BAB 8
Hanif cuba menarik nafas dalam. Dia datang lagi ke tadika milik Hanina. Pandangan mata dibiarkan melihat sekeliling. Kini dia sudah tidak kisah, jika ada mata yang memandangnya kerana kerap datang ke situ. Dia juga tidak kisah lagi jika penerimaan Hanina berlainan kali ini. Apa yang penting, dia mahu berusaha menawan hati Hanina. Itu tekadnya.
“Assalamualaikum Encik Hanif, nak jumpa Eqi ya?” sapa salah seorang pengawal keselamatan.
Terkejut juga Hanif dengan sapaan itu. Dia tidak menyangka, pengawal keselamatan itu tahu namanya.
“Eqi... balik dari sekolah terus pesan pada saya, kalau encik datang, dia suruh masuk. Sebab dia yakin, encik akan jumpa dia petang ni.” Mungkin kerana perubahan di wajah Hanif menyebabkan pengawal keselamatan itu menjelaskan padanya.
Tersenyum Hanif. Terselit rasa bangga kerana Rafieqi terkenangkan dia. “Memang nak jumpa dia. Dia kat mana ya? Boleh saya masuk?” saja mahu berbasa-basi pada pengawal yang bertugas.
“Boleh encik. Lagipun encik ni pun kawan Puan Nina. Silakan..” Setelah Hanif bersalaman dengan pengawal keselamatan itu, dia meneruskan langkah untuk masuk ke kawasan tadika.
“Uncle Hanif!” baru saja beberapa langkah masuk ke kawasan tadika, namanya sudah diseru. Semakin lebar senyuman Hanif bila melihat Rafieqi berlari ke arahnya lalu memeluknya.
“Kenapa uncle lambat datang?” tanya Rafieqi sebaik saja pelukan dilepaskan.
“Uncle kerja, sayang. Tapi sekarang, uncle dah datang, kan?”
Cepat saja Rafieqi mengangguk. Dia tidak kisah selewat mana pun Hanif, yang penting, Hanif datang.
“Ingatkan, uncle tak datang.”
“Abang Eqi.. Ini siapa? Papa abang eh?” tiba-tiba ada kanak-kanak perempuan yang bersama ayahnya datang menegur Rafieqi.
Rafieqi memandang Hanif dan kanak-kanak perempuan itu silih berganti. Hati Hanif terasa hiba dengan pandangan yang Rafieqi lemparkan itu.
“A’ah... Saya papa Eqi. Hai.. Siapa nama?” rambut si kanak-kanak kecil itu digosok lembut.
“My name is Idora. Kita kawan abang Eqi. Hmm.. Tapi kenapa papa Abang Eqi selalu tak ada?” petah Idora berkata-kata yang membuatkan Hanif kelu seketika.
“Dora...” tegur ayah Idora. Mungkin sedar, si anak sudah bertanyakan sesuatu yang peribadi.
“Tak apa. Budak-budak. Kita tak jangka apa yang akan keluar dari mulut mereka,” ujar Hanif.
“Maaf. Idora ni memang jenis yang busy body. Semua benda dia nak tahu. Maaf ya encik..”
“Hanif. Tak apa...”
“Saya, Kamal. Okeylah.. nak balik dulu. Mama dia dah tunggu dalam kereta.”
Bila Kamal dan Idora berlalu pergi, Hanif melihat Rafieqi sudah tunduk membisu walaupun tangan masih erat memegang jari-jemari kiri Hanif.
“Eqi kenapa ni, sayang?”
“Kenapa semua orang nak tahu siapa papa Eqi?” Rafieqi bersuara. Suara yang tidak seceria tadi.
“Eqi tak suka kalau uncle jadi papa Eqi? Tak suka kalau orang tahu yang uncle ni, papa Eqi?” Rafieqi mendongak memandang Hanif. Matanya ibarat bercahaya bila mendengar kata-kata dari Hanif itu.
“Nak! Tapi umi...” bagaikan tersekat air liurnya bila Rafieqi menyebut ‘umi’.
“Kalau umi tak suka, janji Eqi suka pun dah cukup.”
“Papa..”
“Hah?” Kali ini, dia pula bagaikan terkesima bila dengan secara mengejut, Rafieqi menyebut ‘papa’.
“Eqi panggil uncle, papa. Because, you are my papa, right?”
“Yes, ofcourse.”
“Okey! Now, kita masuk ya.. nak bagitahu umi, papa datang.”
Cepat benar mood Rafieqi berubah hala. Apa yang menjadikan dia semakin kelu, Rafieqi tidak janggal memanggilnya dengan panggilan papa. Adakah benar anak ini dahagakan kasih sayang seorang ayah? Sungguh, hati rasa tersentuh!
“Umi...” Daun pintu ditolak perlahan. Nampak wajah Hanina yang khusyuk memandang komputer itu.
“Assalamualaikum,” ujar Hanif. Dia sudah nampak perubahan di wajah Hanina. Dan wanita itu hanya menjawab salamnya dengan nada yang perlahan.
“Umi belum habis kerja ke? Kalau belum, boleh tak Eqi jalan-jalan dengan papa.”
“Papa?”
“A’ah.. Papa Hanif.”
Mata Hanina mencerun memandang Hanif. “Eqi, umi nak cakap dengan uncle Hanif sekejap. Eqi boleh tak suruh, Mak Esah sediakan kopi panas untuk umi.”
“Eqi panggil uncle, papa.” Rafieqi memperbetulkan panggilan yang Hanina gunakan itu.
“Iyalah-iyalah. Pesan kat Mak Esah, kurang manis. Dan jangan tutup pintu bila keluar.” Arahan yang diberikan cuma sebagai alasan saja supaya ada ruang untuk dia berbicara dengan Hanif.
Bila kelibat Rafieqi sudah menghilang, Hanina sudah melancarkan perangnya. “Lepas ni, apa lagi yang awak nak buat pada Eqi? Saya tak suka dia panggil awak, papa. Papa dia bukan awak dan dia juga bukan anak awak. Suruh dia tukar panggilan tu lepas ni!”
“Saya tak akan buat begitu. Bagi saya tak salah. Semua tu hanya panggilan. Lagipun, macam mana lagi saya nak terangkan dekat awak, saya sayang dan cintakan awak. Saya sayangkan Eqi. Saya nak dia jadi anak saya.” Walaupun sedikit terasa dengan kata-kata Hanina, Hanif cuba bersabar. Tidak layakkah dia untuk bergelar seorang ayah? Dia sudah lama bersedia.
“Jangan nak mengarut!”
“Tak ada benda karut yang saya cakapkan sekarang ni, Hani. Mungkin awak tak percayakan keseriusan saya dalam hal ini. Tapi saya boleh jumpa parents awak dan bagitahu bahawa saya ingin melamar awak.”
“Saya tak akan terima awak. Lepas ni, jangan buang masa lagi datang sini dan jangan sekali-kali berikan harapan pada Eqi lagi. Saya rasa, awak memberikan dia impak yang bu...”
“Umi! Kopi dah siap.” Kata-kata Hanina terhenti bila Rafieqi datang bersama dengan Mak Esah.
“Puan... Kopinya.”
“Okey. Letakkan kat situ aje mak Esah.”
Hanif menoleh kebelakang untuk memastikan Mak Esah sudah beredar dari situ. “Awak jangan la minum kopi selalu. Kopi ni tak bagus untuk kesihatan. Saya nak hidup dengan awak selama yang mungkin jika kita ditakdirkan untuk bersama. Dan saya mahu awak sentiasa sihat untuk menjalani kehidupan yang bahagia bersama saya.”
Bulat mata Hanina bila Hanif dengan selamba berkata begitu. Hanif sekarang sudah berani berkata yang mengarut! Bentak hati Hanina. Cepat saja dia memandang Rafieqi, nasib baik si anak itu leka bermain game dari telefon bimbit Hanif. Entah bila pula Hanif memberikan telefon bimbit itu pada Rafieqi.
“Tolonglah Hanif... Jangan macam ni, jangan desak saya.”
“Saya tak desak awak, Hani. Saya cuma nak awak tahu, saya sayangkan awak dari dulu lagi. Cuba buka hati awak untuk mengenali siapa saya yang sebenarnya. Dan bila awak sudah mengenali saya, tahu kerenah saya macam mana, kalau awak nak tolak saya masa tu pun, saya tak akan halang awak. Sebab saya tahu, saya mungkin tidak sesuai untuk awak.”
Hati Hanina bagaikan diketuk dengan kata-kata Hanif. Selama enam tahun menjadi ibu tunggal, dia langsung tidak memikirkan tentang lelaki lagi. Baginya, tanpa lelaki, dia masih boleh hidup di dunia ini. Lagipun, cukuplah Rafael, lelaki yang pernah mengecewakan hatinya. Dia tidak mahu kejadian itu berulang kembali.
“Umi... Jomlah kita jalan.” Rafieqi sudah mula kebosanan. Dia tidak tahu apa yang Hanina dan Hanif katakan. Apa yang dia hendak tahu adalah, dia mahu berjalan-jalan bersama dengan Hanif.
“Kejap lagi kita jalan. Umi kemas barang-barang umi dulu.” Hanina langsung tidak memperdulikan Hanif yang hanya tegak berdiri itu, lalu mendekati meja kerjanya dan mengemas apa yang patut sebelum mereka pulang.
“Kita bawa papa sekali ya, umi?”
“Uncle Hanif sibuk. Dia tak ada masa nak keluar jalan.” Cepat saja Hanina menjawab permintaan Rafieqi itu.
“Saya tak sibuk pun. Macam mana awak tahu saya sibuk?” Sebaik saja Hanif berkata sebegitu, terus Hanina mengangkat wajahnya.
“Uncle Hanif letih, Eqi walaupun dia tak sibuk.” Jika Hanif tidak mahu mengalah, dia hanya perlu berkompromi dengan Rafieqi.
“Papa tak letih pun, Eqi. Kenapa umi cakap macam tu ya? Papa memang nak jalan dengan Eqi.”
“Yeay!” Sorak si anak kecil itu.
“Tak baik kita bertengkar depan Eqi. Kalau awak buat macam tu, awak sendiri yang memberikan dia impak yang buruk.” Hanif mendekati Hanina yang sudah kembali mengemas kertas-kertas yang berselerakkan di atas meja itu lalu membisikan kata-kata yang pasti akan membuatkan Hanina bertambah marah akan dirinya.
“Awak!” Jari telunjuk naik tepat ke arah Hanif.
“Dengan wajah awak yang merah menyala macam tu, menjadikan awak semakin cantik di mata saya.”
Sebelum Hanina menghemburkan amarahnya, Rafieqi sudah tergelak. “Umi Eqi memang cantik, papa.”
“Iya.. Sebab tu papa puji umi. Tapi umi Eqi ni, garang sangat la. Selalu marah papa.”
Beg tangan diambil lalu tangan Rafieqi dicapai. “Jom. Kita balik.”
“Tapi papa..”
“Eqi nak umi ke, dia?” Rafieqi sudah tidak mampu berkata-kata. Dia tidak menyangka Hanina akan serius begini. Antara Hanina dan Hanif, sudah pasti dia akan memilih Hanina tapi Hanif..?
“Hani... I’m sorry okay. Jangan la macam ni. I’m begging you, dear.”
Ternyata Hanina hanya memekakkan telinga. Menonong keluar dari bilik kerjanya.
“Kak Leha, saya balik dulu. Jangan lupa kunci apa yang patut,” pesan Hanina pada Kak Leha.
“Iya puan.”
Geram semakin meninggi bila tanpa malu, Hanif masih mengekorinya. Sampai saja di kawasan taman tadika, dia nampak seperti ada seorang lelaki yang bercakap dengan pengawal keselamatan di sebalik pagar itu. Dia tidak pasti siapa, jika ayah kepada budak-budak tadika, rasanya semua sudah balik.
“Puan, encik ni nak jumpa puan,” beritahu pengawal keselamatan itu sebaik saja dia mendekati majikannya.
Mata dikecilkan, cuba melihat dengan lebih teliti lagi lelaki yang berada di luar pagar itu. Hanina tersentap, kaki yang tadi melangkah menghampiri ke arah pondok pengawal itu bagaikan tidak mampu bergerak lagi. Kaku di situ.
“Suruh dia tunggu kat situ.” Hanya itu yang mampu Hanina katakan pada pengawal keselamatan itu.
“Hanif...” panggil Hanina. Sungguh, dia sangat takut sekarang ini. Tangan Rafieqi ditarik untuk dekat dengannya.
Jantung Hanif berdetak dengan laju bila melihat Rafael berada di luar pagar. Dia juga yakin, Rafael nampak kelibatnya di situ.
“Hani..”
“Tolong saya... Dia..”
“Saya tahu... Tapi awak tak boleh macam ni. Depan security pula tu. Apapun, awak kena berbincang. Takkan awak nak biarkan dia terlongok kat situ. Nanti orang yang tak tahu cerita, akan jadi tahu pula jadinya.” Hanif memberikan nasihat untuk Hanina. Dia tidak mahu Hanina mendapat susah. Takkan Hanina hendak bertelagah di sini. Di depan pengawal keselamatan.
“Saya ada bersama awak, Hani. Jangan takut.”
“Awak pegang Eqi. Jangan lepaskan dia.” Rafieqi diserahkan pada Hanif. Kali ini, dia hanya mempercayai Hanif. Entah kenapa, hanya lelaki itu saja yang dia ada.
Kaki kembali melangkah mendekati Rafael. “Kita jumpa di taman depan tu.”
“Nina...”
“Don’t say anything. Kalau nak, ikut saja. Dan kalau tak nak, pergi dari sini.” Tegas Hanina memberikan kata arahan. Dia tidak tahu apa punca Rafael datang berjumpa dengan dirinya. Dia benci melihat lelaki itu tapi untuk bertekak di hadapan kawasan tadika dan pengawal keselamatan, rasanya itu bukan cara yang baik untuk dia lakukan.
“Awak temankan saya, boleh?” Rasa marah pada Hanif sudah hilang entah ke mana. Apa yang penting, dia perlukan Hanif ketika ini.
“Boleh..”
“Awak drive kereta saya, boleh?”
“Boleh, sayang.”
“Saya tak ada masa nak bergurau sekarang ni.”
Aduh! Dengan aku-aku sekali kena sound, gumam hati Hanif. Kali ini, dia tidak akan terlepas. Hanina pasti akan tahu bahawa dia adalah kawan Rafael. Dan dia juga tidak tahu penerimaan Rafael nanti. Sedangkan dia sedar perubahan di wajah Rafael bila ternampak kelibatnya di situ.
Rafael menggenggam kuat buku limanya. Dia sudah sampai ke taman yang dimaksudkan Hanina. Entah kenapa, hatinya terasa sakit. Dia kenal dengan lelaki yang bersama Hanina itu. Hati semakin memberontak, bila melihat seorang budak lelaki yang nampak sungguh akrab dengan Hanif. Apa dia buat kat situ? Apa sebenarnya hubungan Hanif dengan Hanina? Mengenang kembali seraut wajah yang sudah nampak lebih matang berbanding dengan gambar yang dilihatnya semalam, membuatkan hatinya teruja mahu berdepan dengan Hanina. Dia semakin cantik!
“Rafieqi...” Nama si anak disebut perlahan. Anak itu langsung tidak memandang dirinya tadi. Ah! Sudah pasti Rafieqi tidak mengenalinya. Tak lama lagi... Mereka pasti akan menjadi milik aku semula. Harta yang sangat bernilai. Tak akan aku lepaskan dengan mudah. Sekarang, bukan wang ringgit yang menjadi keutamaan Rafael tapi kebahagiaan. Kebahagiaan bersama dengan anaknya dan sudah pasti untuk menjadi keluarga yang sempurna, dia mahukan Hanina sebagai pelengkap keluarganya.