BAB 14
Qisya Zulaikha merasakan tidurnya tidak selesa sekali. Ada ‘sesuatu’ yang mendarat di pinggangnya. Dia mendengus, cuba melarikan ‘sesuatu’ itu tapi tidak berjaya. Disebabkan mata yang mengantuk sangat, dibiarkan saja ‘sesuatu’ itu.
Nuh Qays tersenyum, pagi ini awal benar dia bangun. Rasa bersemangat untuk memulakan hari yang baru bersama isteri tercinta. Tangannya masih melingkari pinggang Qisya Zulaikha. Nasib baik wanita itu masih mahu meneruskan tidurnya, dapatlah dia menghayati wajah manis itu sepuas hati. Rasanya demam semalam seakan kebah dengan cepatnya. Nuh Qays menghampirkan wajahnya ke pipi Qisya Zulaikha. Pipi itu dicium lembut. Tidak lama kerana badan Qisya Zulaikha sudah bergerak. Pasti wanita itu rasa terganggu dek ciuman Nuh Qays. Cepat saja Nuh Qays memejamkan matanya, pura-pura tidur.
Sekali lagi, tidur Qisya Zulaikha terganggu. Dengan perlahan kelopak matanya dibuka. Mahu saja Qisya Zulaikha terlompat dari perbaringan itu, wajah Nuh Qays amat dekat sekali dengannya. Jika dia cuba bergerak pasti, pipinya akan terkena bibir suaminya itu. Dia melihat Nuh Qays masih terlena. Mata melirik pada tangan lelaki itu yang senang-lenang saja mendarat di pinggangnya.
“ Ab.. Abang.” Panggil Qisya Zulaikha gugup.
“ Abang.” Panggil Qisya Zulaikha lagi bila melihat Nuh Qays masih tidak ada tanda-tanda untuk mencelikkan matanya.
Nuh Qays pura-pura ‘tidur mati’, hendak memastikan sejauh mana Qisya Zulaikha akan bertahan.
Ahh..! Sudah! Dapat suami yang ‘tidur mati’ pula dah, geram hati Qisya Zulaikha membebel. Dia sudahlah hampir lemas dibuat dengan cara begini. Dia bukannya biasa tidur berpelukan, mungkin dulu, ketika arwah emak Qisya Zulaikha ada. Tapi kini dia sudah meningkat dewasa, tak ada main-main peluk lagi dah.
“ Dah bangun?” tanya Nuh Qays bila merasakan Qisya Zulaikha akan terus kaku begitu.
“ Hah? Ya..,” jawab Qisya Zulaikha.
“ Selamat pagi,” ujar Nuh Qays seraya mencium dahi Qisya Zulaikha.
Zupp! Hati Qisya Zulaikha berdegup pantas. Dia memandang suaminya itu. Nuh Qays kelihatan amat bersahaja sekali.
“ Sorry, ingatkan batal peluk tadi. Selesa sangat.” Tangan Nuh Qays melepaskan lingkaran di pinggang Qisya Zulaikha.
“ Saya nak mandi.”
“ Pergilah. Atau... awak nak saya temankan?”
Adakah pemberitahuan Qisya Zulaikha disalah-ertikan oleh Nuh Qays? Niatnya mahu membersihkan diri untuk bersolat subuh. Lelaki di hadapannya ini pula berfikir yang bukan-bukan. Walaupun niat Nuh Qays hanya ingin bergurau. Tapi ini bukan masa untuk bergurau! Hati ini masih berduka tahu tak? Bentak hati Qisya Zulaikha.
“ Abang dah rasa sihat?” Saja Qisya Zulaikha bertanyakan tentang kesejahteraan Nuh Qays.
“ Saya tak sihat ke? Rasanya elok saja.”
Nuh Qays mencapai tangan Qisya Zulaikha dan melekapkan ke dahinya. “ Dah tak panas kan? Itu bermakna, awak dah berjaya sembuhkan saya.”
“ Bukan saya yang sembuhkan abang. Itu kehendak Allah.”
“ Ya saya tahu. Tapi awak jadikan saya kuat untuk melawan demam saya semalam.”
Qisya Zulaikha bangkit dari katil dan berkata, “ Saya bukan sesiapa. Abang tak kenal saya dan saya juga tak kenal abang.”
“ Tak kenal? Awak junior saya, salah seorang setiausaha dalam syarikat dan sekarang sudah menjadi isteri saya. Itu awak kata tak kenal?” Langkah Qisya Zulaikha terhenti bila mendengar bicara Nuh Qays itu.
Nuh Qays terus melangkah ke arah Qisya Zulaikha dan menarik lengan isterinya itu agar mendekatinya. Hanya beberapa inci saja jarak di antara mereka.
“ Selepas ini, saya akan buat awak kenal saya dan saya akan kenal awak sepenuhnya. Pergilah mandi, dah nak masuk waktu,” arah Nuh Qays. Dia sedar Qisya Zulaikha tidak berani untuk memandangnya.
Qisya Zulaikha meninggalkan bilik tidur itu, meremang bulu romanya bila mendengar kata-kata Nuh Qays itu. Suara lelaki itu bukan suara yang biasa didengarnya. Kali ini kedengaran sangat menggoda sekali.
*****
Hari pertama menjadi isteri Nuh Qays, Qisya Zulaikha tidak tahu mahu buat apa. Dia ingin menyediakan sarapan pagi buat lelaki itu tapi dia tidak tahu apa yang selalu Nuh Qays makan untuk bersarapan pagi. Dia melihat rak yang dipenuhi dengan bahan makanan kering dan dalam peti sejuk juga, mempunyai bahan basah untuk dimasak. Mungkin Nuh Qays jenis yang suka masak, teka Qisya Zulaikha.
Teringat kembali kata-kata Nuh Qays semalam, “ Apa yang nak saya nyatakan di sini, pernikahan ini bukan untuk sementara. Ianya bukan sekadar tertulis di atas kertas saja tapi saya nak kan awak menjadi isteri yang sebenar-benarnya. Saya harap pernikahan ini akan kekal hingga ke akhir hayat kita. Belajar untuk menerima saya dan saya juga akan belajar untuk menerima awak.”
Kejadian semalam seperti mimpi saja bagi Qisya Zulaikha tapi itulah kenyataan yang sebenar, yang tertulis untuk dia dan Nuh Qays tempuhi. Bila mengenang kembali layanan Nuh Qays sebelum dan selepas mereka bernikah, ianya amat berbeza. Ketika ini, Nuh Qays seperti lelaki yang baru dia kenali. Menerima dia tanpa mempertikaikan. Sikap Nuh Qays juga amat menghairankannya, lelaki itu hanya bersahaja, tiada keresahan di wajah suaminya itu.
“ Saya kalau breakfast, suka yang ringan saja,” beritahu Nuh Qays tanpa ditanya.
Laju Qisya Zulaikha menoleh, Nuh Qays sudah siap berkemeja. Lelaki itu menyandar di pintu dapur.
“ Minum?”
“ Air suam.” Air suam saja? Pandai betul suaminya menjaga kesihatan. Kalau Qisya Zulaikha, untuk sarapan pagi ini saja, dia selalu makan nasi lemak yang Mak su masak dan minum milo panas. Pantas Qisya Zulaikha menyediakan roti bakar bermacam perisa. Bila siap saja menghidangkan sarapan, kelibat Nuh Qays sudah hilang, mungkin dalam bilik atau wardrobe, teka Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha menjengulkan diri ke dalam bilik wardrobe bila ternampak kelibat suaminya di situ. Nuh Qays sedang berbicara dengan seseorang dalam telefon. Suaminya itu mengisyaratkan agar dia menolongnya memakaikan tali leher. Qisya Zulaikha menggaru kening yang tidak gatal, dia tidak tahu macam mana hendak ikat tali leher, bukan dia pernah belajar pun selama ini.
“ Kenapa?” tanya Nuh Qays pelik. Dia menyimpan telefon bimbitnya ke dalam kocek seluar sebaik saja talian diputuskan.
“ Saya tak tahu nak ikat tie ni.”
Nuh Qays tergelak kecil. “ Saya ingatkan awak tak sudi tadi. Come, saya ajar awak.”
Nuh Qays menarik badan Qisya Zulaikha supaya dekat dengannya. Kedua-dua tangannya mencapai tangan Qisya Zulaikha agar mengikuti rentaknya mengikat tali leher.
Qisya Zulaikha tergamam dengan tindakan drastik Nuh Qays itu. Mata hanya memandang pergerakan tangan yang mengikut saja rentak tangan Nuh Qays mengikat tali leher. Wajahnya ketika ini sudah tidak dapat dibendung, bahang panas terasa di pipi kerana perasaan malu sudah menguasai dirinya bila berdekatan dengan Nuh Qays.
“ Done!”
Tali leher itu terpasang kemas tapi hanya untuk seketika bila Nuh Qays membuka semula ikatan tali leher itu. Wajah Qisya Zulaikha berkerut seribu, hairan melihat tindakkan Nuh Qays.
“ Saya tak nak pakai tie ni. Can you choose one for me?” pinta Nuh Qays.
“ Kan dah elok yang ni?”
“ Saya nak tie yang awak pilihkan. Pilih sekarang,” arah Nuh Qays dengan nada sedikit tegas. Dia cuba menahan senyum bila melihat Qisya Zulaikha bergegas mencari tali leher yang sesuai untuknya.
“ Saya rasa, yang ni okey kut untuk abang.”
“ Merah tua? Kenapa merah? Sedangkan baju saya warna dark grey.”
Pelik pula rasanya bila Qisya Zulaikha mencadangkan agar dia memakai tali leher berwarna merah tua.
“ Saya suka warna yang contrast kerana ianya memberikan satu kelainan tapi kalau abang tak suka, tak apa. Saya pilih yang lain.”
“ Eh.. It’s okay. Saya nak cuba juga sesuatu yang lain. Patutlah cara Zulaikha bertudung pun lain dari yang lain. So boleh ikatkan untuk saya?”
Baru sekali cuba, dah disuruh mengikat tali leher tanpa bantuan? Harap-harap berjayalah kali ni, doa Qisya Zulaikha. Dengan perlahan Qisya Zulaikha mengikat tali leher, cuba mengingati cara-cara mengikat tali leher yang diajar Nuh Qays tadi.
“ Okey, berjaya!” Dengan penuh gembira, Qisya Zulaikha menyatakan bahawa dia sukses mengikat tali leher seperti yang diajar Nuh Qays itu.
“ Nice! I like. Thanks sayang.” Ucapan yang pantas dari Nuh Qays itu membuatkan Qisya Zulaikha terpaku. Adakah dia yang salah dengar? Ya, mungkin aku salah dengar, bisik hati Qisya Zulaikha.
“ Sarapan saya dah sediakan. Nanti sejuk pula. Saya keluar dulu.” Qisya Zulaikha rasa mengelabah tiba-tiba, tidak mahu memikirkan tentang apa yang Nuh Qays katakan sebentar tadi.
Selesai saja bersarapan, Qisya Zulaikha bersiap untuk pergi bekerja. Rasa tidak senang dia bersarapan pagi bila duduk semeja dengan Nuh Qays. Lelaki itu tidak perlu buat apa, hatinya pula yang lebih-lebih berdebar.
“ Nak saya hantarkan ke ofis?” tanya Nuh Qays.
“ Tak apa, semalamkan saya bawa kereta saya.”
Nuh Qays mengangguk, dia meneruskan langkah ke pintu keluar utama. Dia berhenti dan memikirkan seketika akan sesuatu. Qisya Zulaikha yang mengekori dari belakang juga turut terhenti.
“ Boleh awak temankan saya?” Nuh Qays menoleh ke arah Qisya Zulaikha.
“ Maksud?” tanya Qisya Zulaikha pelik.
“ Temankan saya ke Putrajaya.”
“ Kan saya kerja juga.”
“ Mintalah EL. Awak tak kesian ke dekat saya, saya demam lagi ni.”
“ Kan tadi kata dah elok?” Pelik betul dengan sikap Nuh Qays ini. Sekejap kata elok, sekejap kata tak, mana yang betul ni?
“ Itu tadi dan sekarang tapi awak tak tahu untuk beberapa jam akan datang pula, kut demam saya datang lagi.” Pandai kau kelentong dia Nuh, bisik hati Nuh Qays.
Qisya Zulaikha cuba berfikir, memang tidak mustahil jika demam Nuh Qays tidak kebah dengan sepenuhnya. Perlu ke dia menemani Nuh Qays? Macam mana dengan kerjanya?
“ Saya kena telefon Encik Aizat dulu, kalau saya nak minta EL.”
“ Aizat yang gantikan Encik Kamal?” Kuasa cemburu sudah datang menyapa dirinya. Aizat, penolong pentadbiran, lelaki yang berusia awal 3o-an itu masih bujang lagi. Mempunyai ciri-ciri yang menarik pada lelaki itu.
“ Biar saya saja yang beritahu bagi pihak awak.”
“Eh! Tak boleh! Mesti mereka hairan kalau abang yang call. Saya akan cuba minta EL dekat dia.”
“ Call dia sekarang. Infront of me and guna loudspeaker,” arah Nuh Qays dengan sedikit tegas.
Qisya Zulaikha mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor telefon Aizat yang Encik Kamal berikan padanya tempoh hari. Nuh Qays seperti tidak mempercayainya, geram juga dengan perangai Nuh Qays yang tidak menentu ini.
Nuh Qays bersandar di dinding sambil mata tidak lari dari memandang Qisya Zulaikha. Dia tidak kisah dengan jelingan isterinya itu, yang penting dia puas hati mendengar sendiri perbualan antara Qisya Zulaikha dengan Aizat.
“ Assalamualaikum Encik Aizat.”
“ Walaikumsalam.”
“ Saya Zulaikha.”
“ Ohh yes, patutlah macam kenal dengan suara you ni.”
You? Lunak sungguh suara Aizat ketika bercakap dengan Qisya Zulaikha. Rahang pipi Nuh Qays sudah mula bergerak. Hatinya tidak enak dengan situasi ini.
“ Err.. Saya nak minta EL, Encik Aizat untuk hari ni sebab saya ada urusan. Maaf sebab saya tak inform awal tentang hal ni.”
“ Ada problem ke Zulaikha?”
“ Saya ada urusan yang perlu saya selesaikan. Saya harap Encik Aizat benarkan.”
“ Saya benarkan. You selesaikan dulu urusan you, hal di sini, you tak payah risau. I akan suruh Nita gantikan tempat you.”
“ Terima kasih Encik Aizat.”
“ Okay, welcome. Do take care.”
Setelah Qisya Zulaikha menekan butang merah, kedengaran Nuh Qays mendengus.
“ Nampak ambil berat sangat Aizat dekat awak ya. Sebagai peringatan, bukan saja untuk awak malah untuk saya juga. Saya harap tak ada perkara yang akan membuatkan kita salah faham antara satu sama yang lain. Ingat tentang status awak sebagai isteri Nuh Qays dan sudah pasti saya juga akan sentiasa ingat, status saya sebagai suami Qisya Zulaikha.” Sebaik saja meluahkan kata-kata itu, Nuh Qays mencapai tangan Qisya Zulaikha agar mereka sama-sama beriringan keluar dari rumah Nuh Qays itu.
Kelu lidah Qisya Zulaikha dari terus menjawab kata-kata Nuh Qays itu. Benarkah dengan apa yang Nuh Qays katakan itu? Qisya Zulaikha cuma berasa sedikit ragu, jika dia menerima Nuh Qays dengan sepenuhnya, adakah lelaki itu akan melindunginya dari Qairina dan Izdiyad? Perasaan suka yang selama ini dipendam dalam hati, dengan bila-bila masa saja Qisya Zulaikha boleh menyerahkan hatinya untuk Nuh Qays. Nuh Qays pula amat serius dengan hubungan mereka sekarang walaupun dia tahu Nuh Qays cuma ingin belajar untuk menerimanya.
p/s : Terima kasih sebab sudi baca PDH. salam sayang dari saya, Farisya Natasha =)