BAB 11
“ Assalamualaikum ibu, mana Kaka?” Balik saja dari bekerja, Nuh Qays terus ke rumah ibu bapanya. Hatinya sudah tidak sabar untuk berhadapan dengan Qairina. Nuh Qays mencium kedua-dua pipi Puan Nurain.
“ Walaikumsalam. Kenapa ni Abang? Macam mana Abang tahu Kaka ada dekat rumah?” Risau Puan Nurain melihat wajah Nuh Qays itu. Nampak benar seriusnya. Nuh Qays jarang berwajah sebegitu kecuali ketika benar-benar marah.
“ Abang dah call ofis dia tadi. Abang naik atas dulu ibu.” Pantas Nuh Qays menaiki anak-anak tangga. Puan Nurain berasa gusar dengan apa yang bakal berlaku, lantas dia mengekori Nuh Qays.
Sampai saja di hadapan bilik Qairina, terus Nuh Qays memulas tombol pintu dan menolak kasar.
“ Kaka, apa yang kau dah buat dekat Zulaikha hah?! Kau sedar tak dengan apa yang kau dah lakukan ni?”
Qairina terkejut dengan kedatangan Nuh Qays itu, dia yang sibuk melakar rekaan di atas kertas putih itu juga terus terhenti. Mencerlung matanya bila mendengar tuduhan kembarnya itu. Dia berdiri tegak menghadap Nuh Qays.
“ Hei, kau tak payah nak sibuk dengan apa yang aku buat la! Dulu tak pernah pun kau sibuk dengan urusan aku tapi bila dah betina tu muncul, kau dah macam orang gila pula nak bela dia ya. Sial betulkan perempuan tu!”
“ Jaga mulut kau, Kaka!” Nuh Qays menghampiri Qairina, ringan saja tangannya naik dan menumbuk dinding di tepi Qairina itu.
Qairina memejamkan mata, dia ingat Nuh Qays mahu menumbuknya. Kecut perutnya melihat perbuatan Nuh Qays itu. Tidak pernah kembarnya itu buat sebegitu walaupun mereka selalu bertengkar.
“ Abang... Beristigfar Abang. Ibu mohon.” Puan Nurain mengusap lembut bahu Nuh Qays agar anak lelakinya itu lembut hati.
“ Kaka ni dah melampau ibu. Dia ganggu hidup orang yang tak bersalah. Dia cuba nak musnahkan kehidupan seseorang.” Nuh Qays menguak kasar rambutnya. Nampak kecil saja Qairina di matanya.
“ Kau memang perempuan yang tak sedar diri Kaka! Dalam hal ini, kau kena siasat Diyad, bukan Zulaikha. Dia tak ada kena mengena dengan semua ni. Kenapa kau tak fikir tentang tu? Aku yakin, kau dah ugut Zulaikha macam-macam, kalau tak, dia tak kan cuba nak tinggalkan syarikat.”
“ Itu lebih baik. Aku berbesar hati kalau dia tak ada di Malaysia ni sekalipun,” jawab Qairina perlahan. Jika dia menguatkan suaranya, takut Nuh Qays meneruskan niat menumbuk wajahnya. Walaupun dia tahu, Nuh Qays bukan jenis yang suka naik tangan pada wanita.
“ Hei!” Nuh Qays mencengkam kuat lengan Qairina. Panas hatinya mendengar jawapan Qairina itu.
“ Abang..,” seru Puan Nurain. Dia sentiasa dekat dengan Nuh Qays, takut Nuh Qays hilang kawalan dan mengapa-apakan Qairina.
“ Abang kena ajar Kaka ni ibu. Kalau tak, dia tak akan sedar dengan kesalahannya.”
“ Lepaslah Abang! Sakit tahu tak?” Qairina meronta-ronta minta dilepaskan.
“ Ohh.. Yang ni tahu pula kau rasa sakit tapi kau sakitkan hati orang, tak sedar pula. Kau dengar sini Kaka, aku tak akan biarkan Zulaikha disakiti oleh kau lagi. Kalau aku dapat tahu kau cuba nak ugut atau sakiti dia, kau akan dapat nasib yang sama pula nanti.”
Qairina mengetap bibir, kali ini Nuh Qays pula yang mengugutnya. Kurang ajar punya betina, sekarang kau mengadu dekat Abang. Memang dasar perempuan tak sedar diri! Bentak hati Qairina. Lantas dia mengambil kunci kereta setelah merasa cengkaman Nuh Qays itu semakin longgar. Dia meninggalkan rumah tanpa menghiraukan panggilan ibunya.
Nuh Qays terduduk lemah di birai katil Qairina, dia kesal dengan sikap Qairina itu. Sampai bila Qairina harus begini? Tidak mahu mendengar kata teguran. Selalu merasa dirinya sentiasa betul dari orang lain.
“ Abang, siapa Zulaikha?” tanya Puan Nurain. Dia juga ikut serta duduk di birai katil itu. Hatinya sedih melihat kelakuan Qairina itu. Adakah selama ini dia mahupun suami salah mendidik Qairina? Tapi kenapa perangai Qairina sangat berbeza dengan Nuh Qays? Itulah yang menjadi persoalan setiap kali mengenangkan sikap Qairina itu.
“ Dia junior Abang ketika di U dan dia juga salah seorang pekerja di tempat Abang bekerja. Dari dulu sampai sekarang, Kaka tak habis-habis seksa dia bu.”
“ Tapi kenapa marah benar Kaka pada dia? Apa kena mengena dengan Diyad pula?”
“ Dia tuduh Zulaikha ada hubungan dengan Diyad. Bukan ibu tak tahu dengan Kaka, terlalu taksub dengan cinta Diyad. Cemburu tak bertempat!”
“ Tapi betul ke Zulaikha tu tak ada hubungan dengan Diyad?” Bukan mahu mencurigai, cuma Puan Nurain ingin memastikan saja. Dia belum melihat siapa sebenarnya Qisya Zulaikha ini.
“ Ibu...” Seru Nuh Qays lembut. Dia tidak mahu ibunya memikirkan yang bukan-bukan tentang Qisya Zulaikha. Walaupun kadang-kadang hatinya meragui tapi akalnya menidakkan dengan secepatnya.
“ Ya, ibu tak akan prasangka yang bukan-bukan. Tak payah risaulah. Macam manalah nanti kalau ibu dan ayah pergi umrah? Ibu risau dengan kamu berdua.”
“ Ibu tak payah risau, Abang tak akan datang ke rumah ni kalau ibu dan ayah tak ada.”
“ Memanglah Abang tak datang ke rumah ni, tapi kalau gaduh di tempat lain, sama jugakan?” Puan Nurain amat risau sekali, tidak lama lagi, dia dan suami akan umrah ke tanah suci Mekah.
“ InsyaAllah, Abang akan cuba elakkan dari berjumpa dengan Kaka. Ibu jangan lupa doakan Kaka cepat berubah ya. Doakan juga supaya Abang cepat dapat jodoh.”
“ Setiap hari ibu doakan supaya Kaka berubah Abang dan ibu juga selalu mendoakan agar anak-anak ibu mendapat jodoh yang baik-baik,” ujar Puan Nurain.
“ Abang suka dekat wanita tu? Ibu nampak kelainan dalam diri Abang tadi,” tanya Puan Nurain pula. Dia mencapai tangan Nuh Qays lalu digenggam erat.
“ Ibu rasa macam tu ke?” tersenyum Nuh Qays, ibunya sudah dapat menghidu rahsia hatinya.
“ Ya, ibu rasa dialah wanita yang istimewa di hati anak ibu ni.”
“ Hmm.. Ayah mana ibu?”
“ Pandai tukar topik ya. Ayah ke masjid, dari Maghrib tadi, lepas sembahyang Isya, baliklah dia nanti. Abang dah solat?”
“ Maghrib dah tadi, sebelum datang sini. Abang solat Isya dekat sini saja.” Puan Nurain mengangguk.
*****
Setelah solat Zohor, Qisya Zulaikha menghubungi Ifa. Dia merebahkan badannya di atas katil. Hujung minggu sebegini, dia memang jarang keluar rumah. Lagipun, inilah masanya untuk dia meluangkan masa dengan Mak su.
“ Kau dekat mana sekarang ni Ifa?”
“ Aku dekat rumah. Kenapa? Dari suara macam ada masalah aje,” teka Ifa.
“ Entahlah Ifa... Sebenarnya dah lama aku nak bagitahu kau tapi yelah.. kalau nak bagitahu masa kerja, memang tak bekerja kita dibuatnya nanti. Tapi kali ni aku dah tak tahu nak luahkan pada siapa.”
“ Kan aku dah kata, kau luahkan saja dekat aku. Aku akan dengar Ikha. Jomlah keluar. Hujung minggu ni, kalau kita keluar, best juga,” cadang Ifa.
“ Aku tak dapatlah. Kesian Mak su, dia tinggal seorang saja nanti. Nak harapkan Fiah, awal tadi dia dah lesap.”
“ Haih.. Minah tu memang, syok sendiri! Hmm... Yang kau nak bagitahu aku ni, berkaitan dengan perempuan yang selalu datang jumpa kau tu ke?”
Berat keluhan Qisya Zulaikha. “ Dia juga salah seorangnya. Dulu aku ada bagitahu kau tentang Kak Rina kan?”
“ A’ah.. Aku ingat nama tu tapi aku tak ingat dia berkaitan dengan siapa. Aduhh, aku dah hilang ingatan gamaknya.”
“ Kak Rina, kembar Encik Nuh dah muncul serang aku. Dialah perempuan yang selalu jumpa aku tu.”
“ Oh ya! Dia juga girlfriend kawan Encik Nuh tu kan? Yang tegur kau hari tu?”
“ Ya. Dua-dua makhluk ni buat hidup aku tak menentu Ifa. Aku rasa tertekan sangat. Kak Rina lagilah, dia siap ugut aku macam-macam.”
Qisya Zulaikha sudah tidak tahan dengan semua ini. Dia rasa terganggu dan tertekan.
“ Gila ke perempuan tu? Kurang ajar betul, kalau aku tahu dialah perempuan yang hina kau dulu, aku sekeh kepala dia.”
“ Aku tak tahu nak buat macam mana lagi Ifa. Abang Diyad pun macam tak tahu perangai girlfriend dia macam mana tapi still nak jumpa aku. Sampai aku jumpa Encik Kamal, memohon untuk ditukarkan ke Johor.”
“ What?! Kau nak tinggalkan aku Ikha? Kau tak boleh mengalah Ikha. Nanti senang-senang mereka buli kau. Mereka tahu kau jenis yang tak suka melawan dan jika kau pindah ke tempat lain, kau yakin ke, mereka tak akan ganggu kau lagi?” ujar Ifa. Pertanyaan Ifa itu membuatkan Qisya Zulaikha terdiam sejenak.
“ Kenapa kau pula yang harus pergi sedangkan semua ni bukan salah kau? Jangan mudah mengalah Ikha kalau kau yakin, kau di pihak yang benar,” sambung Ifa lagi. Benar kata Ifa, kenapa dia yang harus pergi jauh meninggalkan semua ini sedang bukan kesalahannya.
“ Kau tak kenal Kak Rina tu macam mana orangnya. Kalau kau rasa Fiah dah teruk, Kak Rina lebih teruk dari Fiah. Dia tak sama macam Encik Nuh, walaupun mereka kembar.”
“ Nanti kau kenalkan dekat aku. Dia ingat dia terror sangat ke? Dia belum kenal siapa Ifa yang sebenarnya. Kalau dia main penampar, aku main sepak penumbuk. Nak cuba, suruh dia datang jumpa aku pula lepas ni.”
Tiba-tiba Qisya Zulaikha tergelak. Ifa memang seorang kaki gaduh. Kalau di tengok dari luaran, Ifa seperti wanita melayu terakhir, nampak saja sopan tapi jika kesabarannya dicabar, pasti wanita itu akan melenting dan melawan habis-habisan.
“ Aku rasa bangga sangat dapat kawan macam kau ni Ifa. Untung Irfan dapat kau nanti.” Qisya Zulaikha menyambung tawanya. Hilang sudah rasa gusar di hati.
“ Eik? Apa pasal lu sebut nama itu mamat? Nanti tak pasal-pasal dia call aku.”
“ Jangan terlalu membenci Ifa, nanti kau akan terlalu mencintai dia.”
“ Dah, dah. Aku tak nak dengar falsafah cinta kau tu. So sekarang kau dah okey?”
“ Dah... Terima kasih kawanku. Aku akan seru nama kau kalau Kak Rina datang lagi. Kalau Abang Diyad datang jumpa aku lagi, kau sekeh dia sekali ya?”
“ No hal! Aku layan aje.” Besar ketawa Qisya Zulaikha. Ifa nampak serius bila berkata sebegitu.
Qisya Zulaikha akan kuatkan hati, semua ini bukan salahnya! Dia tidak akan lari dari Qairina mahupun Izdiyad. Dia tidak keseorangan, Ifa akan sentiasa menyokongnya. Dia percaya, Allah menguji hamba-Nya adalah untuk mengukur sejauh mana tahap iman dalam diri seseorang, kesabaran dalam menempuh dugaan yang mendatang. Setiap manusia di landa badai, dugaan, suka dan duka dalam menjalani kehidupan seharian dan dia tidak terkecuali.
P/S : Terima kasih sebab sudi baca PDH. Next bab nanti, kejadian itu akan muncul.. kejadian yang tak disangka-sangka. Nantikan ya. Saya sayang anda semua :)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar