P/S : Ini adalah last entry dalam blog. Saya harap anda menyukainya. Maaf jika ada kekurangan. Saya akan letak sedikit preview PDH supaya anda tak lupakan Nuh dan Zulaikha.. hihihihihi. OK! Tak nak membebel lebih, saya hidangkan bab 20. Terima kasih.
BAB 20
Pagi itu hati Qisya Zulaikha semakin berdebar bila Nuh Qays menyatakan bahawa lelaki itu akan menjemputnya untuk datang ke rumah orang tua Nuh Qays yang kini merangkap keluarga mertuanya. Hanya sekeping roti bakar yang mengalas perutnya untuk sarapan pagi walaupun perut sudah terasa sebu kerana semalam juga dia makan cuma ala kadar saja.
Semalam dia terpaksa tinggal berseorangan kerana ibu Nuh Qays menginginkan Nuh Qays bermalam di sana. Mulanya Nuh Qays cuba untuk mengelak tapi Qisya Zulaikha yang mendesak agar lelaki itu hanya menurut permintaan ibu Nuh Qays.
“ Macam mana dengan Ikha? Abang tak nak Ikha tinggal seorang. Hati abang pasti tak tenteram. Please, jangan desak abang.”
“ Tolonglah dengar kata ibu. Kesian dia, kan dia baru balik. Abang tak payah risau tentang Ikha. Ikha dah biasalah tinggal seorang ni,” ujar Qisya Zulaikha. Bukan dia tidak biasa tinggal berseorangan. Dulu ketika tinggal di rumah peninggalan abahnya, dia juga selalu berseorangan kerana hampir setiap malam Mak Su ke masjid, mengaji. Hendak harapkan Afiah, memang malamlah! Sepupunya itu memang tidak lekat di rumah. Rumah itu seperti hotel saja dibuat Afiah. Boleh keluar masuk sesuka hati.
“ Nak abang call mak su, suruh temankan Ikha?”
“ Tak apa! Tak nak menyusahkan mak su. Ikha betul-betul tak apa. Semalam aje abang tidur kat sana.”
Cepat saja Qisya Zulaikha menjawab agar Nuh Qays tidak risau akan dirinya. Dia bukan jenis yang mementingkan diri sendiri. Nuh Qays bukan miliknya mutlak, ada seorang ibu yang menginginkan kasih sayang Nuh Qays juga.
“ Tapi abang dah rindukan Ikha. Serius! Abang tak tipu.”
Qisya Zulaikha tergelak kecil. Suara Nuh Qays kedengaran manja. Macam budak kecik!
“ Ya, Ikha percaya. Ikha juga macam tu. Tapi yang penting sekarang ni, abang kena jaga hati ibu. Kesian dia, Ikha takut dia berjauh hati dengan abang.” Tenang saja tutur bicara Qisya Zulaikha. Siapa yang tidak merindui suami? Apatah lagi mereka masih baru dalam berumahtangga.
“ InsyaAllah. Kita berdoa saja ya.. Okeylah sayang, ibu nak masuk bilik. Nanti abang call Ikha lagi. Jaga diri. Abang cintakan Ikha. Assalamualaikum.”
“ Walaikumsalam.”
Lagi sekali Qisya Zulaikha cuba tersenyum dalam gentar. Dia teringat kembali bicaranya bersama Nuh Qays ketika suaminya itu menghubunginya. Rasanya, semalaman dia tidak dapat tidur memikirkan tentang hal mereka. Masa yang lapang, dipenuhi dengan ayat-ayat zikir yang teralun di bibir. Dia sujud, berdoa pada Yang Maha Esa agar segalanya dipermudahkan oleh-Nya. Ya Allah Ya Tuhanku, tenangkanlah hatiku ini dan permudahkanlah segalanya. Doa Qisya Zulaikha dalam hati lagi. Tiba-tiba saja dia terasa tubir matanya mulai panas dan kabur. Setitis air mata mulai jatuh tapi cepat saja dia menyeka. Dia harus kuat. Dia percaya, Allah lebih tahu segala yang tersurat dan tersirat dalam hidupnya.
Bunyi bell sudah kedengaran. Sudah pasti itu Nuh Qays. Qisya Zulaikha membuka kunci pintu dan sebaik saja pintu terbuka, dia menerima pelukan hangat dari Nuh Qays.
“Abang rindukan Ikha.”
Qisya Zulaikha sudah tidak mampu berkata lagi, air mata yang disekat tadi, kini mengalir dengan deras. Esakan kecil mulai kedengaran.
“ Ikha kenapa ni?” Terkejut Nuh Qays dengan tangisan Qisya Zulaikha itu. Takut jika wanita itu diapa-apakan ketika ketiadaannya. Dia memegang lembut pipi Qisya Zulaikha agar wanita itu memandangnya.
“ Ikha...”
“ Ikha tak apa-apa. Cuma Ikha rindukan abang.”
Nuh Qays memandang tepat pada mata Qisya Zulaikha. Dia ingin tahu jika apa yang dikatakan isterinya itu adalah benar.
“ Ikha please.. Abang tahu bukan pasal ni aje.”
“ Ikha takut...” Sejerus berkata sebegitu, Qisya Zulaikha menyembamkan wajahnya ke dada Nuh Qays.
Nuh Qays mengusap lembut kepala Qisya Zulaikha yang sudah ditutupi dengan tudung. Dia faham perasaan isterinya itu. Dia juga rasa bimbang yang amat sangat dengan semua ini.
“ Ikha.. Allah sentiasa bersama kita. Jadi ini adalah usaha dan ikhtiar kita untuk meyakinkan ibu dan ayah, doa juga sememangnya tidak pernah putus dari kita dan tawakal kepada-Nya untuk sebarang kemungkinan. Ingat, abang akan sentiasa lindungi Ikha. InsyaAllah.”
Walaupun tidak semuanya terhapus rasa gementar dalam diri tapi sedikit sebanyak, kata-kata Nuh Qays itu memberikan Qisya Zulaikha semangat untuk mengatasi.
Dalam perjalanan ke rumah orang tua Nuh Qays. Qisya Zulaikha banyak mendiamkan diri. Bibir sentiasa berzikir. Hatinya mulai cemas bila Nuh Qays sudah masuk ke perkarangan rumah yang tersergam indah. Rumah yang dihiasi taman dan bunga-bunga cantik.
“ Kita dah sampai.” Nuh Qays cuba tersenyum. Dia yang seharusnya kuat dalam hal ini. Jika dia nampak lemah menghadapi situasi ini, macam mana Qisya Zulaikha ingin bergantung hidup padanya.
“ Abang, Kak Rina macam mana?” tanya Qisya Zulaikha. Dia baru teringat tentang Qairina.
“ Dia ada urusan. Dia kata, seharian dia akan kerja. Ada fesyen show yang akan berlangsung tak lama lagi katanya. So Ikha tak usah risau, dia tak akan ada hari ni.” Qisya Zulaikha hanya menggangguk. Sekurang-kurangnya, ketiadaan Qairina melegakan hatinya.
Qisya Zulaikha terasa langkahnya longlai sekali. Kakinya terasa bergetar seakan tidak mencecah bumi. Jemarinya dipegang kemas Nuh Qays. Peluh mula memenuhi dahi.
“ Assalamualaikum. Ibu.. ayah..,” laung Nuh Qays sebaik saja mereka menjejakkan kaki ke dalam rumah.
“ Walaikumsalam.” Suara wanita kedengaran.
Hati Qisya Zulaikha mulai berombak kembali. Mata memandang seorang wanita tua yang menuruni anak tangga.
Puan Nurain terjeda seketika melihat kedatangan Nuh Qays bersama wanita bertudung. Mata memandang tepat pada pegangan yang kejap di jari-jemari wanita muda itu.
“ Bapaknya.. Abang dah balik.” Puan Nurain memanggil Tuan Haji Qaid untuk ikut serta di ruang tamu itu.
“ Ibu..,” sapa Nuh Qays pada ibunya seraya bersalaman. Qisya Zulaikha juga mengikuti rentak Nuh Qays itu.
“ Siapa?” tanya Puan Nurain. Mata terarah pada wajah Qisya Zulaikha.
“ Sa.. saya Qisya Zulaikha..,” gugup Qisya Zulaikha memperkenalkan diri.
“ Kita duduk dulu ibu, ayah,” saran Nuh Qays. Dia sudah tahu perubahan di wajah kedua-dua orang tuanya.
Ketika sudah memastikan kedua-dua ibu bapanya duduk dengan sebaiknya. Nuh Qays mula melutut di hadapan orang tuanya.
Qisya Zulaikha terkejut dengan perbuatan Nuh Qays itu tapi tanpa banyak soal, dia juga mengikut Nuh Qays. Melutut di hadapan Tuan Haji Qaid dan Puan Nurain.
“ Abang... Kenapa ni?” tanya Tuan Haji Qaid cemas. Dia memandang isterinya dengan penuh tanda tanya.
“ Sebelum Abang terangkan semuanya. Abang nak minta ampun dari ibu dan ayah..”
“ Kenapa Abang ni? Jangan kata pada ibu yang Abang dah terlanjur.” Cepat saja Puan Nurain memintas sebelum Nuh Qays menghabiskan bicara. Otaknya tidak dapat mencerna dengan baik bila secara tiba-tiba saja Nuh Qays meminta ampun darinya dan suami. Fikirannya mula memikirkan yang bukan-bukan apatah lagi tadi dia nampak Nuh Qays berpegangan tangan dengan wanita muda itu.
“ Tak! Bukan macam tu ibu, ayah.”
“ Jadi kenapa?” kini Tuan Haji Qaid pula yang bersuara.
“ Abang dan Ikha dah bernikah.”
“ Apa?!” Terkejut kedua-dua ibu bapa Nuh Qays. Puan Nurain mengurut dadanya. Kenyataan yang benar-benar mengejutkan dari Nuh Qays.
“ Ya Allah Abang... Apa yang kamu dah buat ni?” Bergetar suara Puan Nurain. Dia tidak menyangka Nuh Qays akan membelakangkan dirinya dalam hal ini. Perkara ini bukan hal kecil, tapi tentang pernikahan!
“ Ibu.. ayah.. Dengar dulu apa yang Abang nak terangkan. Ingat masa ibu dan ayah hendak berangkat ke Mekkah, Abang tak sihat masa tu dan pada masa yang sama, Abang perlukan dokumen yang sangat penting untuk diserahkan.. Dan orang bertanggungjawab serahkan dokumen tu adalah Qisya Zulaikha...” Nuh Qays menoleh ke arah Qisya Zulaikha. Cuba mencari kekuatan dari pandangan redup isterinya.
Nuh Qays meneruskan kata-katanya dengan menjelaskan satu persatu kepada ibu dan ayahnya. Qisya Zulaikha di sisi hanya turut mengangguk. Mengiakan apa yang Nuh Qays katakan.
“ Abang minta maaf sekali lagi ibu, ayah.” Sejurus kata sebegitu, air mata Nuh Qays mengalir. Dia berharap sangat agar ibu dan ayahnya memahami apa yang melanda dirinya dan isteri.
Tanpa dipaksa, air mata Qisya Zulaikha juga turut sama mengalir dengan deras. Dari suara Nuh Qays itu, dia tahu suaminya menangis. Dia menyeka air matanya berkali-kali.
Puan Nurain terasa sayu mendengar kata-kata anaknya itu. Apatah lagi melihat Nuh Qays dan Qisya Zulaikha menitiskan air mata. Memang dia sukar untuk percaya jika Nuh Qays membuat perkara yang tidak senonoh. Dia kenal benar dengan anak lelakinya itu. Tapi ada seperkara yang dia inginkan penjelasan dari Nuh Qays.
“ Ibu dan ayah nak cakap dengan Abang sekejap. Bolehkan?” Puan Nurain memandang suaminya, mengharapkan suaminya bersetuju dengan permintaannya itu. Jadi Tuan Haji Qaid hanya mengangguk
“ Tapi Ikha?” tanya Nuh Qays pantas.
“ Abang.. Ikha tunggu kat luar.” Faham dengan maksud kata Puan Nurain yang hanya mahu bercakap dengan Nuh Qays. Lantas Qisya Zulaikha harus memberi ruang kepada mereka.
“ Tak apa. Ibu berbincang dalam bilik bacaan saja. Ikha tunggu kat sini. Suria, sediakan minuman dan kuih untuk Puan Ikha.” Puan Nurain sempat berpesan pada pembantu rumah untuk menyediakan minuman dan kuih.
Qisya Zulaikha sedikit terkejut dengan kata-kata ibu Nuh Qays itu. Matanya mengiringi pemergian Puan Nurain.
“ Ikha tunggu ya. Ayah naik dulu,” kata ayah Nuh Qays pula.
“ Abang pergilah cepat. Ikha tunggu kat sini.” Sekali lagi Qisya Zulaikha cuba meyakinkan Nuh Qays dengan melemparkan senyuman.
“ Jangan biar mereka tertunggu-tunggu abang,” sambung Qisya Zulaikha lagi bila melihat Nuh Qays seakan ragu.
Nuh Qays hanya mengangguk. Dia mengatur langkah untuk menuju ke bilik bacaan. Hatinya rasa sedikit pelik dengan tindakkan ibunya itu. Kenapa mahu berjumpa dengannya saja? Sedangkan dia mahu ibu dan ayahnya berkenalan dengan Qisya Zulaikha. Dia juga tidak mahu dengan cara ini akan merusikkan hati Qisya Zulaikha.
Masuk saja ke bilik bacaan, Nuh Qays memandang ibu dan ayahnya. Sekali lagi, dia melutut di hadapan orang tuanya.
“ Jangan macam ni Abang. Duduk aje kat sini,” saran Tuan Haji Qaid. Dia mahu Nuh Qays duduk di sofa.
“ Tak apa ayah. Jika ibu dan ayah rasa semua ni salah Abang, Abang sanggup sujud meminta ampun.” Mata Nuh Qays dikalihkan untuk memandang Puan Nurain bila melihat ibunya hanya membisu. “Ibu tolong jangan hukum kami macam ni. Ikha sendiri pada mulanya tak dapat menerima. Tapi semua ini adalah takdir untuk kami.”
“ Ikha tu... Orang yang pernah kamu bela dulu kan? Wanita yang dibenci oleh Kaka?” tanya Puan Nurain.
“ Ya.. dialah Zulaikha.”
“ Abang sayang dia?”
“ Sangat sayangkan dia ibu. Bukan hanya disebabkan pernikahan kami tapi sememangnya dari dulu lagi Abang cintakan dia,” jelas Nuh Qays. Dia mahu ibunya tahu bahawa dia mencintai Qisya Zulaikha sepenuh hati.
“ Macam mana dengan dia pula? Adakah dia juga sayangkan Abang.”
“ Pada mulanya memang Abang tak tahu yang dia sayangkan Abang tapi sekarang Abang amat yakin bahawa dia juga sayang dan cintakan Abang,” jawab Nuh Qays dengan penuh yakin.
“ Betul ke perkara ini Abang tak tahu siapa dalangnya? Ibu tak mahu kerana Abang sayangkan dia, dan Kaka bencikan dia jadi Abang buat perkara yang salah.”
Pantas saja Nuh Qays mengangkat wajahnya. Dia terkejut dengan kata-kata yang ibunya lemparkan. “ Apa maksud ibu?”
“ Ain, tak kan Abang sanggup buat macam tu?” Tuan Haji Qaid mencelah. Dia seakan mengerti apa yang dimaksudkan isterinya itu.
Puan Nurain mengangkat tangannya memohon agar suaminya tidak komen apa-apa tentang ini. Dia hanya mahu menduga Nuh Qays kerana dia tahu, jika seseorang sudah jatuh cinta, kadangkalanya sanggup berbuat apa saja demi mencapai hasrat yang dimahukan. Apatah lagi Qairina adalah salah seorang penghalangnya.
“ Betul ke bukan Abang yang perangkap diri sendiri untuk mengahwini Ikha?”
“ Ya Allah! Abang tak pernah terniat nak buat macam tu ibu. Demi Allah! Abang sanggup menjunjung Al-Quran kalau ibu tak percaya.”
Sungguh, Nuh Qays amat terkejut dengan soalan ibunya itu. Walaupun dia ingin mendekati Qisya Zulaikha tapi bukan dengan memerangkap diri sendiri. Bila dia diberikan dua pilihan antara nikah dengan membayar denda, memang dia memilih nikah kerana baginya itu adalah yang terbaik. Bukan saja menutupi maruah keluarga malah dia dapat memiliki Qisya Zulaikha.
Puan Nurain menarik nafas lega. Alhamdulillah...
“ Bagi ibu, memang perkara ni mengejutkan kami tapi... ibu tak dapat nak menafikan takdir yang telah ditetapkan oleh-Nya. DIA lebih mengetahui segala-galanya. Jika kamu sudah ditakdirkan bersatu dengan cara macam ni, ibu redha. Dan ibu bersyukur kerana Abang dijodohkan dengan orang yang Abang suka. Yang selebihnya, kena tanya ayah.” Puan Nurain memberikan keputusan darinya. Dia sebagai manusia tahu, sesuatu itu tidak dapat dijangkakan. Jika Allah menginginkan sebegitu, dia tidak ada kuasa untuk menghalangnya. Allah lebih tahu segala-gala perkara.
“ Terima kasih ibu.” Lantas Nuh Qays memeluk Puan Nurain. Dia tidak dapat menahan sebak, hatinya sangat terharu dengan penerimaan ibunya itu.
“ Ayah...,” seru Nuh Qays. Dia mahu kata putus dari ayahnya pula walaupun dia tahu ayahnya jenis yang sangat memahami.
“ Betul kata ibu. Semua ni takdir yang menentukan. Apa yang penting, berusaha ke arah kebahagian di dunia dan akhirat Abang. Jagalah dia dengan sebaiknya.”
“ Terima kasih ayah.” Sekali lagi, pelukan diberikan kepada Tuan Haji Qaid. Syukur Alhamdulillah... Ibu dan ayahnya dapat menerima pernikahannya dengan Qisya Zulaikha.
“ Jomlah keluar... Kesian isteri kamu dah lama tunggu,” pelawa Puan Nurain. Dia ingin berkenalan dengan Qisya Zulaikha, menantunya.
Qisya Zulaikha memandang kelibat tiga manusia yang baru menuruni anak tangga. Hatinya mula disapa debar. Bila melihat Nuh Qays memaut lengan Puan Nurain dengan senyuman di bibir, hatinya mula bertanya, okey ke tak ni?
“ Sayang..,” sapa Nuh Qays tanpa rasa malu.
Qisya Zulaikha cuba tersenyum. Dia masih tidak tahu jawapan dari kedua-dua ibu bapa Nuh Qays.
“ Kamu makan tengahari kat sini ya.. Ibu nak masak makanan kegemaran Abang. Ikha suka makan apa? Kalau bahan-bahan melengkapi makanan kegemaran Ikha, ibu boleh masakan sekali.”
Terpinga-pinga Qisya Zulaikha dengan bicara Puan Nurain. Seolah-olah tidak berlaku apa-apa. “ Err.. Saya, mana-mana pun boleh.”
“ Abang, cuba kamu jelaskan pada Ikha. Ayah tengok dia macam keliru,” ujar Tuan Haji Qaid seraya tersenyum. Geli hatinya melihat wajah Qisya Zulaikha yang takut-takut itu. Puan Nurain juga turut tersenyum.
“ Ibu dan ayah terima kita Ikha. Alhamdulillah.”
“ Ya ke? Terima kasih ayah. Terima kasih ibu.” Qisya Zulaikha mencium tangan Puan Nurain. Dia bersyukur sangat dengan semua ini.
“ Semoga kamu bahagia nak... Jaga Abang dengan sebaiknya,” pesan Puan Nurain seraya memeluk Qisya Zulaikha bagi merasmikan bahawa itulah menantunya.
“ Dah lah. Tak nak sedih-sedih. Ibu nak masak. Nanti lewat pula kita nak makan tengahari.”
“ Ikha temankan ibu.”
“ Tak apa Ikha. Ibu boleh buat.”
“ Tak apa bu. Ikha boleh tolong ibu.” Celah Nuh Qays pula. Biarlah Qisya Zulaikha yang menemani ibunya, bolehlah mereka berbual mesra lagi.
“ Kalau tak menyusahkan Ikha, ibu okey saja.”
“ Memang tak menyusahkan bu,” jawab Qisya Zulaikha sopan. Mereka mula melangkah ke ruang dapur tapi dikejutkan dengan kedatangan seseorang.
“ Suria! Ambilkan aku..,” laungan Qairina terhenti bila memandang seseorang yang dia benci.
“ Apa kau buat kat sini? Apa betina ni buat kat sini ibu?!” Seperti orang hilang akal, Qairina memekik.
Tujuan Qairina datang semula ke rumah disebabkan dia tertinggal fail yang melengkapi rekaannya. Dia tidak sedar bahawa dia sudah tersalah ambil fail dan ingin menukar pada fail yang dimahukannya. Sememangnya hatinya sudah panas dengan kecuaiannya sedangkan dia amat kesuntukan masa. Tidak lama lagi acara gemilang akan berlangsung dan beberapa pakaiannya akan digunakan untuk tatapan umum. Sampai saja ke rumah, dia dihidangkan dengan kedatangan seseorang yang amat dibencinya.
Nuh Qays terus bangkit dari duduk. Dia menarik Qisya Zulaikha agar dekat padanya. Yang lebih tepat lagi, berdiri di belakangnya.
“ Kau jangan nak memekik macam tu dekat ibu Kaka! Kau nak makan penampar aku?” Panas hati Nuh Qays bila Qairina sesuka hati memekik pada ibunya.
“ Apa betina ni buat kat sini? Kau jangan nak bawa pengotor datang sini Abang!”
“ Dia datang sebagai isteri aku. Kenapa? Apa hak kau nak halang dia dari datang ke sini?” jawab Nuh Qays dengan lantang.
“ What? Nonsense!”
“ Ianya bukan karut. She’s my wife and she’s your sister in-law! Kau faham tak?”
“ No! Aku lebih rela kau kahwin dengan perempuan jalanan berbanding dengan betina ni!” Walaupun Qairina terkejut dengan pemberitahuan Nuh Qays tapi dia tetap lantang mempertahankan apa yang dia rasa. Yakinlah dia bahawa Nuh Qays telah bernikah dengan Qisya Zulaikha pada malam itu. Malam yang seharusnya Afiah yang menjadi mangsa.
“ Kaka, tolong jangan macam ni. Hormat sikit boleh tak?” Tuan Haji Qaid mula bersuara tegas. Hatinya juga panas dengan cara percakapan Qairina.
“ Kaka tak kan hormat dengan betina macam dia ni. Hei! Apa yang kau dah guna-gunakan keluarga aku hah? Kurang ajar! Tak dapat Diyad, kau menggatal dengan Nuh pula.”
“ Kaka, jaga percakapan kamu!” Marah Puan Nurain. Sudah lama dia bersabar dengan sikap Qairina. Kadang-kadang anak perempuannya itu melampaui batas.
“ Dia perempuan yang cuba nak goda Diyad, ibu. Tak kan senang-senang ibu nak terima dia ni?”
“ Jangan cuba nak fitnah orang kalau kamu tak ada buktinya, Kaka. Ibu kecewa dengan kamu.”
“ Ahh! Hei, betina sial! Kenapa kau diam? Aku tak akan terima kau dalam keluarga ni. Bila aku dah benci, sampai bila-bila pun aku tetap akan benci kau!” Qairina cuba menghampiri Qisya Zulaikha. Ringan saja tangannya ingin menampar wajah Qisya Zulaikha.
Puan Nurain cuba menghalang Qairina dari menghampiri Qisya Zulaikha kerana dia tahu, Qairina seorang yang tidak dapat mengawal perasaan.
“ Kami balik dulu ibu, ayah. Abang takut nanti Kaka dapat penampar Abang.” Nuh Qays menarik tangan Qisya Zulaikha agar beredar dari situ.
Ketika Nuh Qays mengambil beg tangan isterinya di sofa, tanpa di sangka, Qairina menyerang Qisya Zulaikha. Habis tudung wanita itu ditariknya.
“ Ya Allah! Abang..,” seru Qisya Zulaikha. Dia sudah tidak sedar apa yang telah menghempap kepalanya. Kakinya lemah untuk berdiri lalu dia terjatuh.
“ Kaka!” jerit kedua-dua orang tua Nuh Qays.
“ Kurang ajar!” Sebelum Nuh Qays mengangkat tangan untuk menampar wajah Qairina, ternyata Tuan Haji Qaid yang mendahului. “ Ayah tak pernah ajar kamu macam ni, Kaka. Lebih baik kamu pergi sekarang sebelum ayah kerjakan kamu! Pergi!”
Sungguh, dia tidak menyangka bahawa Qairina akan memukul Qisya Zulaikha. Bukan saja menampar menantunya itu malah memukul dengan fail tebal yang sememangnya sudah ada di tangan Qairina.
“ Sampai hati ayah! Aku akan bunuh kau betina! Kau tunggulah nanti.” Qairina mengencam Qisya Zulaikha.
“ Kalau kau niat macam tu. Kau langkah mayat aku dulu, Kaka!” Semakin membara marah Nuh Qays bila Qairina berkata sebegitu. Matanya tajam memandang pemergian Qairina.
“ Ikha... Ibu minta maaf dengan perbuatan Kaka tu.” Hati Puan Nurain kecewa dengan sikap Qairina. Air matanya menitis. Qairina sudah jauh terpesong. Kenapa boleh jadi macam ini? Rintih hatinya.
Nuh Qays mendakap isterinya yang kelihatan lemah. Sebahagian rambut isterinya sudah kelihatan akibat Qairina menarik tudung Qisya Zulaikha. Dia geram kerana tidak sempat menghalang perbuatan Qairina itu. Segalanya berlaku dengan pantas.
“ Sayang.. I’am so sorry.” Dia mengusap kepala Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha hanya mampu menggeleng. “ Ikha tak apa-apa.”
“ Abang bawa Ikha rehat dulu. Pasti kepala Ikha sakit. Ayah tengok dia lemah,” saran Tuan Haji Qaid.
Tanpa menunggu lama, Nuh Qays mencempung Qisya Zulaikha untuk ke biliknya. Dia melihat titisan air mata yang mengalir di pipi isterinya itu. Sungguh, hatinya juga terasa sakitnya. Kalau tidak mengikutkan akal warasnya, pasti Qairina tidak akan dilepaskan.
“ Ikha rehat ya, sayang. Abang minta maaf sekali lagi atas tindakkan Rina tu.” Dia menarik komfoter agar menutupi badan Qisya Zulaikha.
“ Tolong temankan Ikha.”
Tanpa banyak soal, Nuh Qays hanya akur. Dia juga tidak mahu meninggalkan Qisya Zulaikha berseorangan. Dia mengeratkan pelukannya. Dan... dadanya yang berlapikan baju-T berkolar itu basah. Tahulah dia, Qisya Zulaikha masih menangis. Dia hanya membiarkan, jika itu lebih menenangkan hati isterinya.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar