Rabu, 12 September 2012

MININOVEL: JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 4



BAB 4

            Kaki melangkah longlai mendekati pintu pagar rumah. Akhirnya dia kembali semula ke pangkuan keluarga. Hati mula berdebar-debar. Mula risau dengan penerimaan emaknya, Puan Hasnah. Bukan dia tidak tahu dengan sikap Puan Hasnah itu. Semenjak dia menceraikan Hanina, sikap emaknya berubah dengan drastik sekali.

            Pintu pagar automatik itu terbuka lalu Rafael melangkah masuk dengan kedua-dua tangan yang menarik dua bagasinya itu. Semua barang-barang yang dibawanya balik hanya barang-barang yang penting saja. Selainnya dia tinggalkan di sana. Malas mahu membawa balik. Tidak ada kenangan yang indah untuk dia kenang.

            “Baru nak balik?” Tiba-tiba saja ada suara yang menegurnya sebaik saja kaki menjejak ke dalam rumah.

            “Hasnah, kamu ni... Anak kita baru nak balik. Itu pula yang kamu tanya dulu? Sepatutnya kamu peluk cium dia. Bukan nak memekik macam ni.” Tuan Rafiq cuba membela Rafael. Dia juga turut terkejut dengan pertanyaan Puan Hasnah itu pada Rafael. Memang mereka tidak tahu akan kepulangan Rafael hari ini. Tiba-tiba saja dia ternampak Rafael keluar dari perut teksi tadi.

            “Mak..” Rafael mendekati Puan Hasnah. Wanita tua itu hanya kaku berdiri. Tangan tidak dihulurkan sehingga dia sendiri yang mencapai lalu disalami dan dicium penuh kasih. Benar... Dia rindukan Puan Hasnah. Emak yang dahulunya sangat rapat dengannya.

            Puan Hasnah cuba menahan rasa rindu. Jika tidak mengenangkan rasa amarah, Rafael akan dipeluk dengan semahunya. Dia teramat rindukan Rafael. Hampir enam tahun menetap di negara orang, langsung tidak balik beraya, langsung tidak menjenguknya. Emak mana yang tidak rasa kecewa?

            Bila Rafael sudah siap bersalaman dengan Tuan Rafiq, Puan Hasnah mula membuat serangan. “Melina mana? Dia tak ikut kamu balik ke? Dah tak tahu jalan pulang ke Malaysia? Dah syok tinggal kat London tu?”

            Rafael kelu untuk menjawab semua persoalan yang emak dia berikan. Kaki melangkah ke sofa. Dia benar-benar letih tapi kalau dia terus naik ke bilik, nampak sangat dia berkurang ajar dengan emaknya.

            “Hasnah... Raf baru saja balik. Berilah dia rehat dulu.” Tergeleng-geleng Tuan Rafiq dengan sikap isterinya itu. Langsung tidak ada rasa kasihan melihat wajah sunggul Rafael itu.

            Puan Hasnah menjeling tajam Tuan Rafiq. Memang dia tahu, Rafaellah anak kesayangan Tuan Rafiq berbanding dengan anak yang lain. “Nak tunggu  sampai bila? Dah dia ada depan mata, saya tanyalah.”

            “Mel tak ada. Dia tak balik mak,” ujar Rafael. Dia tidak mahu hanya kerana dia, emak dan abahnya berselisih faham.

            “Kenapa dia tak balik? Mesti dia benci tengok mak ni kan?” Menantu yang sudah terang-terangan tidak menyukainya. Semenjak hari pertama Rafael bernikah dengan Melina, Melina sudah tunjuk belang.

            “Raf dah ceraikan dia...”

            “Apa?!” Serentak Tuan Rafiq dan Puan Hasnah bersuara.

            “Apa kamu cakap ni, Raf?” Sekali lagi Puan Hasnah bertanya pada Rafael. Dia sudah tidak senang duduk. Seperi cacing kepanasan dia mendengar berita yang mengejut itu.

            “Raf dah ceraikan Melina.”

            “Hei, Raf. Kamu ingat kahwin cerai ni perkara main-main ke? Kamu tak serik dengan apa yang kamu dah buat dulu? Ini kan cinta hati kamu, kenapa akhirnya bercerai juga? Dah buang tebiat ke kamu ni?” Suara Puan Hasnah bagaikan bergema di seluruh pelusuk rumah itu. Dia benar-benar marah dengan apa yang Rafael lakukan. Walaupun tidak menyukai Melina tapi tidak terniat di hatinya untuk menyuruh Rafael menceraikan wanita itu.

            Rafael memicit dahinya berkali-kali. Dia tahu, inilah yang akan diterimanya. Mata mengerling memandang Tuan Rafiq, abahnya pula sudah tidak terkata lagi. “Raf minta maaf. Raf dah tak dapat selamatkan rumah tangga kami lagi.”

            “Macam senang saja kamu cakap ya, Raf. Bila tak ada jalan penyelesaian, terus buat keputusan bercerai. Itulah yang kamu buat dulu dekat Nina. Bila Nina dah mengandung, dan perempuan kesayangan kamu dah tahu... Hah! Terus buat keputusan melulu. Langsung tak bincang dengan keluarga. Sekarang apa dah jadi? Semuanya tak menjadi!”

            Mata dipejamkan. Kepala pula ditundukkan. Dia tahu... Dialah yang bersalah. Dia tahu... Dialah punca segala-galanya. Semua itu dia tahu cuma... dia hanya mengikut kata hati. Langsung tidak memikirkan baik buruknya.

            “Langsung tak boleh diperbaiki lagi ke?” Suara sudah mulai kendur. Puan Hasnah tahu, Rafael dalam keadaan tertekan.

            Emak mana yang mahu anak bercerai-berai? Dia juga seperti ibu-ibu yang lain, menginginkan anak-anak berkahwin sehingga ke akhir hayat. Inilah puncanya kenapa dia tidak bertegur sapa dengan keluarga Hanina. Hanya kerana malu yang menebal dengan sikap tidak bertanggungjawab Rafael. Sudah terang-terangan anaknya yang membuat onar. Siapa yang tidak malu?

            “Raf ceraikan dia dengan talak tiga.” Hanya itu yang dia mampu katakan. Kalaupun dia hanya menceraikan dengan talak satu atau dua, dia tetap tidak mahu kembali bersama Melina. Dia sudah tawar hati dengan wanita itu. Bukan hanya sekali dua pergaduhan berlaku. Sudah lama. Rasanya semenjak tiga tahun yang lepas.

            “Ya Allah... Apa sudah jadi dengan kamu ni, Raf. Mak betul tak faham dengan kamu. Abang nasihatkanlah anak abang ni. Jangan hanya nak berdiam diri. Saya dah tak mampu nak cakap lagi.” Sejurus berkata begitu, Puan Hasnah bangkit dari duduk lalu mengorak langkah meninggalkan kedua-dua lelaki yang ada di ruang tamu itu. Dia sudah tidak berdaya untuk berbicara dengan Rafael. Rasa rindu yang membuak-buak bagaikan sudah hilang dek berita yang disampaikan Rafael itu.

            Kesal. Itulah yang Rafael rasakan kini. Kekesalan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Hanya dirinya tahu apa yang dia rasa ini. Mata memandang gerakkan tubuh badan Puan Hasnah yang semakin menghilang dari pandangan itu. Dia tidak akan sesekali marah dengan kata sindiran atau kata teguran dari emaknya kerana dia sedar, semua itu berpunca dari dirinya sendiri.


“BUKUapa yang Eqi pegang tu?” Baru Hanina sedar, ke mana saja Rafieqi melangkah, pasti buku itu yang diusungnya.

            “Uncle Hanif bagi. Kawan Eqi kata buku ni best!” Hanya mulut yang berkata-kata, mata masih menghala pada buku tersebut.

            Mata yang pada mulanya memusat pada kaca tv yang menyiarkan siaran berita, kini mula mencari seraut wajah Rafieqi sebaik saja dia mendengar nama asing yang disebut oleh anaknya itu.

            “Uncle Hanif?”

            “Yang datang tadi kat tadika. Uncle Hanif kata, dia kawan umi.”

            Hati mendongkol rasa geram tapi dia cuba berlagak selamba. Pandai-pandai aje dia kata aku ni kawan dia, gumam hati Hanina.

            “Dia cakap apa dengan Eqi tadi?”

            “Eqi dengan uncle Hanif tak cakap banyak. Uncle Hanif cuma kata dia kawan umi. Lepas tu dia kasi Eqi buku ni.” Rafieqi menunjukkan buku yang dipegangnya itu pada Hanina.

            “Mula-mula Eqi takut nak cakap dengan dia. Tapi uncle Hanif kata, kalau dia jahat, uncle sekuriti akan tangkap dia.” Tersenyum Hanina bila Rafieqi berkata sebegitu. Pandai betul dia ‘goreng’ anak aku.

            “Uncle Hanif tu baik kan umi? Dia suka senyum.” Kali ini mata Rafieqi memandang Hanina. Kata-katanya itu, datang dari hati. Dia suka dengan kehadiran Hanif di sisi.

            Bibir kelu untuk menjawab kata-kata Rafieqi itu tapi dia perlu menasihati si anak. “Eqi baru aje jumpa dia, takkan dah kata dia baik? Tak semestinya dia selalu senyum, dia baik, sayang.”

            “Tapi dia kan kawan umi. Kalau uncle Hanif kawan umi, jadi dia orang baik la. Eqi suka kawan dengan uncle Hanif tu.”

            “Eqi suka dia sebab dia belikan buku ni untuk Eqi. Kalau dia tak belikan apa-apa tadi, tak ada maknanya Eqi nak suka dia, kan?”

            Cepat saja Rafieqi menggeleng. “Eqi suka kawan dengan uncle Hanif. Bukan sebab dia belikan Eqi buku. Eqi nak ada kawan. Kawan Eqi cuma atok aje. Itupun dah lama kita tak balik jumpa atok,” luah Rafieqi. Suara juga sudah tidak seceria tadi.

            Tangan Hanina mengusap lembut rambut Rafieqi. “Nanti kita balik jumpa atok dan nenek ya. Maaf sayang, umi sibuk sekarang ni.”

            Benar, akhir-akhir ini dia sangat sibuk menguruskan hal tadika. Ada salah seorang guru yang berhenti kerja kerana ikut suami berpindah ke Sarawak. Adakalanya dia perlu menjaga sendiri kanak-kanak yang dihantar ke tadika itu.

            “Boleh tak kalau umi suruh uncle Hanif datang lagi? Lepas balik sekolah, Eqi nak terus balik ke tadika. Kalau dia ada, kan best!”

            Liur ditelan. Jika dia memberitahu bahawa dia tidak mengenali siapa Hanif, pasti Rafieqi akan melemparkan banyak soalan. Biasalah dengan budak-budak, semua benda dia nak ambil tahu. Dia pula malas hendak memanjangkan cerita tentang Hanif, baginya, lelaki itu pasti tidak akan meneruskan niatnya setelah dia berkeras menolak salam perkenalan dari Hanif itu tadi.

            “Lepas ni dia busy la sayang. Susah dia nak datang lagi.” Hanina cuba memberikan alasan. Susahlah nanti dia, jika Rafieqi sudah menyukai Hanif yang entah dari mana munculnya itu.

            “Tapi umi boleh call uncle Hanif, kan?”

            “Nantilah umi cuba call dia. Dah la cerita tentang dia. Esok kalau umi siap kerja cepat, kita jalan-jalan. Nak tak?”

            “Nak!”

            “Okey, sekarang tiba masa untuk masuk tidur. Dah lewat. Esok nak sekolah lagi. Tapi sebelum tu...”

            “Gosok gigi.” Cepat Rafieqi memotong kata-kata Hanina. Sudah biasa dengan rutin yang dia lakukan.

            Hanina tergelak kecil dengan wajah kenakalan Rafieqi itu. Hilang rasa letih bila melayan kerenah Rafieqi. Bila mengenangkan wajah Hanif petang tadi, membuatkan dia berfikir sejenak. Wajah lelaki itu seperti menahan senyum. Memang jenis yang suka senyum kut. Cuma bila dia meninggalkan Hanif terkulat-kulat di tadika itu tadi, ada wajah hampa yang terpancar. Hanina mengeluh. Salahkah dia berjaga-jaga dalam memilih kawan? Terutama sekali kawan lelaki. Dia wanita yang sudah bergelar janda, kadang-kadang persepsi seseorang itu berbeza-beza dan dia tahu wanita sepertinya adakalanya dipandang serong. Itulah penyebabnya dia susah sekali untuk bergaul rapat dengan mana-mana orang terutama sekali lelaki.


“KAUkenapa ni? Batuk tak henti-henti,” tanya Nuqman. Dia hairan bila melihat Hanif terbatuk-batuk dengan tiba-tiba.

           “Ambilkan aku air.” Pinta Hanif. Kerana batuk yang tak henti-henti itu membuatkan dia memerlukan air untuk melegakan batuk yang datang secara mengejut itu.

            “Kejap.” Bergegas Nuqman ke ruang dapur untuk mengambil segelas air.

            “Nah.” Gelas yang berisi air itu diberikan pada Hanif. Dengan pantas, gelas tersebut bertukar tangan.

            Sedikit rakus Hanif meneguk air itu. Belakang badannya terasa diusap berkali-kali. Dia tahu Nuqman cuba melegakan batuknya itu. Dada cuba diusap. Gara-gara batuk yang agak keras itu membuatkan dia sakit dada.

            “Dah okey?” tanya Nuqman kerisauan.

            Hanif mengangguk perlahan. “Okeylah. Sakit dada aku. Tiba-tiba aje batuk mengejut macam ni.”

            “Ada orang sebut nama kau kut. Itu yang jadi macam tu. Selalunya kalau yang teruk macam ni, kira ada yang mengumpat tentang kau la.” Mengekek Nuqman ketawa.

            “Mengarutlah! Kalau orang ungkit tentang aku, mungkin sebab mereka terbayang-bayang kehenseman aku ni. Itu memang tak mustahil la sebab selalu sangat aku dengar kata pujian macam tu.” Kali ini Hanif pula yang mengekek ketawa apabila melihat cebikkan Nuqman itu. Batuknya juga sudah semakin pulih.

            “Itu memang tak masuk akal langsunglah.”

            “Dah la.. aku nak masuk tidur. Esok kelas aku pagi tau. Petang aku memang free. Tapi aku banyak kerja nak lakukan.” Kaki sudah mahu melangkah meninggalkan ruang tamu itu.

            “Weh... Kau, aku tengok dah lain macam sekarang ni. Asyik-asyik busy. Schedule mengajar kau pun aku tengok hampir sama dengan aku. Kau kenapa?”

            “Tak ada apa-apa. Biasa aje, Man. Dah la... Aku tidur dulu. Kau jangan nak berjaga sangat. Kau tu memang tidur mati. Kalau esok tak bangun, aku simbah dengan air sejuk.”

            “Hoi! Itu kes naya tu!”

            Semakin besar tawa Hanif bila Nuqman menjerit begitu. Selepas saja mengajar siswa dan siswinya, dia perlu membuat agenda baru. Cuba untuk menawan hati Hanina yang keras seperti batu itu. Dan jangan lupa, si comel Rafieqi. Anak kecil yang membuatkan dia merasa seperti lelaki yang sudah bergelar ayah. Kan best kalau aku ada anak macam Rafieqi? Lebar senyumannya bila memikirkan angan-angan yang tinggi menggunung itu.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar