BAB 18
“ Encik Nuh nampak Ikha ke tadi?” tanya Afiah sebaik saja dia menyerahkan dokumen pada Nuh Qays.
“ Kenapa?” tanya Nuh Qays. Dia menyandarkan badannya, memandang wajah Afiah yang sekarang ini lain benar perubahannya. Bukan dia tergoda cuma dia rasa cara Afiah bergaya seakan keterlaluan.
“ Tak adalah..,” jawab Afiah meleret. “ Cuma saya hairan juga, dah lebih seminggu agaknya Ikha tak balik rumah. Perangai dia dah kembali semula kut. Jenguh Mak Su saya telefon dia, tapi dia tak balas. Apatah lagi kalau saya yang call atau sms dia. Memang dia tak akan balaslah.”
Mahu tergelak Nuh Qays mendengar kata-kata luahan Afiah itu. Mengarut betul!
“ Jadi?”
“ Saya bukanlah nak aibkan keluarga sendiri cuma memang Ikha ni lain sikit walaupun dia bertudung tu. Saya memang tak suka nak aibkan orang Encik Nuh tapi yelah.. saya cuma nak luahkan apa yang saya rasa since Encik Nuh pun kenal dia. Saya cuma risau, dia kembali macam dulu lagi.”
“ Maksud awak?” Hati Nuh Qays berdebar-debar. Badan terus tegak dan mata tajam memandang Afiah.
“ Err.. Tentang Abang Diyad tu. Tak mustahil dia kembali pada Abang Diyad sebab memang saya tak tahu dia tinggal kat mana sekarang ni.”
“ Apa kena mengena dengan Diyad pula?”
“ Kan dulu... Dia dan Abang Diyad, sampai Kak Rina serang dia. Memang patut Kak Rina serang dia dulu sebab dia memang macam tu Encik. Selalu kacau boyfriend orang.”
Sungguh! Nuh Qays tidak percaya bahawa Afiah sebegini rupa, sanggup mengata sepupu sendiri. Benarlah apa yang dilihatnya ini, Afiah wanita yang cuba berlagak baik. Cuba memanipulasi keadaan.
“ Macam ni lah Afiah. Sebenarnya saya tak nak masuk campur dalam urusan yang macam ni. Tapi niat awak yang tak nak mengaibkan kaum kerabat tu rasanya, dah mengaibkan sangat-sangat. Awak tanpa segan silu bercerita tentang perihal Zulaikha pada saya. Apa motif awak? Awak sepatutnya membela kaum kerabat sendiri atau cuba menutupi segala perihal keluarga awak sama ada yang baik mahupun buruk. Ini tak...”
Tergeleng-geleng Nuh Qays. Dia sedar wajah Afiah yang berubah itu. Yang itu memang dia tidak peduli. Siapa yang tidak sakit hati bila isteri sendiri dihina depan-depan lagipun Qisya Zulaikha di depan matanya kini. Dia tahu apa yang Qisya Zulaikha buat selama mereka tinggal serumah. Isterinya itu jenis yang homely type. Apa kejadahnya Afiah berkata sebegitu? Orang lain juga dapat menilai bagaimana perangai sebenar Qisya Zulaikha.
“ Err.. Saya minta maaf Encik Nuh. Saya..”
“ Jangan minta maaf pada saya Afiah, awak minta maaf pada Zulaikha. Awak mengata tentang dia, jadi lebih baik minta maaf terus dari dia.” Laju saja Nuh Qays memintas kata-kata yang hendak Afiah luahkan.
Dari raut wajah Afiah itu, dia tahu bahawa wanita itu tidak akan meminta maaf pada Qisya Zulaikha.
“ Saya minta diri dulu Encik Nuh.”
Nuh Qays mengeluh, dia teringat kembali kejadian pagi tadi di mana Afiah cuba mencelarukan mindanya tentang Qisya Zulaikha. Mengatakan yang tidak baik pada Qisya Zulaikha. Selama dia mengenali Qisya Zulaikha, dia sudah tahu sedikit sebanyak perangai Qisya Zulaikha yang sebenar, yang suka duduk di rumah berbanding berjalan kemana-mana. Suka membaca novel, memasak dan yang paling dia kagum, Qisya Zulaikha selalu saja tepat mengerjakan solat. Isterinya itu tidak suka melalaikan waktu solat. Macam mana pula wanita sebegitu dikatakan liar? Jika yang suka berpeleseran, pasti tidak akan menghambakan diri di ruang dapur, pasti saja lalai mahupun lupa pada suruhan Allah dan tidak akan memenuhi masa dengan membaca novel, lebih baik berjalan keluar, berhibur dengan teman.
Mata Nuh Qays terus saja dipejam bila mendengar tombol pintu seakan dibuka dari luar. Itu pasti Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha menjengukkan diri ke dalam bilik tidur mereka setelah siap mandi dan berpakaian. Niat di hati, ingin mempelawa Nuh Qays makan malam bersama kerana sebaik saja balik dari bekerja tadi, dia sudah bersedia untuk memasak, dan kini hanya tinggal untuk dihidangkan saja lagi. Lama juga dia menunggu kepulangan suaminya itu. Tapi bila melihat Nuh Qays yang sudah terlena, rasa kasihan pula untuk dia mengejutkan lelaki itu. Hari ini suaminya balik lewat kerana ada perbincangan secara mengejut dengan Tuan Haji Yusuf. Qisya Zulaikha menghampiri Nuh Qays, nampak benar lelaki itu kelihatan letih sehinggakan baju kerja juga tidak sempat untuk ditukar.
Dengan perlahan Qisya Zulaikha duduk di tepi katil, cuba menghayati wajah suaminya dengan lebih dekat lagi. Inilah wajah yang mencuri hatinya sejak dulu lagi. Yang pada ketika dulu, wajah ini selalu saja mempamerkan ketegasan. Kini, wajah ini sentiasa memberikan senyuman buatnya yang membuatkan dia jatuh cinta sepenuhnya. Tangan mula mengangkat perlahan, ingin membelai lembut rambut Nuh Qays tapi dia terkejut bila tangannya pula yang disambar.
“ Nak buat apa?” tanya Nuh Qays.
Qisya Zulaikha menelan liur. Rasa mahu tercekik disebabkan reaksi Nuh Qays yang mengejut itu.
Nuh Qays merenung Qisya Zulaikha yang seakan terpinga itu. Dia baru saja memikirkan tentang sikap Afiah tapi bila dapat tahu yang Qisya Zulaikha masuk ke dalam bilik, cepat-cepat matanya dipejamkan dengan sepenuhnya. Berpura-pura tidur. Kini dia duduk dari perbaringan. Tangan Qisya Zulaikha tidak dilepaskan dari genggaman.
“ Awak nak buat apa tadi?”
“ Saya.. saya..” Qisya Zulaikha tidak tahu mahu menjawab apa. Tak kan nak kata, saya nak pegang rambut abang? Nampak sangat kereknya, desis hati Qisya Zulaikha.
“ Saya apa?” Terlintas di fikiran Nuh Qays ingin mengenakan Qisya Zulaikha.
“ Awak nak buat macam ni ke dekat saya?” bibir didekatkan ke pipi kanan Qisya Zulaikha. Dengan bersahaja, pipi isterinya itu dicium lembut.
“ Tak! Saya tak buat macam tu.” Dengan pantas Qisya Zulaikha menafikan. Memang tidak terlintas di fikirannya untuk buat sebegitu.
“ Mungkin dekat sini.” Sekali lagi, hidung Qisya Zulaikha pula yang menjadi sasaran.
“ Tak, abang! Memang saya tak buat ma..” Tanpa habis bicaranya, pipi kirinya pula yang menjadi sasaran Nuh Qays.
Qisya Zulaikha mengetap bibirnya. Dia malu dibuat sebegitu.
“ Kalau awak tak kata ya, saya tak akan lepaskan awak,” ugut Nuh Qays. Mahu saja dia menghemburkan tawanya bila melihat wajah Qisya Zulaikha kelat itu.
Nak jawab ya ke tidak ni? Kalau kata ya, memang aku tak buat pun tapi kalau nak kata tidak, nampak dari gaya, memang dia tak akan lepaskan aku. Qisya Zulaikha berfikir sejenak. Akhirnya dia memilih untuk berkata ‘ya’.
“ Ya, tapi diseb..,” Sekali lagi bicaranya terhenti bila kali ini Nuh Qays memagut lembut bibirnya. Lama. Qisya Zulaikha tergamam. Tidak berkelip matanya dengan tindakan drastik Nuh Qays itu.
“ Kalau saya buat macam ni, kena tutup mata,” pesan Nuh Qays sebaik saja dia melepaskan bibir Qisya Zulaikha.
Pipi Qisya Zulaikha terasa membahang. Dia hanya mampu tertunduk malu tanpa membalas kata-kata Nuh Qays.
Nuh Qays mengangkat dagu Qisya Zulaikha, agar isterinya itu memandangnya. Hatinya sangat berdebar kala ini, keinginan untuk bersama dengan Qisya Zulaikha amatlah tinggi. “ Saya baru buat macam ni, awak dah mengelabah lebih. Macam mana kalau saya nak yang lebih, adakah awak rela dengan seikhlasnya?”
Relakah Qisya Zulaikha? Dengan adanya cinta dan hubungan yang sah, sememangnya dia ikhlas dengan semua ini.
“ Sudah menjadi satu kewajipan untuk saya menurut apa yang abang mahukan. InsyaAllah, saya rela dan ikhlas dengan semuanya.”
Nuh Qays menarik Qisya Zulaikha ke dalam pelukannya. Bukan dia tidak mahu bersama dengan Qisya Zulaikha tapi dia tidak mahu memaksa isterinya itu ketika belum bersedia dengan sepenuhnya. Sudah lebih seminggu pernikahan mereka dan kini dia amat menginginkan kemesraan untuk mereka berkongsi bersama.
Untuk sekian kali, Nuh Qays memegang lembut pipi Qisya Zulaikha, dia mendekatkan wajahnya untuk memaut bibir Qisya Zulaikha kembali.
Dengan perlahan kelopak mata Qisya Zulaikha tertutup. Dia hanya mampu berserah dan bertawakal agar segalanya dipermudahkan.
TING! TONG!
Belum sempat bibir mereka bersatu, bunyi bell mengejutkan mereka.
“ Siapa pula ni?” Nuh Qays mendengus. Hujung bibir Qisya Zulaikha sempat dikucup pantas.
“Saya keluar dulu, anything, saya akan mesej awak.” Nuh Qays mengambil telefon bimbit yang terletak di meja tepi katil itu lalu disimpan ke dalam kocek seluarnya. Hatinya rasa tidak enak, risau jika yang datang itu adalah Qairina.
“ Awak dah makan?” Sebelum keluar dari bilik tidur, Nuh Qays sempat bertanya Qisya Zulaikha apabila teringat tentang itu.
“ Belum, saya tunggu abang.”
Rasa simpati menggebu di hati Nuh Qays bila Qisya Zulaikha sanggup menunggunya untuk mereka makan bersama.
“ Nanti kita makan sama-sama ya. I’ll text you up if Rina yang datang.”
Qisya Zulaikha hanya mampu mengangguk, mata mengiringi pemergian Nuh Qays itu. Tangan naik menyentuh bibir, hati berdebar dengan kencang sekali. Senyuman mula terukir. Qisya Zulaikha rasa bahagia sekali dengan layanan suaminya itu. Sungguh, cinta Ikha hanya untuk abang, bisik hatinya.
Sebelum pintu utama dibuka, Nuh Qays sempat melirik pada rak kasut, cuma kasut-kasutnya saja yang ada di rak itu. Mungkin kasut Qisya Zulaikha disimpan di rak kasut yang ada di wardrobe. Bila pintu dibuka, muncul wajah Qairina dan juga Izdiyad. Nuh Qays mengeluh.
“ Hai Nuh, tak kan mengeluh? Kau baru balik kerja ke?” Tanpa Nuh Qays pelawa, kedua-dua mereka sudah masuk ke dalam ruang tamu.
“ A’ah. Ada meeting tergempar tadi.” Lemah Nuh Qays menjawab pertanyaan Izdiyad itu.
“ Ada anything ke you guys datang ke rumah aku ni?”
“ Tak kan tak boleh kut? Sajalah kita orang datang,” jawab Qairina pula.
Mulanya memang dia malas mahu datang ke rumah Nuh Qays kerana baru dua hari lepas dia bertengkar dengan kembarnya itu tapi bila Izdiyad yang mengajak, jadi dia hanya menurut. Lagi-lagi bila Nuh Qays bertanyakan khabarnya melalui pesanan ringkas, pasti kembarnya itu juga sudah melupakan sengketa yang berlaku. Dia duduk seraya melentokkan kepalanya di bahu Izdiyad. Matanya liar melihat sekeliling ruang tamu itu. Kelihatan seperti ada perubahan.
“ Abang, kau dah makan ke? Kau ada masak something?” Hidung mula menghidu sesuatu. Bergegas Qairina ke ruang dapur bila tercium bau masakan. Dia memang tahu bahawa Nuh Qays seorang yang berdikari, suka masak sendiri.
Nuh Qays cuba menegah Qairina tapi kembarnya itu sudah sampai ke ruang dapur. Dia memerhatikan Qairina yang meneliti kesemua masakan yang ada itu.
“ Yang ni apa? Macam masakan kampung aje. Selalunya kau masak yang ala western food kan? Siapa yang masak ni? Macam makan untuk dua tiga orang aje.” Qairina memandang wajah Nuh Qays yang bersahaja itu.
“ Aku suruh mak cik yang kerja tempat aku tu masak. Terliur nak makan masakan kampung macam ibu selalu masak,” jawab Nuh Qays. Jika bukan permintaan Qisya Zulaikha, sudah awal lagi dia memberitahu kembarnya itu bahawa mereka sudah bernikah. Tidaklah jadi macam ini.
“ Aku laparlah. Kita makan sama-sama ya. Rindu juga aku dengan masakan ibu. Sayang! Jomlah, kita makan.” Laung Qairina memanggil Izdiyad.
Rahang pipi Nuh Qays sudah bergerak laju. Dia geram dengan perangai Qairina itu. Suka hati saja mahu makan masakan Qisya Zulaikha.
“ Kau ni Kaka...”
“ Tak salah kan? Kami temankan kau makanlah.” Selamba saja Qairina menjawab seraya mengambil pinggan yang tersusun rapi itu.
Nuh Qays meramas kasar rambutnya. Dia memandang Izdiyad yang menghampiri.
“ Sebenarnya kita orang belum makan lagi. Niat datang sini memang nak ajak kau keluar makan. Tapi kalau dah ada rezeki depan mata, aku tak nak tolak,” beritahu Izdiyad. Dia menolong Qairina menghidangkan makanan.
Nuh Qays jadi serba salah. Dengan malas dia duduk di sofa. Aku nak makan dengan bini aku! teriaknya dalam hati. Alangkah elok kalau dia dapat meluahkan perasaan geram yang berbelenggu dalam hatinya. Adakah Qairina dan Izdiyad akan meneruskan niat untuk makan malam di rumahnya setelah mendengar perkhabaran yang tidak diduga itu? Memang tidaklah! Mahu datang ‘gila’ Qairina jadinya.
Akhirnya demi memikirkan permintaan Qisya Zulaikha, dia mematikan niatnya. Dia mengeluarkan telefon bimbit lalu menghantar pesanan ringkas pada isterinya itu.
-Rina dan Diyad yang datang. Mereka makan masakan awak. Saya rasa nak halau mereka dari sini, tak pun bagitahu tentang hal kita-
“ Abang, jomlah! Termenung apa lagi tu.” Laungan Qairina itu dibiar sepi. Nuh Qays mahu menunggu jawapan daripada Qisya Zulaikha. Mata masih menatap telefon bimbitnya.
“ Nuh..” Kini panggilan dari Izdiyad. Sekali lagi, dia mendengus.
Sebaik saja punggung hendak mencapai kerusi di ruang makan itu, telefon bimbit Nuh Qays berbunyi, menandakan pesanan ringkas masuk.
-Jangan abang! Please.. Biarlah tunggu sampai ibu dan ayah balik. Tak apa, biarlah mereka makan. Abang makan la sekali. Kesian, mesti abang dah lapar-
Selepas saja membaca SMS Qisya Zulaikha itu, pantas Nuh Qays membalas.
-Saya tak ada selera. Kecuali kalau awak ada sekali sama. Awak ada baca pelembut hati dekat masakan awak tu? Saya nampak Rina berselera makan. Lepas ni tak payah risaulah. Rina pasti lembut hati. Hahaha-
Setelah menghantar punat ‘send’, Nuh Qays tersenyum membaca pesanan ringkasnya itu. Memang benar Qairina nampak berselera makan masakan Qisya Zulaikha. Sebab itu dia ingin mengusik isterinya itu.
“ Abang.. Kau tak nak makan ke? Kata tadi terliur nak makan masakan kampung. Ini sibuk pula berbalas SMS. Tahulah sedang hangat bercinta,” bebel Qairina. Sakit matanya melihat keadaan Nuh Qays yang tersenyum sendiri itu.
Nuh Qays menjeling sekilas Qairina. “Kau makanlah. Tak payah nak sibuk.”
Sekali lagi, pesanan ringkas masuk. Cepat-cepat Nuh Qays menekan punat ‘open’.
-Mengadalah abang ni. Tak terlintas nak buat macam tu. Abang makanlah. Tak nak rasa ke masakan saya tu? Kali ni ada udang goreng berempah-
Terus mata Nuh Qays liar mencari udang goreng berempah. “Jangan habiskan udang goreng tu!” Suaranya tegas memberikan amaran agar Qairina mahupun Izdiyad tidak menghabiskan udang goreng berempah yang hanya tinggal beberapa ekor itu.
“ Yalah! Over betullah kau ni Abang. Tak luak pun kalau aku habiskan.”
“ Jangan nak mengada! Bagi aku udang goreng tu Diyad. Semua!” arah Nuh Qays pada Izdiyad.
Izdiyad hanya akur. Memang sedap udang goreng berempah itu, lain dari yang pernah dia rasa. Memang tidak mustahil akan menjadi kegemaran Nuh Qays.
Tanpa menunggu lama, Nuh Qays menjamah udang goreng itu. Masakan baru yang Qisya Zulaikha hidangkan untuknya. Setiap hari dia rasakan masakan isterinya itu berlainan. Pasti ada saja yang menjadi kelainan dan pasti akan menepati cita rasanya. Mungkin itulah yang dinamakan cinta, semuanya indah dan manis-manis saja.
-Sedap! Saya suka. Thanks sayang-
Nuh Qays membalas lagi pesanan ringkas Qisya Zulaikha itu. Ketika ini, memang dia tidak menghiraukan langsung pandangan Qairina dan Izdiyad padanya. Biarlah! Dia peduli apa.
“ Meluat betul I tengok Abang tu. I ni bercinta juga, tapi tak adalah macam orang gila tersenyum bagai. Dah termakan sangatlah dengan pujuk rayu perempuan tu.” Qairina meluahkan rasa tidak puas hatinya itu pada Izdiyad.
“ Biarlah, you ni...” Malas Izdiyad mahu melayan Qairina itu, baginya itu hak Nuh Qays mahu yang macam mana. Dia tidak kisah dengan semua itu.
“ Kau mengata aku ke Kaka? Yang kau nak kisah sangat ni kenapa? Aku macam orang gila ke, tak waras ke, itu hak aku. Yang kau mengata aku ni, kau bila nak kahwin? Ikut orang ke hulu hilir tapi kahwinnya tak,” ucap Nuh Qays. Inilah masanya dia memberikan ‘bebelan’ kepada kedua-dua manusia di depannya ini.
“ Itu juga hak aku Abang! Kau jangan nak sibuk!”
“ Kau ingat orang tak mengata kau ke? Ikut lelaki sampai larut malam. Kau ingat mereka akan fikir kau buat yang baik-baik? Kau Diyad, tak terfikir ke nak kahwin dengan Rina ni? kalau kau tak nak dia, jangan berikan harapan.”
“ Kau tahukan yang aku belum bersedia lagi. Aku malas la nak ungkit hal ni.” Marah Izdiyad bila Nuh Qays mengungkit tentang kahwin. Dia benar-benar tidak bersedia. Apa yang dia inginkan bukanlah Qairina tapi wanita lain.
“ Dah tu nak tunggu sampai bila? Dah lah lagak si Rina ni macam orang dah kahwin. Terlentok sana sini dekat kau. Jangan kata ibu dan ayah tak tegur! Dah banyak kali sangat mereka tegur tapi mulalah dia dengan sikap pelawannya. Sikit-sikit ugut nak lari dari rumah. Kalau aku, memang aku biarkan lari terus. Tak menyusahkan!” Nuh Qays mula nampak api kemarahan Qairina. Niatnya ada dua, hendak memberi nasihat serta ingin Qairina dan Izdiyad keluar dari rumah dengan secepatnya.
“ Kau ni melampau sangat la Abang! Aku benci kau! Jangan nak sibuk hal aku, tahu tak? Jomlah Diyad. I nak balik. Menyesal datang sini.” Qairina menarik tangan Izdiyad. Hatinya benar-benar sakit dengan kata-kata Nuh Qays itu.
Izdiyad memandang Nuh Qays seraya menggeleng lemah. Dia juga tidak berpuas hati dengan kata-kata sahabatnya itu. Memang dia tahu Nuh Qays berhak berkata sebegitu selaku ahli keluarga Qairina tapi dia percaya Nuh Qays tahu siapa yang dia mahukan selama ini.
P/S: Terima Kasih kerana sudi baca PDH. Saya sayang anda semua :)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar