BAB 7
“Boleh saya tanya... Awak nak mengelak dari siapa?” Pada mulanya memang Hanif berasa sedikit ragu untuk bertanyakan tentang siapakah gerangan yang menyebabkan Hanina mengelak dari terjumpa itu tapi hatinya pula yang meronta-ronta hendak tahu.
Bila dia nampak Hanina seperti keberatan mahu memberitahu siapa gerangan itu, Hanif kembali bersuara, “tak apalah kalau awak tak nak bagitahu. Saya sedar, saya tak berhak untuk ambil tahu tentang peribadi awak.”
Hanina menarik nafas dalam. Matanya kini terarah ke jalan raya yang penuh sesak itu, tangan pula mengusap lembut rambut Rafieqi yang sememangnya sudah terlena di pangkuannya.
“Saya seperti ternampak bekas suami saya...” Dengan nada yang perlahan, Hanina memberitahu pada Hanif.
“Apa? Ternampak siapa?” tanya Hanif sekali lagi, dia kurang mendengar pemberitahuan Hanina itu. Dia memandang Hanina dari cermin pandang belakang, tapi wanita itu leka memandang keluar tingkap.
“Bekas suami saya.” Hanya tiga patah perkataan itu membuatkan hati Hanif bagaikan terhenti mengejut. Wajah Rafael tiba-tiba muncul di ruang fikirannya.
PIN! PIN!
“Hanif, lampu hijau,” ujar Hanina. Dia sedar, Hanif terleka seketika sehingga kereta belakang membunyikan hon kerana Hanif belum bergerak sedangkan lampu isyarat sudah bertukar hijau.
“Oh, ya.. Sorry-sorry.”
“Awak ni, dalam sesak macam ni pun awak sempat berangan.” Kata-kata Hanina itu bagaikan angin lalu saja. Apa yang penting, adalah kemunculan Rafael itu. Pasti akan menggugat hubungan yang masih diperingat awal ini. Entah-entah, Hanina akan semakin jauh darinya.
“Hish!” Hanif mendengus. Badan dilentangkan menghadap siling. Dari tadi dia hanya memikirkan tentang kejadian beberapa jam yang lepas itu. Siap solat Asar, dia terus merebahkan badan ke katil. Tidak ada mood untuk melepak bersama Nuqman seperti selalu.
Harapan yang menggunung bagaikan rapuh di tengah jalan. Antara dia dengan Rafael, banyak bezanya. Rafael pada suatu ketika dulu pernah mempunyai ikatan dengan Hanina. Dan mempunya zuriat bersama Hanina. Dia? Hanya seorang lelaki yang mencintai bekas isteri teman rapatnya sendiri. Dia tidak ada kelebihan yang boleh membanggakan Hanina. Dia cuma insan biasa. Tidak sekaya Rafael apatah lagi jika digandingkan dengan Hanina. Cuma, dia berharap, Hanina akan nampak keikhlasannya dalam mencintai dan menyayangi Hanina dan Rafieqi.
Tangan terus mencapai telefon bimbit. Niat hati mahu meninggalkan pesanan ringkas kepada Hanina tapi akalnya pula menidakkan. Dia mahu mendengar suara Hanina. Hah! Kau sudah parah, Hanif. Mata mengerling pada jam di dinding. Hampir pukul sepuluh setengah malam.
“Nak call ke tidak ni? Call ajelah,” ujar Hanif.
Lantas nama Hanina ditekan. Lama juga dia menunggu Hanina untuk menjawab panggilannya. “Dia dah tidur kut..,” gumam Hanif.
“Assalamualaikum...” Salam dihulurkan.
Hanif sedikit tergamam. Suara Hanina terlalu dekat dengannya sehingga dia pula yang tersekat-sekat menjawab salam itu. “Wa.. Waalaikumsalam..”
“Kenapa awak telefon saya?” tanya Hanina.
“Eqi mana?” Terus Hanif bertanyakan tentang Rafieqi. Dia berharap agar Hanina tidak salah sangka terhadapnya walaupun memang niatnya mahu mendengar suara Hanina.
“Baru saja masuk tidur. Masa awak hantar tadi, dia dah tidurkan. Itu yang lewat nak masuk tidur tu.”
“Awak belum tidur lagi?”
“Eh... Kalau saya angkat call awak ni, kira belum tidur la.. Awak ni..”
Hanif menghempuk dahinya perlahan. Memang betul apa yang Hanina katakan itu. Apalah kau ni Hanif, ada ke patut bagi soalan bodoh macam tu.
“A’ahkan... To be honest la.. saya nak dengar suara awak.”
“Mengarutlah!” jawab Hanina pantas.
Hanif mengetap bibirnya. Kalau dia luahkan apa yang dia rasa selama ini, adakah dia akan dikatakan terlalu tergesa-gesa? Tapi baginya Rafael sudah semakin dekat. Dia sudah tidak ada masa untuk melengah-lengahkan semua ini.
“Betul... It will be a nonsense thing if I didn’t tell you the truth.”
Hanif diam seketika. Manakala Hanina pula, hanya diam membisu. Mungkin kelu, tiba-tiba saja Hanif berkata serius dengannya.
“Ada lebih baiknya kalau saya bagitahu terus-terang... Mungkin awak sendiri hairan, kenapa saya muncul dengan tiba-tiba dan mengatakan yang saya kenal awak, sedangkan awak tak kenal saya. Dulu saya tak berani nak dekat dengan awak sebab awak milik orang. Dan saya hanya mampu tengok dari jauh saja. Pendamkan segala perasaan saya terhadap awak. Cuba hapuskan perasaan ini kerana saya yakin, saya tak akan ada peluang lagi untuk meluahkan apa yang saya rasa pada awak.”
“Hanif...” Kini Hanina sudah mula bersuara. Mungkin hendak marah dengan dirinya.
“Hani... Please, just listen what I’am trying to say. Mungkin saya tak akan ada peluang lagi untuk meluahkan semua ni. So, saya harapkan kali ni, awak dengarlah apa yang saya nak katakan ni. Saya cintakan awak...”
“Hanif! Awak dah hilang akal ke apa ni?” Marah Hanina. Dia tidak menyangka Hanif akan berkata sebegitu terhadapnya.
“Demi Tuhan... Inilah perasaan saya terhadap awak dari dulu lagi. Bila melihat sendiri awak dan Eqi, hati saya tersentuh. Saya mahu menjaga awak dan Eqi. Mahu menjadikan kamu berdua sebahagian dalam hidup saya.”
“Awak memang dah gila agaknya, Hanif. Ini bukan cinta namanya! Awak tak kenal saya sepenuhnya dan saya juga tak kenal awak sepenuhnya. Untuk awak mengenali saya dengan lebih dekat hanya baru beberapa hari, Hanif. Saya tak percayakan semua ni lagi. Saya dah fed up!”
“Kalau ini bukan dinamakan cinta, jadi apa? Tell me? Tell me, Hani! Dekat lapan tahun, saya pendamkan perasaan ini. Dan baru sekarang saya berpeluang untuk luahkan. I just want you to know, that I love you so much. Saya sayangkan Eqi...”
Hanina ketawa sinis. Lelaki... Hanya tahu berkata manis bila berhajat sesuatu itu. “Dah la... Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau awak berterusan macam ni, jangan muncul depan saya dan Eqi.”
“Suatu hari nanti, awak akan sedar perasaan saya ni. And one more thing... I will not give up on you. Apapun yang awak lakukan nanti, saya akan cuba dengan sedaya upaya saya mencairkan hati awak yang beku tu. Ini janji saya...”
TUP! Talian di hujung sana sudah dimatikan. Hanif meraup wajahnya. Malam ini, dalam sejarah dia meluahkan apa yang dia rasa terhadap Hanina. Dia sudah tidak kisah apa akan jadi selepas ini, yang penting Hanina tahu, dia benar-benar mencintai wanita itu. Dengan kemunculan Rafael telah menguatkan lagi perasaannya itu, dia akan terus mempertahankan cintanya pada Hanina. Cukuplah selama ini dia hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa untuk hati dan perasaannya sendiri.
*******
“Tengah buat apa tu?” tanya Puan Hasnah bila dia melihat Rafael seperti menyelongkar sesuatu. Baru hari ini dia berbicara dengan Rafael setelah beberapa hari hanya mendiamkan diri. Perasaan marah terhadap Rafael masih ada cuma dia nampak kekosongan di mata anaknya itu. Dia sedar, Rafael sudah menyesali apa yang telah anak itu lakukan. Ah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Tidak ada gunanya Rafael menyesal kini, semuanya sudah terjadi.
“Raf tengok gambar lama. Rupanya mak masih simpan gambar kahwin Raf dengan Nina.” Album gambar dikeluarkan dari almari kecil itu lalu dibelek dengan perlahan. Entah kenapa, hatinya tergerak mahu menyelongkar benda-benda lama dan tanpa disangka-sangka, dia terjumpa album perkahwinannya bersama Hanina.
Cantik! Itulah perkataan yang terbit di hati Rafael bila melihat gambar Hanina selepas acara nikah dulu. Walau tidak terpancar kegembiraan di wajah Hanina tapi wanita itu cuba sedaya upaya mempamerkan senyuman. Kenapa wanita sebaik ini aku buang tanpa memikirkan sebaik-baiknya? Rasanya, Hanina tidak ada cacat-celanya. Wanita itu sangat baik berbanding dengan Melina. Aku sedar tentang itu cuma... aku hanya mengagung-agungkan cintaku yang entah tidak ada penghujungnya. Bodohnya kau, Rafael! Hatinya berbicara.
“Memang mak simpan album tu. Mak ingatkan, hubungan kamu akan kekal lama tapi..,” bicara Puan Hasnah terhenti. Rasa sebak tiba-tiba.
“Raf tak sangka, semuanya akan jadi macam ni, mak.. Maafkan Raf.” Rafael tahu Puan Hasnah kecewa dengan perbuatannya selama ini.
“Hidup Raf kosong mak... Mungkin inilah balasan untuk Raf kerana mengabaikan Nina dulu. Siap suruh Nina gugurkan kandungan. Raf rasa... Semua tu dah terbalik pada Raf sekarang mak. Mel tak sanggup nak kandungkan anak Raf, di saat-saat Raf nakkan anak.” Rafael terjeda. Bibir bergetar menahan sendu. Dia sedar, semua ini adalah hukum karma. Apa yang pernah dia lakukan dulu, kini sudah kembali menuntut dirinya.
“Mak pernah jumpa Nina atau anak Raf masa Raf tinggalkan Malaysia?” Redup pandangan Rafael lemparkan pada Puan Hasnah. Dia mengharapkan agar Puan Hasnah akan menolongnya dalam hal ini. Dia sudah bingung. Perasaan yang dia rasakan sekarang ini sudah kacau bilau.
“Raf tahu tak apa yang terjadi selepas Raf tinggalkan Malaysia dulu? Walid Nina hampir nak saman kita. Mereka malu Raf... Raf buat anak mereka macam sampah! Bukan Raf tak kenal siapa Tan Sri Syed Hanafi. Dia berkuasa. Kita sendiri mengharapkan bantuan dia dulu untuk meluaskan empayar perniagaan ayah Raf. Tapi nasib kita baik, Nina pujuk walid dia agar membatalkan semua tu.” Puan Hasnah tunduk merenung gambar Hanina. Menantu yang sangat sempurna baginya. Jika tidak disebabkan Hanina mungkin, kehidupan mereka tidak akan sebegini senang. Bila mengingati semula kejadian dulu itu, dia rasa amat perit.
“Aku akan failkan surat saman untuk kau, Rafiq! Aku akan pastikan, perniagaan kau akan lingkup dalam sekelip mata!” Marah Tan Sri Syed Hanafi terhadap keluarga Rafael. Keluarganya rasa terhina dengan perbuatan yang Rafael lakukan terhadap Hanina. Hanina dibuang bagaikan sampah! Rafael menceraikan Hanina ketika mengandung dan lelaki itu tanpa rasa bersalah, telahpun berkahwin baru dengan perempuan lain. Hati mana yang tidak marah dengan perbuatan Rafael itu?
“Walid... Tolong jangan macam ni. Ayah dan mak, tak salah. Mereka tak tahu apa-apa tentang masalah rumah tangga kami. Tolonglah walid. Kalau walid sayangkan Nina, tolong jangan buat macam ni.” Rayu Hanina. Dia tidak mahu persengketaan ini akan berpanjangan. Baginya Tuan Rafiq dan Puan Hasnah tidak salah sama sekali. Yang harus bertanggungjawab adalah Rafael. Lelaki itu yang membuat keputusan semua ini.
“Huh!” Dengus Tan Sri Syed Hanafi. Pada mulanya, memang dia salahkan Hanina kerana tidak menjaga Rafael dengan baik. Tapi setelah dia tahu Rafael bernikah dengan perempuan lain, tidak lama selepas Rafael melafazkan cerai terhadap Hanina, dia naik angin. Nampak benar, Rafael yang bersalah dalam hal ini.
“Kali ni, kamu akan lepas. Tapi, kalau aku dapat tahu kamu jumpa Nina atau anak dalam kandungan dia ni, aku tak akan lepaskan kamu! Kau akan terima padahnya, Rafiq. Jangan sesekali cabar aku.” Setelah berfikir panjang, akhirnya walid Hanina memutuskan tidak memfailkan saman malu terhadap keluarga Rafael. Tapi dia tetap memberikan ugutan dan amaran agar keluarga Rafael tidak akan berhubungan lagi dengan Hanina walaupun dengan anak yang dikandung Hanina itu sendiri.
Peristiwa itu sangat perit untuk dikenang. Tuan Rafiq dan Puan Hasnah bagaikan lembu dicucuk hidung. Hanya mampu mengangguk tanpa mempertahankan diri. Hanya kerana kesalahan seorang anak, mereka terpaksa menerima tempiasnya.
“Maafkan Raf, mak... Maafkan Raf..” Kini jari-jemari Rafael sudah beralih arah. Tangan Puan Hasnah digenggam erat. Dia cukup rasa bersalah dengan apa yang telah dia lakukan. Baginya, keputusan dia menceraikan Hanina dan berkahwin dengan Melina adalah keputusan yang paling bodoh dia lakukan.
“Walid Nina berikan amaran pada kami, agar tidak datang jumpa mereka lagi walaupun dengan cucu kami sendiri.”
“Tapi Raf nak jumpa Nina dan anak Raf, mak... Raf nak sangat jumpa mereka.”
“Untuk apa, Raf? Untuk sakitkan hati Nina lagi? Mak tak izinkan! Cukup-cukuplah apa yang Raf dah lakukan dulu pada Nina. Mak sebagai perempuan, dapat rasakan apa yang Nina rasakan dulu. Bagi mak, kamu macam tak ada hati perut masa tu. Nasihat mak, langsung kamu tak dengar.”
Inilah masa Puan Hasnah meluahkan apa yang dia rasa suatu ketika dulu. Dulu, Rafael sukar untuk dikawal. Dia ingat lagi kata-kata ugutan yang pernah Rafael lemparkan kepadanya.
“Kalau mak tak setuju dengan pernikahan Raf ni, Raf tetap akan nikah dengan Melina walau kami nikah kat Siam sekalipun. Mak pilih la... Daripada mak malu, lebih baik mak setuju saja.”
“Raf sedar mak... Raf memang salah. Raf tak fikirkan tentang hal lain masa tu, Raf cuma fikir nak jaga hati Melina. Tapi sekarang, apa yang Raf dapat, cuma sia-sia je mak. Tapi... Raf nak sangat jumpa Nina, jumpa anak Raf. Raf nak minta ampun mak.. Tolonglah...” Rayu Rafael. Tanpa disangka, airmatanya turut mengalir. Betapa dia menyesali apa yang telah dia lakukan dulu itu.
“Mak tak mampu tolong Raf. Mak sendiri tengok Rafieqi dari jauh.”
“Rafieqi?” tanya Rafael kembali.
“Anak Raf. Nama dia, Rafieqi.”
Bibir kembali menyebut nama itu. Nama yang sangat cantik. Baru dia tahu, dia mempunyai seorang anak lelaki.
“Mak tengok dia kat tadika. Cuma dari jauh aje, Raf. Sebab mak tak nak Nina fikir yang bukan-bukan bila mak jumpa dia mahupun Rafieqi. Lagipun, kalau walid Nina tahu, pasti dia tak akan lepaskan keluarga kita lagi. Mak tengok kehidupan Nina pun dah lebih sempurna sekarang ni, Rafieqi dijaga dengan elok sekali. Mak terharu sangat walaupun mak tak dapat berjumpa dengan lebih dekat lagi.”
“Tapi mak... Raf ada hak nak jumpa dengan Rafieqi. Dia anak Raf, mak. Sampai bila kita tak boleh jumpa mereka?”
“Mungkin sampai bila-bila..”
“Tak! Raf tak setuju! Rafieqi anak Raf, anak kandung Raf. Takkan hanya kerana kesilapan dulu, kita disekat untuk berjumpa dengan mereka. Mak kata tadi, mak selalu perhatikan Rafieqi kat tadika? Dia sekolah kat tadika ke?”
Puan Hasnah sudah rasa serba salah. Dia sememangnya mahu berpegang pada janji bahawa keluarga mereka tidak akan datang berjumpa Hanina dan Rafieqi tapi dalam masa yang sama, dia juga tidak dapat menidakkan hak Rafael sebagai seorang ayah. Walau apapun yang terjadi, Rafael tetap ayah kepada Rafieqi.
“Mak, tolonglah mak... Raf merayu sangat.”
“Tadika Al-Jannah. Tadika milik Hanina sendiri. Tapi kamu jangan buat benda yang tak elok, Raf. Walau kamu ayah Rafieqi, jangan sampai kamu buat benda yang tak masuk dek akal.”
“Terima kasih, mak. Raf tahu apa nak buat nanti. Mak doakan semoga semuanya akan berjalan dengan lancar.”
Berat untuk Puan Hasnah iyakan. Tapi dalam hati, dia juga mengharapkan akan ada sinar kebahagiaan untuk Rafael, Hanina dan Rafieqi untuk bersatu kembali seperti satu keluarga yang bahagia.
“Macam mana urusan perceraian kamu dengan Melina?”
“Raf dah uruskan semuanya, mak,” ujar Rafael seraya mengemas kembali album gambar itu lalu bangkit berdiri.
“Nak ke mana?” tanya Puan Hasnah kehairanan bila dia melihat Rafael membawa sekali album gambar itu.
“Masuk bilik. Nak rehat.”
“Album gambar tu?”
“Nak bawa sama,” jawab Rafael sambil tersenyum. Dia akan kembali menatap gambar-gambar itu. Cuba mengenang kembali saat-saat bersama Hanina dulu.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar