BAB 16
“Hujung minggu ni kita balik kampung ya?” ucap Hanif pada Hanina. Dia cuba berlagak tenang dengan memandang ke hadapan, merentas kesesakan jalan raya.
Hanina mengangkat keningnya. Dia menoleh ke belakang lalu tergeleng-geleng bila melihat Rafieqi sudah terbaring lesu setelah makan tengahari bersama tadi.
“Awak dah bagitahu mak awak eh?” Tonasi suara Hanina cuba diperlahankan agar tidak mengganggu lena Rafieqi.
“Dah... Saya dah bagitahu dia yang saya nak bawa Hani dan Eqi balik kampung jumpa dia.”
Hanina melihat reaksi Hanif yang tenang itu namun hatinya pula yang berasa ragu. “Awak dah bagitahu tentang status saya pada mak awak?”
“Dah..,” balas Hanif perlahan. Dia yakin pasti Hanina akan tertanya-tanya bagaimana dia memberitahu maknya.
“Apa dia kata?”
“Saya nak awak dan Eqi datang jumpa dia. Saya nak sangat dia tahu yang saya bahagia di samping awak dan Eqi.”
Dari apa yang Hanif katakan itu, Hanina yakin emak Hanif pasti tidak dapat menerimanya. Dia faham sangat-sangat.
“Awak pasti nanti dia tak kan halau kami berdua?”
Hanif menoleh sekilas ke arah Hanina. Hatinya pedih mendengar pertanyaan wanita kesayangannya itu.
“Saya ada, Hani. Awak tahu kan yang saya akan jaga awak dan Eqi? Kita berdoa agar mak saya lembut hati melihat kepetahan Eqi dan betapa baiknya layanan awak pada saya nanti.”
Hanina hanya mengangguk perlahan tanpa bersuara. Sudah dijangka bahawa perkara ini akan terjadi. Dia tahu kesan yang akan dia terima jika menerima Hanif dalam hidupnya. Walau rumah tangganya bersama dengan Rafael tidak lama, namun dia tahu bagaimana pentingnya keluarga mertua. Dia harus membeli hati keluarga mertua agar mendapat restu dari pihak sana. Itulah yang dia lakukan dulu, hubungannya dengan ibu bapa Rafael sangat baik sekali. Kali ini pula dia tidak tahu mahu berbuat apa. Dia tahu akan kekurangan dirinya. Semuanya tidak memadai jika hanya Hanif yang menerima dirinya dan Eqi. Emak Hanif juga memainkan peranan yang penting untuk mahligai mereka bina.
“Sayang... Please don’t be sad. Mak tak kenal Hani lagi. Mak juga tak jumpa Eqi lagi macamana orangnya. Saya akan pujuk mak agar dapat menerima semua ni.”
“Saya okey...”
“Kalau awak belum bersedia nak jumpa mak, tak apa. Saya boleh tunggu sehingga awak bersedia.”
Sedih. Itulah yang Hanif rasakan saat dia memberitahu hajatnya yang hendak membawa Hani dan Eqi balik kampung untuk berjumpa dengan emaknya. Dia teringat kata-kata ibu dan walid Hanina yang mengatakan bukan senang untuk para ibu bapa menerima bakal menantu janda mahupun duda. Benarlah semua itu.
“Saya dah sedia. InsyaAllah, niat kita baik kan dan saya percayakan awak sebagaimana awak percayakan saya.”
“Terima kasih sayang. Terima kasih sangat-sangat.” Jika tidak memikirkan hubungan mereka yang belum halal ini, mahu saja dia mengusap lembut jari-jemari Hanina.
Hanina hanya tersenyum. Dia bahagia di samping Hanif namun jika emak Hanif sendiri yang menegah sekeras-kerasnya, siapalah dia mahu melawan. Dia cuba mengembirakan hati dengan memikirkan bahawa Hanif pasti akan ada di sampingnya dan Eqi tapi perasaan sedih itu sukar mahu dihapuskan.
Diam Hanina membuatkan Hanif teringat kata-kata emaknya semalam. Dia sungguh teruja mahu memberitahu Hajah Latifah bahawa dia hendak membawa teman istimewa balik kampung untuk berjumpa dengan emaknya namun sebaliknya yang dia terima.
“Mak... Hanif nak bawa teman balik Kedah ni.”
“Iya ke ni? Alhamdulillah... Syukur akhirnya hang bawa juga bakal menantu mak. Ingatkan hang tak nak bawa balik untuk jumpakan pada mak.”
Senyuman sudah meniti bibir Hanif dengan penerimaan emaknya itu. “Mak mestilah kena jumpa bakal menantu mak dulu. Restu mak penting buat Hanif.”
“Baiklah, bila nak bawa balik ni? Mak nak masak untuk kamu nanti. Nak telefon kakak-kakak hang untuk datang rumah. Seronok kalau ramai.”
“Hujung minggu ni mak. Macam biasa. Hanif datang bertiga ni.”
“Eh? Bertiga? Hang balik dengan Nuqman sekali ka?”
Pertanyaan emaknya itu membuatkan hati Hanif tiba-tiba saja berdebar. Apa akan jadi pada emaknya bila dia memberitahu bahawa dia balik bersama Hanina dan juga Rafieqi? Senangkah hati orang tuanya itu? Atau sebaliknya yang berlaku?
“Hmm... Hanif balik dengan Hanina dan Eqi.”
“Jadi Hanina ni la bakal menantu mak? Yang Eqi tu siapa pula? Kawan hang ke?”
Terasa kelat dia menelan liur. Baru dia sedar bukan senang mahu memberitahu tentang status Hanina pada emaknya. Jika emaknya menerima dengan hati yang terbuka, Alhamdulillah tapi kalau tidak, hatinya pasti hampa.
“Eqi, bakal anak Hanif.”
“Apa hang merepek ni? Bakal anak apa?” Suara Hajah Latifah sudah berubah.
“Jangan hang kata, teman yang hang suka ni janda. Mak tak nak,” ujar emak Hanif bila dia hanya diam tanpa kata apa.
“Mak..,” panggil Hanif perlahan. Hatinya benar-benar pedih dengan penolakkan emaknya itu.
“Betul ka ni Hanif?”
“Betul mak... Hanif sayangkan dia sangat-sangat. Eqi anak yang baik. Mereka berdua buat Hanif bahagia, mak.”
“Mak tak mau. Hang bujang Hanif, yang nak memilih perempuan janda tu buat apa? Dah habis ka perempuan bujang kat Malaysia ni? Mak tak mau!”
Hanif melurut rambutnya. Kenapa emaknya membuat keputusan melulu sebegini tanpa mengenali Hanina dan Rafieqi?
“Mak jumpa dengan mereka dulu, baru mak tahu apa yang Hanif rasa mak. Tolonglah, kenal hati budi Hanina dulu mak.”
“Mak tak sangka perempuan yang hang tergila-gilakan ni janda. Apa dah jadi pada hang ni?”
“Hanif tetap Hanif mak... Tak ada yang berubah. Cuma inilah pilihan Hanif. Hanif sayangkan dia dan anak dia mak. Bila mereka ada di sisi Hanif, rasa kehidupan Hanif dah lengkap.”
Bagaimana lagi dia mahu menjelaskan pada Hajah Latifah tentang perasaannya pada Hanina?
“Mak kata, mak akan terima siapa saja pilihan Hanif. Tapi kenapa jadi macam ni mak?”
“Mak maksudkan perempuan bujang bukan janda! Mak tak kisah kalau kamu nak pilih perempuan mana asalkan dia bujang dan baik. Ini, dah la janda, ada anak pula tu!”
“Hanif tetap akan bawa Hanina dan Eqi balik kampung hujung minggu ni. Hanif akan tunggu depan pintu rumah sehingga mak terima kami masuk. Hanif nak sangat restu mak, tolonglah. Dah lapan tahun Hanif pendam perasaan Hanif pada dia mak.”
Tanpa sedar, air mata Hanif mengalir. Selama ini, dia jarang sekali merayu untuk meminta apa-apa dari emaknya. Tapi untuk saat ini, dia benar-benar perlu merayu agar emaknya menerima pilihan hatinya.
“Hang sedar tak apa yang hang dah buat ni, Hanif?”
“Hanif sedar mak. Hanif sedar apa yang Hanif buat ni. Cuma Hanif merayu sangat pada mak, tolonglah kenali dulu siapa Hanina yang sebenar. Mak akan nampak apa yang Hanif nampak dalam diri dia.”
Kedengaran Hajah Latifah mendengus. Hanif tetap dengan pendiriannya. “Suka hati hang lah. Jangan pula nanti hang mempertikaikan layanan mak ni pada dia. Mak tetap dengan keputusan mak.”
Tidak mengapa jika itu yang Hajah Latifah katakan, yang penting orang tua itu menerima kedatangan mereka hujung minggu ini. Hanif menarik nafas lega. Dia berdoa agar emaknya akan menyukai Hanina dan Rafieqi. Tidak kira dari segi apa, janji dapat menerima mereka berdua dalam hidup Hanif.
P/S : Salam semua... Ya... Saya memang tahu n3 kali ne ciput aje.. hehehe.. tapi inilah dia n3 untuk kali ne... harap anda menyukainya... Enjoy ya... Lots of love, FN
Tidak ada komentar:
Posting Komentar