Jumat, 14 September 2012

MININOVEL: JADIKAN AKU PILIHAN HATIMU 5



BAB 5

            Seperti yang Hanina janjikan pada Rafieqi, dalam pukul tiga petang itu dia sudah bersedia untuk keluar dari tadika. Rafieqi pula kelihatan sungguh teruja. Kasihan anaknya, sudah lama tidak keluar berjalan-jalan gara-gara dia sibuk menguruskan hal tadika.

            “Eqi nak pergi mana? Umi ikut aje apa yang Eqi nak,” tanya Hanina seraya membuka pintu penumpang buat Rafieqi. Ketika anak itu sudah duduk dalam keadaan baik, tali pinggang keselamatan juga turut dipasang.

            “Eqi nak pergi Times Square!” Sedikit menjerit Rafieqi kerana terlalu teruja.

            “Okey... Kita pergi sana.”

“Yes!”

Hanina tersenyum dengan keterujaan Rafieqi itu. Dia juga sudah siap memasang tali pinggang keselamatan. Gear bertukar menjadi ‘D’, dengan lafaz Bismillah, dia memulakan perjalanan. Nasib baik hari ini segalanya berjalan dengan lancar. Kerja yang tergendala dapat disiapkan dengan lebih awal lagi. Hatinya semakin senang bila melihat Rafieqi gembira bila balik dari sekolah tadi. Lebar senyuman anaknya itu. Jadi untuk tidak menghampakan, dia menyuruh Rafieqi memilih sendiri ke mana hendak dituju.

“Stop, umi!” Tiba-tiba saja Rafieqi menyuruh Hanina berhenti. Terpinga-pinga dia menoleh sekeliling. Baru saja dia melepasi luar pagar tadika, kenapa pula Rafieqi menyuruhnya menghentikan kereta.

“Eqi kenapa? Ada barang yang tertinggal kat tadika ke?”

Hanya gelengan yang menjadi jawapan Rafieqi. Tangan naik menunjuk ke arah sesuatu lalu mata Hanina juga memusat pandangan ke situ.

“Uncle Hanif..,” ujar Rafieqi perlahan.

Hanina mengetap bibir. Dia memandang Hanif yang santai bersandar di badan kereta Honda Civic lelaki itu sambil tangan bersilang ke dada. Nasib baik cuaca mendung, kalau tidak, basah lelaki itu dengan peluh akibat cuaca panas yang terik.

“Umi kata uncle Hanif sibuk... Tapi kenapa dia datang dan tunggu kat luar aje?”

“Sekejap. Bagi umi cakap dengan uncle Hanif dulu ya.” Kereta yang pada mulanya terhenti di luar pagar kini sudah bergerak mendekati kereta Hanif. Diparkirkan BMW X5 bersebelahan dengan Honda Civic yang berwarna putih itu.

“Eqi tunggu sekejap ya sayang. Jangan keluar dari kereta ni.”

Bila melihat Rafieqi hanya mengangguk, terus saja Hanina keluar dari kereta. Hatinya semakin sakit bila dengan gembiranya Rafieqi melambai pada lelaki itu. Melambai dengan penuh teruja. Macam jumpa artis pun ada juga.


“Awak buat apa kat sini? Kan saya dah kata, jangan cuba datang lagi kat sini. Awak memang tak reti bahasa ke?” Terjah Hanina. Hatinya geram bila melihat Hanif yang tersenyum-senyum memandang Rafieqi. Tangan juga turut melambai pada anaknya itu tanpa menghiraukan dia yang sudah membahang kepanasan dengan sikap selamba Hanif.

“Saya baru sedar... Awak ni pemarah juga orangnya ya. Tapi saya suka, nanti saya sejukkan hati awak tu.” Bibir masih mengukir senyuman. Nasib baik dia sempat datang ke tadika ini sebelum Hanina keluar berjalan. Kalau tidak, melepas dia untuk hari ini. Ini akibat dia mengambil masa yang lama mandi la ni. Yang kononnya nak sentiasa kelihatan bersih di mata Hanina dan anak.

“Awak sedar tak, saya dah berkahwin dan dah punya anak. Awak tak takut ke kalau suami saya serang awak?” Hah! Alasan yang sangat baik. Hanina lupa untuk mengugut Hanif dengan memberitahu bahawa dia sudah berkahwin.

Wajah Hanif sedikit berubah. Takkan Hanina sudah berkahwin baru? Ah, mustahil! Mungkin dia cuba nak test aku aje kut.

“Kan saya dah kata... Saya kenal awak. Saya kenal awak dah lama, cuma saya hanya mampu melihat dari jauh saja. Saya tahu awak ibu tunggal dan tak salah kalau saya berkenalan dengan awak. Niat saya ingin menjadi sahabat awak.”

“Huh!” Hanina mendengus geram.

“Itu maknanya, tak salah juga kalau saya tak terima awak menjadi sahabat saya. Kawan saya dah ramai. Kalau awak tak ada pun, kehidupan saya akan lebih teratur.”

“Tapi tak salah kalau awak sahut salam perkenalan saya. Hani...”

“Tolonglah! Sebelum saya report yang awak mengganggu saya kepada pihak berkuasa, baik awak pergi dari sini dan jangan datang lagi. Lepas ni, saya tak akan tangguh lagi Encik Hanif.”
           
Hanina sudah mahu berpaling tapi kakinya terhenti bila mendengar suara Rafieqi. “Uncle Hanif! Tak nak ikut kita orang pergi Times Square ke?”

            “Eqi! Kenapa keluar dari kereta? Kan umi dah kata, tunggu dalam kereta saja. Kenapa degil ni?” Marah Hanina bila dengan pantas saja, Rafieqi sudah berdiri berdekatan dengan Hanif. Tangan Rafieqi juga sudah kemas bersulam dengan tangan Hanif.

            Wajah yang ceria sudah berubah riak. Rafieqi tidak menyangka hanya kerana dia keluar dari kereta, Hanina akan marah sebegitu. “Eqi nak jumpa uncle Hanif.”

            “Come here, Eqi. Kita dah nak gerak ni.” Sebelah tangan Rafieqi ditarik agar menjauhi Hanif tapi sebaliknya anaknya itu hanya mengeraskan diri.

            “Eqi dengar tak ni?!”

            “Hani... Awak jangan la berkeras sangat dengan dia. Sekejap. Let me slow talk with him.”

            Hanya jelingan yang mampu Hanina berikan. Akhirnya dia akur. Wajah Rafieqi sudah monyok dan mungkin sedikit masa lagi, akan ada air mata yang mengalir.

            “Eqi... Eqi kena dengar cakap umi tau. Tak baik macam ni. Berdosa. Allah tak suka kalau seorang anak tak dengar kata uminya.” Badan dibongkokkan agar setara dengan ketinggian Rafieqi. Kedua-dua bahu Rafieqi juga turut dipegang.

            Rafieqi hanya mengangguk sebagai jawapan seraya memeluk erat Hanif. Terkejut juga Hanif dibuatnya. Hanina pula tidak menyangka, begitu sekali Rafieqi menyukai Hanif. Hatinya semakin rasa menyampah pada lelaki itu.

            “Don’t worry, uncle tengok dari jauh saja ya. Uncle akan selalu ada kalau Eqi perlukan uncle,” bisik Hanif.

            Hanif hanya memerhatikan bila Rafieqi sudah masuk ke dalam kereta semula. Dia benar-benar rasa kasihan dengan anak itu.

            “Jangan hanya kerana awak tak suka saya, awak lepaskan rasa marah pada Rafieqi. Kesian dia. Tidakkah awak rasa dia sebenarnya kesunyian? Seharusnya awak sedar dengan semua tu.”

            Hanina sudah tidak terkata lagi. Sudah pasti Hanif cuba menyindirnya kerana tidak memahami perasaan anak sendiri sedangkan dia adalah pemilik tadika. Bermacam-macam kanak-kanak yang ada di situ dan sudah pasti, dia cuba memahami gelagat anak-anak yang berbagai kerenah. Kaki melangkah meninggalkan Hanif. Kali ini dia tewas. Apa yang Hanif katakan itu memang benar. Dia sedar akan kesunyian Rafieqi. Apa yang dia lakukan cuma ingin menjaga Rafieqi dengan baik. Dia tidak mahu Rafieqi diapa-apakan. Adakah dia terlalu mengongkong anak itu?


            Dalam perjalanan menuju ke Berjaya Times Square, Hanina hanya ditemani dengan celoteh-celoteh DJ radio. Selalunya Rafieqi akan sibuk bercerita itu dan ini. Tapi kali ini, anaknya itu hanya berdiam diri. Dia cuba memasang telinga dengan lebih jelas lagi bila dia seakan mendengar seperti ada orang menangis. Hanina mengerling sekilas Rafieqi. Sah! Rafieqi sedang menangis. Walaupun anaknya itu memandang keluar, dia memang yakin Rafieqi mengalirkan air mata kerana dia nampak tangan anaknya itu mengesat pipi.

            Nasib baik dia sudah sampai ke Berjaya Times Square. Kereta juga sudah terparkir elok. Kini dia hanya perlu berhadapan dengan Rafieqi.

            “Eqi... Boleh pandang umi sekejap?”

            Rafieqi akur dengan arahannya. Dia nampak dengan jelas, ada bekas air mata di pipi Rafieqi. Hatinya turut rasa tersentuh.

            “Umi minta maaf dengan apa yang umi dah lakukan tadi. Tapi Eqi tak boleh keluar melulu macam tu sedangkan umi dah pesan jangan keluar dari kereta.”

            “Umi kata uncle Hanif susah nak datang lagi sebab tu Eqi nak jumpa dia. Eqi memang nak kawan dengan uncle Hanif tapi umi tak suka dia. Kenapa umi tak suka uncle Hanif? Dia kan kawan umi.”

            “Eqi...”

            “Eqi nak ada kawan. Eqi suka kawan dengan uncle Hanif, umi.” Tangisan Rafieqi semakin kedengaran. Dia sudah meluahkan apa yang dia rasa pada Hanina. Selama ini memang dia rasa kesunyian kerana dia tidak mempunyai kawan yang banyak.

            “Jangan menangis sayang... Dah-dah. Iya, lepas ni, umi akan benarkan uncle Hanif jumpa dengan Eqi.” Dia menarik badan Rafieqi kedalam pelukan. Dahi si anak juga turut dikucup. Dia cuba membuat janji kosong pada Rafieqi. Mengharapkan agarnya anaknya itu termakan dengan pujukkannya.

            “Dah-dah, jangan menangis lagi. Eqi dah tak sayang umi lagi ke?”

            “Sa.. Sayang,” jawab Rafieqi dengan badan terenjut sama. Ini memang menangis betul-betul ni sampai badan juga turut mengenjut.

            “Kalau Eqi sayang umi, berhentilah menangis. Kan kita datang sini nak pergi shopping dan main games. Tak best la kalau Eqi macam ni.” Hanina mengesat air mata Rafieqi. Berkali-kali dia mengusap lembut kepala anaknya itu.


            Wajah Rafieqi sudah bertukar riak. Tidak monyok seperti tadi tapi masih juga tidak seceria pagi tadi. Tidak mengapa, rajuk budak-budak tidak lama sebenarnya. Dia pasti, Rafieqi akan lupa tentang kejadian tadi.

            “Assalamualaikum and hai... Boleh join tak?” tanya seseorang dari arah belakang.

            Bila kedua-dua mereka menoleh, masing-masing mempamerkan riak yang berbeza. Hanina terkejut dan rasa tidak percaya manakala Rafieqi pula sudah teruja dengan kehadiran Hanif itu. Lelaki ni memang degil tahap maksima!

            “Waalaikumsalam!” sahut Rafieqi dengan senyuman yang ceria.

            “Umi... Uncle boleh ikut kita tak?” Hanina bagaikan baru tersedar di alam nyata dengan pertanyaan Rafieqi itu. Wajah si anak juga nampak penuh mengharap.

            “Err...”

            “Umi dah janji tadi, kan...?”

            Ah! Dia pula yang terkena dengan janji kosong yang dia berikan pada Rafieqi. “Boleh...” Boleh blah! Sambungan ayat yang tidak dapat diluahkan. Hatinya menjerit bagaikan tidak mengizinkan Hanif ikut sama.

            “Thanks Hani.” Rasa gembira bukan kepalang bila Hanina membenarkan dia ikut sama. Walaupun dia tahu, Hanina tidak selesa dengan kewujudannya di situ.

            “Yes! Thank you umi...” Sebelah tangan kiri sudah menggenggam tangan kanan Hanif. Seperti mana dia menggengam tangan kiri Hanina. Rafieqi sudah ceria dengan sepenuhnya. Dia suka dengan kehadiran Hanif di situ.

            “Tapi... Dah nak masuk solat Asar ni. Saya nak solat dulu, boleh Hani?”

            Ek eh! Kenapa pula nak tanya aku. Kan itu suruhan Ilahi, suruhan yang wajib dilakukan. Ini mesti nak tunjuk baik ni, desis hati Hanina.

            “Eqi nak ikut, boleh?” Soalan yang dituju kepada kedua-duanya, Hanina dan Hanif.

            “Eqi dah pandai solat?” tanya Hanif.

            “Dah! Umi dah ajar Eqi.”

            “Tapi...” Hanina sudah rasa tidak sedap hati. Sudah pasti nanti Rafieqi akan bersama dengan Hanif tanpa dia di sisi.

            “Jangan risau, ambiklah dompet saya ni dulu. Semua ada, IC, lessen kereta. Kalau awak fikir saya nak kidnap Eqi. Awak terus report polis dan serahkan semua keterangan saya ni,” ujar Hanif dengan wajah yang selamba.

            Sakit hati Hanina dengan kata-kata yang berupa sindiran itu. Sudah pasti dia risau akan keadaan Rafieqi sedangkan dia tidak mengenali hati budi Hanif. Memang tengok dari luaran nampak macam baik, tapi sebagai manusia dia tidak tahu apa yang tersimpan di hati lelaki itu.

            Hanif mengangkat tangan kirinya seraya membelek jam. “Masa bergerak Hani. Kalau awak tak percayakan saya, jomlah ikut sama.”

            “Saya tak boleh.” Cepat saja Hanina memberitahu bahawa dia tidak boleh bersolat. Dia pasti, Hanif faham apa yang dia maksudkan. Dengan senyuman yang menyengih itu, dia sudah agak bahawa Hanif memahami maksud yang tersirat itu.

            “Susah juga kalau ada orang yang tak percaya ni. Tapi demi Allah, saya tak akan apa-apakan Rafieqi. Untuk kali ini, percayalah kata-kata saya.”

            “Baiklah. Mana dompet awak tu?”

            Hanif menelan liur. Ingatkan dengan kata ‘baiklah’ itu, Hanina tidak akan meminta dompetnya sebagai cagaran. Tapi ternyata, wanita itu sukar untuk mempercayai orang.

            “Nah... Kalau nak makan ke, gunakan aje duit saya. Saya tak kisah.” Dompetnya diberikan kepada Hanina berserta dengan kunci kereta sekali.

            “Yang ni nak buat apa?” Hanina mengisyaratkan kunci kereta yang diberikan oleh Hanif itu.

            “Tak apa la... Kira sama dengan dompet tu. Kut awak takut saya larikan Rafieqi nanti.”

            Bibir Hanina mencebik. Memang nak tunjuk baik la tu!

            “Eqi solat betul-betul tau. Umi tak ada ni, nak ajar Eqi solat.”

            “Iya umi. Eqi solat betul-betul.”

            Hanif menekan sesuatu pada telefon bimbitnya. “Ini nombor telefon saya. Tolong mesej saya nanti, kalau awak berjalan ke mana-mana. Senang saya nak cari.” Telefon bimbit itu disuakan ke arah Hanina.

            Dengan rasa terpaksa, Hanina menyimpan nombor telefon Hanif itu ke dalam contact listnya. Takkan dia nak tercegat aje di situ tanpa berjalan ke mana-mana.

            “Eqi, take care sayang. Jangan nakal tau,” pesan Hanina pada Rafieqi.

            “Okay, umi.”

            Hanina cuba memberikan senyuman. Dia hanya mampu bertawakal dan cuba mempercayai niat Hanif itu.

            “Hani..,” seru Hanif.

            Pandangan yang pada mula memusat pada Rafieqi kini beralih pada Hanif.

            “Awak take care ya. Mesej saya kalau awak jalan ke mana-mana.”

            Pesanan yang bernada lembut itu membuatkan Hanina terjeda. Pandangan yang Hanif lemparkan padanya juga redup sehingga membuatkan hatinya rasa sedikit lega melepaskan Rafieqi pada Hanif.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar