BAB 17
Awal pagi sabtu itu, mereka berangkat untuk balik ke kampung Hanif. Antara Damansara dan Sungai Petani, Kedah hanya memakan masa hampir empat jam lamanya. Hati Hanina dan Hanif sama, rasa gelisah dan berdebar.
“Awak tak apa-apa ke ni?”
“Tak apa-apa. Biasa saja.”
Sekali lagi Hanif menoleh ke arah Hanina, cuba memberikan senyuman agar wanita itu tidak berasa risau.
“Saya ada. Saya akan jaga awak dan Eqi. Percayalah.”
Hanina tersenyum seraya mengangguk.
“Papa... Kat kampung, nenek aje ke yang ada? Atuk?”
Tiba-tiba Rafieqi yang duduk di belakang menyampuk.
“Nenek aje sayang. Atuk dah lama meninggal,” ujar Hanif.
“Mesti best kan balik kampung umi? Kawan Eqi bagitahu best balik kampung.” Teruja Rafieqi bila diberitahu hendak balik ke kampung halaman Hanif. Sedangkan tidak pernah sekalipun anak itu pergi ke perkampungan.
“Best... Kalau Eqi balik dengan papa, pasti best.”
“Nanti kita tidur kat rumah nenek ya?” pertanyaan Rafieqi itu membuatkan Hanina menoleh ke arah Hanif.
“Tak sayang... Kita tidur tempat lain.” Itulah keputusan Hanina, dia akan menetap di hotel berdekatan. Dia yakin sangat dengan penerimaan mak Hanif nanti.
“Saya risau Hani, risau bila awak tinggal kat hotel, berdua aje dengan Eqi,” ucap Hanif perlahan agar Rafieqi tidak mendengar butir bicaranya.
“Tak kan la nak tinggal kat rumah awak? Sedangkan awak tahu apa akan jadi nanti.”
Hanif mengeluh. Ya, memang dia tahu apa yang bakal terjadi nanti tapi dia juga risau jika membiarkan Hanina dan Rafieqi tinggal di hotel. Hanina masih belum fasih di tempat kelahirannya ini.
“Saya akan bincang dengan mak saya ya.”
“Daripada dia benci saya lebih banyak lagi, kita ikut aje apa yang dia mahukan. Awak janganlah desak dia.”
“Umi dengan papa cakap apa?” tanya Rafieqi yang di belakang. Susah dia mahu bergerak kerana
sudah mengenakan tali keledar keselamatan.
“Papa cakap kat umi, nanti kat sana pemandangan cantik. Eqi pasti suka.”
“Ye ke? Yeay!” Hanina tersenyum melihat gelagat Rafieqi. Sedikit sebanyak hatinya yang gelisah itu kini kembali ceria.
“Kalau Eqi lapar, bagitahu umi ya sayang. Kita makan bekal yang umi bawa sebelum singgah kat R&R.”
Selepas saja solat Subuh, Hanina terus menyediakan beberapa makanan ringkas sebagai bekal mereka sebelum singgah di mana-mana R&R. Dia juga risau jika Rafieqi berasa lapar dalam perjalanan.
Hati Hanina semakin berdebar bila dia sudah ternampak rumah perkampungan berwarna hijau itu. Rumah yang kelihatan besar dan kawasan yang kemas dengan bunga-bunga segar.
“Itu kereta kakak-kakak awak kut,” ujar Hanina bila melihat ada tiga buah kereta yang terparkir di hadapan rumah Hanif.
“A’ah. Kereta abang ipar saya. Yang warna putih tu pula, kereta mak.”
Hanina mengangguk perlahan, Jika ditanyakan apa yang dia rasa saat ini, sudah pasti dia tidak tahu menggambarkan bagaimana. Takut, risau, gelisah semua ada. Dia menoleh kebelakang, kasihan melihat Rafieqi yang terlentok lena itu.
“Tawakal Hani... Saya yakin awak boleh hadapi semua ni. Niat kita baik.”
“Awak janganlah risau. InsyaAllah saya boleh handle.”
Bila kereta sudah terparkir dengan seeloknya, Hanina melihat ada seorang lelaki dan wanita keluar dari rumah mak Hanif itu. Mungkin menyambut kedatangan mereka. Dia menarik nafas panjang agar dia tidak kelihatan gemuruh berhadapan dengan keluarga Hanif.
“Eqi sayang, bangun. Kita dah sampai.” Hanina mengejutkan Rafieqi. Terpisat-pisat anak itu untuk bangun.
“Tak payahlah kejutkan dia.. Biar dia tidur. Saya angkat dia naik atas aje,” ujar Hanif seraya membawa beg pakaian. Beg pakaian Hanina dan Rafieqi sengaja ditinggalkan dalam kereta.
“Tak apa.. Dia kena bangun juga, nanti lewat pula dia nak tidur.”
Cepat saja Hanif meletakkan beg pakaian di meja luar rumah. Tangan Rafieqi dicapai bila melihat anak itu masih lagi mamai. Buah tangan yang diberikan oleh ibu bapa Hanina juga dikeluarkan. Banyak sungguh sebenarnya. Ada buah-buahan, ada kain Italian silk untuk mak dan kakak-kakak Hanif. Pantas abang ipar Hanif datang menolong.
“Eh, banyaknya barang,” ujar Shahrul, suami kakak Hanif yang sulong.
“Buah tangan dari dia bang. Saya bawa je.”
Hanina tidak tahu mahu buat apa, bila melihat kakak Hanif mendekati, cepat saja dia menghulurkan tangan.
“Assalamualaikum,” sapa Haiza, kakak sulong Hanif.
“Walaikumsalam,” jawab Hanina. Dia memerhatikan reaksi wajah kakak Hanif yang kelihatan ramah padanya.
“Sayang, yang ni, kakak sulong saya. Haiza namanya.” Tidak mahu Hanina berasa janggal, pantas Hanif memperkenalkan kakaknya pada Hanina.
“Panggil kak Ija aje.. Hanina, kan? Cantik orangnya.”
“Terima kasih kak..,” segan dipuji begitu.
“Mak dan Risa mana kak?” tanya Hanif.
“Ada kat dalam.” Perubahan suara Haiza itu sudah menggambar bahawa mak dan Harisa seperti tidak sudi mahu menjemput mereka masuk.
“Jomlah masuk. Yang ni siapa nama?” Kepala Rafieqi diusap lembut.
“Rafieqi tapi panggil Eqi aje.” petah Rafieqi menjawab.
“Comel! Nanti kat dalam, Eqi akan jumpa adik. Adik Omar.”
“Wow! Nak-nak...” Rasa mamai sudah hilang bila diberitahu bahawa dia mempunyai kawan yang berpangkat adik.
Masuk ke dalam rumah, mak Hanif mahupun seorang lagi kakak Hanif tidak kelihatan. Hanina bukan mahu kedatangannya disambut cuma dia mengharapkan agar mak Hanif munculkan diri.
“Eqi... Jangan nakal ya sayang.” Sempat Hanina berpesan pada Rafieqi.
“Mak awak mana?” tanya Hanina walaupun dia tahu mak Hanif tidak mahu berjumpa dengannya.
“Kat dapur barangkali. Sekejap, saya cari dia,” ujar Hanif. Dia juga terasa dengan perbuatan mak dan kakaknya, Harisa. Yang ada di ruang tamu Cuma Omar dan Idrus, suami Harisa.
“Saya ikut awak. Tak kan la mak awak pula yang nak jumpa saya. Saya yang seharusnya menghadap dia,” bisik Hanina.
“Kak Ija, tolong tengok-tengokkan Eqi sekejap. Saya dan Hani nak jumpa mak.”
“Iya... Cakap elok-elok dengan dia. Bukan kau tak tahu mak tu.”
Mereka pergi ke ruang dapur, Hajah Latifah tidak kelihatan. Yakinlah Hanif bahawa maknya berada di dalam bilik. Entah kenapa, dia geram dengan Harisa. Kenapa pula kakaknya itu buat perangai. Tiba-tiba pula menghilangkan diri. Ketika dia bertanyakan Idrus, abang iparnya memberitahu dia bahawa Harisa tidak mahu keluar bilik.
Tombol pintu dipulas, dia nampak emaknya duduk di birai katil.
“Mak..,” seru Hanif.
“Hanif bawa Hanina datang jumpa mak.”
“Tak kan la sampai masuk dalam bilik.” Dingin suara itu bergema.
“Dah mak tak keluar, Hanif bawa la masuk.”
Jawapan Hanif itu membuatkan lagi hati Hajah Latifah panas. Dia menjeling anak bongsunya itu.
Hanina mendekati Hajah Latifah, tidak dipeduli jika mak Hanif mahu mengherdiknya atau tidak menyambut huluran tangan darinya, dia sudah bersedia menerima.
“Mak cik apa khabar?” Lama huluran tangannya tidak disambut.
“Mak..,” tegur Hanif. Sedih sekali melihat perbuatan maknya kali ini.
Teragak-agak Hajah Latifah menyambut huluran tangan Hanina itu. Walau tidak setuju, namun apa yang dia lihat pada Hanina membuatkan hatinya terusik. Berlainan dengan apa yang dia jangkakan selama ini. Dia ingatkan janda yang beranak satu ini berpenampilan menjolok mata, sebab itu ditinggalkan suami. Namun hatinya tetap keras tidak mahu menerima bakal menantu yang berstatus janda.
“Hanina ada bawa buah tangan untuk mak dan kakak... Jomlah keluar mak. Saya balik sini nak jumpa mak, takkan pula mak nak berkurung dalam bilik?”
“Mak tak pinta apa-apa pun. Yang hang dok bawa barang tu buat pa?”
Sekali lagi Hanina terasa. Terasa dengan kata-kata Hajah Latifah. Namun dia cuba tersenyum.
“Niat Hanina sekeluarga ikhlas berikan semua tu mak.”
Namun Hajah Latifah hanya diam. Hanina juga jadi kaku, tidak tahu mahu buat apa. Hendak dipujuk, sudah terang lagi bersuluh, Hajah Latifah tidak menyukainya. Hendak memandang dirinya juga bagaikan tidak lalu. Hanya sekejap cuma mak Hanif mengerling padanya.
“Hanif kecewa mak... Sedih, kecewa dengan penerimaan mak. Benarlah, mak kotakan janji mak. Hanif datang minta restu sebab Hanif tak nak membelakangkan keluarga. Tapi apa yang Hanif dapat? Mak macam ni... Risa pula buat hal, macam dia pula yang nak kahwin.”
Kata-kata Hanif itu membuatkan air mata Hanina mengalir. Begitu sekali Hanif menyayanginya. Dia tidak mahu kelihatan lemah di hadapan keluarga Hanif namun air matanya sukar mahu dikeringkan.
“Memang saya tak sempurna mak cik, tapi saya ikhlas menyayangi Hanif. Saya tahu kekurangan yang ada pada diri saya dan maafkan saya kalau itu yang menjadi punca segala-galanya.”
“Hani... Dah la... Kita keluar.” Hanif mengajak Hanina keluar dari bilik Hajah Latifah. Untuk apa lagi berlama di situ jika maknya berdegil tidak mahu menerima Hanina.
“Awak...”
“Jom la... Nanti tercari-cari pula Eqi.”
Akhirnya Hanina akur walaupun banyak lagi yang hendak dia katakan pada Hajah Latifah.
Keluar dari bilik tersebut, Eqi mendekati mereka. “Nenek mana?”
“Nenek kat dalam bilik sayang. Dia nak rehat. Eqi jangan ganggu ya.”
“Eqi nak jumpa nenek.”
“Eqi jumpa adik Omar dulu, main-main dengan dia. Lepas tu baru jumpa nenek.” Cadang Hanif dan Rafieqi setuju.
“SAYA HAPPYakhirnya mak awak keluar juga,” beritahu Hanina ketika Hanif menghantar mereka ke hotel berdekatan.
“Awak jangan ambil hati dengan apa yang mak dan Risa cakapkan tadi tu.” Marah Hanif pada Harisa belum surut lagi. Dia benar-benar geram dengan mulut lancang kakaknya yang kedua itu.
“Tak apa. Aku boleh buat kerja ni. Kalau dah tetamu tu, buat cara tetamu. Nak tunjuk baik pun sekarang ni, tak ada guna kalau nanti naik kepala. Lepas tu jadi janda lagi.” Ayat pedas yang keluar dari mulut Harisa membuatkan Hanina terjeda. Niatnya yang mahu menolong menyediakan bahan-bahan masakan itu jadi terbantut.
“Kau cakap elok-elok sikit Risa,” marah Hanif. Jika tidak mengenangkan adanya Hanina dan Rafieqi, pasti pergaduhan akan berlaku. Kan elok kalau Harisa berterusan mengurung diri dalam bilik, bentaknya geram dalam hati.
“Kalau tak nak aku banyak cakap, bawa buah hati kau ni ke depan. Dia ada kat sini, buat kerja aku jadi lambat.”
Makan hati sungguh Hanina berada di rumah Hanif ini. Hanya Haiza dan abang ipar Hanif saja yang dapat menerimanya. Dia juga kasihan bila melihat Rafieqi cuba untuk mendekati Hajah Latifah.
“Nenek... Eqi ada kerja sekolah, lukisan. Cikgu nak Eqi lukis gambar keluarga. Eqi dah lukis nenek, atuk kat KL. Eqi juga dah lukis nenek girl dengan atuk boy. Tinggal nenek aje lagi.” Kegelisahan terpancar di wajah Hajah Latifah dalam melayan kerenah Rafieqi yang menjadikan Hanina risau. Risau jika kerenah Rafieqi itu membuatkan lagi mak Hanif tidak menyukai dia dan anak.
“Nenek pergi mana? Eqi ikut nenek ya?” tanya Rafieqi bila Hajah Latifah cuba hendak lari dari budak enam tahun itu.
“Pergi main dengan Omar.”
“Eqi dah main dengan adik Omar tadi. Eqi nak dengan nenek.”
Namun Rafieqi seorang budak yang degil, dia tetap mengekori ke mana saja Hajah Latifah pergi beserta dengan kertas lukisannya sekali.
“Awak jaga diri, esok pagi lepas solat Subuh, saya temankan awak dan Eqi sarapan ya.”
Hanina hanya mengangguk. Hari ini dia benar-benar letih. Hati dan perasaannya teruji.
“Papa... Nak salam,” ujar Rafieqi serta menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Hanif.
Hanif tersenyum, kenapa budak comel sebegini tidak menarik perhatian maknya? Pipi Rafieqi dikucup lembut. “Eqi happy tak hari ni?”
“Happy sangat-sangat. Suka dengan adik Omar. Eqi suka dengan nenek juga. Tadi nenek kasi Eqi gula-gula besar.” Kenyataan yang membuatkan Hanif dan Hanina terkejut.
“Mana gula-gula tu?”
“Eqi simpan. Nenek tak nak Eqi bagitahu papa dan umi.”
Hanif dan Hanina memandang satu sama yang lain. Dan kedua-dua mereka tersenyum. Sedikit lega dengan apa yang Hajah Latifah lakukan itu walaupun bukan secara terang-terangan.
Ketika hendak masuk ke dalam rumah, Hanif terdengar suara yang sedikit riuh-rendah. Seperti ada pertelingkahan.
“Mak sedar tak apa yang mak dah lakukan pada Hanina? Risa? Yang kau nak marah sangat ni kenapa? Cakap main lepas aje.” Marah Haiza pada Harisa. Harisa memeluk tubuh seraya menjeling Haiza.
“Mak tak nak bermenantukan janda. Sebab tu mak tak nak berikan dia harapan.”
Hanif mendekati mereka. Baru sebentar tadi dia rasa sedap hati dengan penerimaan maknya pada Rafieqi tapi... Hatinya kembali sedih.
“Saya sayang dia mak.”
“Yang kau sayang sangat kat dia tu kenapa? Dia janda, tahu tak Hanif? Kau tu bujang. Kau boleh dapat perempuan yang lebih baik lagi. Ini tak, nak juga yang janda beranak satu tu.”
“Risa.. Boleh tak jangan kata macam tu,” tegur Idrus. Tidak suka bila isterinya bersuara lantang dalam menghalang hubungan Hanif.
“Ini hal keluarga saya, bang. Saya berhak kata macam tu.”
“Bukan kau yang nak kahwin dengan dia, Risa. Aku! Aku yang akan hidup dengan dia. Bahagia, suka, duka aku, aku yang tanggung. Ada aku susahkan kau?” Jika Harisa lantang menghalang, Hanif juga lantang bersuara. Antara dia dan Harisa, hanya jarak setahun. Dia lebih menghormati Haiza kerana Haiza seorang yang memahami. Lagi-lagi jarak umur mereka lima tahun.
“Sedarlah Hanif. Tak senang nak kahwin dengan janda beranak ni. Hang sekarang memang la kata gini sebab dah suka, dah cinta. Mana nak nampak kesan yang akan jadi masa hadapan. Cuba bila ada anak sendiri, hang akan tahu apa yang mak maksudkan ni.”
“Ija akan sokong Hanif walau apapun. Mak sedar tak apa status Ija masa kahwin dengan Abang Shahrul? Ija janda mak...” Sebak bila mengenangkan status janda diperkotak-katikkan.
“Kamu lain. Kamu bercerai mati. Lagipun tak ada anak.”
“Apa yang lainnya? Tetap dah kahwin, kan? Saya tetap janda mak. Abang Shahrul pun masa tu berstatus bujang. Macamana mak menolak Hanina, itulah juga yang Ija rasa bila mak Abang Shahrul tak dapat terima Ija. Mak tak akan tahu apa yang Ija rasa, sebab Ija pendamkan semuanya. Tapi Ija tak boleh biarkan Hanina diperlakukan sebegini juga. Apa yang Hanina nak buat tadi tu, itulah yang pernah Ija lakukan untuk membeli hati mak Abang Shahrul. Ija sedih... Sedih bila mak sendiri tak jauh beza dengan yang lain.”
Hajah Latifah terdiam. Haiza juga seorang janda. Baru setahun mendirikan rumah tangga, suami meninggal dunia kerana kemalangan. Dulu dia memang mengharapkan sangat agar keluarga Shahrul dapat menerima Haiza tanpa mempertikaikan.
“Kau Risa, jangan ingat hidup kita akan selalu berada di atas. Kau belum tahu lagi masa depan kau. Hina sangat ke status janda ni? Kalau kau rasa begitu, kau juga anggap akak ni hina di mata kau.”
Bila keadaan semakin tegang, Shahrul dan Idrus cuba beralih keluar rumah. Memberikan ruang untuk adik-beradik itu menyelesaikan masalah yang ada. Itulah yang selalu mereka lakukan jika ada pertelingkahan berlaku jika membabitkan keluarga mertua mereka.
Haiza meneruskan lagi kata-katanya bila melihat Idrus sudah keluar dari rumah. “Kau kena ingat, sudah lima tahun kau kahwin dengan Idrus, tapi sampai sekarang kau belum memperolehi zuriat. Zuriat ni penting untuk suami, Risa. Kalau dia bertegas, kita boleh kena tinggalkan. Jadi kau fikirlah. Jangan lancang sangat berkata-kata. Sebab kita tak tahu apa akan jadi pada kita kemudian hari.”
“Akak doakan saya yang tak elok?”
“Akak cuma ingatkan kau aje. Hanina bercerai ada sebabnya dan kau belum mempunyai zuriat juga ada sebabnya. Hanya Dia yang tahu perjalanan hidup kita. Jadi sedarlah. Kadang-kadang mulut ni boleh binasakan diri sendiri.”
Harisa menangis. Dia terasa dengan kata-kata kakaknya itu. Haiza mendekati Harisa lalu memeluk erat adiknya itu. “Maafkan akak. Akak juga pernah melalui saat-saat yang sukar dan akak tak nak orang memandang rendah pada wanita yang berstatus janda. Jodoh Allah dah tetapkan. Janda, duda mahupun bujang, semuanya sama. Tak ada beza.”
Semakin nyaring tangisan Harisa. “Maafkan akak... Akak sayang dengan adik-adik akak... Jadi akak tak nak kau orang bergaduh hanya disebabkan perkara ni. InsyaAllah, ada rezeki, perut ni akan terisi.” Perut Harisa diusap lembut.
Hanif juga berasa sebak, sebak kerana Haiza mempertahankanya bersungguh-sungguh. Maknya juga kelihatan mengalirkan air mata.
“Mak...” seru Hanif.
“Bawalah mereka kembali, Hanif. Maafkan mak. Mak cuma pentingkan diri. Tak fikir apa yang telah terjadi pada kakak hang dulu.”
Terduduk Hanif di hadapannya Hajah Latifah bila maknya berkata begitu. “Mak... Terima kasih mak. Terima kasih sangat-sangat. Hanina wanita baik mak. Hanif yakin dia boleh membahagiakan Hanif. Hanif juga gembira dengan adanya Eqi. Dia bagaikan permata hati Hanif.” Pipi Hajah Latifah dikucup lama. Bahagia sungguh yang dia rasa kini.
Dia berdiri mendekati Haiza, kakaknya itu dipeluk erat. “Terima kasih kak... Terima kasih kerana sokong saya.”
Dia menoleh ke arah Harisa. Masih ada sisa air mata di pipi kakaknya itu lalu dia mengesat lembut. “Aku tahu kau sayangkan aku, sebab tu kau nak aku pilih wanita yang terbaik. Tapi inilah cintaku, Risa. Aku bahagia dengan dia. Kau janganlah ambil hati sangat dengan apa yang Kak Ija katakan tu. InsyaAllah, perut ni akan terisi. Sabar la.” Dia juga turut memeluk Harisa.
“Maafkan aku,” ujar Harisa dalam tersedu-sedan.
“Kenapa pula kakak aku yang gagah selama ni boleh cengeng begini?” usik Hanif. Terus Harisa menolakkanya.
“Cengeng kau kata! Pergilah panggil Abang Shahrul dengan Idrus tu. Kesian mereka. Setiap kali kita bertengkar, mereka pasti keluar.”
“Dah kau yang tak nak Idrus masuk campur, mana taknya.”
“Haniffff!!” Geram Harisa dengan Hanif namun akhirnya dia juga kembali tersenyum. Sedar akan kelancangan mulutnya selama ini. Seharusnya dia tidak bersuara lantang dalam mempertikaikan kehidupan orang lain sedangkan kehidupannya juga tidak sempurna.