Sabtu, 23 Juni 2012

NOVEL : PERANGKAP DUA HATI 19



BAB 19

Sebaik saja mengunci pintu utama setelah Qairina dan Izdiyad beredar, Nuh Qays bergegas ke bilik tidurnya. Dia hairan, pesanan ringkasnya tidak ada balasan dari Qisya Zulaikha. Matanya sempat melirik meja makan yang masih belum berkemas. Huh! Tahu nak makan saja, lepas tu blah. Dia ingat rumah aku ni restauran! Sempat lagi Nuh Qays mengomel dalam hati.

Nuh Qays membuka pintu bilik dengan perlahan, dia mengerling jam tangannya. Sudah hampir pukul sebelas tengah malam. Hampir dua jam juga dia melayan karenah Qairina dan juga Izdiyad. Nasib baik bilik mandi ada juga di bilik tidurnya, kalau tidak memang susah juga jika Qisya Zulaikha hendak ke tandas. Sememangnya, tidak pernah Qisya Zulaikha menggunakan bilik mandi di biliknya itu, kata isterinya, dia lebih selesa menggunakan bilik mandi yang ada di luar.

Hatinya belas melihat Qisya Zulaikha yang sudah terlena. Kenapa di awal usia perkahwinan kita tak seindah orang lain Ikha? Sungguh, abang mahu kita bahagia. Tiada penghalang yang meragukan kita berdua. Hatinya merintih mengenangkan nasib mereka. Dia mengusap rambut Qisya Zulaikha dan mengucup lembut dahi isterinya. Sebelum dia mengejutkan Qisya Zulaikha, ada baiknya dia membersihkan diri dulu.


“ Sayang...” Nuh Qays cuba mengejutkan Qisya Zulaikha. Kini dia sudah segar bugar dan  mahu mengajak isterinya itu makan di luar. Kasihan, Qisya Zulaikha belum sempat makan malam lagi.

Dengan perlahan kelopak mata Qisya Zulaikha terbuka. Dia seakan terdengar seseorang bersuara. “ Abang.. Maaf, saya terlena.”

“ Tak apa.. Abang cuma nak kejut Ikha sebab nak bawa makan kat luar. Ikha belum makan lagi, nanti perut masuk angin.” Untuk beberapa saat, Nuh Qays keliru. Dia membahasakan dirinya sebagai abang dan Qisya Zulaikha pula sebagai Ikha? Ya, sudah tiba masanya dia menukar cara percakapannya. Dia mahu kedengaran lebih sempurna lagi.

Qisya Zulaikha memandang Nuh Qays, dia mendengar dengan jelas suaminya itu menggunakan perkataan ‘abang’ dan ‘Ikha’ sebagai panggilan mereka.

“ Kenapa pandang abang macam tu?” tanya Nuh Qays. Dia tahu Qisya Zulaikha berasa pelik kerana dengan secara tiba-tiba saja bertukar jadi sebegitu.

“ Abang... Ikha..,” jawab Qisya Zulaikha dengan perlahan.

“ Kenapa? Ikha tak suka ke? Nak panggilan yang lebih romantis lagi? Nak panggil sayang, baby, honey, dear? What else eh... Ikha pilihlah.”

Laju Qisya Zulaikha menggeleng. Cukuplah dengan panggilan ‘abang’ dan ‘Ikha’ itu. Dia amat terharu. Sekurang-kurangnya tiada ‘saya’ ‘awak’ lagi lepas ini.

“ Tak.. Ikha selesa dengan panggilan macam ni. Thank you abang....”

“ Kenapa nak berterima kasih pula?”

“ Tak ada apa-apa.. Saja aje.” Cepat saja Qisya Zulaikha berdiri dari katil tapi sekali lagi tangannya disambar Nuh Qays.

“ Mesti ada apa-apa ni. Cepat bagitahu abang.”

“ Betul tak ada apa-apa!” Qisya Zulaikha cuba menyakinkan Nuh Qays. Niatnya berterima kasih itu cuma ingin menyatakan rasa gembiranya. Sememangnya dia teringin Nuh Qays menukar cara panggilan itu. Seperti pasangan suami isteri yang lain.

“ Jangan sampai abang buat macam tadi...” Nuh Qays cuba mengugut.

“ Abang berhak buat macam tu. Melainkan kalau ianya memudharatkan abang atau Ikha,” jawab Qisya Zulaikha agak berani. Tapi setelah melontarkan kata-kata itu, rasa menyesal pula! Bibir diketap. Dia memandang mata Nuh Qays yang galak memandang wajahnya.

“ Ikha nak keluar dulu...” Lagi sekali Qisya Zulaikha ingin melepaskan diri dari dikepung Nuh Qays.
Sungguh, kata-kata Qisya Zulaikha itu membuatkan hati lelaki Nuh Qays menginginkan kemesraan dan perkongsian bersama.

“ Ikha... Izinkan abang sentuh Ikha.” Akhirnya terkeluar ayat sebegitu dengan nada tertahan-tahan.
Qisya Zulaikha menelan liur. Rasa lapar sudah hilang entah ke mana. Dia melihat Nuh Qays semakin mendekatinya. Mungkin, tibalah masanya perkongsian dua hati. Untuk sekian kalinya, Qisya Zulaikha hanya mampu berserah.

******

Qisya Zulaikha mencari kelibat Nuh Qays di sisi. Dia tidak sedar suaminya itu tidak ada di sisinya. Mungkin disebabkan dia terlena tadi. Matanya melilau pada cahaya bilik mandi, seperti tidak ada orang di dalamnya. Ke mana perginya Nuh Qays. Mata mengerling jam yang terletak di tepi meja katil itu. Hampir pukul empat pagi. Bila mengenangkan layanan Nuh Qays semalam, dia malu sendiri. Bukan malu kerana tidak suka tapi terasa kebahagiaan yang menjulang. Dia masih teringat lagi kata-kata Nuh Qays ketika mereka bersama.

“Abang sayang dan cintakan Ikha dari dulu lagi. Percayalah dengan ketulusan hati abang.” Ketika itu memang dia tidak memahami sangat-sangat tapi sekarang, ayat itu seakan bermain di telinga dan mindanya.

Apakah makna ‘dari dulu’ itu pada Nuh Qays? Adakah semenjak mereka di zaman universiti? Tapi mana mungkin! Nuh Qays tidak pernah menampakkan tanda-tanda ingin mengenalinya. Mereka tidak pernah bertegur sapa cuma ketika mereka bekerja di tempat yang sama ini saja, Nuh Qays mula bercakap dengannya. Itupun cuma bercakap tentang kerja.

Dulu memang dia menyangka Nuh Qays turut membencinya. Wajah lelaki itu sangat tajam memandangnya bila Izdiyad datang berjumpanya. Apatah lagi bila kejadian Qairina menyerangnya. Sungguh! Dia tidak faham makna ‘dari dulu’ itu.

Ahh! Leka pula Qisya Zulaikha memikirkan tentang hal dulu. Lebih baik dia membersihkan diri, boleh solat Subuh saja nanti. Ternyata matanya juga sudah tidak mengantuk lagi. Hatinya juga risau akan ketiadaan Nuh Qays ini. Mana abang ni?


“Abang?” Rupanya Nuh Qays berada di ruang dapur. Dia memandang keseluruhan tubuh badan Nuh Qays. Suaminya itu memakai apron dan kini dia sudah terpandang beberapa pinggan yang terhidang di meja makan.

“ Abang lapar ke? Kenapa tak kejutkan Ikha?” Rasa bersalah membelenggu dalam diri Qisya Zulaikha. Sudah dua kali Nuh Qays masak sendiri, bukan saja masak hanya untuk lelaki itu malah untuk dirinya juga.

“ Abang masak untuk Ikha,” jawab Nuh Qays sambil tersenyum manis memandang Qisya Zulaikha.
Spontan tangan naik ke bibir, Qisya Zulaikha rasa sangat terharu dengan sikap Nuh Qays itu.

“ Ikha duduk aje. Abang masak special untuk sayang. Dah siap dah... Hadiah untuk semalam. Lagipun Ikha tak makan lagi. Maaf, sebab abang, Ikha belum makan.” Nuh Qays menarik badan Qisya Zulaikha dan menyuruh isterinya itu duduk saja. Dia juga rasa bersalah kerana disebabkan keinginan untuk bersama Qisya Zulaikha, dia terlupa bahawa isterinya itu belum makan malam lagi.

“ Bekas makan Kak Rina, siapa yang kemas? Abang juga ke?”

Qisya Zulaikha nampak Nuh Qays hanya mengangguk. Hatinya benar-benar rasa tersentuh. Sepatutnya itu kerjanya.

“ Ikha dah mandi?” tanya Nuh Qays pula.

Lantas Qisya Zulaikha mengangguk laju. “Dah... Mata dah tak boleh tidur. Ikha cari abang tadi.”

“ Dah rindu ke? Thanks once again sayang. I’am so happy.” Sejerus berkata sebegitu, Nuh Qays menghadiahkan ciuman di pipi Qisya Zulaikha. Lama.

“ Abang... Kata tadi dah siap masak.” Qisya Zulaikha cuba menegur Nuh Qays yang sudah semakin leka itu. Macam tak nak lepas saja. Pada masa yang sama, dia juga masih terasa malu.

“ Aduh! Lupa pula.. Kejap ya sayang. Tinggal nak hidang saja lagi.”

Geli hati Qisya Zulaikha melihat telatah Nuh Qays itu. Rasa kasih sayangnya tumpah pada Nuh Qays. Lelaki yang sememangnya dari dulu lagi menjadi kesukaanya.

Berselera Qisya Zulaikha menikmati segala makanan yang terhidang itu. Walaupun hanya masakan yang biasa dan mudah, nasi goreng dan daging panggang tapi disebabkan itu adalah masakan dari Nuh Qays jadi dengan sendirinya dia berselera. Mungkin juga disebabkan dia lapar dan ternyata masakan Nuh Qays juga sedap. Menepati citarasanya.

“ Kelmarin Ikha jumpa mak su ke? Abang nampak beg baru tadi.” Ketika Nuh Qays ke bilik wardrobe, dia ternampak beg baru.

“ A’ah.. Baju Ikha dah nak habis pakai. Jadi Ikha ambil baju yang selebihnya dekat rumah mak su. Abang marah ke Ikha ke rumah mak su tanpa bagitahu abang? Maaf, Ikha lupa sangat.” Qisya Zulaikha mengetap bibirnya, sedar akan kesalahan dirinya yang tidak meminta izin dari Nuh Qays.

“ Tak apa. Abang faham, Ikha belum biasa lagi. Tapi next time, kena bagitahu abang.. takut terjadi apa-apa. Naya abang, tak tahu apa-apa.”

Laju Qisya Zulaikha mengangguk.

“ Afiah macam mana? Dia tak terserempak dengan Ikha ke?”

“ Ikha tak kisah pun kalau terserempak dengan dia. Ikha yakin, dia tak kisah tentang Ikha. Tapi yelah, pagi tu dia memang dah awal pergi ofis. Rasa macam tiba-tiba saja dia jadi macam tu.”

Nuh Qays terjeda, memang Afiah datang awal pagi itu. Mungkin disebabkan ingin mengambil peluang berjumpa dengannya dan bercakap tentang perihal Qisya Zulaikha.

“ Abang selalu call mak su ya? Ikha selalu juga call mak su tapi baru tadi dia bagitahu yang abang pun selalu call dia.”

“ Kenapa? Tak kan cemburu dengan mak su sendiri.”

“ Hishh! Mengarutlah abang ni. Tak pernah pun nak fikir tentang tu.” Qisya Zulaikha melihat Nuh Qays yang tergelak itu.

“ Ada lah juga abang call. Tanya khabar,” jawab Nuh Qays.

Qisya Zulaikha mengangguk seraya tersenyum. Dia bukan apa, cuma rasa terharu kerana keprihatinan Nuh Qays bertanyakan tentang perihal Mak Su. Kata Mak Su juga, Nuh Qays ada bertanya tentang layanan Afiah padanya. Mungkin Nuh Qays tidak mahu Afiah mengapa-apakan Mak Su.

“ Nanti Ikha rehatlah lepas solat Subuh. Anggap aje yang ni sarapan kita.”

“ Betul bang.. dah boleh anggap sarapan la ni. Dah nak pukul lima pagi dah.”

“ Ikha tak dipanggil kerja kan hari ni?”

Qisya Zulaikha menggeleng. Jika tidak ada kerja mustahak yang perlu disiapkan, memang dia tidak perlu datang ke pejabat pada setiap hari Sabtu dan sudah setentunya juga hari Ahad.

“ Kenapa? Abang ada kerja ke?”

“ Tak ada juga. Kerja abang, semalam dah selesai. Sebab Tuan Haji tak nak tangguh.”

Nuh Qays berfikir tentang sesuatu. Ada sesuatu yang mengganggu fikirannya tapi dia tidak ingat tentang apa. Berkerut-kerut dahinya memikirkan hal itu.

“ Allah! Abang lupa.”

“ Kenapa bang?” tanya Qisya Zulaikha cemas.

“ Petang nanti ibu dan ayah balik. Abang lupa bagitahu Ikha.”

Berubah terus wajah Qisya Zulaikha. Hatinya gusar mengenangkan nasib yang bakal diterimanya. Adakah penerimaan ibu bapa Nuh Qays sama seperti Qairina atau sebaliknya? Dia tahu, siapa yang suka dengan perkhabaran yang mengejut apatah lagi melibatkan nama dan maruah keluarga.

“ Ikha? Sayang kenapa ni?”

Laju Qisya Zulaikha menggeleng. “ Macam mana nanti penerimaan ibu dan ayah, bang? Ikha betul-betul risau.”

“ Nanti abang sendiri yang akan jemput mereka, Ikha tak perlu datang. Takut ibu terkejut sangat kalau kita bagitahu hari ni sedangkan dia baru balik tapi esok adalah perjumpaannya, hari penentuan. Kita berdoa dan tawakal saja Ikha, agar semuanya dipermudahkan.”

Jemari Nuh Qays mengusap lembut lengan Qisya Zulaikha agar isterinya itu tidak risau. Siapa yang tidak risau dengan apa yang akan berlaku ini. Dia juga buntu memikirkan bagaimana dia akan berdepan dengan ibu dan ayahnya. Sudah hampir saban hari dia berdoa agar ibu bapanya menerima pernikahannya dengan Qisya Zulaikha.

“ Abang akan sentiasa ada bersama Ikha walaupun ibu dan ayah menentang?”

“ Ikha... Kita kena berfikiran positif. Ibu dan ayah merupakan orang tua abang. Nak kata melawan kata-kata mereka memang abang tak sanggup tapi percayalah... Kita di pihak yang benar, jadi abang akan mempertahankan Ikha di hadapan ibu dan ayah.”

Nuh Qays cuba meyakinkan Qisya Zulaikha agar isterinya itu mempercayai kesungguhannya. Memang dia jenis yang tidak suka berkata kasar pada ibu bapa tapi jika sesuatu itu, dia di pihak yang benar, dia pasti akan membuktikan sehabisnya pada ibu dan ayahnya.

Qisya Zulaikha pula hanya mampu mengangguk lemah. Dia faham dengan kata-kata Nuh Qays itu. Dia juga tidak mahu Nuh Qays sampai bertengkar dengan ibu bapanya hanya kerana disebabkan tentang hal mereka. Dia juga pasti turut berdosa jika dia menghasut Nuh Qays supaya tidak menurut kata-kata Tuan Haji Qaid dan Puan Nurain.

“ Ikha..,” panggil Nuh Qays bila melihat Qisya Zulaikha seperti melayan perasaan.

“ Hah? Abang dah siap makan? Ikha kemaskan. Nanti senang kalau dah azan, kita boleh solat terus.”

Nuh Qays hanya mengiyakan saja. Sementelah lagi Qisya Zulaikha seperti berfikir. Biarlah isterinya itu melayan perasaan.

Leka membersihkan pinggan mangkuk yang digunakan, tiba-tiba Qisya Zulaikha terasa pinggangnya dilingkari tangan Nuh Qays. Dia tersenyum. Teringat kembali kata-kata Nuh Qays tentang ‘dari dulu’ itu. Akalnya mula menyusun ayat.

“Abang...”

“Hmm..”

“ Ikha nak tanya, boleh tak?”

“ Tanyalah. Anything! Sebab tiada lagi rahsia di antara kita. Kita kan dah share everything.”

Qisya Zulaikha sudah rasa pipinya membahang. Share everything? Teringat kembali kenangan manis beberapa jam yang lepas.

“ Nak tanya apa? Malu pula dia.”

Qisya Zulaikha malu lagi bila tindakkan dan perubahan wajahnya dapat dikesan Nuh Qays.

“ Abang kata... Abang cintakan Ikha dari dulu lagi. Apa maksud abang tentang tu? Tak kan lah dari zaman U. Sebab memang Ikha yakin, abang tak pernah ambil peduli pun tentang Ikha masa tu.”

“ Siapa kata? Diyad ke?” Nuh Qays cuba serkap jarang.

“ Tak. Ikha dapat rasakan. Dari cara abang tengok Ikha. Macam orang tak suka. Pandangan benci yang abang lemparkan.” Lirih suara Qisya Zulaikha bila mengenangkan tentang kisah dulu itu.

Kini dia sudah siap mencuci pinggan mangkuk. Tangan mula mencapai tuala kering, lalu mengeringkan pinggan mangkuk yang basah itu. Nuh Qays masih memeluknya. Walaupun dia terasa sukar dengan perbuatan Nuh Qays itu tapi dibiarkan saja.

Nuh Qays menarik nafas dalam. Dia mengeratkan lagi pelukannya. Dagunya dibiarkan tersangkut di bahu Qisya Zulaikha.

“ Dari dulu tu maksudnya dari Ikha semester dua. Abang ingat lagi. Abang mula ingin mengenali siapa Qisya Zulaikha dan perasaan itu semakin kuat bila dia mula menjadi tarikan Izdiyad. Memang abang tak tunjuk sebab prinsip abang, abang tak akan bercinta ketika belajar.”

Nuh Qays mengkalihkan badan Qisya Zulaikha agar wanita itu menghadapnya. Kedua-dua tangan memegang kemas bahu Qisya Zulaikha. Mata bertentangan.

“ Sayang... Hanya Allah saja yang tahu macam mana abang nak kawal perasaan abang masa tu. Mana dengan karenah Rina. Mana lagi dengan Diyad. Maafkan abang sebab tak bela Ikha masa tu.” dan abang masih ragu-ragu ketika itu walaupun abang cintakan Ikha. Sambungan ayat yang hanya mampu diluahkan dalam hati. Nuh Qays tidak mahu Qisya Zulaikha berkecil hati. Cukuplah dengan apa yang di alami wanita itu dulu.

“ Tak apa.. Syukurlah.. Ikha betul-betul gembira dengan apa yang abang katakan. Ikha percayakan abang.”
Sejerus Qisya Zulaikha berkata sebegitu, dahinya mendapat ciuman dari Nuh Qays.

“ Abang harap, Ikha juga akan mencintai abang sampai bila-bila sebagaimana abang mencintai Ikha.”

“ Itu tak payah cakap, dah lama Ikha serahkan hati ni kat abang. Abang aje yang kurang berminat.”

Nuh Qays memandang pelik Qisya Zulaikha. “Apa maksud Ikha? Bukan Ikha sukakan abang masa sekarang ni ke?”

“ Nope! Sama macam abang. Tapi Ikha lebih awal berbanding abang. Bagi Ikha, abang lain dari yang lain. Tak suka layan perempuan. Sampai pernah terfikir, dia ni suka perempuan ke tak ni?” Pantas pecah tawa Qisya Zulaikha bila melihat mata Nuh Qays membulat. Tahu Nuh Qays pasti geram dengannya.

“ Maaf. Ikha gurau aje lah. Ikha yakin, abang bukan macam tu.”

“ Tahu pun. Mahu sakit jantung abang dengar kata-kata Ikha tu.” Nuh Qays menjeling manja. Qisya Zulaikha tidak lekang dari tersenyum, geli hati.

Bila Nuh Qays mula mendekatkan wajahnya pada Qisya Zulaikha, azan Subuh berkumandang.

“ Hah.. Dah masuk waktu. Tak baik melalaikan waktu. Abang bersihkan diri dulu. Ikha nak berwudhuk.”

Laju pula Qisya Zulaikha meninggalkannya. Akhirnya Nuh Qays turut tersenyum. Dalam begini kehidupan mereka, tersulam bahagia di hati masing-masing. Mengharapkan kebahagian ini akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup mereka.

P/S: Terima kasih kerana sudi baca PDH. Harap maaf jika ada kekurangan. Next n3 adalah n3 yang terakhir dalam blog. Saya harap anda enjoy membaca PDH ni :)

Tidak ada komentar:

Posting Komentar