BAB 12
Hari ini merupakan hari ibu dan ayah Nuh Qays berangkat meninggalkan Malaysia untuk mengerjakan umrah. Pada masa yang sama, kesihatan Nuh Qays tidak memberansangkan namun digagahi juga kerana hari ini merupakan hari yang sangat sibuk sekali. Dia mahu menyiapkan kerjanya sebelum dia menghantar ibu dan ayahnya ke lapangan terbang petang nanti.
“ Assalamualaikum Encik Kamal,” sapa Nuh Qays di corong telefon itu. Dia tidak larat pergi ke bilik kerja Encik Kamal kerana kepalanya rasa berdenyut yang amat sangat.
“ Walaikumsalam, Nuh.”
“ Saya dah hantar dokumen Alam Jaya ke bilik Tuan Haji Yusuf but he’s not around yet. Saya nak minta tolong Encik Kamal, kalau Tuan Haji dah sain dokumen tu, harap Encik Kamal pegang dulu dokumen tu or you pass it to someone you trust. Dokumen tu sangat confidencial. Later saya ada meeting dengan client kita, so tak dapat nak tunggu sehingga Tuan Haji datang.” jelas Nuh Qays.
“ InsyaAllah, itu pun kalau saya sempat. Nanti saya akan balik awal juga, sebab petang ni saya nak berangkat ke Mekah.”
Terkejut Nuh Qays mendengar pemberitahuan Encik Kamal itu.
“ Nak berangkat umrah petang nanti? Samalah dengan ibu dan ayah saya. Ini mesti penerbangan yang sama ni. Asal tak ambil cuti Encik Kamal?”
“ Saya risau kerja belum selesai lagi. Kalau dokumen Alam Jaya tu dah disain, sedap juga rasa hati ni. Saya akan suruh Zulaikha pegang dokumen tu. Ini bukan saya tak percaya dengan Afiah cuma saya dah biasa serahkan dokumen penting pada Zulaikha. Jadi nanti, awak minta saja dokumen tu pada Zulaikha ya? Esok penyerahan dokumen tu pada Alam Jaya kan?”
“ Ya, esok saya sendiri akan ke Putrajaya. Saya tak kisah sebenarnya. Janji dokumen tu sampai ke tangan saya nanti. Okeylah Encik Kamal, saya kena pergi dulu. Dah kesuntukan masa ni, nanti komplen pula klien kita. Assalamualaikum.”
“ Ya,ya. Walaikumsalam,” jawab Encik Kamal.
Nuh bergegas mengambil kunci keretanya. Dia sudah terlambat! Sebaik saja sampai ke pintu, langkahnya terhenti. Kepalanya ibarat berpusing-pusing, dia menekan kepalanya yang sakit itu. Dia akan selalu begini bila deman mula datang menyerang. Nuh Qays memejamkan matanya untuk meredakan kesakitan, kalau dia terus berjalan, takut pengsan pula nanti. Dia mengorak langkahnya kembali bila sakit kepalanya sedikit reda.
*****
“ Zulaikha, awak pegang dokumen Alam Jaya ni ya. Nanti Nuh akan ambil dari awak. Saya tak tahu bila sebab sekarang dia sibuk tapi mungkin hari ni juga dia akan ambil dari Zulaikha, esok dia sendiri akan hantar dokumen ni ke Putrajaya,” arah Encik Kamal. Dokumen Alam Jaya itu diserahkan kepada Zulaikha sebaik saja Tuan Haji Yusuf menandatangani.
“ Baik Encik Kamal.”
Qisya Zulaikha menyimpan dokumen itu ke dalam begnya. Dah Encik Kamal tak tahu bila Nuh Qays hendak mengambil dokumen itu, lebih baik dia membawa ke mana-mana. Takut nanti, bila dia dah balik rumah, Nuh Qays pula hendak mahukan dokumen itu.
“ Anyway, selamat berangkat ke tanah suci Encik Kamal. Semoga dipermudahkan segala urusan nanti. Saya doakan semoga Encik Kamal dan isteri selamat sampai ke Mekah dan selamat kembali ke Malaysia juga nanti.”
“ InsyaAllah. Semoga dipermudahkan Zulaikha. Terima kasih ya. Tak nak kirim apa-apa?” tanya Encik Kamal.
“ Tak payahlah Encik Kamal. Semoga Encik Kamal dan isteri mendapat umrah yang mabrur.”
“ Amin. Dan saya doakan nanti supaya Zulaikha cepat dapat jodoh. Nak tunggu anak-anak saya, memang lambat lagilah. Semuanya belum habis belajar lagi.”
Qisya Zulaikha tersenyum nipis. Jodoh? Tidak tahu bila dia akan mendapat jodohnya.
“ Lambat lagilah Encik Kamal. Mister Right pun belum ada lagi.”
“ Mana tahu Mister Right tu dah ada di depan mata, kita tak tahukan? Jodoh pertemuan itu ditentukan oleh-Nya. Cepat atau lambat, kenal atau tidak dengan pasangan hidup kita tu, yang penting jodoh yang diredhai-Nya.”
Qisya Zulaikha mengerutkan dahinya, tiba-tiba saja Encik Kamal mengungkit tentang jodoh dan lelaki tua itu seperti serius mengatakannya.
“ Faham Encik Kamal. InsyaAllah, kalau dah memang jodoh saya, saya tak akan tolak. Dahlah cakap tentang jodoh ni. Encik Kamal tak nak balik ke? Nanti lewat pergi airport.”
“ Allah! Lupa saya. Inilah akibat bila dah leka berbual. Okey, jangan lupa serahkan dokumen tu pada Nuh ya. Saya jalan dulu, assalamualaikum.”
“ Walaikumsalam.” Tergeleng-geleng Qisya Zulaikha dengan sikap Encik Kamal yang mudah lupa itu.
****
“ Maaf ibu, ayah, abang lewat sikit.” Tercungap-cungap Nuh Qays. Dia sudah terlewat setengah jam kerana perbincangan tadi tergendala seketika, klien pula yang mengalami masalah. Sepatutnya dia menemani ibu bapanya sebelum kedua-dua orang tuanya berangkat.
“ Tak apa, abang. Ayah dan ibu faham.”
“ Kaka tak datang ke?” Mata Nuh Qays liar melihat sekeliling. Lapangan terbang sedikit sesak, dipenuhi oleh jemaah umrah dan sanak saudara. Bukan saja jemaah umrah malah, ada juga yang hendak melancong ke negara lain.
“ Dia dah ada tadi tapi terpaksa pergi sebab dia ada fesyen show. Dia kena hadir,” jawab Puan Nurain. Nuh Qays mendengus kasar. Ahh..! Qairina memang begitu, selalu mementingkan perkara lain dari keluarga sendiri.
“ Tak apalah, janji Abang ada,” ujar Puan Nurain lagi seraya mengusap lembut lengan Nuh Qays. Dia nampak wajah Nuh Qays yang tidak puas hati itu.
“ Eh... Kenapa badan Abang macam panas ni? Tengok, Abang dah berpeluh. Abang demam ke?” Puan Nurain terus melekapkan telapak tangannya ke dahi Nuh Qays. Wajahnya mempamerkan kerisauan.
“ Ibu jangan risau. Abang okey sebenarnya cuma letih sikit. Lepas ni, eloklah nanti. Abang nak ibu fokus pada yang satu ni dulu. Jaga diri ibu dekat sana, jangan jauh dari ayah,” pesan Nuh Qays. Dia tidak mahu ibunya risau tentang dirinya. Nanti hilang pula konsenterasi ibunya untuk mengerjakan umrah.
“ Ayah, bila dah sampai sana, terus call Abang.”
“ Jangan risau, ayah akan terus call Abang. Jangan lupa tengok-tengokkan Kaka juga ya. Tak jumpa pun tak apa, tengokkan dari jauh saja.”
“ Ya, nanti Abang tengok-tengokkan dia. Pak Ngah mana ayah?” Nuh Qays mencari kelibat Pak Ngah dan juga isteri. Suami isteri itulah yang menemani ibu dan ayahnya mengerjakan umrah.
“ Mereka makan dulu. Bukan Abang tak tahu dengan mereka tu, kerja nak makan aje. Nanti sibuklah nak cari tandas bila dah dalam kapal terbang.” Tersenyum juga Nuh Qays dengan kata-kata ayahnya itu. Memang dia sedia maklum dengan perangai Pak Ngah suami isteri yang suka makan tapi badan tak pula menjadinya.
Sekejap-sekejap badan Nuh Qays terasa mengigil kesejukan tapi dia cuba mengawal di hadapan ibu dan ayahnya. Kepala pula sentiasa berdenyut-denyut. Rasa teruk betul dia kali ini. Peluh di dahi dilap dengan pantas sebelum ibunya ternampak, dia tidak mahu ibunya risau tentang dirinya. Dia boleh jaga dirinya sendiri walaupun dia selalu di sisi ibunya ketika sakit.
Setelah memastikan ibu dan ayahnya berlepas masuk ke balai perlepasan, Nuh Qays bergegas meninggalkan lapangan terbang itu. Dia mahu balik ke kondominiumnya. Dia sudah tidak tahan dengan sakit kepala yang ditanggungnya ini. Sehingga dia lupa akan sesuatu.
*****
“ Mana Encik Nuh ni? Dah enam setengah dah, tapi batang hidung tak nampak-nampak. Jadi ke tidak nak ambik dokumen ni?” bebel Qisya Zulaikha sendiri. Sudah banyak kali matanya melirik pintu lif dan berharap Nuh Qays yang akan datang.
“ Mungkin dia ambik esok pagi kut. Lebih baik aku balik rumah.” Putus Qisya Zulaikha. Dia mengemas meja kerjanya dan mengambil beg tangannya yang besar itu. Dia ingin memastikan dokumen Alam Jaya juga sudah disumbatkan ke dalam beg tangannya.
Sampai saja ke rumah, Qisya Zulaikha melihat Mak su sudah mengenakan telekung. Pasti Mak su ingin ke masjid berdekatan, bersolat dan mengaji di sana. Kalau dia tidak letih, pasti dia akan menemani Mak su.
“ Dah nak pi masjid Mak su?”
“ A’ah. Ikha tak nak ikut sekali?” tanya Mak su.
“ Ikha letih sangat hari ni Mak su. Ikha solat di rumah saja. Fiah dah ada?” tanya Qisya Zulaikha pula. Kalau Afiah ada di rumah pasti dia akan mengurungkan diri di dalam bilik.
“ Baru saja dia keluar tadi. Mak su tanya, kata dia ada urusan. Entah, urusan apa pula kali ni, nampak gelojoh sangat dia tadi.”
“ Okeylah kalau macam tu. Ikha masuk bilik dulu. Nak mandi apa, badan dah melekit sangat ni. Bawa kereta elok-elok Mak su,” pesan Qisya Zulaikha. Walaupun masjid berdekatan dengan rumahnya tapi dia memang tidak senang hati jika Mak su cuma berjalan kaki ke masjid. Guna kereta lebih elok, selamat dan cepat sampai. Qisya Zulaikha memandang Mak su dengan penuh simpati, hanya kerana dia dan Afiah, Mak su mengabaikan zaman mudanya. Dulu Mak su pernah menolak pinangan seseorang demi ingin menjaga mereka berdua dan sehingga mereka dewasa, Mak su masih berseorangan.
Selesai solat Maghrib, Qisya Zulaikha keluarkan novel pemberian Ifa daripada begnya. Sudah lama juga dia tidak ada kesempatan untuk membaca novel. Bila letih begini dan mata tidak dapat dilelapkan walaupun seketika, ada baiknya membaca sesuatu. Dapat juga merehatkan minda.
Dari sehelai muka surat, kini sudah menjadi suku novel itu Qisya Zulaikha baca. Nampak sangat novel itu menarik perhatiannya. Tapi tumpuannya terganggu bila telefon bimbitnya berbunyi tanda pesanan ringkas masuk. Bulat matanya membaca pesanan ringkas itu. Biar betul!
Tolong hantar dokumen Alam Jaya ke rumah saya. Ketua awak bagitahu saya yang dokumen itu ada pada awak. Saya nak kan malam ini juga – Nuh
BAB 13
“ Macam mana?” tanya Nuh Qays. Walaupun dia seakan tahu jawapan yang bakal didengarnya tapi dia mahu Qisya Zulaikha berkata sesuatu padanya.
Qisya Zulaikha menyeka air matanya. Telefon bimbit disimpan semula ke dalam beg. Pertanyaan Nuh Qays itu dibiarkan sepi seketika.
“Zulaikha..,” panggil Nuh Qays bila melihat Qisya Zulaikha hanya diam. Dia tahu Qisya Zulaikha tidak rela dengan semua ini, dia juga tidak mengharapkan akan jadi sebegini walaupun keinginan untuk memiliki Qisya Zulaikha sangat kuat sekali. Tapi rasanya dia tidak menyesal dengan apa yang terjadi ini. Pasti, agendanya akan terlaksana bila dia sudah sah memiliki Qisya Zulaikha.
“ Kita akan menikah bila Mak su saya dah sampai. Saya nak dia ada di sisi saya ketika ini.” Tanpa memandang wajah Nuh Qays, Qisya Zulaikha memberitahu lelaki itu. Dia sudah tidak tahu mahu berbuat apa lagi. Qisya Zulaikha cuba untuk mempertahankan diri tapi bila kata-katanya tidak di dengar sama sekali, apa lagi yang harus dia katakan?
Memang dia sedar, dalam situasi sebegini, bermacam-macam alasan yang diberikan oleh pesalah tapi dia dan Nuh Qays tidak buat sesuatu yang menyalahi agama. Silapnya juga, tidak merenggangkan pintu rumah Nuh Qays.
Nuh Qays pula membangkitkan tentang maruah. Qisya Zulaikha tahu, maruah itu sangat penting dalam diri seseorang, jika maruah sudah tercemar pasti orang akan memandang serong, terutama sekali manusia seperti Afiah. Wanita itu akan semakin besar kepala mencemuh dirinya.
Qisya Zulaikha menoleh ke sisi, Nuh Qays tersandar lesu. Wajah pucat lelaki itu sangat kelihatan. Terdetik di hatinya, belas kasihan ketika memandang Nuh Qays itu.
“ Macam mana dengan mak bapak Encik?” Dengan suara yang sengau disebabkan terlalu banyak menangis, Qisya Zulaikha bertanyakan tentang ibu bapa Nuh Qays.
“ Mereka pergi umrah petang tadi.”
“ Hah?” Lemah terus semangat Qisya Zulaikha mendengar jawapan Nuh Qays itu. Apalah yang akan jadi kepadanya selepas ini? Hatinya merintih pilu. Sudah pasti Nuh Qays tidak memberitahu ibu bapanya tentang perkara ini. Jika dia di tempat Nuh Qays, dia tidak akan memberitahu ibu bapanya juga untuk sementara waktu ini, takut nanti akan mengganggu ibadah mereka di sana.
Sementara menunggu Mak su sampai, Qisya Zulaikha dan Nuh Qays disuruh masuk ke dalam satu bilik. Di sana terdapat beberapa orang pegawai agama. Tiga lelaki dan dua wanita. Di sanalah mereka diberikan taklimat seperti kursus kahwin. Dalam mendengar taklimat itu, air mata Qisya Zulaikha tidak putus-putus mengalir.
Dalam menghayati kata-kata imam kadhi itu, Nuh Qays sempat melirik ke arah Qisya Zulaikha. Banyak kali wanita itu menyeka air matanya. Kalaulah dia dapat meredakan kedukaan hati Qisya Zulaikha, pasti dia akan melakukan saat ini. Sedangkan dia juga seakan tidak bermaya saat ini. Sebenarnya mereka boleh saja membela diri di mahkamah dan membayar denda yang diberikan tapi Nuh Qays yang memutuskan supaya mereka bernikah saja. Itulah jalan yang sangat mudah untuk dia dekati Qisya Zulaikha. Maafkan saya, Qisya Zulaikha., bisik hati Nuh Qays.
Sampai saja Mak su, acara pernikahan dimulakan dengan segera memandangkan sudah menginjak hampir lewat malam. Dua pegawai agama menjadi sebagai dua saksi pernikahan mereka. Hanya sekali lafaz saja, Qisya Zulaikha sah menjadi isteri Nuh Qays. Qisya Zulaikha terkenangkan kata-kata Encik Kamal pagi tadi, lelaki tua itu ingin mendoakan agar jodoh Qisya Zulaikha dipercepatkan. Tidak perlu menunggu lama, jodohnya sudah ada kini. Dia sudah bergelar seorang isteri dan isteri kepada Nuh Qays.
“ Sabar Ikha... Mungkin semua ni ada hikmahnya. Jangan terlalu meratapi semua ni. Kalau Ikha berterusan begini, ibarat Ikha tidak dapat menerima takdir Allah,” nasihat Mak su ketika mereka ingin menuju ke tempat letak kereta. Dia juga sudah tahu cerita sebenar berlakunya kejadian itu. Mak su mengusap lembut bahu Qisya Zulaikha yang terlentok di bahunya itu.
“ Mak su hantar kau orang ke rumah Nuh ya?”
“ Ikha tak nak Mak su. Ikha tak rapat pun dengan dia. Dia cuma salah seorang ketua Ikha.” jawab Qisya Zulaikha pantas. Dia tidak bersetuju dengan cadangan Mak su itu. Dia menoleh ke belakang, Nuh Qays masih jauh dari mereka. Lambat benar lelaki itu berjalan. Qisya Zulaikha sudah lupa bahawa Nuh Qays tidak dalam keadaan yang sihat.
“ Ikha, jangan macam ni nak... Dia dah jadi suami Ikha. Lagipun, dia tak berapa sihat tu. Ikha kena ingat, jangan menidakkan jodoh yang sudah ada. Syurga Ikha di bawah kaki suami,” bisik Mak su. Suara diperlahankan bila Nuh Qays semakin menghampiri.
“ Percayalah dekat dia. Mak su tengok, dia elok saja Ikha. Dia yang nak Ikha bernikah dengan dia, itu bermakna dia juga mempercayai Ikha untuk menjadi isteri dia,” sambung Mak su lagi.
“ Tapi baju Ikha, tak ada. Dah lah esok nak pergi kerja.” Qisya Zulaikha cuba memberi alasan. Dia melihat Nuh Qays sudah tersandar di badan kereta Mak su.
“ Mak su ada bawa sikit. Sebab kalau dah nikah, itu bermakna Ikha kena tinggal dengan dia kan?” Bulat mata Qisya Zulaikha mendengar kata-kata Mak su itu. Maknanya di sini, dia tidak dapat memberikan alasan lagi.
Telefon bimbit Nuh Qays berbunyi nyaring. Nuh Qays mengeluh bila melihat nama yang tertera di skrin kecil itu. Badan masih tersandar lesu di badan kereta Mak su Qisya Zulaikha.
“ Hello..”
“ Abang dekat mana sekarang ni?” tanya Qairina kasar.
“ Kenapa?” Pertanyaan dijawab pertanyaan juga.
“ Aku cari kau dekat kondo, tapi kau tak ada. Kau ke mana sebenarnya?”
“ Aku tak balik kondo,” jawab Nuh Qays pendek.
“ Dari tadi kau tak balik-balik?”
“ Hmm..”
“ Kau tidur rumah Diyad ke?”
“ Tak. Rumah kawan aku.”
“ Kawan mana?” tiba-tiba saja Nuh Qays berasa pelik dengan pertanyaan Qairina itu. Sibuk benar kembarnya itu ingin tahu di mana dia berada.
“ Aku penat Kaka. Dah malam sangat ni. Aku nak tidur.” Tanpa menunggu lama, Nuh Qays memutuskan talian. Matanya merenung Qisya Zulaikha yang memandangnya itu. Pasti wanita itu terdengar perbualannya tadi.
Qisya Zulaikha terfikirkan sesuatu bila terdengar nama Kaka disebut Nuh Qays. Dia tidak mahu Qairina tahu tentang hubungan mereka ini, kalau wanita itu tahu pasti Qairina naik gila.
“ Jomlah kita balik. Ikha duduk belakang ya, temani Nuh. Mak su tengok dia lemah sangat tu.”
“ Tak apa Mak su. Biarlah Zulaikha duduk depan,” jawab Nuh Qays bila melihat Qisya Zulaikha seakan tidak mahu bersuara memberikan jawapan.
“ Ikha..,” tegur Mak su dengan nada tegas. Dia tidak mahu Qisya Zulaikha memberontak dengan keadaan ini.
Qisya Zulaikha membuka pintu penumpang belakang dan mengisyaratkan supaya Nuh Qays masuk.
“ Terima kasih,” ucap Nuh Qays. Qisya Zulaikha tidak tahu untuk apa Nuh Qays berterima kasih padanya, yang penting dia mendengar kata Mak su.
“ Mak su, tolong jangan beritahu Fiah tentang hal ni. Ikha tak nak dia tahu. Nanti heboh pula.” Mata Qisya Zulaikha memandang Mak su yang khusyuk memandu itu.
“ Tapi nak tunggu sampai bila? Lambat laun dia akan tahu juga.”
“ Biarlah semua ni reda dulu. Kalau dah tiba masanya, bukan saja Fiah yang tahu, semua orang akan diberitahu.”
“ Err..” Nuh Qays cuba mencelah tapi cepat dipotong oleh Qisya Zulaikha.
“ Saya harap Encik tak beritahu Kak Rina tentang hal ini juga. Saya mohon sangat-sangat.” Pinta Qisya Zulaikha.
Memang Nuh Qays tahu, pasti Qisya Zulaikha memintanya untuk tidak memberitahu Qairina. Dia juga berfikir tentang perkara yang sama.
“ Tapi saya akan beritahu ibu dan ayah saya, bila mereka dah balik Malaysia. Saya harap awak faham akan situasi saya, Zulaikha.”
Qisya Zulaikha mengangguk laju. Memang ibu bapa Nuh Qays wajib tahu tentang pernikahan ini tapi disebabkan orang tua lelaki itu mengerjakan ibadah umrah, Nuh Qays tidak mahu ibunya terganggu dek perkhabaran yang mengejut ini.
" Mak su harap Nuh akan jaga Zulaikha dengan sebaiknya, jika dia ada salah silap, tegurlah dia. Dialah permata Mak su," Pesan Mak su pada Nuh Qays sebaik saja sampai ke kondominium lelaki itu. Qisya Zulaikha sudah terlebih dahulu keluar dari kereta.
" InsyaAllah Mak su. Zulaikha sudah menjadi tanggunghjawab saya. Saya akan menjaganya sebagaimana saya menjaga kedua ibu bapa saya," jawab Nuh Qays. Itulah janjinya. Dia akan menjaga Qisya Zulaikha hingga ke akhir hayatnya jika itu yang ditakdirkan oleh-Nya.
*****
“ Awak dah solat Isya?” tanya Nuh Qays lemah. Sampai saja ke kondominiumnya, lelaki itu terus merebahkan badan ke sofa di ruang tamu itu. Rasanya perjalanan hari ini sangat panjang sekali.
“ Belum,” jawab Qisya Zulaikha pendek.
“ Kalau nak solat, telekung ibu saya ada dalam bilik wardrobe. Kita solat sama-sama.”
“ Tapi Encik kan demam.”
“ Saya masih larat lagi.”
Tidak tahu mahu jawab apa lagi, Qisya Zulaikha terus ke bilik wardrobe. Beg yang tersimpan sedikit baju-bajunya di simpan di tepi dinding.
Mana bilik mandi ni? bisik hati Qisya Zulaikha. Matanya mencari-cari di mana terletaknya bilik mandi. Selesai saja berwudhu dan memakai telekung, mata Qisya Zulaikha liar mencari kelibat Nuh Qays. Lelaki itu sudah tidak ada di sofa. Mana perginya? Tanya Qisya Zulaikha dalam hati.
“ Dah siap?” tanya satu suara dari arah belakang. Qisya Zulaikha menoleh, Nuh Qays sudah bertukar pakaian. Matanya terpaku memandang lelaki itu, sungguh berlainan dengan hanya memakai baju putih berkolar dan berkain pelekat. Wajah yang masih basah disebabkan bekas air wudhu itu membuatkan Nuh Qays nampak tampan lagi. Ahh..! Kenapa fikir yang bukan-bukan ni?
“ Dah,” jawab Qisya Zulaikha.
“ Bilik solat dekat sini, bilik ni saya bahagi dua. Bilik kerja dan bilik solat. Harap awak selesa.”
Qisya Zulaikha melihat ruang bilik itu, bilik yang sederhana besar itu sangat elok di matanya. Pandai Nuh Qays membahagikan ruang. Bilik ini ibarat ada dua bilik pula rasanya. Ruang solat yang sangat rapi, tersusun buku-buku agama dan terutama sekali adanya kitab suci Al-Quran di rak itu.
Siap solat dan mengaminkan doa, Nuh Qays menoleh ke belakang dan berhadapan dengan Qisya Zulaikha. Dia tertunggu-tunggu untuk Qisya Zulaikha menyalaminya.
Apa nak buat ni? Salam ke tidak? Bila salam, kena cium ke? Beberapa persoalan bermain di minda Qisya Zulaikha. Akhirnya, dia menghulurkan tangan, sedar bahawa Nuh Qays sudah menjadi suaminya. Huluran tangan disambut dan Qisya Zulaikha mencium lembut tangan itu. Dia berasa sedikit menggigil bila bersentuhan dengan Nuh Qays.
Sebaik saja Qisya Zulaikha mengangkat wajahnya, Nuh Qays mendekatkan dirinya dan mencium dahi isterinya itu. Benarlah... Cintanya tumpah pada wanita di hadapannya ini. Dia memandang Qisya Zulaikha yang seakan terpaku itu tapi tidak dihiraukan.
“ Saya nak bincang dengan awak.” Terhenti pergerakan Qisya Zulaikha dari terus melipat telekung bila mendengar bicara Nuh Qays itu.
“ Kita bincang dalam bilik, saya nak baring. Kepala saya masih pening,” sambung Nuh Qays lagi.
Tanpa banyak songeh, Qisya Zulaikha hanya akur. Dia memimpin Nuh Qays ke dalam bilik lelaki itu. Niat hati Qisya Zulaikha mahu duduk di sofa yang ada dalam bilik lelaki itu tapi dengan pantas Nuh Qays menyambar tangannya.
“ Duduk kat sini saja.” Nuh Qays memberi ruang agar Qisya Zulaikha duduk di sisinya, di tepi katil itu.
“ Terima kasih sebab sudi jadi isteri saya. Saya harap tak ada perkataan menyesal dalam diri awak tentang pernikahan kita.”
Bergunakah lagi perkataan menyesal itu sedangkan dia sudah pun bernikah dengan Nuh Qays? Qisya Zulaikha hanya tunduk, bermain dengan jari sendiri.
“ Apa yang nak saya nyatakan di sini, pernikahan ini bukan untuk sementara. Ianya bukan sekadar tertulis di atas kertas saja tapi saya nak kan awak menjadi isteri yang sebenar-benarnya. Saya harap pernikahan ini akan kekal hingga ke akhir hayat kita. Belajar untuk menerima saya dan saya juga akan belajar untuk menerima awak.”
Qisya Zulaikha terkedu. Benarkah apa yang didengarnya ini? Tidakkah Nuh Qays membencinya selama ini? Tidakkah Nuh Qays sedar bahawa selama ini mereka mempunyai jurang yang sangat besar? Kenapa apa yang dilihatnya ini tidak sama dengan apa yang dia fikirkan? Nuh Qays seakan tidak kisah dengan apa yang berlaku ini.
“ Tak nak cakap apa-apa ke? Saya yang demam ke atau awak yang demam ni? Tak kan dengan sepatah kata pun tak larat nak cakap,” ujar Nuh Qays. Dia yang demam pula yang banyak cakap, Qisya Zulaikha hanya diam tidak kata apa-apa. Dia mahukan jawapan daripada wanita itu.
“ InsyaAllah, saya akan cuba,” jawab Qisya Zulaikha pendek. Mata masih terarah ke jarinya. Tidak berani untuk memandang lelaki itu.
“ Ada seperkara lagi saya nak tegur. Cara awak panggil saya. Adakah panggilan ‘Encik’ itu yang selayaknya untuk seorang suami?”
“ Saya panggil abang lepas ni.” Pantas saja Qisya Zulaikha menjawab pertanyaan Nuh Qays itu, daripada lelaki itu membebel lebih-lebih, lebih baik dia berikan jawapannya.
“ Abang? Keluarga saya, semua panggil saya Abang. Tak ada panggilan lain lagi ke? Sayang ke?”
Mahu saja Qisya Zulaikha tersedak dengan kata-kata selamba suaminya itu. Tengok wajah lelaki itu, nampak macam serius saja.
Nuh Qays menahan senyum. Dalam lemah begini, rasa bahagia bila cuba menyakat Qisya Zulaikha. Wajah dibiarkan serius memandang isterinya itu.
“ Err.. Saya rasa, panggilan abang itulah yang sebaik-baiknya untuk seorang suami.”
“ Up to you. And anyway... Dengan suami pun, awak nak pakai tudung ke? Awak tengok saya ni macam orang yang tak boleh dipercayai? Jangan risau, saya tak larat nak layan awak malam ni.”
Kenapa semua yang Nuh Qays katakan, membuatkan Qisya Zulaikha terkedu? Lelaki itu pula macam tak kena gaya dengan keadaan yang kurang sihat itu. Masih larat nak kata macam tu lagi.
Tanpa kata apa, Qisya Zulaikha meninggalkan Nuh Qays. Dia menuju ke bilik wardrobe untuk menyimpan tudungnya ke dalam beg. Rasa tidak selesa sebenarnya bila secara tiba-tiba saja dia tinggal dengan seorang lelaki, seorang yang bergelar suami.
Nuh Qays tergamam bila melihat Qisya Zulaikha tanpa bertudung. Cantiknya wanita ini, bisik hatinya. Rambut wanita itu dibiar lepas, kelihatan sangat halus dan licin. Kalaulah dia dapat membelai rambut isterinya itu. Ahh..! Belum tiba masanya lagi. Dia tahu Qisya Zulaikha tidak selesa. Matanya tidak lepas memandang Qisya Zulaikha yang menghampiri katil dan mengambil bantal. Nuh Qays mula mengerutkan wajahnya.
“ Nak ke mana dengan bantal tu?”
“ Saya belum biasa dengan semua ni, jadi saya nak tidur dekat sofa tu, boleh ke?”
“ Ini ke cara awak belajar untuk terima saya? Dengan buat macam ni? Awak dekat sofa dan saya dekat sini? Saya rasa, katil saya ni tak kecil mana pun.”
Rasa terpukul dek kata-kata Nuh Qays itu. Baru tadi Qisya Zulaikha memberikan jawapan untuk cuba menerima Nuh Qays. Sekali lagi, Qisya Zulaikha kalah dengan ‘hujahan’ Nuh Qays. Dia mengetap bibirnya. Untuk sekian kalinya, Qisya Zulaikha akur juga. Berbaring di katil itu. Belajarlah menerima dia Ikha, kan dulu kau suka dengan lelaki ni. Dia sudah menjadi suami kau. Seorang lelaki yang selayaknya kau cintai. Satu suara ibarat menyapa ke telinganya. Dengan perlahan kelopak matanya tertutup, terlena kerana terlalu letih.
Senang hati Nuh Qays bila Qisya Zulaikha akur dengan kata-katanya. Walaupun wanita itu tidak banyak kata, tapi dia cukup bersyukur Qisya Zulaikha mahu mendengar katanya. Dia percaya, tidak mudah untuk Qisya Zulaikha menerima semua ini secara mendadak. Siapa yang mahu disatukan dengan cara begini? Sudahlah dia tidak tahu perasaan hati Qisya Zulaikha yang sebenar. Sudah berpunya ke tidak wanita itu? Ahh..! Malas mahu berfikir panjang, apa yang penting, dia akan pastikan Qisya Zulaikha akan jatuh cinta padanya lepas ini.
P/S : Terima kasih sebab sudi baca PDH. Saya sayang anda! :)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar