mengenai dahi lelaki itu.

“Hei betina! Celaka kau eh!” Marah lelaki seraya menekan dahinya. Darah! Semakin baran pula dia dengan Qisya Zulaikha. Kaca yang berderaian di lantai tidak dihiraukan. Serpihan kaca-kaca itu akan menyukarkan Qisya Zulaikha untuk lari ke mana-mana. Dia pula masih memakai kasut. Jadi tidak menjadi masalah buatnya.

“Tolong! Tolong! Jangan apa-apakan saya. Tolong la, lepaskan saya. Abang! Tolong Ikha, abang!” jerit Qisya Zulaikha. Siapa yang akan mendengar jeritannya itu? Pintu sudah tertutup rapat, pasti jiran sebelah juga tidak akan kedengaran.

Lelaki itu mencengkam lehernya lalu menolak Qisya Zulaikha ke sofa. Perit di rasakan belakang badannya. Dengan kudrat yang ada, Qisya Zulaikha cuba bangun sebelum lelaki itu sempat mendapatkannya. Tapi tidak lama, rambutnya ditarik dari belakang.

“Arghh!”

“Kau ni memang degil!” Lantas tangan melayangkan penampar buat Qisya Zulaikha. Geram juga dia bila Qisya Zulaikha masih bertenaga melawannya.

Badan Qisya Zulaikha hampir tersungkur ke lantai yang penuh dengan serpihan kaca tapi bila dia terkenangkan tentang kandungannya, kedua-dua tangan cuba menghalang dari terus terjatuh. Wajahnya mengeriut menahan kesakitan bila terasa pedih di telapak tangannya. Kaki juga sebegitu. Perit, pedih, sakit, semua ada. Telefon bimbit sudah terlepas dari tangan dan sukar untuk digapai.

Tangisan tidak dapat dibendung lagi. Dia yakin, dia akan musnah di tangan lelaki durjana ini. Badan terasa dialihkan ke hadapan dengan kasar. Darah sudah mengalir di tepi bibir. Serpihan kaca yang besar terasa di belakang badannya kini. Bila lelaki itu menindih badannya, terasa semakin perit.

“Tolong, lepaskan saya...” Rayu Qisya Zulaikha dengan esakkan yang mengiringi. Dia sudah lemah untuk melawan. Nafas juga tercungap-cungap.

Bila lelaki itu mula hendak menarik bajunya, dengan sepenuh tenaga, dia menolak lelaki itu, tapi tidak berjaya. Ya Allah... Selamatkan hamba-Mu ini. Doa Qisya Zulaikha berkali-kali. Untuk sekian kalinya, pipinya ditampar lagi. Terasa kebas dan pijar.

Lelaki itu membenamkan wajahnya di leher Qisya Zulaikha. Lagi sekali dia cuba menolak kepala lelaki keparat itu. “Lepaskan saya...”

“Celaka!”

Qisya Zulaikha terdengar jeritan itu dan bila lelaki yang menindihnya ditarik dengan kasar dari belakang, dia menarik nafas lega.

“Abang..,” ucapnya lemah. Qisya Zulaikha sudah tidak terdaya. Terkulai layu di permukaan lantai. Dia juga tidak mampu bergerak, kaca yang tertusuk di belakang badannya menyukarkan dia untuk bergerak.

“Sial! Kau nak mati agaknya.” Tanpa belas, Nuh Qays menumbuk lelaki itu. Apatah lagi dilihatnya kurus kering. Mungkin dengan Qisya Zulaikha, lelaki itu boleh buat sesuka hati tapi bukan dengannya. Pasti lelaki itu tidak terlawan dengan badan sasanya.

“Lepaskan aku, lepaskan aku.” Pinta lelaki itu. Seakan merayu.

Semakin menggila Nuh Qays bila mendengar rayuan itu. Itulah yang didengarnya tadi sewaktu Qisya Zulaikha menghubunginya. Rayuan untuk minta dilepaskan dari lelaki yang bertopengkan syaitan ini. Dia tahu, tanpa mengetahui siapa yang dihubungi, Qisya Zulaikha hanya menekan punat telefon secara rawak. Ternyata nasib menyebelahinya bila nombor telefonnya yang ditekan Qisya Zulaikha. Darah mengalir keluar dengan deras dari mulut dan hidung lelaki itu. Mungkin hidung mahupun gigi lelaki itu patah. Itu dia tidak peduli. Dia mahu lelaki ini mati!

Bila dapat tahu ada sesuatu yang menimpa isterinya, seperti orang gila dia berlari menuju ke lif. Mata sempat mencari sekuriti, ternyata tidak ada yang bertugas di parkir bawah tanah itu. Bila keempat-empat lif masih berada di beberapa tingkat tanpa berlengah, dia mendaki tangga. Dia tidak kisah mendaki sampai ke tingkat 16. Apa yang penting, Qisya Zulaikha selamat. Itulah yang menyebabkan dia terlewat datang menyelamatkan Qisya Zulaikha. Terpaksa mengambil masa mendaki anak-anak tangga.

“Abang...” Pangilan Qisya Zulaikha menyedarkannya ke alam nyata. Lelaki di hadapannya sudah terkulai layu. Adakah lelaki ini sudah mati? Nuh Qays sedikit terpinga. Tapi bila melihat lelaki itu masih bernafas, dia menarik nafas lega.

Laju dia beristigfar. Bila marah mengusai diri, dia hampir membunuh seseorang. Jika perkara itu berlaku, ternyata dia juga sama seperti lelaki durjana itu.

Nuh Qays mendekati Qisya Zulaikha. Terketar-ketar tangannya mengangkat kepala Qisya Zulaikha. Wajah isterinya juga sudah luka sana-sini.

“Sayang...”

“Sakit, belakang Ikha sakit, abang,” adu Qisya Zulaikha.

Menitis air mata Nuh Qays melihat keperitan yang Qisya Zulaikha alami. Dia cuba menegakkan badan isterinya supaya senang dia melihat apa yang ada di belakang Qisya Zulaikha itu. Terkejut dia bila melihat serpihan kaca besar tertusuk di belakang badan isterinya.

“Ya Allah! Ada kaca sayang,” beritahu Nuh Qays.

“Tolong keluarkan...” Pinta Qisya Zulaikha seakan merayu. Dia sudah tidak tahan lagi. Sakitnya mencucuk-cucuk.

Dengan lafaz Bismillah, Nuh Qays menarik serpihan kaca itu dengan cepat. Takut jika dia menarik dengan perlahan akan membuatkan Qisya Zulaikha semakin kesakitan. Bila dia hendak berdiri, pintu utama yang sedikit ternganga ditolak, muncul beberapa anggota polis. Dalam kelam-kabut menaiki tangga, dia sempat melaporkan kejadian ini pada polis. Alhamdulillah, polis datang juga akhirnya.

“Abang... Tuala.”

Tanpa menunggu lama, Nuh Qays berlari menuju ke bilik wardrobe. Dua tuala yang tersusun kemas dicapai. Lalu kembali semula pada Qisya Zulaikha. Tuala besar itu dibuka dan dililiti pada badan Qisya Zulaikha. Baju isterinya juga sudah koyak-rabak gara-gara serpihan kaca itu dan mungkin juga disebabkan lelaki bangsat itu.

Qisya Zulaikha mengambil satu lagi tuala yang ada di tangan Nuh Qays dan menutupi kepalanya. Walaupun dalam masa darurat ini, dia perlu menutup auratnya. Tidak selesa bila ada mata yang memandang.

“Saya inspektor Zarul, encik yang telefon kami tadi?” tanya salah seorang anggota polis yang ada.

“Ya,” jawab Nuh Qays pendek. Dia tidak ada masa untuk beramah mesra! Dia mahu ke hospital, Qisya Zulaikha harus dirawat dengan segera.

“Saya nak bawa isteri saya ke hospital. Saya tak sempat nak call ambulance tadi. Nanti, saya akan berikan statement pada encik. Ini kad saya, apa-apa hal, telefon saya. Pastikan bangsat tu tak terlepas!” Kad nama dikeluarkan dari dompet lalu diserahkan pada inspektor Zarul.

Matanya mencerlung memandang lelaki yang tidak diketahui namanya itu dipapah oleh dua anggota polis untuk berdiri seraya tangan lelaki itu juga turut digari. Mungkin ayatnya tadi itu kedengaran kesat tapi dia tidak dapat mengawal rasa amarah.

“Itu sudah menjadi kerja kami, Encik Nuh. Kami juga akan membawa lelaki ini ke hospital terlebih dahulu. Rumah encik ini akan kami sita untuk siasatan kami. Saya akan call encik, untuk berita selanjutnya,” ujar inspektor Zarul.

Nuh Qays hanya mengangguk. Tanpa menunggu lama, dia mencempung Qisya Zulaikha. Dia juga sudah tidak menghiraukan tentang keadaan rumahnya. Harta benda tidak berharga jika dibandingkan dengan nyawa isterinya.

*******

Afiah leka dengan nyanyiannya yang entah apa itu sambil tangan bermain-main dengan kunci kereta. Sehingga dia terkejut dengan teguran ramah Encik Kamal padanya sewaktu mereka berselisihan di pintu lobi.

“Happy nampak Afiah, nak balik?” tanya Encik Kamal. Tersenyum-senyum dia. Mana tidaknya, pertama kali melihat Afiah gembira sebegitu. Selalunya wanita itu berwajah serius. Kurang mesra dengan pekerja-pekerja di Bina Perdana.

Afiah menelan liur, terkejut dengan kemunculan Encik Kamal itu.

“Err... Encik Kamal buat apa kat sini? Tak jadi join meeting Bumi Indah ke?” tanpa menjawab pertanyaan Encik Kamal, Afiah terus bertanyakan tentang kemunculan ketua Qisya Zulaikha ke situ.

“Meeting cancel. Saya dah datang ke Bumi Indah tadi tapi bila tiba-tiba aje bos mereka kata cancel. Nak buat macam mana... Walaupun rasa tak puas hati. Saya datang ni pun nak ambil barang kat ofis,” jelas Encik Kamal.

Gila! Bentak hati Afiah. Jantungnya juga berdegup dengan kencang sebaik saja mendengar penjelasan Encik Kamal itu.

“Sekarang, Encik Nuh kat mana?” Afiah cuba mengawal suaranya supaya tidak kedengaran seperti terburu-buru ingin tahu.

“Dia baliklah. Masa saya call dia tadi pun, memang dia dalam perjalanan nak ke Bumi Indah.”

“Oh... Okeylah Encik Kamal. Saya pergi dulu. Nak beli barang rumah.” Alasan diberikan pada Encik Kamal.

Cepat saja Afiah mengaturkan langkah sebaik saja Encik Kamal menjawab dengan anggukkan. Dia jadi tidak tentu arah. Segalanya seperti berserabut. Dia memandang telefon bimbitnya, berkira-kira hendak menelefon lelaki itu tapi bila mengenangkan tentang kemungkinan yang berlaku, dia mematikan niatnya. Masuk saja ke dalam kereta, dengan segera sim kad telefon dikeluarkan lalu sim kad lama dimasukkan semula ke tempat yang dikhaskan dalam telefon bimbitnya itu.

Afiah memandu tanpa arah tujuan. Kejap-kejap dia menggigit kuku. Perasaan takut mula menular di dalam hati. Apa yang telah terjadi pada Qisya Zulaikha? Sempat ke tidak lelaki itu melakukan apa yang dia suruh? Adakah apa yang difikirkannya, akan menjadi kenyataan bilamana Qisya Zulaikha meminta perceraian jika wanita itu sempat dirogol?

Dia memberhentikan kereta di tepi jambatan kecil. Badan disandarkan, cuba memikirkan apa yang telah terjadi pada lelaki yang menjadi suruhannya. Afiah memetik jari, hampir terlupa dengan kewujudan rambut palsu dan kaca mata hitam yang besar di laci kereta itu. Dia mengambil kedua-dua barang itu. Bukti harus dihapuskan!

Suasana diperhatikan, kebanyakkan yang lalu-lalang adalah trak-trak besar. Itu dia tidak peduli, siapa yang akan kisah dengan apa yang dibuatnya. Air sungai juga mengalir dengan deras. Memang tempat yang sesuai. Rambut palsu, kaca mata dan sim kad, dibuang secara serentak. Hatinya puas. Tidak akan ada sesiapa yang tahu bahawa dialah yang merancang segala-galanya. Walaupun lelaki kurus kering itu!

Tidak ada komentar:

Posting Komentar