ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SEJAHTERA :)
Saya dah kembali.. InsyaAllah, saya akan cuba update selalu PDH tapi hanya untuk 4 bab saja lagi... selainnya akan saya siaplan untuk full manuskrip :) Enjoy ya. Saya rindu anda semua.
BAB 17
Makan tengahari kali ini, Nuh Qays terpaksa meluangkan masa bersama dengan Izdiyad, mulanya dia ingin mengajak Qisya Zulaikha tapi disebabkan Izdiyad sudah datang ke pejabatnya jadi dia terpaksa menurut. Qairina juga ada bersama. Tidak duduk diam kembarnya itu melihat sekeliling, pasti melihat kelibat Qisya Zulaikha.
“ Jomlah. Kenapa tak tunggu kat bawah saja? Tak payah nak naik sampai ke bilik kerja aku. Aku bukan bos besar kat sini, nanti orang fikir aku memandai bawa kawan keluar masuk pejabat ni,” ujar Nuh Qays, mendatar suaranya. Suka hati Izdiyad dan Qairina saja mahu datang ke tempat kerjanya. Sudahlah datang secara mengejut, tak nak pula tunggu di lobi, nak juga naik ke bilik kerjanya. Bukan dia tidak tahu dengan niat Izdiyad, mata lelaki itu juga liar melihat sekiling. Geram betul hatinya!
“ Kawan? Aku ni adik beradik kau la Abang. Tak kan orang nak complain! Nak aku gayang mulut dia orang tu?” Terhenti terus gerakan tangan Nuh Qays yang tadi mengemaskan sedikit mejanya dari berselerak sebelum dia keluar makan bersama dengan Qairina dan Izdiyad.
“ Kau ingat syarikat ni ayah yang punya? Fikirlah sikit, Kaka. Aku bukan nak makan gaji buta, nak bawa kawan atau adik beradik berkelah atau lepak dekat tempat kerja. Lagipun aku bukan macam kau, angan saja tinggi menggunung tapi kerja tak setimpal dengan apa yang nak dicapai. Dah lah baju menjolok mata. Buat malu saja!”
“ Kau ni..!” Qairina sudah mula sakit hati dengan kata-kata Nuh Qays itu.
“ Hishh! Dah lah. You yang nak join kita orang lunch Rina, kalau you nak gaduh... I rasa lebih baik kita batalkan saja.” Izdiyad cuba meleraikan bibit-bibit pertengkaran antara Qairina dan Nuh Qays itu. Jika dibiarkan pasti akan melarat. Izdiyad tidak terasa dengan kata-kata Nuh Qays itu, baginya Nuh Qays cuma ingin menyakitkan hati Qairina.
Itu lebih baik! Bentak hati Nuh Qays. Ini beratus kali ganda lebih baik, dapat juga dia meluangkan masa dengan Qisya Zulaikha.
“ Okay! You ni..” Keluh Qairina manja. Akhirnya dia mengalah. Lengan Izdiyad dipaut lembut. Segala permintaan Izdiyad, pasti akan Qairina penuhi.
Meluat Nuh Qays melihat gaya gedik Qairina itu. kembarnya itu pasti akan lembut hati jika Izdiyad yang bersuara. Tapi dia tahu Qairina pasti akan melawan atau memberontak secara halus atau mencari orang tengah untuk membalas dendam untuk diri sendiri agar Qairina sentiasa kelihatan baik di mata Izdiyad. Lihat saja apa yang berlaku pada Qisya Zulaikha.
Mata Nuh Qays menghala pada gegaran telefon bimbitnya di atas meja itu. Ada satu pesanan ringkas. Dari Izdiyad? Dia mengakat wajahnya, kelibat dua manusia itu sudah keluar dari bilik kerjanya.
-Ajak Zulaikha sekali. Aku nak lunch dengan dia juga-
“ Shit!” Semakin meluap rasa marah Nuh Qays dengan pesanan ringkas Izdiyad itu. Terus saja jari menekan nombor telefon Qisya Zulaikha.
Selepas saja menjawab salam Qisya Zulaikha, pantas Nuh Qays memberi arahan, “ jangan keluar ofis. Diyad dengan Rina ada kat sini. Saya take away makanan untuk awak saja.”
“ Tak apa abang, saya suruh Ifa take away untuk saya. Lagipun saya banyak kerja sekarang ni. Tak ada masa nak lunch kat luar.”
Nuh Qays terdiam seketika. Adakah dia terlalu mengikut kata hatinya yang cemburu itu? Jadi dia ingin mengawal isterinya itu dengan sepenuhnya. Rasa kasihan pada Qisya Zulaikha kerana isterinya itu hanya mengikut apa yang dia arahkan. Kerana selama dia menjadi suami Qisya Zulaikha, Nuh Qays dapat rasakan bahawa ada perasaan istimewa dalam hati Qisya Zulaikha padanya. Mungkin tidak banyak tapi walau sedikit sekalipun, dia sangat berpuas hati. Atau itu cuma perasaannya saja? Itu yang kurang pasti sebenarnya.
“ Abang..,” seru Qisya Zulaikha.
“ I’m sorry...”
“ Abang kenapa ni? Sorry for what?”
“ Saya lunch dengan mereka. Ingat nak lunch dengan awak tadi.”
Nuh Qays terdengar Qisya Zulaikha ketawa kecil. “ Tak apa.. Saya pun sibuk sekarang ni. Encik Aizat cuti emergency, sebab tu kena buat banyak benda.”
Sedap hati Nuh Qays mendengar kata-kata Qisya Zulaikha. Yang dia semakin sedap hati, Aizat juga cuti mengejut. Tidak ada yang perlu dia fikirkan buat sementara ini.
“ Okey.. Nak saya bawa balik makanan ke atau Ifa?”
“ Ifa sajalah. Abang pergilah lunch. Nanti Kak Rina hairan pula tengok abang bergayut ni.”
Nuh Qays tersenyum, jika Qisya Zulaikha di hadapannya, pasti wanita itu akan dipeluk kerana memahami situasinya.
“ Okay then. Awak take care. I love you.”
“ Abang juga. Jaga diri.”
Tidak berkelip mata Qisya Zulaikha memandang telefon bimbitnya itu setelah menekan butang merah. Hatinya berbunga mendengar ucapan dari Nuh Qays. Ini adalah pertama kali lelaki itu mengatakan ‘I love you’ kepadanya. Sebelum ini ‘Saya sayang awak’ sentiasa meniti di bibir suaminya itu. Lebar senyuman Qisya Zulaikha.
Mungkin orang lain akan mengatakan bahawa dia dengan mudah dan cepat menerima Nuh Qays dalam hidupnya. Tidak pernah kenal rapat apatah lagi bercinta, hanya kerana perasaan suka ketika di zaman universiti, dan kini... dia benar-benar sudah jatuh cinta terhadap Nuh Qays. Benarlah... Cinta itu kadang-kadang memerlukan masa tapi kadang-kadang juga cinta itu tidak memerlukan banyak masa untuk kita menerima seseorang itu dalam hidup kita.
“ Hah! Senyum... Cik adik manis kita ni. Ini mesti Encik abang yang call tadi ni.” Qisya Zulaikha menjeling manja Ifa yang tersengih-sengih itu.
“ Tak semestinya okey!” Qisya Zulaikha cuba menafikan.
“ Elehh.. Muka jiwang macam ni, memang aku kenal sangat la.”
Tiba-tiba Ifa menarik lembut lengan Qisya Zulaikha. Dia mendekatkan wajahnya ke telinga kawan baiknya itu. “ Tadi aku nampak kawan dan kembar Encik Nuh. Risau juga hati aku ni, kut perempuan tu meroyan nanti. Tapi aku tengok, elok aje dia tadi tergedik, terliuk dekat kawan Encik Nuh tu. Baju dia, mak aihh! Kalau mak aku yang tengok aku pakai baju macam tu, memang terus kena tanam hidup-hidup la jawapannya. Dah lah ketat, seksi pula tu. Confirm seksa mata pekerja lelaki dekat ofis kita ni.”
Qisya Zulaikha tergelak. Memang dia tidak hairan. Ketika di universiti lagi gaya Qairina sebegitu. Selalunya, orang akan menyalahkan ibu bapa kerana tidak mendidik anak dengan baik tapi adakah semua itu kesalahan ibu bapa sepenuhnya? Jika anak sudah keras kepala, selalu ikut kata hati sendiri, memang sukar untuk dibentuk lagi. Jika orang menyalahkan ibu bapa Nuh Qays tentang cara pemakaian Qairina, kenapa Nuh Qays sendiri berpakaian sopan? Itu yang menjadi satu pertanyaan. Jadi kesimpulannya, jangan mudah menuding jari. Ibu bapa ada peranannya yang tersendiri tapi apa yang paling penting adalah diri sendiri. Jika Qairina tidak mahu berubah, walau berguni sekalipun nasihat yang diberikan oleh ibu bapanya pasti tidak akan berjaya.
“ Biasalah Ifa. Dia kan fashion designer. Gaya mesti meletop.”
“ Elehh.. Tahi kucing dia. Entah-entah, baju yang dia pakai tadi tu, bekas kain yang dia guna untuk buat baju. Lebih-lebihan tu dia tempel aje kat badan dia. Sungguh, aku yang tengok ni pun, naik segan. Rasa nak aje aku tutup dengan lapik meja aku.”
Pecah tawa Qisya Zulaikha. Kalau Ifa yang berkata, memang ayat sempoi pasti akan didengar dari mulut wanita itu.
“ Aku lupa, Encik Nuh juga siap mesej aku. Suruh aku take away makanan untuk kau. Ambik berat betul Encik Nuh dekat kau Ikha. Sweet saja aku baca. Kau nak baca tak SMS dia?” Ifa mengunjukkan telefon bimbitnya pada Qisya Zulaikha. SMS Nuh Qays sedia dibuka untuk dilihatkan pada kawan baiknya itu.
-Tolong take awaykan makanan untuk Zulaikha. Pastikan dia makan ya. Saya tak nak apa-apa terjadi nanti. Terima kasih Ifa- Nuh
Sekali lagi Qisya Zulaikha tersenyum. Rasa terharu bila Nuh Qays sempat menghantar pesanan ringkas kepada Ifa.
“ Haih! Senyum sampai ke telinga!”
“ Mestilah!” jawab Qisya Zulaikha pantas. Memang dia rasa gembira sangat.
“ Nak makan apa ni? aku tapaukan untuk kau dekat gerai kak Munah. Aku pun nak makan kat ofis ajelah,” tanya Ifa.
“ Aku nak nasi goreng kampung. Bagi extra sambal tau! Air, aku nak fresh orange.”
Qisya Zulaikha mengambil duitnya lalu dihulurkan dua not RM10 kepada Ifa. “Nah!”
“ Tak payah. Encik abang kau dah kata, dia akan bayar untuk kau.”
Qisya Zulaikha memandang pelik. “ Tak ada pun dia cakap dekat SMS tu.”
“ Memang la. Dia mesej aku lagi sekali dan aku belum tengokkan dekat kau pun.”
Qisya Zulaikha menjeling Ifa. Lalu dia mengelongkar bekas peti masuk SMS yang Nuh Qays hantar pada Ifa. Hah, jumpa!
-Lupa nak bagitahu, saya akan bayar makanan Zulaikha lepas lunch ni. Apapun yang dia nak, awak iyakan saja. Terima kasih Ifa- Nuh
“ Puas hati? Dah lah, aku nak jalan. Kau siapkan kerja kau sekarang. Nanti kita makan sama-sama,” arah Ifa sebelum beredar.
Memang Qisya Zulaikha berpuas hati. Tersengih juga dia bila Ifa menjeling tanda mengusiknya. Tangan pantas menekan papan kekunci untuk meneruskan kerjanya tapi senyuman memang tidak lekang dari bibirnya.
*****
“ Kau pakai cincin Nuh? Perkembangan yang baru ni.” Mata Izdiyad terpanah pada jari manis Nuh Qays. Memang sangat menghairankan kerana Nuh Qays memang tidak suka memakai perhiasan walaupun cincin. Lelaki itu hanya mementingkan kekemasan dalam kehidupan. Menjaga penampilan dalam segala aspek. Nuh Qays mana tahu jenis-jenis cincin segala bagai ni.
“ Saja, cincin ni sangat special kat aku,” jawab Nuh Qays. Dia meneruskan suapannya tanpa menghiraukan pandangan yang Qairina dan Izdiyad lemparkan.
“ Kau dah ada girlfriend ke Abang?”
“ Kalau ya, kenapa?”
“ Aku nak jumpa dia. Nak tengok juga macam mana perempuan tu.”
Nuh Qays mendengus kasar. “ Buat apa? Buang masa dia saja jumpa kau, Kaka. Jangan risaulah, dia jenis yang tak tayang badan pada orang lain.”
“ Err.. Siapa orang tu Nuh? Serius ke kau dengan dia? Kau tak habaq pun kat aku.” Cepat saja Izdiyad mencelah. Dia tidak mahu pertengkaran bermula lagi. Melihat wajah Qairina yang sudah memerah menahan geram itu, pasti akan meletop kalau dia tidak mencelah. Jarinya meramas lembut tangan Qairina, agar wanita itu tidak memuntahkan geramnya.
“ Memang aku serius. Tak ada seorang pun yang dapat halang hubungan aku. Kalau ada yang cuba buat macam tu, dia kena ingat antara hidup atau mati saja nanti.” Matanya merenung tajam ke arah Qairina. Sebenarnya kata-kata itu ditujukan kepada Izdiyad dan Qairina. Dia pasti tidak akan membiarkan kedua-dua manusia di hadapannya ini menghalang hubungannya dengan Qisya Zulaikha.
“ Kalau ibu dan ayah tak setuju, kau tak boleh buat apa-apa juga Abang.” Sinis kata-kata itu dari Qairina. Dia mencebik. Belum apa-apa, dah mengada-ngada perempuan tu! bentaknya geram pada ‘teman wanita’ Nuh Qays.
“ Selagi kau tak masuk campur, tentang ibu dan ayah tu, kau tak payah risau. Sebab memang aku tahu taste ibu macam mana.”
“ Jadi yang bertudung la ni?” teka Izdiyad. Memang tidak mustahil Nuh Qays akan memilih wanita yang bertudung kerana Nuh Qays jenis yang tidak berfoya-foya sepertinya.
“ Orang yang bertudung sekarang ni cuma nak ikut trend aje. Perangai entah apa-apa!” selar Qairina. Dia teringatkan Qisya Zulaikha, wanita bertudung yang berlagak baik!
“ Jangan cakap tentang orang lain Kaka. Kau kena tilik diri kau dulu. Sekurang-kurangnya mereka ada keinginan nak menutup aurat. Kau? Layak ke orang yang macam kau ni dikata alim? Orang tengok sebelah mata pun tahu yang kau memang tak solat. Tak tahu dosa pahala,” balas Nuh Qays geram. Puas hatinya bila melihat Qairina menentang matanya. Pandai-pandai saja cakap macam tu, kurang ajar betul! Hati Nuh Qays memberontak.
“ Hey! Kau ni memang kan.. Kalau kau tak sakitkan hati aku, memang kau tak akan puas! Kita tengoklah nanti puteri gunung mana yang kau bawa balik. Hebat sangat ke dia. Setakat tudung lilit sana sini, tak semestinya dia solat juga. Entah perangai dia lebih jahat berbanding dengan perempuan yang macam aku ni.”
“ Sayang please... Dah lah... Kau Nuh, janganlah berkeras sangat. Nak perbesarkan hal ni buat apa? Ini yang aku malas ni.” Sekali lagi, Izdiyad cuba meleraikan pertengkaran Nuh Qays dan Qairina itu.
“ So, lain kali, kalau nak keluar dengan aku.. jangan bawa dia sekali.” Tangan telunjuk Nuh Qays naik tepat ke arah Qairina.
“ Aku pun tak inginlah! Menyemak aje.” Pantas tangan bersilang ke dada. Mata Qairina menjeling Nuh Qays.
Izdiyad hanya mampu menggeleng. Tidak tahu hendak kata apa lagi. Walau hebat macam mana pun pertengkaran Nuh Qays dan Qairina, pasti akan berbaik kembali walaupun bukan sebaiknya.
“ Aku jalan dulu. Tak larat nak hadap dia ni.” Nuh Qays menghempaskan napkin ke atas meja.
Nuh Qays meninggalkan Izdiyad yang terpinga-pinga itu, sakit saja hatinya bila meluangkan masa bersama dengan Qairina. Perempuan itu hanya mahu nak menang saja tapi bila dengan Izdiyad, menyerah sebelum berlawan! Cair sebelum waktunya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar