BAB 5
Sudah tiga bulan Nuh Qays bekerja di Syarikat Bina Perdana dan selama itu juga, jarang benar dia menemui Qisya Zulaikha. Dia tertunggu-tunggu juga jikalau Qisya Zulaikha datang ke bahagian pemasaran tapi tidak, cuma dua ke tiga kali saja dalam sebulan itu. Bukan dia tidak tahu bahawa Qisya Zulaikha berkawan rapat dengan kerani di bahagiannya iaitu Ifa. Tapi setiap kali serapan pagi mahupun makan tengahari, Ifa selalu saja hilang. Mungkin Ifa yang selalu ke tempat Qisya Zulaikha, teka Nuh Qays.
Terleka pula dia memikirkan tentang Qisya Zulaikha di dalam kereta pagi ini. Nuh Qays ternampak kelibat Qisya Zulaikha yang baru saja datang itu. Baru dia tahu bahawa Qisya Zulaikha menggunakan kereta Honda Civic, tidak kelihatan baru dan tidak juga kelihatan lama. Banyak benar perkara yang dia tidak diketahuinya tentang Qisya Zulaikha ini, tentang keluarga wanita itu. Susah juga menyukai seseorang dalam diam ini, bisik hatinya.
Laju saja Nuh Qays keluar dari kereta Audi A4 berwarna biru itu, memandangkan tempat parkirnya tidak sama dengan tempat parkir pekerja bawahan. Untuk yang berjawatan sepertinya, tempat parkir terletak lebih hampir dengan bangunan pejabat, berbeza dengan pekerja bawahan. Tiba-tiba saja dia ingin menyakat Qisya Zulaikha. Rasa rindu mahu menatap wajah wanita itu. Nuh Qays memperlahankan langkahnya agar beriringan dengan Qisya Zulaikha kerana dia sudah mendengar bunyi tapak kasut dari belakang.
Qisya Zulaikha terus melangkah tanpa menghiraukan lelaki yang di hadapannya ini. Jalan macam siput! Lambat benar lelaki ni berjalan, desis hati Qisya Zulaikha. Dia cuba mahu memotong lelaki di hadapannya ini tapi setelah mendengar lelaki itu terbatuk kecil seraya itu dia menoleh. Qisya Zulaikha terpaku.
“ Err... Assalamualaikum Encik Nuh, selamat pagi,” ucap Qisya Zulaikha. Rasa tidak elok pula jika sekiranya dia tidak menyapa Nuh Qays sedangkan lelaki itu merupakan salah seorang ketua di syarikatnya.
“ Walaikumsalam. Selamat pagi,” jawab Nuh Qays, cuba berlagak serius. Dia nampak wajah Qisya Zulaikha yang seperti takut-takut itu. Rasa mahu tergelak pula dia bila melihat Qisya Zulaikha yang seakan ragu-ragu. Antara meninggalkan terus Nuh Qays ataupun masih seiringan sehingga sampai ke lif nanti.
Qisya Zulaikha menggigit bawah bibirnya berkali-kali, habis lip gloss jenama Body Shop yang disapukan di bibirnya itu kerana terlalu kerap menggigit. Dia rasa ragu-ragu, hendak meninggalkan Nuh Qays dan berjalan selaju yang mungkin atau berjalan seiringan dengan lelaki itu? Bingung! Jika dia meninggalkan Nuh Qays, nampak tidak sopan pula tapi kalau dia seiringan dengan lelaki itu, pasti dia akan berasa sangat janggal sekali. Akhirnya Qisya Zulaikha memutuskan untuk mengatur langkahnya agar lebih laju sedikit tapi yang menghairankan, langkah Nuh Qays juga sebegitu. Qisya Zulaikha cuba memperlahankan langkahnya pula, Nuh Qays juga seakan buat sebegitu. Macam main-main pula mamat ni, hatinya meneka. Dia menoleh sekilas.
“ Yes, anything?” tanya Nuh Qays. Qisya Zulaikha pantas menggeleng laju. Takut jika Nuh Qays memikirkan yang lain-lain. Mungkin itu firasat Qisya Zulaikha saja. Biasalah bila rasa gementar ini, ada saja yang tidak kena.
Nuh Qays menahan senyum, lucu betul Qisya Zulaikha ini. Dia yakin Qisya Zulaikha sedar akan perbuatannya itu tadi. Memang dia sengaja! Tapi cuba berlagak tidak tahu dengan apa yang dia lakukan.
Masuk saja di dalam lif, Nuh Qays berdiri di penjuru belakang dan manakala Qisya Zulaikha pula berdiri di hadapan. Rasa seram sejuk pula pagi ini, hatinya berkata cemas. Dalam masa tiga bulan ini, memang jarang sekali Qisya Zulaikha menampakkan diri pada lelaki itu. Mungkin juga, dia cuba mengelak dari bertembung dengan lelaki itu. Selalunya, dia akan ramah dengan pekerja-pekerja tidak kira dengan orang atasan mahupun dengan orang bawahan. Tapi dengan Nuh Qays ini, dia rasa takut pula. Walaupun rasa suka itu masih ada untuk lelaki itu.
Lif berhenti pada tingkat tiga. Mungkin ada orang nak naik kut, teka Qisya Zulaikha. Pintu lif terbuka, nampak kelibat Afiah dan juga Ifa.
“ Nasib baik kau ada Ikha, kalau tak berasap badan aku ni,” ujar Ifa seraya masuk ke dalam lif itu. Niat hatinya memang mahu menyindir Afiah.
“ Assalamualaikum Encik Nuh, selamat pagi.” Ramah Ifa menyapa Nuh Qays. Dia menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat pada lelaki itu.
“ Walaikumsalam, selamat pagi,” jawab Nuh Qays.
“ Ikha aku ada belikan kau sarapan tau dekat cafeteria tadi. Tak banyak mana pun, terbantut hati aku nak beli sebab ada makhluk Tuhan yang paling gedik tadi.” Laju jari Qisya Zulaikha mencubit lembut lengan Ifa. Tidak suka bila Ifa secara terang-terangan menyindir Afiah.
“ Ish.. Apa pula ni? Memang betul apa?” marah Ifa.
“ Encik Nuh, Saya ada belikan sarapan untuk Encik Nuh. Tak banyak mana pun Encik Nuh sebab tadi tiba-tiba ada orang gila yang memekik,” ujar Afiah, sempat dia menjeling tajam Ifa yang mencerlung memandangnya.
Berkerut dahi Nuh Qays bila dia seakan faham dengan situasi sekarang ini. Barulah dia sedar tentang hubungan Afiah dengan Ifa yang tidak elok itu.
“ Tidak mengapa, saya dah sarapan tadi. Terima kasih ya Afiah.” Bukan Nuh Qays mahu mengelak dari makan makanan yang dibeli Afiah itu tapi sememangnya dia sudah bersarapan tadi.
“ Ikha, kesianlah minah tu... Nak buat baik tapi tak menjadi,” sindir Ifa.
“ Ifa,” tegur Qisya Zulaikha dengan nada perlahan. Dia tidak suka cara Ifa itu. Nasib baik pintu lif itu terbuka. Sebelum dia melangkah keluar, dia menoleh kebelakang dan menundukan sedikit kepala tanda hormat kepada Nuh Qays. Nuh Qays juga buat sebegitu seraya memberikan senyuman.
“ Encik Nuh, saya sarapan dulu ya. Macam biasa, saya naik sebelum waktu kerja,” ujar Ifa kepada Nuh Qays.
“ Ya,” jawab Nuh Qays.
Sempat Ifa menjeling Afiah, Afiah juga buat sebegitu. Dia benci melihat kedua-dua wanita itu. Rasa malu pula bila tadi Nuh Qays menolak pelawanya. Di hadapan Qisya Zulaikha dan Ifa pula tu!
“ Saya tengok awak tak bertegur sapa dengan sepupu awak tu?” tanya Nuh Qays. Selama dia bekerja, memang dia tidak nampak Afiah bertegur sapa dengan Qisya Zulaikha. Apatah lagi hendak datang bersama, memang dia tidak pernah nampak sedangkan dia tahu Afiah dan Qisya Zulaikha tinggal di tempat yang sama.
“ Bukan saya yang tak nak bertegur sapa Encik Nuh, dia yang mulakan macam tu. Mungkin dia benci saya sebab saya selalu tegur dia yang perangai entah apa-apa tu.”
Pintu lif terbuka dan Nuh Qays membiarkan Afiah untuk keluar dulu dan seterusnya dia mengiringi Afiah.
“ Kita ke pantri dulu ya,” pelawa Nuh Qays. Rasa teruja setiap kali nama Qisya Zulaikha di sebut walaupun sesuatu itu tidak enak untuk di dengar. Hatinya benar-benar ingin mengetahui kehidupan sebenar Qisya Zulaikha.
Afiah mengangguk laju, gembira bila Nuh Qays bergandingan dengannya.
“ Tapi saya tengok dia elok saja. Tak pernah dengar cerita yang tak elok tentang dia.”
“ Itu yang Encik Nuh tengok. Tapi Encik Nuh tak kenal dia, saya yang duduk serumah dengan dia ni memang tahu segala-galanya. Mak su kita orang pun dah letih tegur dia. Kadang-kadang saya kesian pula dengan lelaki yang selalu dia permainkan tu.” Afiah mengeluh. Cuba mempamerkan wajah kesal dengan sikap Qisya Zulaikha.
Hati Nuh Qays pedih mendengar kata-kata Afiah itu. Akal fikirannya seakan mempercayai setiap kata-kata Afiah itu tapi hatinya kuat menidakkan. Kadang-kadang dia keliru, takut di sebabkan dia mencintai wanita yang bernama Qisya Zulaikha akan membuatkan dia buta menilaikan semuanya.
“ About Ifa... Kamu berdua ada masalah ke? Sebab saya tak suka dalam bahagian kita ni ada yang tak kena. Memang saya tahu, rambut sama hitam tapi hati lain-lain tapi saya tak nak di sebabkan hal ini, ianya akan mencemarkan reputasi bahagian kita. Saya harap awak faham ya. Nanti saya bincang hal ini dengan Ifa lagi.” Laju Nuh Qays menukar cerita tentang Ifa pula. Dia tidak mahu berfikiran negatif dulu sebelum dia mengenali siapa sebenar Qisya Zulaikha.
“ Itu sebab dia terikut-ikut cakap Ikha, Encik. Mungkin Ikha dah burukkan saya dekat Ifa jadi hubungan kami macam ni. Saya cuba mengalah tapi Ifa yang tak serik-serik nak sindir saya. Encik Nuh bincanglah lagi hal ini dengan Ifa. Saya harap dia berubah.”
Nuh Qays mengangguk. Dia meninggalkan pantri setelah selesai membuat Nescafe. Mulanya Afiah ingin menolongnya tapi dia menolak kerana dia lebih suka membuat air sendiri. Itulah dia yang sebenar, dari dulu lagi dia seorang yang berdikari. Tidak suka bergantung pada orang lain walaupun dengan ibu bapanya.
*****
“ Aku tak sukalah bila kau selalu sindir Fiah secara terang-terangan. Apatah lagi bila depan Encik Nuh tadi. Ifa, sudahlah tu, kalau Fiah tak kacau kau, kau janganlah cuba kacau dia. Aku betul-betul tak sukalah,” marah Qisya Zulaikha. Dia meletakkan beg tangannya di hujung mejanya.
“ Apa pulak? Kau tahu apa yang dia kata dekat aku di kafe tadi? Kalau aku ni tak sabar-sabar, memang dah lama dia kena penampar aku, kau tahu tak! Dia yang sindir aku dulu, dengan kau, kau sekali dia sindir. Itu yang aku naik geram.” Ifa menarik kerusi kosong agar dekat dengan meja Qisya Zulaikha. Plastik makanan dibuka kasar. Dia bukan marah Qisya Zulaikha sebab melawankan Afiah sebab dia memang tahu Qisya Zulaikha jenis yang tidak suka memanjangkan cerita. Tapi ini disebabkan Afiah yang selalu saja berlagak, mulut macam tempayan!
“ Aku dah lali sangat dengan perangai Afiah tu. Balik-balik dia ungkit benda yang sama. Kadang-kadang dah macam sebati dengan telinga aku ni bila dia selalu saja sindir aku. Aku cuma kesian dengan Mak su, dia lah yang akan jadi orang perantaraan kami. Bagi aku, kalau Afiah nak hidup macam tu berterusan, aku dah tak kisah.”
“ Betul. Jangan peduli. Orang gila macam dia tu, memang selalu tak betul.” Tergeleng-geleng Qisya Zulaikha memandang mulut Ifa yang penuh dengan makanan itu.
“ Kau ni, mulut dah penuh, masih nak cakap lagi. Buruk betul lah.”
“ Kau kata aku buruk Ikha? Jahatnya kau. Ini dah berjangkit perangai sepupu kesayangan kau tu ke?” Bulat mata Qisya Zulaikha memandang Ifa yang ketawa mengekek itu.
“ Muluuttt....,” ujar Qisya Zulaikha meleret.
“ Eh.. macam mana kau boleh satu lif dengan Encik Nuh tu? Kau datang sama dengan dia eh?” tanya Ifa teruja. Baru dia teringat tentang itu.
“ Masa aku datang, dia pun datang. So, tak menjadi satu isu pun kalau aku sama lif dengan dia.”
“ Tapikan.. Wahh! Dahsyat betul ek dia tu. Perfume yang dia pakai, mengancam betul! Dengan gaya dia yang macam tu... Huh! Memang confirm dah ada teman wanita.” Berubah terus wajah Qisya Zulaikha tapi dengan cepat dia mengawal perubahan itu agar tidak disedari oleh Ifa.
Nuh Qays sudah ada teman wanita? Memang tidak mustahil. Jika dia masih meneruskan perasaan suka kepada lelaki itu, pasti tiada ruang untuknya. Layakkah dia mahu mencuri hati lelaki itu? Sedangkan dia cuma wanita yang ‘cuba merampas’ kekasih Qairina, kembar Nuh Qays.
“ Malaslah nak cakap perkara tu. Nak puji melambung tentang dia pun, bukannya hak kita. Kalau dia dah ada teman wanita, memang tak syak la. Dia memang layak pun, nak kahwin sekarang pun dah boleh.”
“ Aik? Bunyi macam orang patah hati saja..,” Sakat Ifa.
“ Patah hati? Tak kut. Dah lah... Makanan pun dah habis, pergilah naik atas. Dah nak kerja ni.”
“ Yalah, yalah. Nak sakat sikit pun tak boleh. Orang happy bila kena kenenkan dengan Encik Nuh tu, tapi kau tidak. Okey, aku naik atas dulu. Nanti tak pasal-pasal, nenek murai dekat atas tu sindir aku lagi.” Laju Ifa membersihkan bekas makanannya dan meninggalkan Qisya Zulaikha. Kelakar pula bila Ifa memanggil Afiah dengan nama ‘nenek murai’. Memang sesuai sangat!
BAB 6
“ Kau dekat mana ni?” setelah memberi salam, Izdiyad terus mengutarakan soalan itu kepada Nuh Qays.
“ Ofislah, dekat mana lagi,” jawab Nuh Qays, dia mendengar Izdiyad ketawa.
“ Set! Aku dah ada depan ofis kau ni. keluarlah cepat! Hei... Orang dah nak lunch lah.. kau bila nak keluar ofis ni?”
“ What?!” terkejut Nuh Qays sebaik saja Izdiyad mengkhabarkan tentang kedatangan lelaki itu. Cepat saja Iphone 4s itu beralih ke telinga sebelah kanan.
“ Apa hal terperanjat ni bro? Sajalah aku nak kejutkan kau. Dah lama kita tak keluar sama.”
“ Aku turun sekarang!” tanpa berlengah, Nuh Qays menekan butang merah. Bergegas dia meninggalkan bilik pejabatnya.
Nuh Qays tidak mahu jika Izdiyad terserempak dengan Qisya Zulaikha. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan Izdiyad meneruskan kembali hubungan yang terdahulu itu. Dia juga berasa gusar jikalau Izdiyad masih menyimpan perasaan terhadap Qisya Zulaikha.
Tercungap-cungap Nuh Qays sebaik saja ternampak Izdiyad yang santai bersandar di luar kereta lelaki itu sambil leka bermain telefon bimbit. Izdiyad mengangkat kepalanya dan dia tersenyum seraya melambai Nuh Qays tapi cuma seketika bila dia ternampak seseorang yang dia kenali.
Nuh Qays menapak menghampiri Izdiyad tetapi dia hairan melihat perubahan di wajah Izdiyad itu. Dia menoleh kebelakang. Qisya Zulaikha bersama dengan Ifa yang baru saja keluar dari pintu utama bangunan mereka. Dia melihat Qisya Zulaikha rancak berbual dengan Ifa.
Nuh Qays rasa marah dengan semua ini. Dia tidak menyangka secepat ini Izdiyad akan menemui Qisya Zulaikha semula. Nuh Qays hanya tersenyum kelat memandang Izdiyad.
“Qisya Zulaikha?” langkah Qisya Zulaikha terhenti. Dia terkejut dengan apa yang dilihatnya kini. Dia melihat kedua-dua lelaki itu menghampiri mereka.
“Qisya Zulaikha kan?” tanya Izdiyad lagi. Tidak dihiraukan Nuh Qays di sisi, yang penting dia ingin memastikan wanita di hadapannya ini.
“ Ya, saya,” jawab Qisya Zulaikha perlahan.
“ Masih ingat dekat abang? Abang rasa, Ikha masih ingat dekat abang, kalau tak... Ikha tak akan buat ekspresi muka macam tu.” Qisya Zulaikha rasa serba salah, dia tidak mahu ingat tentang lelaki itu lagi walaupun lelaki itu tidak pernah menyakitkannya.
Ifa terpinga-pinga dengan situasi ini. Abang? Sejak bila Ikha ada abang ni? Tak pernah pun nampak mamat ni, desis hatinya.
“ Ya, masih ingat.” Akhirnya dengan secara terpaksa, Qisya Zulaikha menjawab.
“ Nuh, kenapa kau tak bagitahu aku yang kau sama kerja dengan Ikha?”
“ For what? Kau nak ulang kejadian dulu lagi?” jawab Nuh Qays dengan pertanyaan juga. Keras suaranya menjawab pertanyaan Izdiyad itu.
Qisya Zulaikha terasa hati dengan kata-kata Nuh Qays itu. Benarlah, selama ini lelaki itu mengenalinya. Qisya Zulaikha hanya tunduk, cuba menahan hati yang sedang rawan itu.
“ Tak adalah. Cuma rasa teruja bila nampak Ikha semula. Dah lama juga kita tak jumpa ya Ikha?”
“ Ya,” jawab Qisya Zulaikha pendek.
“ Err... Saya Ifa, kawan Qisya Zulaikha.” Ifa memperkenalkan diri bila dia sedar Qisya Zulaikha seakan tidak selesa dengan situasi ini.
“ Ohh ya... saya Izdiyad, senior Qisya Zulaikha masa U dulu. Sama dengan Nuh.”
“ Eh.. Encik Nuh juga senior Ikha? Asal kau tak bagitahu aku Ikha?” tanya Ifa pada Qisya Zulaikha. Terkejut dia, rupanya Nuh Qays itu merupakan senior Qisya Zulaikha.
“ Sebab kau tak tanya.”
“ Macam mana aku nak tanya, kalau kau tak bagitahu?” jawab Ifa lagi. Izdiyad tersenyum bila mendengar jawapan teman sekerja Qisya Zulaikha itu.
“ Jomlah, kita lunch sama-sama. Jangan risau, saya belanja.” Pelawa Izdiyad.
“ Okey juga! Dah lama keluar dengan duit sendiri, tiba-tiba rindu pula nak merasa orang belanja.” Laju Qisya Zulaikha memandang Ifa. Dia mengisyaratkan agar Ifa menolak saja pelawaan itu.
“ Tak apalah Encik Diyad. Terima kasih banyak-banyak kerana sudi nak belanja kami tapi lepas lunch ni saya ada tujuan lain lagi. Kita orang nak cepat.”
“ Ikha... Kenapa panggil Encik ni? Abang tak suka.” Izdiyad nampak perubahan Qisya Zulaikha kini. Wanita itu kelihatan ingin menghindari darinya.
Nuh Qays cuba menahan hati yang kian membara kerana cemburu. Mahu saja dia menarik tangan Qisya Zulaikha untuk lari dari situ.
“ Ikha...,” seru Ifa. Teringin juga dia makan tengahari bersama dengan dua jejaka kacak di hadapannya ini. Bukan saja kacak tetapi mempunyai pangkat yang tinggi, dari gaya saja sudah nampak kradibiliti mereka berdua.
“ Maaf. Saya terpaksa beredar dulu.” Qisya Zulaikha menarik tangan Ifa lembut untuk beredar meninggalkan kedua-dua lelaki itu. Dia tidak mahu Nuh Qays berfikiran yang bukan-bukan terhadap dirinya lagi.
“ Ikha, kau ni kenapa? Dah elok lelaki tu nak belanja kita. Lagipun bukan kau tak kenal dia. Siap panggil abang lagi,” tanya Ifa ingin tahu sebaik saja dia melabuhkan punggung di tempat pemandu. Dia melihat Qisya Zulaikha hanya diam sambil memasang tali keledar.
“ Ikha..,” panggil Ifa lagi.
“ Aku tak nak jumpa lelaki tu lagi, kau faham tak?”
“ Tapi kenapa?” Ifa memerhatikan Qisya Zulaikha yang hanya memandang kesesakkan jalan raya di hadapan. Terpinga-pinga Ifa bila melihat Qisya Zulaikha menyeka airmata.
“ Ikha, kau kenapa? Maafkan aku kalau kau rasa aku mendesak kau sangat.”
“ Tak adalah. Aku ingatkan, aku tak akan jumpa lagi lelaki tu. Cukuplah apa yang aku rasa dulu. Rasa dimalukan, rasa diherdik, rasa ditampar...”
Qisya Zulaikha memberikan isyarat ke kiri dan memberhentikan keretanya di situ. Tanpa dapat ditahan, dia menangis teresak-esak. Bila dikenang kejadian dulu itu, hatinya rawan. Tiada siapa yang membela dirinya. Dia hanya memendam perasaan sehingga sekarang. Dia tidak pernah mengadu tentang hal itu kepada Mak su. Baginya, cukuplah Mak su pening memikirkan tentang hubungannya dengan Afiah. Dia tidak mahu membebankan lagi. Dia benar-benar rasa keseorangan.
Ifa menarik Qisya Zulaikha kedalam pelukannya. Dia juga turut simpati dengan Qisya Zulaikha walaupun dia tidak mengetahui cerita yang sebenar. Dia sedar, banyak kedukaan yang disimpan oleh wanita itu.
“ Aku tahu dia tak salah Ifa cuma di sebabkan dia, aku dituduh macam-macam oleh girlfriend dia. Inilah juga punca kenapa aku tak sambung degree, sebab aku rasa malu. Aku dah give up nak belajar lagi. Tapi sekarang aku dah jumpa dia kembali, tak mustahil... aku akan jumpa dengan girlfriend dia pula.” Setelah tangisannya reda, Qisya Zulaikha menyandarkan badannya. Mata menghala kehadapan.
“ Kut dia tak bersama dengan girlfriend dia lagi. Kita tak tahukan..” Ifa cuba melegakan hati Qisya Zulaikha.
Qisya Zulaikha menggeleng. “ Sebab apa aku yakin dia masih dengan Kak Rina? Sebab dia masih berhubungan dengan Encik Nuh. Kak Rina dengan Encik Nuh adalah adik-beradik kembar.”
Melopong Ifa disebabkan kenyataan Qisya Zulaikha yang tidak disangka-sangka itu.
“ Jadi girlfriend lelaki yang nama Izdiyad tu, kembar Encik Nuh? Maafkan aku. Aku siap kenenkan kau dengan Encik Nuh lagi. Serius! Aku betul-betul tak tahu.”
“ Tak apa. Memang kau tak akan tahu kalau aku tak bagitahu. Aku tawakal aje lepas ni Ifa. Harap Kak Rina akan sedar dan tak akan bertindak melulu tanpa usul periksa.”
“ Aku rasa... Lelaki tu tadi nak sangat jumpa dengan kau Ikha. Mana tahu dia dah lupakan hal dulu tu. Lagipun, Encik Nuh pun aku tengok, okey saja dengan kau. Itu bermakna, dia dah tak kisah dengan hal yang dulu-dulu tu.”
“ Aku tak tahu. Harap macam tu lah. Tapi selagi dapat aku elak, aku kan elak Ifa. Cukuplah perit yang aku rasa dulu tu. Aku tak nak ulang lagi.”
Ifa mencapai tangan Qisya Zulaikha. Dia menggenggam kemas tangan itu bagi memberikan semangat dan kekuatan untuk Qisya Zulaikha.
“ InsyaAllah, kau pasti boleh Ikha. Anything, kau bagitahu aku saja. Aku akan jadi back up kau kalau ada manusia yang cuba nak jatuhkan kau.”
Qisya Zulaikha tersenyum. Rasa lega bila demi sedikit perasaan yang dipendamnya itu dikeluarkan.
“ Thanks Ifa. Now, aku dah okey. Alamak! Tak sangka pula, kita dah makan masa banyak. Alamat kena take away la ni ya.”
“ Aku okey aje.” Hati Ifa senang bila melihat senyuman Qisya Zulaikha itu. Dia tahu, hati Qisya Zulaikha sangat rapuh, lembut dan bukan keras hati sepertinya. Walau disakiti berkali-kali, hati wanita itu cepat saja memberikan kemaafkan.
*****
“ Kau serius saja aku tengok Nuh, kenapa? Tak kan kau marah bila aku tegur Ikha tadi,” tanya Izdiyad kepada Nuh Qays. Dia memandang Nuh Qays seperti tidak ada selera untuk menikmati hidangan yang terhidang. Lelaki itu leka menguis makanan.
Memang aku marah! Bentak hati Nuh Qays. Dia menentang anak mata Izdiyad. “ Kau rasa, aku patut marah ke tak?”
“ Tak ada sebab untuk kau marah Nuh.”
“ Kalau kau rasa aku tak ada sebab nak marah, kau salah Diyad. Bermacam-macam sebab aku boleh marah kau hanya kerana kau tegur Ikha tadi.” Pelik kata-kata Nuh Qays itu, berkerut dahi Izdiyad memandang Nuh Qays.
“ Apa maksud kau?”
“ Kau nak ungkit hal dulu ke? Kau nak buat kejadian dulu tu berulang kembali? Aku rasa, kau dah arif sangat dengan perangai Qairina tu. Aku tak nak hanya disebabkan kau, perempuan yang kau tegur tadi akan terima bahananya. Dia tak bersalah Diyad. Dari dulu lagi sebenarnya,” ujar Nuh Qays serius. Dia sudah tidak ada selera untuk menikmati makanan tengahari itu.
“ Jadi kau tuduh akulah punca segala-galanya? Qisya Zulaikha, wanita yang aku kenali sebelum kau kenal dengan dia. Kau tak pernah ambil tahu hal perempun ketika kita di U dulu Nuh. Jadi jangan kau ingat, kau mengenali siapa Qisya Zulaikha yang sebenar,” jawab Izdiyad. Memang dia tahu, dialah punca segala-galanya dan dia tahu juga, memang Qisya Zulaikha tidak bersalah tapi untuk mengaku kesalahan itu, itu bukan prinsipnya. Dia tidak akan merendah-rendahkan maruahnya hanya kerana Qisya Zulaikha tidak menerimanya dulu walaupun dengan Nuh Qays sendiri.
“ For this time, kalau Rina serang dia lagi. Jangan ingat aku nak bela kau. Aku akan berpihak kepada Qisya Zulaikha, sebab aku yakin... Dia wanita yang baik.”
“ Kau suka dia Nuh? Sebab tu kau beriya-iya nak lawankan dia.”
“ Ini bukan soal suka atau tidak Diyad. Kita dah dewasa. Hanya kerana kau nak usha dia dulu, dia dimalukan oleh Rina. Aku tak nak perkara tu berulang kembali sebab aku rasa perangai Rina sekarang ni dah semakin menjadi-jadi.” Nuh Qays tidak akan membiarkan Qisya Zulaikha terseksa lagi.
Izdiyad terdiam, siapa yang tidak mengenali dirinya yang suka bertukar teman itu. Dia pasti akan rasa tercabar jika Nuh Qays mengetahui bahawa Qisya Zulaikha pernah menolak pelawaannya dulu.
“Dulu, Qisya Zulaikha yang memulakan segalanya. Dia yang nak berkenalan rapat dengan aku dan sekarang bila dia dah buat aku seakan tak dapat nak lupakan dia, dia sewenang-wenangnya nak lepas tangan. No Nuh, dia akan jadi milik aku walau Rina naik gila sekalipun.”
“ Kau sebenarnya hanya ingin memiliki tapi bukan untuk mencintai Diyad. Qisya Zulaikha bukan wanita yang kau cintai. Jangan buang masa kau.”
Tiba-tiba saja Izdiyad tergelak. Semakin serius pandangan yang Nuh Qays lemparkan kepadanya.
“ Sejak bila kau pandai hal-hal cinta ni? Ini ke Nuh Qays yang aku kenal? Aku akan teruskan juga, dah lama aku tercari-cari dia. Kau tak payah risau, kalau Rina betul-betul sayangkan aku, dia tak akan cuba kacau Ikha. Tak kan dengan Ikha dia nak lebih-lebih sedangkan dengan perempuan lain yang aku jumpa, dia elok aje. So don’t worry, aku boleh handle lah bro.” Perangai Izdiyad tidak pernah berubah, masih angkuh seperti dulu jika ianya berkaitan dengan perempuan.
Tergeleng-geleng Nuh Qays, kesal dengan sikap Izdiyad itu. Jika Izdiyad sudah ada perancangan, dia juga akan buat perancangan yang lebih teratur lagi. Qisya Zulaikha milik aku! Aku ikhlas mencintainya walau bermacam-macam cerita yang tidak elok aku dengar, bisik hati Nuh Qays.
P/S : " JOM KOMEN!" :) Terima kasih kerana sudi baca PDH.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar