Kamis, 21 Maret 2013

CERPEN : CINTA TELAH MEMILIH

SALAM SEMUA...

SEBELUM SAYA SAMBUNG SEMULA MININOVEL JAPH, MARI KITA BACA CERPEN DULU... CERPEN NE TAKDELAH BOMBASTIK KE APA... CUMA CERITA BIASA-BIASA SAJA... SELAMAT MEMBACA YA, TEMAN-TEMAN... TERIMA KASIH... LOVE U ALL :)



CINTA TELAH MEMILIH

Keisha Elena
Kemewahan membuatkan dirinya lupa tentang segala-galanya. Dia menjadi seorang yang sangat sombong dan mementingkan kedudukan. Hanya orang yang setaraf saja yang layak berdamping dengannya. Namun, dia lupa bahawa segalanya hanyalah pinjaman di dunia semata-mata. Bila segala nikmat yang diberikan ditarik balik oleh Sang Pencipta, mereka sekeluarga tersungkur. Jatuh bergolek tanpa sukar untuk bangkit semula.

Sepuluh tahun yang lalu, segalanya berubah dengan sekelip mata. Syarikat perniagaan mereka jatuh muflis gara-gara pembelotan dari orang-orang yang terdekat. Ayah Keisha jatuh sakit kerana terlalu tertekan dengan apa yang telah berlaku dan setahun kemudiannya, ayahnya pergi menghadap Ilahi. Hidupnya semakin tidak tentu arah. Segalanya sukar untuk dia lakukan. Mahu hidup berdikari namun dia tidak tahu bagaimana. Selama ini hidupnya bagaikan dihujani dengan emas berlian.

Dua tahun selepas itu, dia ditemukan dengan seorang lelaki yang tidak ada kedudukan yang tinggi namun mempunyai azam yang kuat untuk terus berjuang dalam kehidupan. Dia adalah Nazli. Nazli yang membantu dirinya bangkit dari terus tersungkur. Lelaki itu juga yang berjaya menawan hatinya, setelah setahun lebih menyulam kasih, Nazli melamarnya dan sebaik saja lelaki itu pulang dari Mesir kerana menyambung pengajian di sana, mereka akan menguruskan majlis pernikahan.

Ketika menantikan kemunculan Nazli di KLIA, dia menanti dengan penuh sabar namun bila mendapat tahu bahawa penerbangan dari Mesir sudah mendarat sejam yang lalu membuatkan dirinya menjadi gundah-gulana. Dia cuba menghubungi Nazli tetapi panggilannya tidak berjawab. Bila kali kelima dia menghubungi lelaki itu, barulah panggilannya mendapat jawapan.

“Abang kat mana? Kenapa lama benar nak keluar? Abang buat Kei risau.” Lupa hendak memberikan salam, dia terus bertanyakan soalan pada Nazli.

“Maaf, ini bukan Nazli. Saya kawan dia. Cik ni pasti Keisha, kan? Saya sudah menghubungi keluarga Naz tapi saya lupa nak bagitahu cik tentang keadaan dia.”

Hatinya semakin rasa berdebar-debar. Dari suara lelaki itu saja, dia seperti dapat mengagak, ada sesuatu yang terjadi.

“Abang Nazli mana?”

“Maaf, cik. Nazli sekarang dalam keadaan kritikal. Dia kemalangan ketika dalam perjalanan ke airport. Saya minta maaf sangat-sangat. Saya harap cik bersabar dan doakan dia selamat.”

Dia sudah tidak tahu mahu kata apa lagi, perasaan takut untuk kehilangan itu semakin menebal di hatinya. Di tengah-tengah orang ramai itulah dia menangis teresak-esak. Berdoa dalam hati agar kali ini dia tidak kehilangan orang tersayang lagi.


******

Azrin Hakimi
            “Kau sedarlah diri tu sikit. Kau siapa? Anak Dato’ mana? Kasut dahlah koyak-rabak sana sini, ada hati nak menggatal! Kau cermin diri kau dulu, baru fikir nak dekati orang lain. Menyampah betul aku tengok kau ni. Aku harap kau tak akan lalu depan aku lagi, sebab aku tak tahan cium bau badan kau yang busuk tu!”
         
   Setiap patah perkataan itu sukar untuk Hakimi lupakan. Walaupun kata-kata itu dilontarkan tiga belas tahun yang lalu ketika dia di tingkatan lima namun kerana kata-kata itulah juga yang membuatkan dia dipandang rendah oleh teman-teman. Dia malu dan rasa terhina. Seorang gadis remaja yang muda tiga tahun darinya berkata begitu padanya. Mula pada saat itu, azamnya semakin kuat untuk merubah kehidupannya. Dan ternyata, zaman sekarang sebahagian daripada manusia memandang pada kedudukan.
            
Dia mengeluh, perkara itu sudah lama benar berlalu, bertahun-tahun lamanya tapi kata-kata itu ibarat melekat di dalam fikirannya. Wajah gadis remaja itu hanya samar-samar dipandangan matanya namun sebaris nama milik gadis itu tidak pernah luput dari ingatan. Dia mengharapkan agar antara dia dan gadis itu tidak akan dipertemukan lagi. Takut nanti emosinya akan terganggu jika dia terserempak dengan gadis sombong itu.

            Panggilan telefon mengejutkan dia dari terus terleka. Bila melihat nama yang tertera di skrin kecil itu membuatkan dia tersenyum.

            “Abang tak lunch kat rumah? Anna dah siapkan makan untuk tengahari ni.” Setelah salam Anna dijawab, wanita itu terus mengutarakan soalan.

            “Mestilah abang balik. Kalau dah Anna yang masak. Mak macam mana? Sihat?” ujar Hakimi seraya terbayangkan senyuman yang pasti terukir di bibir Anna.

            “Mak sihat. Jangan risau. So, cepatlah balik. Abang Fazrin pun Anna dah call.”

            “Okey, cik adik sayang. Sekejap lagi abang balik.”

Anna... Sepupu yang sangat memahaminya. Semenjak kehilangan kedua-dua ibu bapa, Anna menetap dengan mereka. Dia rasa selesa berdampingan dengan Anna dan ibunya juga menyukai wanita itu.

“Kamu bila lagi Hakim? Fazrin dah bertunang. Anna tu tunggu jawapan dari kamu aje. Tak payahlah tunggu lama-lama. Bukan susah pun nak pergi jauh-jauh merisik. Dah ada depan mata.”

Hakimi hanya tersenyum bila ibunya mengungkit perkara itu. Sukar untuk dia membuat keputusan. Bukan dia tidak menyayangi Anna cuma layanan Anna padanya sama seperti layanan kepada Fazrin. Tidak kurang mahupun lebih. Lagi-lagi bila Anna sendiri tidak pernah mengatakan sayang padanya.

Dia tidak mahu memaksa Anna untuk menerimanya sebagai seorang suami. Dia percaya, jika ibunya meluahkan hasrat untuk menjadikan Anna sebagai menantu, pasti Anna akan bersetuju demi membalas jasa baik mereka sekeluarga kerana menjaga Anna selama ini.


******


Di petang hari, dia dipanggil untuk datang berjumpa dengan pemilik syarikat tempat dia bekerja, Dato’ Malik. Hakimi berasa sedikit hairan dengan perjumpaan mengejut ini. Adakah disebabkan projek terbesar mereka? Tapi semua itu sudah dibincangkan beberapa hari yang lalu, bisiknya dalam hati.

“Since you’re the one who handle this project, saya nak bagitahu bahawa saya telah mengambil beberapa orang pekerja dari Shin Construction. Saya tahu awak kekurangan ahli bawahan dan projek ini merupakan salah satu projek terbesar yang pernah syarikat kita kendalikan. Saya nak awak buat yang terbaik, Hakim.”

Hakimi cuba tersenyum walaupun sukar untuk dia ukirkan. Kerana jawatan yang disandangnya sebagai Manager of Engineering and Contract serta kegigihannya dalam mengendalikan setiap arahan yang diberikan, Dato’ Malik meletakkan kepercayaan seratus peratus padanya. Lagi-lagi orang tua itu tidak mempunyai zuriat. Dia ibarat dianggap seperti anak Dato’ Malik.

“InsyaAllah Dato’, saya akan cuba sedaya upaya saya.”

“Ini nama-nama pekerja yang ditarik ke sini. Berikan mereka contoh yang terbaik. Mereka orang luar jadi saya tak nak mereka kata yang bukan-bukan tentang company kita. Ini adalah usahasama kita yang pertama dengan mereka. Walaupun mereka company kecil tapi mereka mempunyai potensi yang besar. Sebab tu saya nak awak berikan mereka impak yang baik untuk terus bekerjasama dengan kita di kemudian hari.”

Dato’ Malik menghulurkan fail padanya. Tanpa membuang masa, dia meneliti pekerja-pekerja yang bakal bekerjasama dengannya.

“Ada head of design and drafting, project planning and control, engineer dan quantity surveyor,” ujar Dato’ Malik.

Hakimi hanya mengangguk, masih leka meneliti jawatan dan kebolehan para pekerja. Ketika menyelak helaian seterusnya, tiba-tiba matanya terpaku. Keisha Elena!

“Yang ni...”

“Ya, Hakim?”

“Yang nama Keisha Elena, dia bukan head of quantity surveyor, kenapa dia juga ditarik ke sini? Lagi-lagi baru setahun dia bekerja di Shin Construction.”

“Oh, yang tu. Head of quantity suveryor mereka baru saja bersara sebab tu mereka hantar Keisha Elena. I heard, she’s very talented even though baru setahun dia bekerja di sana.”

Hakimi menggengam buku limanya, dia cuba menahan rasa marah yang datang secara mengejut itu. Dia kenal dengan wanita itu. Wanita yang sudah mencalarkan maruahnya.

“Dato’ sure ke yang dia boleh handle projek kita ni? Sebab nanti saya akan kerap bekerjasama dengan dia berbanding yang lain because, what we concern is, the cost. Salah sikit memang bahaya Dato’, it will affect our progress.” Hakimi cuba memberikan alasan agar Dato’ Malik akan berfikir banyak kali untuk menarik Keisha Elena ke syarikat mereka. Dia tahu semua ini tidak kekal lama, bila selesai saja projek ini, sudah pasti pekerja-pekerja Shin Construction yang ditarik akan kembali ke tempat mereka seperti sedia-kala.

“Nevermind Hakim... Hussin sendiri yakin dengan pekerja-pekerjanya. Awak ketua dalam projek ni, jadi buatlah keputusan yang sebaiknya. Saya percayakan awak.”

Akhirnya Hakimi kalah juga. Dia harus menerima semua ini. Hatinya membentak geram. Dia tidak mahu menatap wajah Keisha lagi walaupun dulu, dia pernah menaruh hati pada wanita itu tapi kerana itulah dia dihina, dicaci dan dimalukan di hadapan orang ramai.

“Kau akan terima nasib yang sama juga, Kei... Aku akan pastikan, kau takkan hidup senang dengan aku!” jeritnya dalam hati.


******

-Jgn lupa terus ke Malik Construction Co. Kau tu pelupa orangnya- Suzy

Keisha tersenyum membaca pesanan ringkas dari Suzy itu. Kini dia sudah terpacak di hadapan bangunan Malik Construction Company yang dua kali ganda lebih besar berbanding Shin Construction. Kerana tahu hari ini dia sudah mula bekerjasama dengan pihak Malik Construction, dia sudah tiba lebih awal dari biasa dia bekerja.

“Bismillah..,” ucapnya sebelum menolak pintu utama. Namun selepas itu dia terkejut bila pintu yang ditolak, ditarik dari dalam yang membuatkan dia terdorong kehadapan.

Kerana tidak tahu mahu berpaut pada apa, Keisha hanya menggapai mana-mana tempat untuk mengimbangkan kembali badannya tapi ternyata, tangannya mencapai lengan seseorang.

“I’m so sorry... Salah saya. Awak tak apa-apa?”

Bila mendengar suara lelaki yang bersuara, terus tangannya dilarikan. Rasa segan pula tiba-tiba, apatah lagi dia wanita yang sudah mengenakan tudung. Malu jika orang ramai memandang gelagat mereka.

“Tak apa..,” hanya itu yang menjadi jawapan Keisha.

“Saya betul-betul tak nampak, mana nak cepat lagi.”

Kali ini mata Keisha memandang tepat pada wajah lelaki itu dengan senyuman menghiasi bibirnya. “Saya memang tak apa-apa. Dan saya tahu, awak tak sengaja.”

Dan lelaki itu juga tersenyum. “Actually, I want to say a lot of sorry words but unfortunately, I have to go. I’m in rush.”

“Ya, ya... Saya faham. Saya juga ada urusan kat sini.”

“Okey, saya pergi dulu. Maaf sekali lagi.”

Mata Keisha memandang pemergian lelaki tersebut dan tanpa disangka, dia kembali tersenyum. Pagi-pagilah juga dia buat drama tempatan di syarikat orang lain. Kaki mula melangkah ke kaunter pertanyaan. Dia perlu melapor pada pihak Malik Construction akan kehadirannya.


Hakimi tergelak kecil seraya tergeleng-geleng. Dia yang pada mulanya sedikit geram akan kecuaiannya kerana tertinggal dokumen penting dekat rumah itu kini kembali tersenyum. Kelakar pula dia rasakan.

            “Buat malu aje...,” gumamnya.

            “Siapa perempuan tu? Quite interesting! Ah, mungkin supplier,” teka Hakimi kerana  itulah kali pertama dia nampak wajah wanita itu.

            Kereta dibelokkan masuk ke dalam perkarangan rumah dan dengan pergerakkan yang pantas, dia keluar dari kereta. Dia perlu mengambil dokumen penting tersebut dan kembali semula ke tempat kerjanya kerana hari ini merupakan kedatangan pekerja-pekerja Shin Construction ke syarikatnya.


“Maaf, I’m a bit late. Sorry for inconvenience. Dokumen tertinggal kat rumah. Maaf ya Dato’ and to all of you.” Sebaik saja pintu dibuka dari luar dan salam diberikan, Hakimi mengucapkan kata maaf atas kelewatannya kepada Dato’ Malik dan orang yang berada di bilik mesyuarat itu.

            “Tak apa, Hakim. Saya dah bagitahu mereka tentang kelewatan awak. So... To all of you, ini adalah Azrin Hakimi, ketua dalam projek ini. Segala pertanyaan atau apa-apa masalah tentang projek ni, just refer to him.”

            Hakimi menundukkan sedikit kepalanya ketika Dato’ Malik memperkenalkan dia kepada beberapa orang di hadapannya. Hatinya mula tidak tentu arah bila mengenangkan Keisha Elena sudah pasti ada di dalam bilik mesyuarat ini.

            “Okay, shall we start Dato’?”

            “Ya, silakan Hakim.”

            Hakim menganggukkan kepalanya dan matanya pula mula meliar, melihat dengan teliti setiap seorang yang ada di situ. Ada empat orang yang tidak dikenalinya dan selainnya adalah pekerja-pekerja Malik Construction.

            Antara empat orang itu, hanya seorang saja wanita dan selainnya adalah lelaki. Tetapi... Itukan wanita yang dia... Tadi... Takkan...? Tak mungkin! Bentak hati Hakimi.

            “I’ll give you a short briefing about this project. I’m sure Tuan Hussin dah jelaskan tentang projek ni since this is the first collaboration between these two companies. I know, pasti bermacam-macam cadangan yang hendak diberikan. Itu memang dialu-alukan. Malik Construction takkan ambil satu keputusan saja, we will let Shin Construction to make a decision too.”

            Hakimi nampak pekerja-pekerja Shin Construction berpuas hati dengan penerangan pendek darinya itu. Namun, matanya tidak memandang ke arah wanita itu lagi. Takut emosinya berubah dengan tiba-tiba.

Empat orang pekerja Shin Construction kini berada di depan matanya. Yang lain, sudah keluar dari bilik mesyuarat. Kata Dato’ Malik, dia harus beramah mesra dengan pekerja Shin Construction terlebih dahulu sebelum memulakan segala tindakkan. Ini adalah bagi mengeratkan hubungan di antara mereka. Huh! Cemuhnya dalam hati. Kalau bukan disebabkan Keisha, dia tidak akan berat hati melayan pekerja-pekerja Shin Construction.

“It’s take one year or more than kita akan berurusan bersama. Jadi jangan segan silu to talk with me. Anggap saja, kita dah lama kenal.”

“Yeah, we will,” jawab Omar yang berjawatan sebagai ketua reka bentuk dan draf.

“Tengahari nanti, kita lunch sama-sama kalau you guys tak keberatan la,” pelawa Hakimi.

“Sure, kalau Encik Hakim yang belanja, saya on aje... Gurau ya, Encik Hakim,” gurau Aziz yang berjawatan sebagai jurutera.

Hakimi ketawa besar dengan gurauan Aziz itu. Dari wajah saja, Aziz kelihatan seorang yang suka bergurau. Senyuman juga tidak lekang dari bibirnya.

“Tak, tak. Saya memang tak kisah. Memang niat saya nak belanja. And please, jangan panggil saya Encik. Hakim pun dah cukup. Umur pun kurang lebih je kita ni.”

“Keisha ni je la yang muda sikit dari kita.”

“Oh ya... Regarding to Cik Keisha...” kini mata Hakimi memandang tepat ke wajah Keisha. Senyuman sudah tidak menghiasi bibirnya.

“I want to talk with you after this, it’s about this project,” sambung Hakimi lagi.

“Okay..,” balas Keisha. Dia teragak-agak mahu berkata lebih sedangkan dipendengarannya, suara Hakimi tidak seceria seperti tadi pagi atau mungkin itu hanya perasaannya saja.

“Jomlah, my secretary akan tunjukkan satu bilik khas untuk you guys.”

Mereka berlima keluar dari bilik mesyuarat tersebut lalu menuju ke arah meja setiausaha Hakimi.

“Linda, tolong tunjukkan bilik mereka dan sediakan apa yang patut untuk mereka ya.”

“Baik, Encik Hakim.”

“And you, Cik Keisha, come to my room,” arah Hakimi tanpa memandang wajah Keisha seraya melangkah menuju ke biliknya.

Mungkin tibalah masanya untuk dia pula yang berkuasa. Berkuasa terhadap wanita yang sangat sombong ini. Sombong? Tadi pagi, dia tidak nampak kesombongan itu terpancar di wajah Keisha. Ah, lupa... Kini dia sudah berjawatan tinggi, sudah pasti dia tidak dipandang rendah oleh wanita itu lagi.

Yang menjadi pertanyaannya ketika ini, dulu papa Keisha mempunyai syarikat sendiri, kenapa pula sekarang ini Keisha bekerja di syarikat orang lain? Jawatan juga tidak setinggi mana. Apa yang dia lihat, pendidikan Keisha hanya setakat diploma.

“Have a sit, Cik Keisha.”

“Keisha... Panggil aje Keisha.” Keisha memperbetulkan panggilan Hakimi itu. Rasa tidak selesa bila ketua memanggilnya sebegitu.

Kata-kata Keisha itu bagaikan angin lalu saja. Dia duduk menghadap Keisha yang kelihatan tidak selesa itu.

“Saya cuma nak bagitahu, di syarikat ni, cuma ada penolong surveyor kerana baru saja tiga minggu, head surveyor berpindah ke cawangan lain. Since projek ni harus dimulakan dengan segera, kami belum mencari penggantinya. So, di sini, awak adalah orang yang diamanahkan untuk menggalas sebagai ketua surveyor. Sebenarnya saya tak setuju tentang ni sebab jawatan awak terlalu rendah untuk menjadi ketua dan awak juga masih baru dalam Shin Construction but if Tuan Hussin dah setuju, saya tak boleh nak kata apa. Saya hanya mengharapkan awak buat yang terbaik kerana ini adalah melibatkan wang ringgit dan tentang kemajuan projek ni.”

Dalam penjelasan Hakimi itu, sedikit sebanyak membuatkan hati Keisha terasa. Sudahlah suara Hakimi serius semacam, kata-kata lelaki itu juga seperti merendahkan kebolehannya.

“Baik Encik Hakim,” ujar Keisha perlahan. Tidak disangka, lelaki yang hampir membuatkan dia jatuh tadi kini sudah bertukar menjadi seorang yang serius. Mustahil lelaki itu lupa akan dirinya sedangkan baru tadi pagi mereka terserempak.

“I’ve told you kan... Panggil Hakim. Jangan nak berencik-encik dengan saya.”

“Awak boleh keluar sekarang,” arah Hakimi bila melihat Keisha seperti teragak-agak. Bagi Keisha, Hakimi seperti lelaki yang sukar untuk diduga. Tadi dia lihat lelaki itu elok saja dan sekarang dia rasakan pandangan lelaki itu terhadapnya sungguh menakutkan.


******


“Omar, awak dah turun ke site ke?” tanya Hakimi. Hari ini dia terpaksa turun ke site untuk memantau kerja-kerja bagi projek mereka ini.

“Kami dah. Cuma Keisha aje belum. Dia tak sempat,” beritahu Omar.

“Kalau dia ada nanti, suruh dia jumpa saya dulu.”

Perempuan ni memang nak cabar aku agaknya! Geram Hakimi dengan kelalaian Keisha sedangkan yang lain sudah meneliti apa yang sepatutnya.

Dia menunggu dengan penuh sabar kedatangan Keisha ke dalam biliknya. Hai... Baru tiga hari bekerja dengannya, Keisha sudah buat hal. Memang nak kena sangat perempuan ni.

Ketukan pintu kedengaran dan Hakimi mula tersenyum sinis. Tangan mengerling ke arah jam dinding, hendak masuk ke pukul sebelas.

“Masuk!” laungnya.

Bila melihat Keisha sudah masuk, tanpa dapat ditahan Hakimi bertanyakan soalan yang bernada sindiran, “baru sampai? Awalnya...”

Keisha rasa bersalah kerana dalam keadaan panik dia lupa hendak memberitahu terlebih dahulu kepada teman sekerjanya. Dia bukan sengaja hendak datang lewat cuma ketika subuh tadi, ibunya jatuh sakit mendadak. Dia juga sedar, penyakit barah hati seperti ibunya akan kerap jatuh sakit namun dia tetap akan rasa panik bila sesuatu yang melanda ibunya.

“Maaf, Hakim... Saya panik tadi. Ibu saya sakit mendadak, saya perlu bawa dia ke hospital. Teksi juga susah nak dapat.”

“Teksi? Don’t you have your own driver?” Wanita seperti Keisha hendak menggunakan khidmat teksi? Memang mengarut! Cemuh Hakimi dalam hati. Kan dulu wanita itu mempunyai pemandu sendiri.

Keisha semakin pelik dengan kelakuan Hakimi. Dia cuma menganggap kata-kata Hakimi itu sebagai satu sindiran kerana dia terlewat datang bekerja.

“Maaf sekali lagi, Hakim.” Apa yang perlu adalah meminta maaf pada Hakimi. Memang itu salah Keisha kerana tidak memberitahu terlebih dahulu akan kelewatannya.

“I want to check your work, bring everything that you have done. And nanti, dalam pukul tiga, turun ke site, check mana yang perlu. I don’t have to tell you what you should do, itu kerja awak. Understand? Jangan lewat pula nanti.”

“Baik, Hakim. Saya dan Mus akan ke sana.”

“No. You come with me.” Hakimi menekankan kata-katanya. Inilah peluang dia untuk mengenakan Keisha. Mungkin orang lain akan kata, dia seperti budak-budak, tapi inilah caranya untuk dia membalas apa yang telah berlaku terhadapnya dulu.

Keisha pula yang serba salah, dia tidak selesa bila berdampingan dengan Hakimi. Jika Hakimi seramah seperti pertama kali dia berjumpa, mungkin perasaan kurang selesa itu tidak setinggi ini.

“Anything?” tanya Hakimi bila melihat Keisha masih berdiri di hadapannya.

“Hah? Err... Tak... Saya keluar dulu, Hakim.”

Hakim hanya membiarkan Keisha keluar dari bilik kerjanya tanpa sebarang ucapan. Dia mengeluarkan kembali data peribadi Keisha yang telah diberi oleh Dato’ Malik tempoh hari.

Keisha Elena binti Kamaruddin. Hairan, selalunya pasti ada pangkat Dato’ pada nama ayah Keisha. Wanita itukan mementingkan kedudukan. Memang tidak sah jika tidak memberitahu bahawa dia adalah anak Dato’. Namun sedikit sebanyak, memang dia nampak perubahan pada Keisha. Mungkin dari segi keperibadian, wanita itu sudah berhijab dan lemah lembut, tidak seangkuh dulu. Manakala dari segi pakaian pula, tidak bergaya seperti dahulu. Dulu, jika tidak mengenakan barangan atau pakaian yang berjenama, bukanlah Keisha Elena. Ah! Semua itu Hakimi tidak peduli. Apa yang penting, segalanya harus dibayar dengan tunai!


Hakimi hanya mengekori ke mana saja Keisha pergi, dia mahu mencari kesalahan wanita itu. Namun apa yang dilihatnya adalah kecekapan wanita itu bertutur dan memeriksa segalanya. Batu-batu dan simen diperiksa dengan teliti.

            Kawasan yang menjadi pilihan mereka ini perlu diratakan terlebih dahulu barulah kerja-kerja pembangunan akan dimulakan.

            “Are you sure mereka buat dengan teliti?” tanya Hakimi walaupun  dia tahu segalanya berjalan dengan lancar.

            “Ya, Hakim.”

            “Kadang-kadang, pekerja bawahan ni pandai tuang juga. Demi nak kerja senang, buat ala kadar padahal kita yang keluarkan duit.”

            Keisha hanya diam, tidak berani kata lebih. Apa yang penting, dia buat kerjanya.

            “Dah tamat waktu bekerja, temankan saya makan. Saya lapar.” Tanpa sedar, Hakimi memperlawa Keisha untuk makan bersama. Tengahari tadi dia hanya sempat makan biskut kerana ada perjumpaan bersama pembekal.

            “Err... Ibu saya kena admitted kat hospital. Saya kena pack baju dia lagi. Maaf Hakim, saya tak dapat nak temankan awak.”

            Kau jangan nak buat malu Hakim, orang tak nak tu, jangan nak terhegeh-hegeh.

            “Nevermind. Jomlah. Saya hantar awak balik. Awak tak bawa kereta, kan?”

            “Saya tak ada kereta.”

            “What? Nonsense!” Hakimi tergelak bila mendengar jawapan dari Keisha itu. Keisha tidak mempunyai kereta? What a funny joke!

            Berkerut dahi Keisha bila melihat Hakimi tergelak. Kenapa lelaki itu seperti tidak mempercayai kata-katanya. Seperti mempersendakannya.

            “Tak apalah kalau awak tak percaya. Saya balik dulu.” Keisha memulakan langkahnya. Memang dia agak terasa dengan kata-kata Hakimi. Namun, dia malas hendak ambil kisah.

            “Kan saya kata, saya hantar awak balik!” Lengan Keisha direntap kuat. Marahnya pada wanita itu semakin meninggi bila Keisha tidak ambil kisah dengan kata-katanya.

            “It’s hurt Hakim.”

            “Then follow what I’m saying! Jangan buat tak endah dengan apa yang saya katakan. Saya paling benci orang macam tu. Jangan nak sombong dengan saya, Keisha.”

            Bibir Keisha bergetar, air mata bergenang yang membuatkan pandangannya kabur. Dia tidak mengerti layanan Hakimi padanya. Terlalu kasar dan sinis. Jika lelaki itu berhadapan dengan orang lain, layanan Hakimi tidak sebegini.

            Hakimi melarikan pandangannya ke tempat lain. Dia nampak dengan jelas airmata Keisha yang bergenang itu. “Kata nak cepat tadi, jomlah balik.”

            Keisha menarik nafas dalam, mungkin inilah sifat Hakimi. Dia harus bersabar. Dulu dia juga sebegini. Layanannya terhadap orang yang rendah kedudukan darinya amat kasar dan kurang ajar. Kadang-kadang langsung tidak memperdulikan perasaan orang lain. Mungkin juga kali ini dia pula yang merasa semua itu.

            Dalam kereta keadaan sunyi sepi, radio juga tidak terpasang. Keisha tidak tahu hendak kata apa, baginya Hakimi seorang lelaki yang sungguh menakutkan. Tidak seperti arwah Nazli. Bila mengenangkan arwah Nazli, airmatanya kembali bergenang dan tanpa ditahan ianya jatuh deras ke pipi.

            Hakimi menoleh sekilas bila dia perasan Keisha seperti menangis. Kenapa pula minah ni? Tiba-tiba aje nak menangis. Tadi dah elok.

            “Rumah awak kat mana ni? Cepat bagitahu, jangan sampai saya salah jalan pula. Susah nak cari u-turn kat sini.”

            “Kat depan tu ada simpang, masuk kanan. Naik bukit dan simpang ke kiri ada rumah teres. Itulah rumah saya.”

            Rumah teres? Apa dah jadi pada dia ni? Dua persoalan yang bermain di minda Hakimi saat ini. Sengaja dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan dengan ekspresi yang mengejut, dia mengeluh.

            “I have to go. Ada emergency. Saya turunkan awak kat sini ya. Lagipun dah dekat sangat, kan? Naik bukit aje lagi.”

            “Ha... Aah, memang dekat aje, Hakim. Terima kasih sebab hantar saya.” Sebenarnya, jika hendak berjalan kaki, memang agak jauh lagi tapi takkan pula Keisha hendak memberitahu sebegitu sedangkan lelaki itu ada kecemasan.

            “Turunlah, saya nak cepat ni.”

            Dengan pantas, Keisha membuka pintu kereta. Dia tidak tahu kenapa airmatanya mula mengalir lagi. Mungkin rasa sedih kerana ditinggalkan sebegini. Seperti pengemis rasanya. Dia melihat sekeliling, suasana sudah semakin gelap. Dia harus cepat, pakaian untuk ibunya juga belum sempat dikemas. Malam ini dia akan bermalam di hospital, menemani ibunya.

            Hakimi tersenyum puas hati melihat Keisha sudah beransur pergi. Cepat langkah wanita itu. Sudah pasti tidak biasa balik berjalan kaki. Ketika menanti lampu isyarat bertukar menjadi hijau, Hakimi terkenangkan sepasang mata Keisha yang nampak merah itu.

            “Kejam sangat ke apa yang aku buat tu?” Kereta dibelokkan ke kiri dan lampu kecemasan dipasang. Hakimi berfikir seketika.

            “Tak adalah kejam sangat..,” desisnya. Namun hatinya pula yang rasa tidak sedap hati. Dia meraup wajahnya berkali-kali agar apa yang dia rasakan itu terhapus tapi ianya kekal sebegitu malah semakin risau akan keadaan Keisha.

            Tanpa melengahkan masa, gear ditukar ke D dan stereng dipulas ke kanan. Dia harus kembali semula ke tempat tadi. Hatinya benar-benar rasa tidak sedap hati. Mungkin inilah akibat bila mempunyai niat yang tidak baik.

            Mata liar mencari kelibat Keisha, namun bayang-bayang wanita itu sudah tidak ada.

            “Mana dia ni? Dah sampai rumah ke?”

            Kereta menaiki bukit sepertimana yang diberitahu Keisha. Bila melihat hanya ada satu simpang iaitu simpang ke kiri, maka dengan pantas dia membelok ke situ. Memang nampak dengan jelas, rumah teres yang sudah kelihatan lama.

            “Takkanlah dia tinggal kat sini?”

            Kereta berjalan dengan perlahan dan di satu sudut, dia memberhentikan keretanya.

            “Apa dah jadi pada dia ni?” Telefon bimbit dicapai dan nama Keisha dicari. Sebelum menekan butang hijau, tangannya terkaku.

            “Perlu ke aku buat macam ni?” Segala pertanyaan, sukar untuk dirinya memberikan jawapan. Dia sendiri keliru.

            Lima belas minit berlalu, dia nampak kelibat Keisha yang baru saja keluar dari pagar rumah. Tangan membimbit beg sederhana kecil dan wanita itu sudah memulakan langkahnya. Hakimi tidak pasti, Keisha hendak menuju ke mana. Ah! Patutlah... Susah nak dapatkan teksi tempat seperti ini kecuali sudah menghubungi pemandu teksi.

            Kau dah gila agaknya Hakim... Dia seperti terdengar suara yang datang tiba-tiba. Namun kata-kata itu tidak diendahkan dan keretanya mula mendekati Keisha yang sudah bergerak ke hadapan.

            “Naiklah, saya hantar awak ke hospital.”

            “Hakim... Apa awak buat kat sini?” Keisha benar-benar terkejut dengan kehadiran Hakimi itu.

            “Takkan nak jalan-jalan pula. Saya nak hantar awak ke hospital. Cepatlah naik. Saya belum solat lagi ni.”

            “Hah... Ya, ya.”

            Hati Keisha yang sedikit rawan akan perbuatan Hakimi tadi kini sudah beransur pulih. Mungkin benar, Hakimi tidak sengaja berbuat demikian.

            “Terima kasih awak...”

            “Jangan kata nanti saya tak ada hati perut pula sebab turunkan awak tadi. Panggilan emergency tadi dah tak jadi emergency dah. Everything’s fine. That’s why saya cari awak balik.”

            Keisha mengangguk-angguk. Faham dengan penjelasan yang diberikan oleh Hakimi itu.

            “Terima kasih sekali lagi,” ucap Keisha seraya memandang ke arah Hakimi yang tekun memandang ke hadapan. Dia berikan Hakimi senyuman walaupun lelaki itu masih tidak memandangnya. Inilah perasaan yang dialaminya ketika arwah Nazli datang menghulurkan bantuan. Dia rasa amat berbesar hati kerana ada manusia yang datang menolongnya ketika dia amat memerlukan bantuan. Ah, kenangan itu tujuh tahun yang lalu dan sudah lima tahun arwah Nazli pergi menghadap Ilahi.

            “Awak baik sangat..,” ujar Keisha tanpa sedar padahal kata-kata itu hanya ingin diluahkan dalam hati.

            “What?” tanya Hakimi. Kata-kata Keisha itu membuatkan dia tergelak sinis.

            “Tak adalah...”

            “I heard that Kei...”

            Keisha mengetap bibirnya. Arwah Nazli dan Hakimi, dua manusia yang sungguh berbeza keperibadiannya namun kedua-duanya datang menolong ketika dia memerlukan bantuan. Tidak salah jika dia mengatakan bahawa Hakimi seorang yang baik.

            “Kalau saya baik... Awak pula macamana? Jahat? Buruk perangai? Sombong?”

            Pertanyaan Hakimi itu membuatkan Keisha terkaku. Jahat, buruk perangai dan sombong itu adalah sifatnya yang dulu dan dia takut jika sifat-sifat itu akan kembali padanya semula. Apa yang penting, dia belajar untuk memperbaikki dirinya.

            “Err...”

            “Jadi, awak baiklah? Gitu?” tanpa sempat Keisha menjawab pertanyaan Hakimi, lelaki itu mengutarakan soalan lagi.

            Kali ini Keisha menggeleng. Menidakkan apa yang dikatakan oleh Hakimi. Dia banyak kesilapan dan dia juga tidak berhak digelar sebagai wanita yang baik.

            “I’m not good enough,” jawab Keisha perlahan.

            “So do I. Jadi, jangan kata saya baik atau apa-apa. Awak belum kenal saya lagi. Mungkin kali ni, awak cuma bernasib baik.”

            Tidak mengerti dengan kata-kata Hakimi itu, Keisha membuat keputusan agar berdiam diri.


*****


            “Kei, aku tengok kau dengan Hakim tu, kejap elok, kejap tak. Apahal dengan korang ni?” tanya Aziz bila melihat Keisha kena teruk oleh Hakimi.

            “Aku cuai. So dia patut marahlah.”

            “Dah nak masuk enam bulan kita bekerjasama dengan mereka ni, sepatutnya dia tahu macamana kau bekerja. Aku tengok kau cuma salah buat jumlah aje. Lagipun, minit tu belum dihantar ke bahagian kewangan. Kita boleh amend perkara tu. Tapi cara dia marah kau, macam kau dah songlap duit syarikat.”

            Keisha tersenyum. Dia seakan lali dengan layanan Hakimi padanya. Sekejap elok, sekejap tidak. Namun kali ini, lelaki itu benar-benar marah. Malah dia dimarahi di depan pekerja lain. Malu? Itu belakang kira. Bermacam-macam yang dikatakan oleh Hakimi kepadanya tadi.

            “Tak apalah Ziz... Dia dengan yang lain okey je, kan? Itu dah kira baiklah. Aku tahu korang memang buat kerja dengan baik. Cuma aku ni, cuai.”

            “How’s your mom? Dah elok?” tanya Aziz lagi, memang dia agak kesian dengan kehidupan Keisha.

            “Semakin tipis. Aku dah buat yang terbaik, Ziz.”

            “Kau bingung sekarang ni, Kei. Ambillah cuti, tenangkan diri dan jaga mak kau.”

            Kata-kata Aziz itu ada benarnya, mungkin dia bingung. Keadaan ibunya semakin tenat. Pada mulanya memang dia hendak mengambil cuti tapi dia terikat dengan usahasama ini.
  
          “Kerja dengan elok Kei. Jangan risau tentang ibu. Ibu akan pergi bila-bila masa aje. Pekerjaan susah nak dapat sekarang ni. Teruskan berjuang. Ingat Allah. Jangan sesekali lupa padaNya sepertimana yang pernah kita lakukan dulu.” Itulah kata-kata yang selalu ibunya ucapkan.


******


            Hakimi memandang siling. Tidurnya rasa tidak lena. Terkenang kembali kemarahannya tempoh hari yang lalu terhadap Keisha membuatkan dia mengeluh.

            “Awak tahu tak buat kerja? Kan saya dah kata, semua ni melibatkan wang ringgit. Kat mana awak letak kepala otak tu? Jangan sampai saya gugurkan nama awak dalam usahasama ni. Tak kiralah kalau Tuan Hussin yang cadangkan awak. Awak dah semakin cuai, Keisha!”

            Pagi tadi, dia baru tahu bahawa ibu Keisha dalam keadaan tenat. Dia rasa amat bersalah. Jika dia disituasi wanita itu, sudah pasti dia juga dalam keadaan bingung. Untuk menebus rasa bersalahnya itu, dia membenarkan Keisha bercuti selama seminggu.

            “Awak baliklah. Saya bagi cuti seminggu.”

            “Hakim... Saya tahu saya salah, tapi tolonglah jangan gugurkan nama saya dalam usahasama ni.”

            “Yang tu awak tak perlu risau. Yang penting, saya berikan awak cuti. Gunakan masa ni sebaik-baiknya untuk awak berada di sisi ibu awak.”

            “Hakim...” tanpa mengatakan yang lain, Keisha sudah menangis teresak-esak.

            Hakim melarikan pandangannya. Kenapa semakin dia menyakiti hati Keisha, dia pula yang merasa sakitnya? Dia tidak tegar melihat airmata itu mengalir.

            “Nak saya hantarkan awak?”

            “Tak apa. Terima kasih banyak-banyak Hakim.”

            Sebelum Keisha berlalu pergi, senyuman diberikan padanya yang membuatkan dadanya bergetar.

            Semoga ibu Keisha akan baik-baik saja, doa Hakimi dalam hati. Dia teringat kembali ketika dia membawa Keisha makan tengahari bersama di restauran mewah. Wanita itu kelihatan sedikit janggal.

            “Saya tak tahu nak order apa,” ujar Keisha.

            “Hai... Takkanlah tak tahu nak order apa. Dulukan makanan sebegini menjadi pilihan awak.”

            Hakimi nampak dengan jelas wajah terkejut Keisha itu.

            “Awak kenal saya ke Hakim?”

            “Siapa yang tak kenal anak Dato’ Kamaruddin? Don’t you remember me? Oh ya, siapalah saya untuk dikenang, kan?”

            Semakin berkerut dahi Keisha dan Hakimi pula berasa puas hati bila kali ini dia berpeluang meluahkan apa yang telah berbuku di hatinya.

            “Hakim... Maaf, saya memang tak ingat.”

            “Mana nak ingat kalau dulu cuma tahu nak hina orang aje. Awak tak akan pandang golongan rendah seperti saya. I’m your senior masa sekolah menengah dulu.”

            “Hakim...”

            “Sekarang, nama Hakim dah meniti di bibir awak, kan? Dulu, nak sebut pun susah.” Hakimi kembali tersenyum sinis. Dia tidak kisah dengan perubahan di wajah Keisha, apa yang penting, dia berpuas hati.

            “Saya minta maaf. Saya sedar, saya memang banyak buat salah pada orang ramai. Tapi saya nak berubah Hakim. Nak berubah ke arah yang baik. Kerana kesombongan dan kealpaan kami sekeluarga, Allah tarik balik nikmat yang Dia berikan pada kami. Kami ibarat pengemis, meminta simpati pada orang terdekat tapi semuanya tidak diendahkan. Sepuluh tahun yang lalu membuatkan saya sedar, apa yang menjadi milik kami bukanlah hak mutlak untuk selama-lamanya. Maafkan saya Hakim, jika saya buat awak rasa terhina.”

            Setiap kali melihat Keisha mengalirkan airmata, Hakimi menjadi seorang yang tidak sampai hati untuk menghentam pelbagai soalan. Dia memahami perasaan Keisha, bukan senang hidup dalam keadaan yang daif. Apatah lagi pada awalnya, Keisha hidup dilimpahi segala-galanya.

            “Saya sukakan awak...,” ujar Hakimi.

            Kenyataan yang diberikan oleh Hakimi itu membuatkan Keisha terkedu.

            “Suatu ketika dahulu... Tapi awak hina saya di depan pelajar yang lain,” sambung Hakimi lagi.

            “I’m so sorry Hakim... Awak hukumlah saya, kalau semua tu boleh membuatkan awak berpuas hati.”

            “But thanks to you, kata-kata awak itu membuatkan saya gigih untuk terus berusaha merubah kehidupan kami sekeluarga. Alhamdulillah, dengan izin Allah, kehidupan kami bagaikan lengkap segala-galanya.”

            Dia memandang Keisha yang hanya tunduk menyeka airmata. Makanan yang terhidang langsung tidak dijamah.

Hakimi sedar, semenjak dia dipertemukan kembali dengan Keisha, dia selalu membuat wanita itu menangis. Kejamkah dia? Seharusnya dia melupakan apa yang pernah terjadi di antara dia dan Keisha. Wanita itu sudah banyak menderita, apalagi yang dia mahukan sebenarnya?

“Abang sekarang ni pelik la... selalu lewat balik rumah. Dulu tak pernah macam ni. Dah tu bila balik, senyum macam kera. Abang dah ada seseorang ke sekarang ni?” Itulah ayat yang pernah Anna katakan padanya. Namun pertanyaan itu tidak pula dijawabnya.

Hakimi tidak sedar bahawa perubahannya sebegitu rupa. Dia juga tidak tahu kenapa dia perlu mengekori Keisha setiap kali balik dari bekerja sehingga wanita itu benar-benar masuk ke dalam rumah. Dan dia juga tidak menyangka bahawa dia akan tersenyum bila mengenangkan tabiat barunya itu.

Deringan telefon bimbit memecahkan kesunyian. Dahinya berkerut, hairan dengan panggilan di tengah malam itu. Bila melihat nama Keisha yang tertera, hatinya semakin berdebar. Macam tahu-tahu saja yang dia tengah memikirkan tentang wanita itu.

“Waalaikumsalam, awak kenapa ni Keisha?” Salam dijawab dan badan yang tadi terbaring kini sudah menegak. Terkejut bila mendengar suara Keisha yang sudah tersedu-sedan.

“Ibu saya... Ibu saya dah tak ada, Hakim.”

“Awak kat hospital, kan? Tunggu saya datang. Please, wait for me... I’ll be there in fifteen minutes.” Tanpa menunggu jawapan dari Keisha, panggilan dimatikan.

Hakimi perlu ke hospital dengan kadar segera. Pasti saat ini Keisha memerlukan seseorang. Dan seseorang itu adalah dia.



Tangan Keisha bergetar dan berpeluh. Fikirannya jadi kosong. Seharian ibunya tidak sedarkan diri sehinggalah disaat-saat akhir hayat ibunya. Dia rindukan suara orang tua itu, dia rindukan gelak ketawa ibunya yang sudah kurang kedengaran semenjak mereka dapat tahu bahawa ibunya menghidap barah hati.

            “Ibu...” Bibir diketap. Dia cuba menahan dari mengalirkan airmata. Keisha teringat kata-kata arwah Nazli dulu.

            “Jangan ditangisi orang yang sudah tiada, seperti kita tidak merelakan pemergiannya. Gantikanlah dengan bersedekah al-fatihah dan berdoa agar dia berada di tempat orang yang beriman.”

            “Keisha!” Dia menoleh bila terdengar namanya dipanggil.

            “Hakim...” Entah kenapa, dalam banyak-banyak orang, dia hanya terkenangkan Hakim. Dia hanya mahukan Hakim berada di sisinya. Seharusnya nama Suzy yang ditekannya terlebih dahulu ketika menghubungi tadi namun nama Hakim yang menjadi pilihan.

            “Takziah saya ucapkan. Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un. Saya harap awak tabah menghadapi ujian ni.”

            “Terima kasih Hakim kerana sudi datang, saya tak tahu kenapa saya perlu susahkan awak untuk datang ke sini.”

            “Please, don’t say that. I’m here because I want to. Jenazah ibu awak macamana?”

            Keisha menarik nafas dalam sebelum bersuara. “Jenazah ibu akan disemadikan esok pagi. Ibu dimandikan dan disembahyangkan dimasjid berdekatan. Rumah saya kecik Hakim, bilik mandi tak besar. Susah nak mandikan ibu di sana.”

            “Buatlah di rumah saya. Saya akan sediakan segala keperluan. Tahlil and everything.”

            Pelawaan Hakimi itu membuatkan Keisha terkesima. Dia memandang tepat pada sepasang mata milik lelaki itu. Hakimi kelihatan ikhlas namun dia tidak dapat menerima pelawaan tersebut kerana dia tidak mahu menyusahkan lelaki itu.

            “Tak apa, Hakim. Biarlah saya buat segalanya di masjid. Di rumah Allah. Lagipula, saya tak ramai keluarga.”

            Bila menyebut tentang keluarga membuatkan Keisha bertambah rawan. Keluarga? Benarkah dia mempunyai keluarga? Keluarga yang pernah membelot perniagaan papanya, itulah keluarganya.

            “Kei... Jadi malam ni..?”

            “Saya kena balik rumah, bersiap sedia untuk hari esok.”

            “Malam ni, awak tidur kat rumah saya.”

            Cepat saja Keisha menggeleng, menolak sekali lagi pelawaan yang diusulkan oleh Hakimi itu.

            “Keisha, tolonglah dengar kata saya ni. Saya risaukan awak.”

            “Memang benar saya harapkan awak ada di sisi saya ketika ni tapi saya nak tenangkan diri saya. Segalanya mendadak, Hakim.”

            Penjelasan yang diberikan oleh Keisha itu membuatkan Hakimi terdiam. Benarkah Keisha memerlukannya di saat ini? Ah, jika Keisha menjadi haknya yang sah, ingin dipeluk wanita itu agar rasa tenang di sisinya.

            “Jom, saya hantar awak.”

            Kali ini barulah Keisha mengangguk lalu mengekori Hakimi. Tenanglah hati... Semua ini dugaan dariNya, bisik hati Keisha.


******


Pengebumian ibu Keisha berjalan dengan lancar. Acara tahlil juga selesai. Orang ramai juga sudah beransur pulang. Hakimilah orang yang bersusah ke sana ke mari menguruskan segalanya. Namun semua itu menjadi pertanyaan pada dirinya, adakah perubahan Hakimi itu disebabkan rasa simpati padanya?

Dia berbesar hati bila melihat kedatangan Tuan Hussin dan Dato’ Malik beserta teman sekerjanya. Sempat juga Tuan Hussin dan Dato’ Malik menghulurkan bantuan yang berupa wang ringgit. Terharu dengan keprihatinan mereka. Duit tersebut akan digunakan seratus peratus untuk acara tahlil buat ibunya diselitkan juga buat papanya.

            “Kei... Kau tinggallah kat rumah sewa aku. Kita sharing bilik. Daripada kau tinggal sorang kat rumah tu. Aku risaukan kau,” ujar Suzy.

            “Zy... Terima kasih banyak-banyak dengan cadangan yang kau berikan tu. Cuma biarlah aku tinggalkan kat rumah aku sekarang ni. Aku belum bersedia nak pindah.”

            Suzy memandang penuh simpati. Kehidupannya tidaklah seindah mana namun seringkali juga dia mengeluh akan kesempitan wang ringgit tapi dia sedar, kehidupan Keisha lebih teruji dan wanita itu cekal menghadapi dugaan dan ujian.

            “Kalau kau perlukan apa-apa, just bagitahu aku,” ujar Suzy.

            Keisha tersenyum, masakan dia hendak menyusahkan Suzy sedangkan wanita itu kadang-kadang kesempitan wang ringgit.

            “Ya... Terima kasih Zy.”

            “Err... Kei, yang lelaki kat belakang tu, saudara kau ke?” tanya Suzy. Hairan dengan perbuatan yang dilakukan oleh lelaki itu bilamana segala urusan kebanyakkannya melibatkan Hakimi.

            Keisha menoleh ke belakang bila melihat Hakimi yang dimaksudkan oleh Suzy itu. Lelaki itu sedang berbicara dengan imam yang mengendalikan bacaan tahlil. “Dia ketua kat Malik Construction.”

            “Ohh... Anak Dato’ Malik ya?”

            “Tak... Cuma dia orang kepercayaan Dato’ Malik.”

            “Ohh...” Pelbagai soalan yang hendak Suzy utarakan pada Keisha tentang lelaki itu tapi takkanlah di saat ini dia hendak bertanya sedangkan wanita itu masih berduka.

            “Kei...” Bila terdengar namanya disebut, Keisha menoleh. Kini Hakimi bersama dengan dua orang wanita, seorang kelihatan seusia ibunya atau mungkin lebih berusia dan seorang lagi kelihatan seusianya.

            “Kei, aku kat hujung sana ya.” Suzy mengundurkan diri bila melihat Keisha ada tetamu.

            “Okeylah. Bagitahu aku kalau kau nak balik.”

            Setelah melihat anggukkan dari Suzy itu kini Keisha memandang ke arah tiga manusia dihadapannya.

            “Kei... Ini mak saya, Azizah. Dan yang ni, sepupu saya, Anna. Ingatkan nak kenalkan tadi, tapi saya tak nak ganggu awak.” Hakimi memperkenalkan emak dan sepupunya. Sememangnya tadi pagi mereka datang bertiga tapi tidak sempat hendak memperkenalkan kepada Keisha.

            Memang Keisha akui, dia sentiasa berdekatan dengan jenazah ibunya dan sehingga pengebumian selesai barulah dia sedar akan kedatangan orang yang disekelilingnya.

            “Saya Keisha. Terima kasih kerana sudi datang,” ujar Keisha seraya menghulurkan tangan pada emak Hakimi.

            Tangannya disambut lembut dan tanpa sempat dia mencium tangan tersebut, badannya dipeluk erat. “Bersabar ya nak... Ujian dariNya. Allah lebih sayangkan dia. Makcik harap kamu tabah menghadapi ujian ni.”

            “Terima kasih makcik.” Pelukkan itu semakin dieratkan. Terasa beban yang ditanggungnya terhapus sedikit demi sedikit.

            “Dialah yang saya maksudkan mak.” Setelah pelukan terlerai, Hakimi bersuara. Keisha tidak mengerti apa yang dikatakan oleh lelaki itu. Apatah lagi bila melihat wanita yang bernama Anna itu tersenyum saat Hakimi berkata begitu.

            “Ada baiknya dipercepatkan, Hakim. Mak risau keadaan dia. Berseorangan. Kan elok kalau kamu jadi peneman dia yang sah.”

            Ah, bingung. Keisha bingung. Dia tidak mengerti apa yang dua beranak ini katakan.

            “Hakim..,” panggil Keisha.

            “Kejap ya mak... Saya nak cakap dengan Kei sekejap.”

            Setelah memastikan kelibat emak dan sepupu Hakimi beredar, Keisha memandang tepat pada wajah lelaki itu.

            “Apa sebenarnya yang awak cakap pada mak awak, Hakim?”

            “Marry me...”

            Dua patah perkataan itu membuatkan Keisha melopong. Tidakkah Hakimi sedar bahawa dia sedang berduka saat ini?

            “Apa awak merepek ni?”

            “I’m serious Keisha. Marry me...”

            “Tak!” cepat saja Keisha menjawab.

            “Kenapa? Sebab awak tak nak terima orang yang awak dah hina ni ke?” Keengganan Keisha itu membuatkan Hakimi geram. Geram kerana sekali lagi Keisha menolak ‘lamaran’nya.

            “Awak sedar tak yang saya baru kehilangan ibu saya? Dan sekarang awak nak berbincang tentang hal ni pula?”

            “I know... That’s why I want to marry you. Saya risaukan awak, Keisha.”

            Seperti jangkaan Keisha, Hakimi lakukan semua ini disebabkan rasa simpati padanya. “Saya tak perlukan simpati awak, Hakim. Saya tahu awak bencikan saya. Dan tolong, jangan ungkit lagi tentang hal ni.”

            Bila Keisha hendak beredar dari situ, Hakimi menghalangnya. “Ego awak terlalu tinggi, Keisha.”

            Biarlah Hakimi mengatakannya sebegitu, dia sudah terbiasa dengan kata-kata sindiran dari lelaki itu. Untuk sekali lagi, Hakimi menghalang langkahnya bilamana dia tidak menjawab kata-kata lelaki itu.

            “Awak nak ke mana?”

            “Balik.”

            “Saya hantar awak balik.”

            “Saya boleh balik sendiri, Hakim. Dan tolong sampaikan salam saya pada emak dan sepupu awak. Maaf kerana saya tak layan mereka dengan sebaiknya.”

            Kali ini laju kaki Keisha melangkah. Dia perlu memberitahu pada Suzy akan ke pulangannya.


******


            Masa berjalan dengan pantas, kini sudah tiga bulan berlalu dari hari ibu Keisha meninggal dunia. Kehilangan ibunya masih terasa. Hidupnya benar-benar sunyi. Gelak ketawa memang jarang sekali terluah dari bibirnya. Hubungan dia dan Hakimi juga semakin renggang. Bukan dia tidak menghargai apa yang telah Hakimi lakukan untuk dirinya tapi dia takut, perasaan itu hanya semata-mata kerana simpati. Dulu bukan main lagi Hakimi membencinya tapi setelah mengetahui kehidupannya tidak semewah dulu dan setelah ibunya pergi buat selama-lamanya, lelaki itu berubah.

            Cinta... Ianya datang tanpa disedari. Selepas kehilangan arwah Nazli, dia cuba menutup hatinya untuk mana-mana lelaki namun kehadiran Hakimi membuatkan hatinya gundah. Dalam sinis lelaki itu berbicara, terselit kebaikan yang dipamerkan. Lelaki itulah yang sering kali membuatkan dirinya mengalirkan airmata. Dalam hati dia mengatakan bahawa Hakimi lelaki kejam namun separuh dari hatinya mengatakan sayang.

            “Keisha...”

            Keisha mendongak, dia melihat Hakimi bersandar di pintu bilik pejabatnya seraya dia mengerling sekilas pada jam tangannya. Ah, sudah masuk waktu rehat rupanya. Patutlah sunyi.

            “Kita lunch sama-sama.”  Seperti biasa, Hakimi cuba mengambil hati Keisha. Bermacam-macam usaha yang cuba dia pamerkan pada Keisha, namun wanita itu tegas dengan pendiriannya.

            “Tak apa la... Saya ada bawa bekal dari rumah.” Dan setiap kali itu juga, Keisha akan menjawab sebegitu.

            “Keisha, please... Awak tahukan yang lusa saya nak ke UK. Kita perlu berbincang Kei. Saya tahu awak sayangkan saya, dan saya yakin kita mempunyai perasaan yang sama. Kita masing-masing memerlukan Keisha. Walau macamana sekalipun awak mengelak, hati awak tak akan menipu.” Hakimi sedar, Keisha mempunyai perasaan yang sama dengannya saat wanita itu memerlukannya. Dia amat yakin sekali namun Keisha menidakkan dengan memberikan alasan bahawa dia mencintai Keisha hanya kerana simpati.

            Hakimi mahukan jawapan yang pasti sebelum dia berangkat ke UK kerana menghadiri taklimat di sana. Itu adalah arahan dari Dato’ Malik. Orang tua itu mahu dia mendalami selok belok mengenai pembinaan bangunan yang kreatif dan inovatif.

            Keisha semakin resah. Risau jika ada mata yang melihat dan telinga yang mendengar ketika ini. Beg tangan dicapai dan dia mendekati Hakimi.

            “Awak nak ke mana pula ni?” Hairan bila melihat Keisha seperti ingin berlalu pergi. Dia kenal wanita itu, seringkali tidak mengendahkan kata-katanya.

            “Kan awak nak berbincang?”

            “Oh, ya, ya.. Sekejap. Saya ambik dompet dan kunci kereta dulu. Anyway, thanks Keisha. Saya sayang awak,” ujar Hakimi seraya mengenyitkan sebelah matanya sebelum dia berlari anak ke bilik kerjanya.



“Apa yang menyebabkan awak tak dapat nak terima saya, Keisha? Jangan kata pada saya, cinta saya pada awak hanya kerana simpati. Saya tak nak dengar.” Sebaik saja mereka memesan makanan, Hakimi terus mengutarakan soalan.

            “Awak bencikan saya, Hakim. Saya dah calarkan maruah awak dulu. Sebab tu saya katakan yang awak nakkan saya hanya kerana simpati.”

            “Memang saya berdendam dengan awak. Tapi itu dulu. Dan sekarang bila fikir balik, bodoh pula rasanya bila kenangan lalu jadi sempadan buat kita berdua. Walau macamana sekalipun kata awak pada saya dulu, saya tetap cintakan awak, Keisha. Saya sedar, saya berdendam hanya kerana saya cuba nak hapuskan awak dari ingatan saya tapi semuanya sia-sia, saya tetap memilih awak.”

            Memang Hakimi akui, dendamnya pada Keisha hanya untuk menutup perasaan sebenarnya pada wanita itu. Jika orang mengatakan bahawa itu adalah cinta monyet, tapi kenapa rasa cinta itu masih bertahan di hatinya?

            “Saya dengar awak dah ada calon, kenapa perlu pilih saya?” Itulah yang Keisha dengar dari pekerja-pekerja di Malik Construction bahawa lelaki itu sudah mempunyai pilihan hati.

            Hakimi mengeluh, Keisha cuba mencari alasan lagi. “Dia sepupu saya, Anna. Saya memang sayangkan dia tapi kenapa sampai sekarang saya belum buat keputusan untuk jadikan dia sebagai isteri? Di sana sudah nampak bahawa saya tak cintakan dia. Sayang dan cinta, dua perkataan dan maksud yang berbeza.”

            “Macamana pula dengan dia?”

            “Dia elok saja bila saya katakan yang saya nak berkahwin dengan awak.” Memang itulah yang dilihatnya dan ketika itulah dia tahu bahawa Anna juga tidak menyimpan perasaan cinta buat dirinya.

            Kali ini, Keisha terdiam. Mana satu yang hendak diturutkannya? Cintanya atau perasaan curiganya?

            “Saya akan jaga awak sehingga nafas saya yang terakhir. Jika Allah nak tarik nyawa saya, saya berharap sangat masa tu, awak sudah menjadi isteri saya. Yang sentiasa berdampingan dengan saya sebelum ke alam barzakh.”

            “Jangan cakap macam tu...” Keisha menangis bersungguh-sungguh. Tidak dipedulikan jika ada mata yang memandang. Dia takut akan kehilangan. Sungguh, buat masa ini, dia tidak mahu kehilangan orang yang tersayang. Takut, pilu, sedih, sunyi, semua ada.

            “Awak nak saya cakap macamana lagi, Keisha? Saya sayang dan cintakan awak. Hapuskanlah kenangan lalu di antara kita berdua. Apa yang penting adalah sekarang.”

            Keisha mengangguk yang membuatkan Hakimi keliru. Anggukkan itu untuk apa sebenarnya?

            “Please, say something.”

            “Baiklah...”

            “Apa yang baiklah?”

            “Saya terima awak.”

            “Are you sure?” Hakimi teruja sehinggakan tanpa sedar dia memegang jari-jemari wanita itu.

            “Pasti,” jawab Keisha seraya menarik tangannya dengan lembut.

            “I’m sorry Kei...”

            “Tak apa.”

            “Lepas saya balik dari UK, kita uruskan pernikahan kita ya? Dan saya harapkan, ketika itu awak tak ubah keputusan awak.”

            “InsyaAllah, tak.”

            “Alhamdulillah... Moga Allah memberkati niat suci kita ni.” Hakimi mengaminkan doa yang dipanjatnya. Dia amat berharap agar selepas ini kehidupan Keisha akan terpelihara dengan sebaiknya.

“Dulu saya hampir bergelar isteri tapi arwah Nazli kemalangan di Mesir dan meninggal dunia di sana.” ujar Keisha perlahan. Dia perlu memberitahu pada Hakimi, siapa Nazli dalam hidupnya. Dia tidak mahu lelaki itu mempertikaikannya di kemudian hari.

            “Oh...” hanya itu yang menjadi jawapan Hakimi. Dia tidak mahu mengungkit kenangan lalu Keisha.

            “Awak tak nak tahu tentang dia?”

            “Tak perlu. Dia kenangan awak, Keisha. Saya tak nak ungkit kesedihan awak.”

            Keisha memandang Hakimi dengan rasa tenang. Hakimi terlalu baik buat dirinya, sanggup menerimanya kembali walau dulu dia pernah menghina dan mencaci kehidupan lelaki itu. Dialah jodohku kerana cinta ini telah memilih untuk dia menjadi suamiku, bisiknya dalam hati.

            “Senyumlah sikit... Awak macam terpaksa aje nak kahwin dengan saya ni.”

            Kata-kata Hakimi itu membuatkan Keisha tersenyum dan dadanya terasa lapang bila memberikan jawapan bahawa dia menerima Hakimi sebagai suaminya.


******

            Tangan Keisha berpeluh menantikan kepulangan Hakimi dari UK. Kali terakhir dia ke KLIA adalah ketika dia menantikan kepulangan Nazli. Semakin erat jari-jemarinya bersulam. Kenangan itu benar-benar membuatkan dia takut untuk menantikan kepulangan seseorang.

            “Saya tak suruh mak atau abang saya jemput saya kat KLIA. Saya nak awak jemput saya, Kei. Boleh tak ni? Saya rindukan awak. Dua minggu kat sini seperti dua tahun lamanya.”

            Senyuman Keisha terhenti bila Hakimi mahu dia menjemput lelaki itu di KLIA. Jiwanya terasa resah.

            “Sayang...”

            “Hah?”

            “Kenapa ni? Diam aje? Tak suka saya balik?” Mungkin kerana diam Keisha itu membuatkan Hakimi berfikir sebegitu.

            “Tak ada la... Awak ni...” Cepat saja Keisha menidakkan.

            Itulah perbualan terakhir mereka sebelum Hakimi masuk ke pesawat. Keisha mengerling jam tangannya, sepatutnya Hakimi sudah sampai. Dia melihat pada kaca tv yang mempamerkan pesawat yang berlepas dan mendarat juga mengatakan bahawa penerbangan dari UK sudah mendarat.

            Hatinya semakin berdebar, telefon bimbit dicapai lalu dia cuba menghubungi Hakimi. Dua, tiga sehingga lima kali dia menghubungi lelaki itu tapi talian masih tertutup. Ya Allah... Semoga segalanya akan baik-baik saja. Keisha cuba tenangkan diri, berjalan sekitar situ. Penumpang yang entah dari mana juga sudah banyak yang keluar dari balai ketibaan. Tanpa sedar, airmatanya jatuh berlinangan. Tak mungkin berulang lagi... Tak mungkin!


*******

            “Sayang... Tenung apa tu?” Terasa dua belah tangan melingkar di pinggangnya. Dagu terasa disangkutkan di bahunya. Keisha tersenyum lebar. Angin bayu yang menyapa tubuhnya membuatkan dirinya rasa tenang. Di balkoni inilah tempat dia selalu termenung. Tangan yang memeluknya dari belakang itu diusap lembut.

            “Kei sayang abang,” ucapnya lembut.

            “Sayang aje?”

            “Kei sayang dan cintakan abang dunia akhirat.” Badannya dikalihkan untuk berhadapan dengan sang suami.

            “Abang tahu sayang... Kalau tak sayang, tak ada la orang tu menangis teresak-esak kat KLIA.” Hakimi tergelak kecil. Terkenang kembali kenangan enam tahun yang dulu.


            “Keisha! Kenapa ni?” Terkejut Hakimi bila melihat Keisha menangis di satu sudut. Bagasi yang dibawanya juga dilepaskan.

            “Kei... Kenapa ni, sayang?”

            “Awak... Awak... Saya takut, takut kehilangan awak.” Suara Keisha bergetar, mungkin terkejut melihat kemunculan Hakimi di situ. Bermacam-macam yang telah dia fikirkan.

            “Saya ada kat sini, sayang. I’m here, safe, with you.” Lengan Keisha disentuh. Hakimi mahu wanita itu sedar akan kehadirannya di sisi.

            “Kenapa lambat nak keluar? Awak buat saya takut... Takut kejadian seperti arwah Nazli berulang kembali.”

            “I’m so sorry, kawan tegur kat dalam. Leka berbual sampai tak sedar, dah memakan banyak masa. I’m sorry, sayang. Bukan niat saya nak takutkan awak.”

            Keisha kembali menitiskan airmata yang membuatkan Hakimi bertambah panik.

            “Kei... Kan saya dah kata, saya minta maaf.”

            “Jangan buat macam ni lagi...”

            Kali ini Hakimi tersenyum, hai... kalau dah kahwin, ingin diseka airmata yang mengalir itu, ingin dipeluk erat agar Keisha tahu dia benar-benar menyayangi wanita itu.


            “Kenapa ungkit benda yang dah lepas ni?” Keisha buat-buat marah. Dia malu bila akhirnya Hakimi tergelak akan dirinya.

            “Sayang ni... Jangan la marah-marah, baru tadi kata sayang dan cintakan abang.”

            “Memang sayang, kan? Kalau tak sayang, tak ada la saya bagi abang tiga hero.”

            Semakin galak Hakimi ketawa. Sudah dekat enam tahun mereka mendirikan rumah tangga. Selepas setahun kemudian, Keisha disahkan mengandung. Begitulah tahun seterusnya. Ketiga-tiga anak lelakinya hanya berbeza setahun. Anak yang tua, sudah berumur empat tahun, yang kedua, sudah berumur tiga tahun dan yang ketiga, sudah berumur dua tahun.

            “Abang ni... Gelak macam tak ingat dunia. Anak-anak dah tidur la.. Nanti terjaga pula mereka.”

            “Tapi kalau kita yang terjaga, tak apa, kan?”

            “Nak mengarutlah tu...” Keisha menjeling manja. Faham benar apa yang dimaksudkan oleh Hakimi.

            “Sayang abang ni, nak marah aje. Meh, abang sejukkan.” Dahi Keisha dikucup lama. Bagai ingin mengalirkan rasa cintanya pada wanita itu.

Tanpa disuruh, Keisha memeluk erat pinggang Hakimi. Benarlah, cinta itu telah memilih untuk mereka bersatu dan dengan izin Allah, jodoh mereka kuat hingga ke hari ini dan mungkin hingga ke akhir hayat mereka, InsyaAllah.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar