Kamis, 04 April 2013

MININOVEL : JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 14

SALAM....
MASIH INGAT DENGAN MEREKA? HEHE.. SEKARANG TENGAH SAMBUNG SEMULA JAPH... ENJOYYYYY!


BAB 14

            Hari ini Hanina pula yang rasa berdebar. Bermacam-macam yang difikirkannya. Macam mana dengan penerimaan ibu dan walidnya terhadap Hanif nanti? Bolehkah Hanif bergaul mesra dengan keluarganya? Apakah yang akan ditanya oleh walidnya kepada lelaki itu? Kerana perjumpaan ini, dia pulang awal dari tadika kerana ingin menolong ibunya menyediakan makan malam buat mereka.


            “Walid, esok Nina nak bawa Hanif datang sini. Jumpa dengan walid dan ibu,” beritahu Hanina semalam. Walidnya yang pada mulanya leka dengan kertas kerja, mendongak pantas. Terukir senyuman di wajah orang tua itu.

            “Dah lama walid tunggu untuk Nina bawa Hanif ke sini,” jawab walid Hanina dengan senyuman masih terukir di bibir. Seperti berbesar hati mahu menerima kedatangan Hanif ke rumah mereka.

            “Ajak dia makan malam kat sini, Nina. Ibu akan masak. Lebih elok lagi, tanyalah dia, suka makan apa. Ibu boleh masak apa yang dia nak makan,” ujar ibu Hanina. Gembira bakal menantunya akan bertandang ke rumah mereka.

            “Tak apa la ibu. Dia makan apa saja yang terhidang. Niat dia cuma nak jumpa ibu dan walid. Tak payah susah-susah.” Hanina tidak mahu ibunya susah-susah buat itu dan ini hanya kerana perjumpaan Hanif dengan orang tuanya.

            “Hish.. Apa pula susahnya, Nina... Benda senang. Ajak dia makan malam sekali esok. Ibu tak nak Nina banyak dalih.”


            Telefon bimbit Hanina berbunyi yang menyebabkan dia tersedar dari terkenang kisah semalam. Bila melihat nama Hanif yang tertera membuatkan lagi dadanya berdebar. Lantas panggilan itu dijawab.

            “Walaikumsalam. Hani, saya dah ada kat luar pagar ni. What should I do?” tanya Hanif selepas menjawab salam Hanina.

            Hanina tersenyum kecil. Tahu bahawa pagar rumah sentiasa tertutup. “Okey, saya dah buka.”

            “Itulah, ingat nak buat macam mana tadi. Kat rumah saya, pagar manual aje.Tak ada automatik macam ni.” Hanina terdengar Hanif tergelak.

            “Iyalah, iyalah.. Cepat masuk. My parents dah tunggu awak ni.”

            “Hani...” Hanif menyeru namanya.

            “Hmm?”

            “Hati saya berdebar-debar. Saya harap sangat ibu dan walid awak dapat terima saya seadaannya.” Kini suara itu menjadi serius. Tidak ada lagi gelak ketawa.

            “InsyaAllah... Semuanya akan baik-baik saja. Dulu awak berani nak dekat dengan saya, sekarang kenapa gerun pula bila nak dekat dengan walid dan ibu saya?”

            “Saya risau jika kedudukan saya menjadi penghalang buat kita berdua...” Lirih suara itu memberitahu puncanya.

            “InsyaAllah, tak. Jomlah masuk. Saya tak nampak lagi kereta awak masuk. Daripada awak dok kata macam ni, lebih baik awak masuk dulu, kenal dengan ibu dan walid saya. Baru awak boleh kata macam-macam nanti.”

            Hanif tergelak, “Oh ya.. Merepak pula saya kat luar ni ya.. See you later, honey.”

            Hanina tersenyum seraya tergeleng-geleng bila panggilan sudah tertutup. Dia percaya Hanif memang berdebar saat ini. Langsir di ruang tamu itu diselak dan dia nampak kereta Hanif sudah masuk ke perkarangan rumah mereka.

            “Umi... Papa dah sampai ke?” tanya Rafieqi. Dia kelihatan agak teruja.

            “Dah sampai sayang. Jom kita sambut papa.”

            Cepat saja Rafieqi berlari ke luar dan bila Hanif sudah keluar dari kereta, Rafieqi datang memeluk erat lelaki itu.

            “Anak papa... Rindu papa ya?” Ubun-ubun Rafieqi dikucup lembut. Benar, sayangnya tumpah pada anak ini.

            Cepat saja Rafieqi mengangguk.

            “Sekejap ya sayang... Papa nak ambil barang kejap.” Pelukan dilepaskan dan sebaik saja mata terpandang Hanina yang hanya memandangnya dan Rafieqi, dia mengenyitkan sebelah matanya dan dia melihat Hanina menjeling manja.

            Buah tangan yang dibelinya tadi dikeluarkan dari bonet kereta. Bermacam-macam buah yang dibelinya. Harap semuanya menepati citarasa Hanina sekeluarga.

            “Banyaknya awak beli. Kenapa susah-susah ni?” Bulat mata Hanina bila melihat bonet kereta Hanif dipenuhi oleh buah-buahan.

            “Hani... Takkanlah saya datang dengan tangan kosong. Tak apa la... Nanti kita boleh makan sama-sama. Eqi suka tak buah-buah ni semua?” tanya Hanif pada Rafieqi.

            “Suka! Wow... Ada durian...” Kepala Rafieqi diusap dengan penuh sayang. Hanif rasa sungguh bahagia. Bahagia bila kedatangannya disambut oleh orang yang tersayang.

            “Okay... Kita bawa masuk dalam dulu. Mari, saya tolong awak.” Pelawa Hanina dengan mengeluarkan plastik yang berisi buah-buahan itu.

            “Hani... Tak apa, sayang. Biar saya yang angkat. No argue, please.”

            Hanina mengetap bibirnya. Nak tolong pun tak boleh, desisnya dalam hati.

            “Eqi nak tolong papa!”

            “Baiknya anak papa... Thank you... Tapi semua ni berat sayang. Biar papa aje yang bawa. Eqi tunjukkan saja papa mana nak tuju ya?”

            Cepat saja Rafieqi mengangguk seraya tersenyum gembira. “Atuk, nenek! Papa Eqi dah sampai.”

            Menggeleng Hanina dengan keterujaan Rafieqi lalu dia memandang Hanif yang turut sama tersenyum.

            Jari-jemari Hanif semakin berpeluh bila melihat kedua-dua ibu bapa Hanina sudah terpacak di permukaan pintu utama. Lebar senyuman kedua-dua orang tua itu yang membuatkan lagi Hanif semakin berdebar.

            “Assalamualaikum, apa khabar pakcik, makcik?” sapa Hanif setelah meletakkan plastik yang berisi buah-buahan itu ke tepi seraya bersalaman dengan kedua-dua ibu bapa Hanina.

            “Walaikumsalam..,” jawab ibu dan walid Hanina serentak.

            “Alhamdulillah... Sihat. Kamu ni susah-susah saja bawa ni semua,” ujar walid Hanina seraya cuba menolong mengangkat plastik tersebut.

            “Pakcik, tak apa. Biarlah saya yang angkat. Berat ni pakcik.” Cepat saja Hanif mengambil kembali plastik yang diletakkan di tepi tadi bila melihat walid Hanina cuba menolongnya. Takkanlah nak biarkan bakal bapa mertua yang angkat benda-benda berat ni semua. Itu dah mencemarkan prestasinya sebagai bakal menantu. Bakal menantu? Kembang hati Hanif bila mengenangkan semua itu.

            “Baiklah,” ujar walid Hanina. Dia faham Hanif cuba hendak melakukan yang terbaik. Dia juga pernah mengalami saat-saat begini.

            “Jom, masuk Hanif. Jangan segan-segan. Eqi ni, setiap kali datang sini, semua cerita tentang kamu,” pelawa Walid Hanina.

            “Baiklah pakcik,” semakin kembang hati Hanif bila Rafieqi banyak berkata tentangnya pada orang tua Hanina.

            Setelah meletakkan plastik tersebut, Hanif dibawa ke ruang rehat. Faham benar apa yang akan berlaku selepas ini. Lagi-lagi bila Hanina memberitahu, “Awak masuklah dulu. Ibu dan walid saya nak cakap dengan awak. Saya dan Eqi tunggu kat ruang tamu. Just be yourself like you always do. Saya yakin, my parent akan suka awak.”

Ibu dan walid Hanina sudah sedia duduk di sofa panjang. Dengan lafaz Bismillah, secara perlahan dia duduk berdekatan dengan mereka. Minuman panas kelihatan sudah terhidang di atas meja.

“Minum Hanif,” pelawa ibu Hanina.

“Iya, makcik.”

“Jangan salah faham bila kami buat macam ni Hanif. Kami cuma nak kenal dengan kamu. Nak tahu kamu asal dari mana dan sebagainya. Ala... Seperti ibu bapa yang lain juga bila anak mereka bawa teman istimewa datang rumah,” ujar Tan Sri Syed Hanafi. Tidak mahu Hanif berfikir yang bukan-bukan kerana mereka mengadakan perjumpaan secara peribadi.

“Saya betul-betul tak kisah. Pakcik nak tanya apa pun, saya akan jawab, InsyaAllah.”

Kedua-dua orang tua Hanina mengangguk. Sebelum memulakan bicara, walid Hanina sempat berdehem. “Asal dari mana?”

“Sungai Petani, Kedah, Pakcik.”

“Oh... Kedua-dua orang tua, masih menetap kat situ la?” tanya Puan Sri Kamariah pula.

“Ayah dah lama meninggal. Tinggal mak aje lagi. Kat sana kakak yang sulong ada. Setiap hujung minggu saya akan balik Kedah.”

Sekali lagi, ibu dan walid Hanina mengangguk. “Mak dah tahu tentang hubungan kamu berdua?”

“Dia memang tahu yang saya dah ada pilihan sendiri. Cuma tak berkesempatan nak bawa Hanina jumpa mak. Hanina tak bersedia lagi katanya. Lagipun, nak minta izin dulu dari pakcik dan makcik untuk bawa Eqi dan Hanina balik kampung.”

Sememangnya itulah yang sebenarnya. Bukan tidak pernah dia mempelawa Hanina untuk berjumpa dengan emaknya cuma Hanina belum bersedia lagi. Lagipula, dia hendak meminta izin ibu bapa Hanina sebelum membawa kedua-dua pujaan hatinya itu datang berjumpa dengan emaknya.

“Pakcik izinkan, Hanif. Lebih elok kalau emak kamu jumpa dengan Hanina terlebih dahulu. Seperti apa yang kamu buat hari ni. Sebab kita tak tahu penerimaan orang tua kita. Hmm... Emak kamu tahu status Hanina?”

Hanif terjeda seketika bila walid Hanina bertanyakan tentang itu. Memang dia belum memberitahu tentang status Hanina pada emaknya kerana dia percaya emaknya akan menerima siapa saja yang menjadi pilihan hatinya.

“Yang tu... Saya belum nyatakan lagi. Sebab saya yakin, mak akan terima siapa saja yang menjadi pilihan hati saya. Bukan saya malu nak nyatakan, sebab memang saya tak kisah tentang status Hanina pakcik, makcik. Saya sangat sayangkan dia dan Eqi. Bagi saya dah cukup sempurna bila saya berdampingan dengan mereka berdua.”

Jari-jemari disulam rapat. Hanif risau jika ibu dan walid Hanina akan fikir bahawa dia malu hendak memberitahu status Hanina pada emaknya.

Tersenyum Tan Sri Syed Hanafi. Sungguh padat penjelasan yang diberikan oleh Hanif. “Bukan begitu. Kami percaya bahawa kamu tak kisah dengan status Hanina cuma dalam hal ni, emak kamu juga menjadi peranan yang penting untuk tahu. Dia juga berhak menerima mahupun menolak.”

Pahit yang dirasakan bila mendengar kata-kata dari walid Hanina. Adakah benar emaknya akan menolak pilihan hatinya jika status Hanina yang menjadi subjek utama?

“Benar, Hanif. Keluarga kamu kena tahu tentang status Nina ni. Tak semua orang akan menerima dengan hati yang terbuka bila mendapat bakal menantu berstatus janda atau duda. Lagi-lagi Hanina ada anak. Kamu pula bujang,” celah Puan Sri Kamariah pula.

“Saya akan berbincang dengan mak saya selepas ni, pakcik, makcik. Maaf, jika perkara ni membuatkan saya kelihatan sambil lewa tentang status Hanina. Bukan niat saya begitu.”

“Tak mengapa. Pakcik faham. Berbincanglah sebaiknya sebelum segalanya menjadi serius. Dari pihak kami berdua, kami tak ada halangan. Ini adalah pilihan Hanina. Kami terima kerana kami percaya dengan pilihan Nina. Apa yang terbaik buat dirinya, itulah yang terbaik buat kami. Apa yang pakcik nak pesan, jagalah mereka dengan sebaiknya. Anggaplah Eqi seperti anak kamu sendiri.”

Cepat saja Hanif mengangguk. Itu sudah tentu dia akan menjaga Hanina dan Rafieqi dengan sebaiknya.

“Eh dah lewat rupanya... Jomlah kita makan. Dok kata itu, ini, tapi perut dah mula berbunyi. Malam ni, makcik kamu ni masak bermacam aneka masakan. Kamu kena makan semua, Hanif nanti merajuk pula dia,” pelawa walid Hanina sambil bergurau.

“Ish! Jangan dilayan sangat, Hanif. Jom kita keluar. Kesian Eqi, mesti dah tertunggu papa dia.”

Kali ini lebar senyuman Hanif, rasa gemuruh tadi itu sudah hilang sikit demi sedikit dengan layanan kedua-dua ibu bapa Hanina.

Seperti jangkaan Puan Sri Kamariah, Rafieqi sudah menunggu di hadapan pintu ruang rehat.


“Eqi ni tercari-carikan Hanif. Dah bagitahu yang atuk dan neneknya nak jumpa,” beritahu Hanina bila dengan secara tiba-tiba pintu ruang rehat dibuka dari dalam. Rafieqi tidak duduk diam bila tidak melihat kelibat Hanif di ruang tamu.

“Cucu nenek ni, nakal sungguh. Papa Eqi tak lari. Dia ada dengan nenek dan atuk.”

“Eqi nak dengan papa,” ujar Rafieqi manja seraya mencari jari-jemari Hanif untuk dipegang. Mereka sama-sama beriringan ke meja makan dan dengan pantas Rafieqi sudah mula mengatur tempat duduk mereka.

“Umi duduk sebelah nenek, Eqi duduk sebelah papa. Atuk duduk tempat atuk.” Mereka yang ada di situ tergelak dengan kepetahan Rafieqi.

“It’s up to Eqi,” ujar walid Hanina seraya mengusap lembut rambut Rafieqi.

Sepanjang makan malam itu, Rafieqi seringkali bertanyakan bermacam-macam soalan pada Hanif. Walau ditegah oleh Hanina dan orang tua Hanina namun Hanif sendiri mengatakan tidak mengapa.

“Bila papa nak tinggal dengan Eqi?” Soalan yang membuatkan Hanif terbatuk kecil. Jika hendak menjawab dengan terus-terang, sudah pasti dia mahukan dengan secepatnya. Kalau boleh esok dia nak pindah, tinggal bersama dengan Hanina dan Rafieqi. Namun semua itu perlu memakan masa beberapa bulan. Bukan main terjah saja. Nak kahwin ni, banyak procedure yang perlu dia lakukan, satu persatu agar segalanya akan berjalan dengan lancar nanti.

“Eqi, kan umi cakap, jangan tanya papa bila tengah makan ni. You should concentrate on your food,” marah Hanina.

“Eqi cuma tanya..,” jawab Rafieqi perlahan.

“Boleh tanya, tapi nanti. Bila dah siap makan.”

“Hani.. Tak apa.” Hanif cuba menenangkan Hanina bila melihat Rafieqi sudah berubah wajah.

“Eqi, tak apa. Papa okey je. Jom kita makan sayang, kalau Eqi tak makan, papa tak lalu nak makan juga. Meh sini, kita makan sama-sama.” Pujuk Hanif dengan mengusap lembut pipi Rafieqi seraya mengangkat anak itu ke ribanya.

“Kita makan sama-sama ya. Bagitahu papa, Eqi nak makan apa, papa suapkan.”

“Tak susah ke Hanif? Nanti kamu pula yang tak selesa.” Risau pula Tan Sri Syed Hanafi bila Rafieqi mula dengan ragamnya yang mengakibatkan Hanif tidak tentu makan.

“Tak menjadi masalah buat saya, pakcik,” ujar Hanif. Reaksi Rafieqi juga sudah berubah. Sudah berhenti bertanya itu dan ini dan hanya menunjuk makanan yang hendak dia makan.

“Awak terlalu manjakan dia, Hanif. Nanti...” Kali ini Hanina pula yang bersuara. Dia benar-benar tidak puas hati dengan tingkah laku Rafieqi. Namun kata-katanya itu cepat dipotong oleh Hanif.

“Dia dah elok. Nanti dia pula yang tak lalu nak makan.” Hanif tidak mahu dengan kata-kata Hanina itu akan membuatkan Rafieqi tidak lalu makan sedangkan budak itu sudah tidak buat perangai.

“Papa... Nak yang ni,” beritahu Rafieqi dengan jari telunjuk menunjukkan udang bakar.

“Okey, sayang.”

Hanina mengetap bibirnya. Semenjak adanya Hanif, Rafieqi sudah pandai buat ragam. Kadang-kadang semua itu hanya untuk meminta perhatian dari Hanif. Dan Hanif pula melayan segala permintaan anak lelakinya itu tanpa membantah.
           
Puan Sri Kamariah menggamit tangan kiri Hanina. “Biarkanlah... Dia nak perhatian dari Hanif sebab tu dia buat begitu,” bisiknya.

            Ibu Hanina dapat lihat layanan ikhlas Hanif pada Rafieqi. Semuanya tidak nampak kekok di matanya. Jika Hanif berpura-pura, kenapa dia tidak rasa was-was. Bila melihat Hanif mengelap sisa makanan yang ada di bibir Rafieqi, membuatkan hati tuanya tersentuh dan tanpa sedar, air matanya bergenang.


            “Ibu dapat rasakan, Eqi memerlukan belaian seorang ayah. Dia buat begitu sebab mahukan belaian dari Hanif. Ibu kesian tengok dia, Nina. Dia tak pernah kata apa-apa tentang ayah sebenar dia tapi dengan Hanif, dia suka bercerita itu dan ini,” ucap Puan Sri Kamariah ketika mereka menyediakan buah-buahan yang dibawa oleh Hanif tadi untuk pencuci mulut.

            “Tapi Eqi tu dia dah semakin menjadi-jadi. Bila saya tegah, dia akan buat muka. Nina ni umi dia, bu.”

            “Sebab kamu cemburu, dia dah berikan perhatian pada Hanif berbanding kamu. Ibu suka dengan Hanif tu. Dia nampak tak berpura-pura. Kalau boleh, dipercepatkan ikatan kamu ni. Ibu nak sangat tengok kamu bahagia, Nina.” Ibu Hanina mengelap air mata yang mengalir.

            Hanina menggenggam kemas jari kanan ibunya, “Nina dah cukup bahagia sekarang, bu. Bahagia sangat. InsyaAllah, Nina cuba yang terbaik.”


  
         
Hanina mengiringi Hanif ke kereta. “Macam mana dengan keluarga saya?”

“Jauh dari apa yang saya bayangkan. Ingatkan mereka akan tanya tentang background saya tapi tak sangka, lain pula yang ditanya. Saya suka dengan keluarga awak, Hani.” Hanif ketawa kecil. Itulah, berfikiran negatif sangat.

“Alhamdulillah. Maaf apa yang saya katakan masa makan malam tadi. Cuma saya tak nak awak terlalu manjakan Eqi. Nanti dia akan besar kepala.”

“Saya bukan nak manjakan dia tapi apa yang dia buat tu, tak menyusahkan saya langsung. Saya suka bila dia perlukan perhatian saya.”

“Mungkin pada awal ni awak tak kan rasa susah tapi bila dah lama nanti, awak akan sedar apa yang saya katakan ni.”

Hanif mengeluh. Dia faham apa yang Hanina katakan itu. Hanina sudah pasti berfikir bahawa dia buat semua ini hanya kerana hubungan mereka yang masih baru. “Nampaknya, awak masih tak nampak apa sebenarnya yang ada dalam hati saya, Hani. Sayang saya pada Eqi bukan hanya untuk sementara dan saya buat begini bukan disebabkan mempunyai maksud yang tertentu. Nak kata saya ikhlas, keikhlasan itu tak perlu diungkap. Kerana keikhlasan itu terbit dari hati kita.”

“Hanif... Bukan itu yang saya maksudkan...” Hanina mendekati Hanif.

“Saya percayakan awak. Saya percaya, awak sayangkan kami berdua dan kami juga begitu. Tapi saya nak awak jangan terlalu manjakan sangat Eqi tu. Nak ke saya ulang tayang cerita anakku Sazali?”

Kali ini Hanif pula yang ketawa besar. Faham benar apa yang dimaksudkan oleh Hanina itu. “InsyaAllah, kalau kita jaga Eqi dengan cara yang betul. Dia takkan jadi macam tu.”

“Semoga segalanya akan baik-baik saja. Awak baliklah. Dah lewat benar ni.  Itulah awak, ada ke patut ungkit tentang hal ehwal ekonomi, walid saya memang pantang dengar.” Jika tidak kerana dia mengingati sudah lewat malam, pasti walid dan Hanif tidak habis membicarakan tentang ekonomi negara.

“Dah memang itu yang saya ajar. Okeylah, saya balik dulu. Awak peluk cium Eqi untuk saya ya. Kesian dia.. Letih sangat la tu sampai tertidur kat pangkuan saya. Awak rehat ya, sayang. Sampaikan salam terima kasih saya pada walid dan ibu awak.”

Hanina mengangguk. Sudah tidak kisah jika Hanif memanggilnya sayang. “Hati-hati bawa kereta. Call saya bila awak dah sampai rumah ya?”

“Saya tak nak ganggu awak tidur nanti.”

“Just leave a message then.”

“Okey...”

Pintu kereta dibuka dan sebelum Hanif masuk ke perut kereta, langkahnya terhenti. “Awak cantik sangat malam ni, Hani. You’re the most beautiful girl in my life. I love you.”

Hanina tertunduk malu. Pujian Hanif itu membuatkan dia berasa sungguh bahagia. Pujian dari orang tersayang, begini rasanya. Benarlah, hatinya sudah terpaut pada Hanif. Dia berharap sangat agar Hanif akan sentiasa berdampingan dengannya setiap masa.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar